#129
Taudhih Al-Hukmi : Penglibatan Umat Islam dalam Perayaan Keagamaan Agama Lain
Tarikh: 14
Oktober 2026
Disediakan
oleh: Unit Dirasat Ilmiah
Pendahuluan
Penglibatan umat Islam dalam
upacara dan ritual keagamaan agama lain merupakan suatu isu yang perlu
diberikan perhatian serius kerana mempunyai implikasi terhadap pemeliharaan
akidah dan identiti keIslaman. Dalam masyarakat majmuk, interaksi antara
penganut pelbagai agama merupakan suatu kelaziman, namun batas antara hubungan
sosial, penghormatan terhadap kepelbagaian agama dan penyertaan dalam ritual
keagamaan perlu difahami dengan jelas. Hal ini kerana terdapat perbezaan antara
menghadiri sesuatu majlis atas dasar hubungan kemasyarakatan dengan melibatkan
diri secara langsung dalam upacara yang mengandungi unsur pemujaan, penyembahan
atau pengiktirafan terhadap kepercayaan yang bercanggah dengan akidah Islam.
Justeru, penelitian terhadap bentuk penglibatan, tujuan penyertaan dan unsur
keagamaan yang terkandung dalam sesuatu upacara amat penting bagi menentukan
kedudukan hukumnya menurut syarak, di samping memastikan prinsip toleransi
beragama tidak disalahertikan sehingga menjejaskan kemurnian akidah umat Islam.
Hukum Penglibatan
Umat Islam dalam Perayaan Keagamaan Agama Lain
Penglibatan umat Islam dalam
perayaan keagamaan agama lain merupakan antara perkara yang dibahaskan oleh
para fuqaha’, khususnya apabila penyertaan tersebut melibatkan amalan atau
ritual yang menjadi syiar keagamaan penganut agama berkenaan. Secara
prinsipnya, umat Islam dilarang menyertai upacara keagamaan yang mengandungi
unsur pemujaan, penyembahan atau pengagungan terhadap kepercayaan yang
bercanggah dengan akidah Islam. Larangan ini bertujuan memelihara kemurnian
akidah serta mengelakkan umat Islam daripada menyerupai penganut agama lain
dalam amalan yang menjadi ciri khusus keagamaan mereka.
Dalam
hal ini, Imam al-Bayhaqi telah mengkhususkan satu bab dalam kitab al-Sunan
al-Kubra yang bertajuk “Dibencinya Perbuatan Memasuki Gereja Golongan Ahli
Zimmah dan Menyerupai Mereka ketika Perayaan Nairuz dan Mahrajan”. Beliau turut
meriwayatkan daripada Abdullah bin Amr bin al-As RA bahawa beliau berkata
(al-Sunan al-Kubra, 19/167):
من نشأ في بلاد الأعاجم، فصنع نيروزهم ومهرجانهم،
وتشبه بهم حتى يموت وهو كذلك، حشر معهم يوم القيامة
Maksudnya: Sesiapa yang
membesar di negeri orang bukan Arab, lalu turut mengamalkan perayaan Nairuz dan
Mahrajan mereka serta menyerupai mereka sehingga meninggal dunia dalam keadaan
sedemikian, nescaya dia akan dihimpunkan bersama-sama mereka pada hari kiamat.
Athar
tersebut menunjukkan ketegasan para sahabat terhadap perbuatan menyerupai
penganut agama lain dalam perayaan yang menjadi syiar keagamaan mereka.
Perayaan Nairuz dan Mahrajan merupakan antara perayaan tradisional masyarakat
Parsi kuno yang mempunyai hubungan sejarah dengan kepercayaan Majusi. Oleh itu,
larangan yang terkandung dalam athar tersebut memberikan penekanan terhadap
perbuatan menyertai atau mengamalkan perayaan yang mempunyai unsur keagamaan
yang bercanggah dengan prinsip akidah Islam. Sehubungan itu, Imam al-Khatib
al-Syirbini turut menjelaskan dalam kitab Mughni al-Muhtaj (194/4):
ويعزر من وافق الكفار في أعيادهم
Maksudnya: Dikenakan hukuman
takzir terhadap sesiapa yang turut serta bersama orang bukan Islam dalam
perayaan keagamaan mereka.
