Kedudukan Sahabat Nabi SAW
Tarikh: 27/10/2026
Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah
Pendahuluan
Para sahabat Nabi SAW merupakan generasi pertama yang menyaksikan perkembangan ajaran Islam pada zaman Nabi SAW. Mereka menerima didikan secara langsung daripada Nabi SAW, berjuang bersama-sama dengan Baginda SAW, terlibat dalam penyebaran agama Islam ke seluruh pelosok dunia serta generasi yang bertanggungjawab dalam menyebarkan ajaran Islam hingga sampai kepada kita pada hari ini.
Definisi Sahabat
Ibn al-Salah dalam Muqaddimahnya mengatakan, pandangan yang masyhur dalam kalangan ahli hadis adalah sahabat merupakan setiap Muslim yang bertemu dengan Baginda SAW. Adapun Sa’id ibn al-Musayyib berpandangan, beliau tidak menganggap seseorang itu sebagai sahabat melainkan mereka pernah tinggal serta turut menyertai peperangan yang disertai oleh Rasulullah SAW selama setahun atau dua tahun.[1] Pandangan ini lebih hampir kepada pandangan sebahagian ulama usul fiqh yang mensyaratkan suatu tempoh masa dengan Nabi SAW. Namun yang demikian, majoriti ulama hadis berpendapat bahawa sahabat adalah orang yang pernah bertemu dengan Nabi SAW, beriman kepada Baginda serta meninggal dunia dalam keadaan beragama Islam.[2]
Keistimewaan Sahabat Nabi SAW
Allah SWT memberikan pengiktirafan yang tinggi kepada sahabat Nabi SAW dengan jelas, dinyatakan tentang keimanan, pengorbanan dan kesetiaan mereka dalam memperjuangkan agama Islam. Pengiktirafan ini membuktikan bahawa para sahabat mempunyai kemuliaan dan kedudukan yang istimewa berbanding generasi yang lain. Allah SWT berfirman dalam surah al-Taubah, ayat 100:
وَٱلسَّٰبِقُونَ ٱلْأَوَّلُونَ مِنَ ٱلْمُهَٰجِرِينَ وَٱلْأَنصَارِ وَٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوهُم بِإِحْسَٰنٍ رَّضِىَ ٱللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا۟ عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّٰتٍ تَجْرِى تَحْتَهَا ٱلْأَنْهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدًا ذَٰلِكَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ
Maksudnya: Orang yang terdahulu yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dalam kalangan orang Muhajirin dan Ansar, serta orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan sebaiknya (daripada segi keimanan dan ketaatan), Allah redha kepada mereka dan mereka pula redha kepada-Nya, serta Dia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar.
Menurut al-Tabari, golongan yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah golongan yang mula-mula beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya daripada golongan Muhajirin (orang yang berhijrah dari Mekah ke Madinah) dan Ansar (penduduk asal Madinah). Bagi golongan Muhajirin, mereka sanggup meninggalkan keluarga dan harta benda mereka untuk berhijrah bersama-sama dengan Baginda SAW. Manakala golongan Ansar adalah mereka yang sanggup mengorbankan segala yang mereka miliki demi membantu Rasulullah SAW dan para sahabat yang berhijrah untuk menghadapi musuh Islam. Mereka sanggup memberikan segala yang mereka miliki semata-mata mengharapkan redha Allah SWT.
Bahkan, di dalam sepotong hadis yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Mas’ud RA, Nabi SAW bersabda:
خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ.[3]
Maksudnya: Sebaik-baik manusia adalah daripada kurunku. Kemudian, mereka yang mengikuti mereka. Kemudian, mereka yang mengikuti mereka pula.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ini menunjukkan bahawa sahabat merupakan generasi terpilih yang dipilih oleh Allah SWT untuk berdamping dengan Rasulullah SAW. Mereka juga merupakan generasi terbaik dalam kalangan umat Islam selepas para Rasul. Malah, mereka sendiri menjadi contoh dan tauladan kepada generasi yang datang selepasnya. Ini disebabkan mereka mendapat didikan secara langsung daripada Nabi SAW yang banyak membentuk keperibadian dan keimanan mereka serta menyaksikan sendiri dengan pancaindera mereka akhlak dan tingkah laku Baginda SAW pada ketika itu.
