#24 Taudhih Al-Falak : Qada’ Puasa Bermusafir 29 atau 30 Hari?
Tarikh: 5 Oktober 2026
Disediakan oleh: Nabeela Akrasha binti Surtahman
Pendahuluan
Islam memberikan rukhsah kepada seorang musafir untuk tidak berpuasa dan menggantikannya pada hari lain. Namun, timbul persoalan apabila seseorang yang bermusafir ke negara lain tidak berpuasa kerana mengambil rukhsah musafir dan berpuasa sebanyak 29 atau 30 hari secara keseluruhan akibat perbezaan matla’ antara negara, adakah dia masih wajib mengqada’ hari yang ditinggalkan tersebut?
Hukum Qada’ Puasa
Secara umumnya, qada’ (mengganti) puasa adalah wajib bagi sesiapa yang berbuka puasa pada bulan Ramadhan kerana uzur syar’i seperti sakit atau musafir. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 185;
وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍۢ فَعِدَّةٌۭ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ
Maksudnya: Maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang tidak dipuasakan itu) pada hari-hari yang lain.
Qada’ Puasa bagi Musafir 29 atau 30 hari
Setiap bulan Hijri mempunyai 29 atau 30 hari bergantung kepada ijtimak (conjunction) dan kenampakan anak bulan.
Hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Umar RA, Rasulullah SAW bersabda;
إِنَّا أُمَّةٌ أُمِّيَّةٌ لاَ نَكْتُبُ وَلاَ نَحْسُبُ الشَّهْرُ هَكَذَا وَهَكَذَا. يَعْنِي مَرَّةً تِسْعَةً وَعِشْرِينَ وَمَرَّةً ثَلاَثِينَ[1]
Maksudnya: Sesungguhnya kami adalah umat yang ummi, kami tidak menulis dan tidak menghitung. Bulan itu begini dan begini, iaitu kadangkala 29 hari dan kadangkala 30 hari.
(Riwayat al-Bukhari)
Pemusafiran ke negara yang berbeza matla’ boleh menyebabkan seseorang berpuasa sebanyak 29 atau 30 hari secara keseluruhannya. Sekiranya seseorang musafir itu berpuasa selama 28 hari, maka dia wajib qada’ puasanya sehari sahaja untuk mencukupkan bilangan puasa 29 hari. Imam al-Khatib al-Syirbini menjelaskan:
(وَقَضَى يَوْمًا) إنْ صَامَ ثَمَانِيَةً وَعِشْرِينَ؛ لِأَنَّ الشَّهْرَ لَا يَكُونُ كَذَلِكَ[2]
Maksudnya: Jika dia hanya berpuasa 28 hari, maka wajib ke atasnya menggantikan (qada’) satu hari kerana satu bulan tidak mungkin berjumlah 28 hari.
Walau bagaimanapun, mencukupkan bilangan minimum 29 hari tidak menggugurkan kewajipan qada’ bagi hari yang ditinggalkan kerana mengambil rukhsah musafir.
Sebagai contoh, seseorang musafir telah bermusafir dari negara (A) ke negara (B) pada 27 Ramadhan dan dia berbuka puasa pada hari tersebut kerana mengambil rukhsah musafir. Kemudian dia mendapati penduduk negara (A) berpuasa selama 29 hari dan penduduk negara (B) berpuasa selama 30 hari. Maka di negara (B), dia berhari raya dan jumlah bilangan hari dia berpuasa itu adalah 29 hari secara keseluruhan.
Dalam keadaan ini, dia tetap wajib menggantikan satu hari yang ditinggalkan kerana mengambil rukhsah musafir, meskipun jumlah puasanya telah mencukupi 29 hari.
Rajah 1: Contoh situasi musafir berpuasa 29 hari secara keseluruhan
Begitu juga sekiranya dia telah berpuasa 30 hari secara keseluruhan kerana perbezaan matla’, namun berbuka satu hari kerana rukhsah musafir, dia tetap wajib menggantikan (qada’) satu hari selepas bulan Ramadhan.
Rajah 2: Contoh situasi musafir berpuasa 30 hari secara keseluruhan
Perbezaan bilangan hari Ramadhan antara negara asal (A) dan negara yang dituju (B) kerana mempunyai perbezaan matla’ tidak mempengaruhi kewajipan qada’ bagi hari yang ditinggalkan, kerana kewajipan qada’ adalah berdasarkan bilangan hari yang tidak dipenuhi, bukan berdasarkan jumlah hari Ramadhan di tempat dia berpuasa.
Imam al-Nawawi di dalam kitab al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab berkata;
إذَا أَفْطَرَ الْمُسَافِرُ لَزِمَهُ الْقَضَاءُ[3]
Maksudnya: Apabila seseorang musafir berbuka puasa, maka wajib ke atasnya mengqada’ puasa tersebut
Dr. Wahbah al-Zuhaili pula menjelaskan;
والقضاء يكون بالعدد، فإذا كان رمضان تسعة وعشرين يوماً ، وجب قضاء ذلك المقدار فقط من شهر آخر[4]
Maksudnya: Dan qada’ adalah mengikut bilangan, maka jika Ramadhan itu 29 hari, wajib qada’ bilangan itu sahaja pada bulan yang lain.
Kesimpulan
Hukum qada’ puasa bagi musafir yang berbuka kerana rukhsah musafir adalah wajib walaupun telah berpuasa 29 atau 30 hari secara keseluruhannya. Bilangan hari Ramadhan di negara yang berbeza tidak mempengaruhi kewajipan qada’, kerana qada’ adalah berdasarkan bilangan hari yang tidak dipenuhi pelaksanaannya.
[1] Al-Bukhāri, Abū Abdullah Muhammad bin Isma’il al-Bukhārī al-Ja’fi, Sahih al-Bukhari, (Damsyik, Syria: Dar Ibn Katsir, 1993), Hadis no. 1814. Jil. 2. Ms. 675.
[2] al-Syirbīnī, Shams al-Dīn Muḥammad bin Aḥmad al-Khaṭīb, Mughni al-Muḥtāj ilā Ma‘rifah Ma‘ānī Alfāẓ al-Minhāj, (Beirut: Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1415H), jil. 2, ms. 145.
[3] Al-Nawawī, Abū Zakariyyā Muḥyī al-Dīn Yaḥyā bin Sharaf al-Nawawī, al-Majmū‘ Sharḥ al-Muhadhdhab, (Kaherah: Idārah al-Ṭabā‘ah al-Munīriyyah), jil. 6, ms. 261.
[4] Al-Zuḥaylī, Wahbah bin Muṣṭafā al-Zuḥaylī, Al-Fiqh al-Islāmī wa Adillatuh, (Damsyik, Syria: Dār al-Fikr, 1985), jil. 2, ms. 680.