Kenyataan
ini menunjukkan bahawa penglibatan dalam perayaan keagamaan agama lain
merupakan suatu perkara yang diberikan perhatian serius dalam perbahasan fiqh Islam,
sehingga dinyatakan sebagai antara perbuatan yang boleh dikenakan hukuman
takzir. Walau bagaimanapun, pelaksanaan hukuman tersebut merupakan bidang kuasa
pemerintah atau pihak kehakiman yang berautoriti, bukan individu persendirian.
Dalam nada yang sama, Syeikh
Dr. Abdul Nasir al-Malibari menyatakan dalam kitab Rad‘ al-Awghad (m/s 300):
إن مشاركة المسلمين الكفار في أعيادهم بكل صورها حرام
بإجماع من يعتد بإجماعهم، دل على ذلك أيضا نصوص الكتاب والسنة وأقوال سلف الأمة.
Maksudnya: Sesungguhnya,
penyertaan umat Islam dalam perayaan keagamaan orang bukan Islam dalam segala
bentuknya adalah haram berdasarkan ijmak para ulama yang diiktiraf kesepakatan
mereka. Pengharaman tersebut turut
disokong oleh nas-nas al-Quran dan al-Sunnah serta pandangan para ulama salaf.
Walau bagaimanapun, perlu dibezakan antara penyertaan
secara langsung dalam ritual keagamaan dengan kehadiran atau interaksi sosial
yang tidak melibatkan pengamalan syiar agama berkenaan. Penentuan hukum bagi
sesuatu bentuk penglibatan hendaklah mengambil kira sifat perayaan, bentuk
penyertaan serta unsur keagamaan yang terkandung di dalamnya.
Hukum Menyerupai (tasyabbuh) Penganut Agama Lain dalam
Perayaan Keagamaan Mereka
Perbuatan
menyerupai penganut agama lain dalam perkara yang menjadi syiar khusus
keagamaan mereka pada asalnya adalah dilarang menurut syarak dan boleh mencapai
tahap haram. Walau bagaimanapun, penyerupaan tersebut tidak semestinya membawa
kepada kekufuran atau kesyirikan. Dalam hal ini, ukuran utama yang membezakan
antara penyerupaan yang diharamkan dengan penyerupaan yang membawa kepada
kekufuran ialah apabila seseorang meniru atau melakukan perbuatan yang secara
jelas merupakan perbuatan kufur, sehingga tidak terdapat sebarang kemungkinan
munasabah untuk perbuatan tersebut difahami dengan makna lain atau ditakwilkan
sebagai perbuatan yang tidak mengandungi unsur kekufuran.
Sehubungan itu, semata-mata menyerupai penampilan atau
identiti khusus penganut agama lain, sekalipun dilarang oleh syarak, belum
memadai untuk menghukum seseorang sebagai kafir. Hal ini kerana pengharaman
sesuatu perbuatan tidak semestinya menunjukkan bahawa perbuatan tersebut
merupakan kekufuran. Perbezaan ini dapat diperhatikan melalui penjelasan Imam
Syihabuddin al-Ramli dalam Fatawa beliau (4/31):
سُئِلَ عَنْ التَّزَيِّي بِزِيِّ الْكُفَّارِ هَلْ
هُوَ رِدَّةٌ أَوْ لَا فَيَحْرُمُ فَقَطْ؟ فَأَجَابَ بِأَنَّ الرَّاجِحَ أَنَّهُ
لَيْسَ بِرِدَّةٍ بَلْ يَأْثَمُ الْعَامِدُ الْعَالِمُ بِتَحْرِيمِهِ
Maksudnya: Beliau ditanya
tentang hukum memakai pakaian khusus orang bukan Islam, adakah perbuatan
tersebut menyebabkan seseorang menjadi murtad atau sekadar diharamkan? Beliau
menjawab bahawa menurut pandangan yang rajih, perbuatan tersebut tidak menyebabkan
kemurtadan, sebaliknya seseorang yang sengaja melakukannya dalam keadaan
mengetahui pengharamannya dianggap berdosa.