Selain itu, mereka juga menyaksikan peristiwa yang menjadi asbab al-nuzul (sebab turun ayat al-Quran) serta menerima penjelasan agama secara langsung daripada Rasulullah SAW. Segala permasalahan yang timbul pada zaman Baginda SAW dirujuk terus kepada Baginda SAW untuk mendapatkan penyelesaian. Setelah Rasulullah SAW wafat, para sahabat RA pula menjadi antara rujukan utama dalam permasalahan agama. Hal ini sebagaimana yang dinukilkan oleh Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah:
وخيار الصَّدْرِ الأوَّلِ الصَّحابةُ كما قال ابنُ مَسْعُودٍ رضي الله عنه: من كان منكم مُسْتَنًا فليستنَّ بمن قد مات، فإن الحيَّ لا تُؤْمَنُ عليه الفتنة أولئِكَ أصحابُ مُحمَّد صلى الله عليه وسلم أبرُّ هذه الأمَّةِ قُلوبًا وأصدقها ألسنةً وأعْمَقُها عِلْمًا وأقلُّها تَكلُّفًا قوْمٌ اخْتَارَهُمُ الله تعالى لِصُحْبَةِ رسوله صلى الله عليه وسلم وإقامةِ دِينهِ فَاعْرِفُوا لهمْ حقَّهم واقْتَدُوا بهمْ فإنَّهُمْ كانوا على الهُدَى المـسْتقيمِ.[4]
Maksudnya: Golongan terbaik daripada generasi awal umat adalah para sahabat. Sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn Mas’ud RA: Barangsiapa dalam kalangan kamu yang ingin mencontohi sesuatu jalan, hendaklah dia mencontohi orang yang telah meninggal dunia kerana orang yang masih hidup tidak bebas daripada fitnah. Mereka itulah golongan para sahabat Nabi SAW yang mana paling baik hatinya, paling benar bicaranya, paling faqih ilmunya dan paling sedikit melakukan perkara yang takalluf (memaksa diri atau berlebih-lebihan). Mereka adalah golongan yang dipilih oleh Allah SWT untuk mendampingi Nabi SAW dan menegakkan agama-Nya. Oleh yang demikian, ketahuilah hak mereka dan ikutilah jejak langkah mereka kerana mereka berada di atas jalan yang lurus.
Dalam pada itu, para sahabat RA turut mendapat keistimewaan kerana hidup sezaman dengan penurunan al-Quran dan menyaksikan penurunan wahyu kepada Rasulullah SAW. Mereka mengetahui konteks sesuatu ayat, termasuk keadaan sesuatu ayat diturunkan serta hukum yang berkaitan dengannya. Hal ini membolehkan mereka memahami sesuatu ayat dan penetapan hukum dengan lebih mendalam. Justeru, selepas Rasulullah SAW, para sahabat RA merupakan generasi yang paling mengetahui konteks penurunan ayat al-Quran dan peristiwa yang berkaitan dengannya. Menurut Dr. Fadl Hasan ‘Abbas:
والصحابة الذين شهدوا نزول الوحي رضي الله عنهم قد عرفوا هذه المناسبات التي نزلت في شأنها آيات من القرآن وهي التي سماها العلماء فيما بعد أسباب النزول. وسمعوا من الرسول صلى الله عليه وآله وسلم تفسير ما كان يشكل عليهم فهمه من معنى مبهم فكانوا هم أعلم الناس بذلك.[5]
Maksudnya: Para sahabat RA yang menyaksikan penurunan wahyu mengetahui peristiwa-peristiwa yang berkaitan dengan penurunan ayat al-Quran yang kemudiannya dinamakan oleh para ulama sebagai asbab al-nuzul (sebab-sebab penurunan ayat). Mereka juga mendapat penjelasan daripada Rasulullah SAW tentang makna samar yang menjadi kemusykilan mereka. Oleh yang demikian, para sahabat RA merupakan golongan yang paling mengetahui tentang perkara tersebut.