Kenyataan
ini memperlihatkan bahawa perbuatan menyerupai identiti atau syiar khusus
penganut agama lain, sekalipun diharamkan, tidak semestinya menyebabkan
seseorang terkeluar daripada Islam. Hal ini kerana persamaan pada zahir sesuatu
perbuatan belum memadai untuk menetapkan kekufuran selagi perbuatan tersebut
masih mempunyai kemungkinan tafsiran lain yang tidak membawa kepada kekufuran.
Walau bagaimanapun, terdapat
bentuk penyerupaan tertentu yang dikategorikan oleh para fuqaha’ sebagai
perbuatan kufur. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan dalam kitab I‘anah
al-Talibin (154/4):
والمكفر أيضا كمشى إلى الكنائس حالة كونه متلبسا
بزيهم: أي بهيئتهم التي
يتلبسون بها كأن يشد على وسطه زنارا وهو خيط غليظ فيه ألوان يشد في الوسط فوق
الثوب أو يخيط فوق الثياب بموضع لا يعتاد الخياطة عليه كالكتف ما يخالف لونها أو
يضع البرنيطة فيكفر بذلك
Maksudnya: Antara perbuatan
yang boleh menyebabkan kekufuran juga ialah seperti seseorang berjalan menuju
ke gereja dalam keadaan memakai pakaian khusus mereka, iaitu penampilan yang
menjadi kebiasaan mereka, seperti mengikat zunnar pada pinggangnya, iaitu tali
tebal berwarna-warni yang diikat pada bahagian luar pakaian. Begitu juga
menjahit kain berlainan warna pada bahagian pakaian yang tidak lazim dijahit,
seperti pada bahu, atau memakai topi tertentu. Maka, dia menjadi kafir
disebabkan perbuatan tersebut.
Ini
menunjukkan bahawa fuqaha’ mazhab Syafie mengkategorikan penyerupaan tertentu
sebagai perbuatan kufur apabila penyerupaan tersebut merupakan lambang yang
secara jelas dan khusus menunjukkan penganutan atau pengiktirafan terhadap
agama lain. Dalam konteks ini, ukuran yang perlu diberikan perhatian bukan
semata-mata persamaan pada bentuk luaran, tetapi sama ada perbuatan yang ditiru
itu sendiri mempunyai petunjuk kekufuran yang jelas sehingga tidak lagi
menerima sebarang pentafsiran munasabah selain daripada kekufuran.
Kesimpulannya,
ukuran penyerupaan yang membawa kepada kekufuran ialah apabila seseorang
melakukan perbuatan yang pada hakikatnya merupakan perbuatan kufur secara jelas
dan nyata, serta tidak mempunyai sebarang kemungkinan munasabah untuk
ditafsirkan dengan makna lain yang tidak membawa kepada kekufuran. Adapun
penyerupaan yang masih menerima tafsiran lain, sekalipun diharamkan kerana
menyerupai syiar khusus agama lain, tidak boleh secara automatik dihukum
sebagai kufur.
Hukum Perbuatan Pemujaan dan Penyembahan terhadap Patung
Dalam
Islam, perbuatan memuja atau menyembah patung dan berhala merupakan suatu
bentuk kesyirikan yang jelas serta boleh menyebabkan seseorang terkeluar
daripada agama Islam. Walau bagaimanapun, penetapan hukum tersebut hendaklah
mengambil kira sebarang qarinah yang menunjukkan bahawa pelakunya
mempunyai keuzuran atau terdapat keadaan yang menghalang perbuatan tersebut
daripada dihukum sebagai kekufuran. Hal ini sebagaimana dijelaskan oleh imam
Ibn Hajar al-Haytami menerusi kenyataan beliau dalam al-I’lam Bi Qawati’
al-Islam (m/s 72):
ومنها: كل فعل صدر عن
تعمد أو استهزاء بالدين صريح، كالسجود للصنم أو الشمس، سواء كان في دار الحرب أم
دار الإسلام، بشرط ألا تقوم قرينة على عدم استهزائه أو عذره.
Maksudnya: Antara perbuatan yang boleh
menjatuhkan seseorang kepada kekufuran ialah setiap perbuatan yang dilakukan
secara sengaja atau mengandungi penghinaan yang jelas terhadap agama, seperti
sujud kepada berhala atau matahari, sama ada dilakukan di negara yang diperangi
mahupun di negara Islam, dengan syarat tidak terdapat sebarang petunjuk yang
menunjukkan ketiadaan unsur penghinaan terhadap agama atau adanya keuzuran pada
pelakunya.