Bahkan, Abi Sa’id al-Khudri RA meriwayatkan, daripada Rasulullah SAW:
لَا تَسُبُّوا أَصْحَابِي فَلَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ ذَهَبًا مَا بَلَغَ مُدَّ أَحَدِهِمْ وَلَا نَصِيفَهُ.[6]
Maksudnya: Janganlah kamu mencaci sahabatku. Sekiranya kamu menginfakkan emas sebesar Bukit Uhud, infak itu tidak dapat menyamai satu mud (cupak) infak salah seorang daripada mereka. Malah, tidak juga separuh daripadanya.
(Riwayat al-Bukhari)
Apa yang dapat kita fahami, sahabat ialah golongan yang sangat istimewa kedudukan mereka. Malah, keimanan dan pengorbanan mereka jauh lebih besar jika dibandingkan dengan keimanan kita pada harini. Satu kebajikan yang kita lakukan tidak akan mampu menyamai atau menandingi kebajikan yang mereka lakukan. Bahkan, Rasulullah SAW memberi ancaman khusus kepada generasi selepas daripada sahabat yang mencela mereka. Diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Mughaffal al-Muzani, sabda Rasulullah SAW:
لَا تَتَّخِذُوهُمْ غَرَضًا بَعْدِي فَمَنْ أَحَبَّهُمْ فَبِحُبِّي أَحَبَّهُمْ وَمَنْ أَبْغَضَهُمْ فَبِبُغْضِي أَبْغَضَهُمْ وَمَنْ آذَاهُمْ فَقَدْ آذَانِي وَمَنْ آذَانِي فَقَدْ آذَى اللهَ وَمَنْ آذَى اللهَ فَيُوشِكُ أَنْ يَأْخُذَهُ.[7]
Maksudnya: Janganlah kalian menjadikan mereka (sahabat) sebagai sasaran penghinaan selepasku (kewafatan Nabi SAW). Barangsiapa yang mencintai mereka, sesungguhnya dia mencintai mereka kerana cinta padaku. Barangsiapa yang membenci mereka, sesungguhnya dia membenci mereka kerana membenci diriku. Barangsiapa yang menyakiti mereka, sesungguhnya dia telah menyakitiku. Barangsiapa yang menyakitiku, sesungguhnya dia telah menyakiti Allah. Dan barangsiapa yang menyakiti Allah, maka hampir-hampir Dia akan segera menghukumnya.
Tuntasnya, sahabat merupakan generasi terbaik yang diberi kemuliaan dan pengiktirafan daripada Allah SWT dan Rasul SAW serta mendapat kedudukan yang istimewa dalam Islam. Pengiktirafan ini bukan sahaja menggambarkan kemuliaan peribadi mereka, bahkan menjadi suatu kayu ukur kepada para ulama terhadap integriti dan keadilan mereka dalam meriwayatkan hadis Rasulullah SAW.
Keadilan Sahabat Nabi SAW
Para sahabat RA merupakan generasi pertama yang menerima dan meriwayatkan sunnah Rasulullah SAW dan kebanyakan daripada mereka adalah perawi hadis. Adapun ‘adalah (keadilan) merupakan antara syarat penting dalam penerimaan hadis kerana berkait rapat dengan kredibiliti seseorang perawi. Oleh itu, perbahasan mengenai keadilan mereka mempunyai kedudukan penting dalam disiplin ilmu hadis, khususnya dalam menentukan penerimaan riwayat yang disampaikan oleh mereka daripada Rasulullah SAW.