Walau
bagaimanapun, para ulama turut membezakan antara perbuatan sujud dengan rukuk
kepada berhala atau seumpamanya. Perbuatan rukuk semata-mata tidak semestinya
dihukum sebagai kekufuran kerana bentuk perbuatan tersebut juga lazim dilakukan
sesama manusia. Namun, sekiranya rukuk itu dilakukan dengan tujuan mengagungkan
berhala sebagaimana pengagungan terhadap Allah SWT, maka perbuatan tersebut
juga dihukum sebagai kufur. Perincian ini dijelaskan menerusi kenyataan berikut
oleh imam al-Rasyidi dalam al-Ilmam Bi Masa’il al-I’lam Bi Qawati’ al-Islam
(m/s139-139):
وخرج بالسجود للصنم ونحوه الركوع له فلا يكون كفرا
صورته في المخلوق عادة، نعم بحث الشمس الرملي كصاحب الأصل في شرح المنهاج: أن محله
عند الإطلاق بخلاف ما إذا قصد تعظيمه به كما يعظم الله تعالى
Maksudnya: Dikecualikan
daripada perbuatan sujud kepada berhala dan seumpamanya ialah perbuatan rukuk
kepadanya, kerana perbuatan tersebut tidak dihukum sebagai kufur semata-mata
berdasarkan bentuk zahirnya, memandangkan ia merupakan perbuatan yang lazim
dilakukan terhadap sesama makhluk. Namun, al-Syams al-Ramli, sebagaimana
pengarang kitab asal dalam Syarh al-Minhaj, membahaskan bahawa ketetapan
tersebut terpakai apabila perbuatan rukuk itu dilakukan secara mutlak (tanpa
disertai maksud tertentu). Berbeza sekiranya seseorang bermaksud
mengagungkannya melalui rukuk tersebut sebagaimana dia mengagungkan Allah SWT
(maka ia tetap perbuatan yang kufur).
Berdasarkan kedua-dua kenyataan tersebut,
dapat difahami bahawa hukum pemujaan dan penyembahan patung perlu dibezakan
berdasarkan bentuk perbuatan serta maksud yang terkandung di sebaliknya.
Perbuatan sujud kepada berhala merupakan perbuatan yang secara zahirnya
menunjukkan kekufuran, melainkan terdapat qarinah atau keuzuran yang diambil
kira oleh syarak. Adapun perbuatan lain seperti rukuk atau merendahkan diri
kepadanya, ia tidak semestinya membawa kepada kekufuran berdasarkan bentuk
zahirnya semata-mata, kecuali apabila dilakukan dengan maksud pengagungan yang
menyamai pengagungan terhadap Allah SWT.
Justeru, ukuran utama dalam perbahasan ini
ialah perbuatan yang secara jelas merupakan penyembahan kepada selain Allah SWT
dihukum sebagai kufur, manakala perbuatan yang masih mempunyai kemungkinan
makna lain perlu diteliti berdasarkan niat, qarinah dan keadaan pelakunya
sebelum ditetapkan hukum.
Hukum Penggunaan Kad Tarot bagi Tujuan Ramalan dan
Tilikan
Penggunaan
kad tarot bagi tujuan meramal nasib, mengetahui masa hadapan atau menyingkap
perkara ghaib merupakan amalan yang diharamkan oleh syarak kerana termasuk
dalam kategori tilikan yang bercanggah dengan prinsip akidah Islam. Kad tarot
merupakan himpunan kad yang mengandungi pelbagai gambar dan simbol yang
ditafsirkan oleh pengamalnya bagi meramalkan perkara berkaitan kehidupan
seseorang, seperti percintaan, pekerjaan, rezeki dan nasib pada masa hadapan.
Pengharaman ini berasaskan prinsip bahawa pengetahuan
tentang perkara ghaib secara mutlak merupakan hak Allah SWT semata-mata,
sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Naml, ayat 65:
قُلْ لَا يَعْلَمُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ
وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ
Maksudnya: Katakanlah: Tiada
sesiapa pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara ghaib melainkan
Allah.