Menurut ulama hadis, setiap perawi perlu dinilai terlebih dahulu sebelum hadisnya diterima bagi memastikan hadis tersebut bebas daripada sebarang rekaan atau kecacatan. Antara syarat hadis berstatus sahih adalah perawinya mestilah adil dan dhabit.[8] Al-Khatib al-Baghdadi mengatakan bahawa perawi dalam kalangan sahabat tidak memerlukan penilaian ini kerana mereka telah disabitkan mendapat keistimewaan daripada Allah SWT dan Rasulullah SAW. Adapun penilaian hanya perlu dilakukan terhadap perawi selepas daripada generasi sahabat.[9]
Antara dalil yang menunjukkan keadilan sahabat adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Irbad bin Sariyah RA, daripada Nabi SAW:
فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ.[10]
Maksudnya: Maka hendaklah kamu berpegang teguh kepada sunnahku dan sunnah Khulafa’ al-Rasyidin yang diberi petunjuk. Berpeganglah dengannya sekuat-kuatnya.
Menerusi hadis ini, kita dapati Rasulullah SAW bukan hanya memerintahkan umatnya agar berpegang teguh kepada sunnah Baginda SAW, tetapi turut memerintahkan agar berpegang teguh kepada sunnah Khulafa’ al-Rasyidin iaitu generasi sahabat. Ini menunjukkan bahawa mereka merupakan golongan yang diberi petunjuk hidayah serta generasi yang dipercayai mampu memahami dengan baik apa yang diajarkan Baginda Nabi SAW dan mengamalkannya dalam kehidupan. Bahkan mampu untuk mengajarkkannya kepada orang lain.
Peranan Sahabat Dalam Menyebarkan Islam
Sahabat merupakan ejen penyebaran Islam pada zaman Rasulullah SAW. Mereka menyampaikan ajaran yang diterima oleh Nabi SAW kepada ahli keluarga, kabilah dan masyarakat yang berada di sekitar mereka. Terdapat dalam kalangan mereka yang hanya berdakwah kepada individu tertentu dan ada juga yang diutus oleh Baginda SAW ke kawasan tertentu. Pada zaman itu, kaedah penyebaran Islam agak terbatas, tetapi sesuai pada zaman tersebut. Mereka terpaksa berjalan kaki atau menaiki tunggangan seperti kuda dan unta merentasi padang pasir yang mengambil masa yang sangat lama untuk sampai sehingga berbulan-bulan. Malah, mereka tetap patuh pada perintah Nabi SAW demi memastikan agama Islam tersebar.
Antara sahabat yang diutuskan Rasulullah SAW untuk menyampaikan Islam adalah Mus’ab bin ‘Umair RA. Beliau diutuskan ke Madinah terlebih dahulu untuk memberi kefahaman dan pendedahan awal kepada penduduk Madinah sebelum Baginda SAW dan para sahabat yang lain berhijrah.[11] Selain itu, diutuskan Mu’adz bin Jabal RA dan Abu Musa al-‘Asy’ari ke Yaman[12] untuk mengajarkan Islam dan hukum-hakam. Al-‘Ala al-Hadrami RA pula diutuskan ke Bahrain[13] untuk menjadi amil di sana dan beberapa orang sahabat lagi ke negara lain untuk menyebarkan Islam. Ini menunjukkan kepercayaan yang diberikan oleh Baginda SAW kepada para sahabat untuk menyampaikan Islam serta mempercayai keilmuan yang ada pada mereka.
Selain itu, para sahabat bukan sahaja berperanan sebagai penyampai wahyu berkaitan lafaz al-Quran, tetapi mereka juga mufassir yang menerangkan isi kandungan wahyu bagi hukum yang terkandung di dalamnya. Justeru, sahabat adalah tempat rujukan utama dalam kalangan umat Islam kerana keilmuan dan kefahaman mereka yang mendalam dalam memahami ajaran Islam.
Kesimpulan
Para sahabat RA mendapat pengiktirafan dan keistimewaan yang tinggi di sisi Allah SWT dan Baginda Nabi SAW sehinggakan Allah SWT menyebutkan secara khusus mengenai mereka di dalam al-Quran. Bahkan, Nabi SAW juga menyebutkan tentang kedudukan mereka di dalam sabdanya. Pengiktirafan mereka menjadi asas kepada prinsip yang diterima oleh ulama Ahli Sunnah wa al-Jamaah terutamanya dalam bidang hadis. Hal ini secara tidak langsung mengukuh dan menambah keyakinan terhadap kredibiliti mereka dalam penyampaian ajaran Islam yang sebenar. Malah, keilmuan mereka tidak terhad kepada ahli keluarga dan kabilah tertentu sahaja tetapi juga termasuk wilayah yang berada di sekitarnya. Dengan memahami kedudukan sahabat Nabi SAW, seseorang muslim akan lebih menghormati dan memuliakan mereka, tidak mudah mencela atau memandang rendah terhadap mereka serta lebih termotivasi untuk meneledani sirah perjuangan dan pengorbanan mereka.