Dalam
hal ini, Rasulullah SAW turut memberikan amaran keras terhadap perbuatan
mendatangi tukang tilik, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Safiyyah
binti Abi Ubayd daripada salah seorang isteri Baginda SAW bahawa Rasulullah SAW
bersabda:
مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْءٍ لَمْ
تُقْبَلْ لَهُ صَلَاةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً
Maksudnya: Sesiapa yang
mendatangi tukang tilik lalu bertanyakan kepadanya tentang sesuatu perkara,
maka solatnya tidak diterima selama empat puluh malam. (Riwayat Muslim)
Berdasarkan
hadis tersebut, perbuatan mendapatkan ramalan daripada tukang tilik adalah
haram, sekalipun seseorang tidak mempercayai kebenaran ramalan berkenaan.
Bahkan, Imam Ibn Hajar al-Haytami dalam al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kaba’ir (2/176)
turut menyenaraikan perbuatan mendatangi dukun, tukang tilik, tukang ramal,
ahli nujum dan individu yang melakukan ramalan berdasarkan petanda tertentu
sebagai antara dosa besar. Justeru, penggunaan kad tarot bagi tujuan ramalan
dan tilikan termasuk dalam larangan tersebut kerana mempunyai hakikat dan
tujuan yang sama, meskipun kaedah serta alat yang digunakan berbeza.
Adapun
sekiranya seseorang mempercayai bahawa pengamal tilikan atau kad tarot
mempunyai kemampuan mengetahui perkara ghaib secara tersendiri, tanpa
bergantung kepada pemberitahuan Allah SWT, maka kepercayaan tersebut boleh
membawa kepada kekufuran kerana bercanggah dengan prinsip akidah Islam bahawa
hanya Allah SWT yang memiliki pengetahuan mutlak tentang perkara ghaib. Walau
bagaimanapun, perbuatan menggunakan kad tarot bagi tujuan ramalan tidak
semestinya menjadikan seseorang itu kafir, sebaliknya hukum tersebut bergantung
pada bentuk kepercayaan yang dipegangnya.
Larangan Perbuatan Pemujaan
yang Bercanggah dengan Hukum Syarak Menurut Perundangan Jenayah Syariah Negeri
Selangor
Berdasarkan Seksyen 4 (1)
Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 menyatakan bahawa: “Mana-mana orang
yang memuja alam semula jadi atau melakukan apa-apa perbuatan yang menunjukkan
pemujaan atau rasa hormat kepada mana-mana orang, binatang, tempat, atau benda
dengan apa-apa cara yang menyalahi Hukum Syara’ adalah melakukan suatu
kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit
atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.”
Seruan Memelihara Akidah dan
Menjauhi Ritual Keagamaan Lain
Setiap umat Islam hendaklah
sentiasa memelihara kesucian akidah dan menjauhi segala bentuk amalan,
kepercayaan serta ritual keagamaan lain yang bercanggah dengan ajaran Islam.
Dalam hal ini, umat Islam perlu berwaspada agar tidak terlibat dalam upacara atau
perbuatan yang mengandungi unsur pemujaan, penyembahan, pengagungan terhadap
sembahan selain Allah SWT atau apa-apa amalan yang boleh menjejaskan kemurnian
akidah. Larangan ini bukan sahaja bertujuan mengelakkan seseorang daripada
terjerumus ke dalam perbuatan syirik atau kufur, bahkan sebagai langkah
memelihara agama dan menutup ruang kepada perkara yang boleh merosakkan
keimanan.
Sehubungan
itu, setiap Muslim hendaklah memahami bahawa sikap menghormati penganut agama
lain dan memelihara keharmonian antara masyarakat berbilang agama tidak
mengharuskan penyertaan dalam ritual keagamaan yang bercanggah dengan syarak.
Justeru, umat Islam diseru agar sentiasa berhati-hati dalam setiap bentuk
penglibatan dengan upacara keagamaan lain, di samping meningkatkan kefahaman
akidah supaya dapat membezakan antara hubungan sosial yang dibenarkan dengan
penyertaan dalam amalan keagamaan yang dilarang. Hal ini penting bagi
memastikan kesucian akidah terus terpelihara tanpa menjejaskan prinsip
toleransi, keadilan dan keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat. Wallahu
a’lam