[1] Ibn Ṣalāh, Uthmān bin Abd al-Rahman, Muqaddimah Ibn Ṣalāh, (Syria: Dār al-Fikr, 1986), jil.2, ms. 293.
[2] Ibn Ḥajar al-‘Asqalānī, Aḥmad bin ‘Alī, al-Iṣābah fī Tamyīz al-Ṣahābah, (Beirut: Dār al-Kutub al-‘Alamiyyah, 1995), jil. 1, ms. 7-8.
[3] Al-Bukhārī, Abū ‘Abdullah Muḥammad bin Ismā’īl, Ṣaḥiḥ al-Bukhārī, (Mesir: al-Matba’ah al-Kubrā al-Amīriyyah, 1893), Hadis no. 2652, jld. 3, ms. 171; Muslim, Abū al-Hussain Muslim bin al-Ḥajjāj, Ṣaḥiḥ Muslim, (Turki: Dār al-Ṭib’ah al-Amīrah, 1915), Hadis no. 2533, jld. 7, ms. 185.
[4] Ibn Kathīr, Abū Fidā’ Ismā’īl, al-Bidāyah wa al-Nihāyah, (Beirut: Dār Ibn Kathīr, 2013), jil. 17, ms. 526.
[5] Faḍl ‘Abbās, Ḥasan, al-Tafsīr wa al-Mufassirūn fī al-‘Aṣr al-Hadīth, (Jordan: Dār al-Nafā’is, 2016), jil.1, ms. 183.
[6] Al-Bukhāri, Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, Hadis no. 3470, jld. 3, ms. 1343.
[7] Al-Tirmīdhī, Abū ‘īsā Muḥammad bin ‘īsā, Sunan al-Tirmīdhī, (Beirut: Dār al-Gharb al-Islāmī, 1996), Hadis no. 3862, jld. 6, ms. 169.
[8] Subhī Ibrāhīm, al-Ṣāliḥ, ‘Ulūm al-Hadīth wa Muṣṭalahuh, (Lubnan: Dār al-‘Ilm, 1948), jld. 1, ms. 145-146.
[9] Khatīb al-Baghdādī, Abū Bakar Aḥmad bin Alī, al-Kifāyah fī al-‘Ilm al-Riwāyah, (Hyderabad: Jam’iyyah Dā’irah al-Ma’ārif al-Uthmāniyyah, 1938), ms. 46.
[10] Ibn Mājah, Abū Abd Allah bin Yazīd al-Qazwīnī, Sunan Ibn Mājah, (Mesir: Dār Ihyā’ al-Kutub al-‘Arabiyyah, t.t), Hadis no. 42, jld. 1, ms. 15.
[11] Ibn Abd al-Birr, Abū ‘Umar Yūsuf bin ‘Abdullah bin Muḥammad, al-Isti’āb fī Ma’rifat al-Aṣḥāb, (Mesir: Markaz al-Buhūth wa al-Dirāsāt al-‘Arabiyyah wa al-Islāmiyyah, 2019), jld. 3, ms. 606.
[12] Al-Nasā’ī, Abū Abd al-Raḥman Aḥmad bin Syu’aib, al-Sunan al-Kubrā, (Beirut: Muassasah al-Risālah, 2001), jld. 3, ms. 45.
[13] Muḥammad Ḥamīdullah, al-Haidrabādī al-Hindi, Majmū’ah al-Wasā’iq al-Siyāsiyyah li ‘Ahd al-Nabī SAW wa al-Khilāfah al-Rasyīdah, (Beirut: Dār al-Nafā’is, 1986), ms. 153.

