#127 Taudhih Al-Hukmi : Tazkirah Sebelum Solat Jumaat: Antara Hukum Dan Keperluan
Tarikh: 21 September 2026
Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah
Pendahuluan
Kebiasaan masjid-masjid dan sebahagian surau kebenaran Jumaat di Negeri Selangor menganjurkan aktiviti tazkirah Jumaat sebelum masuknya waktu zohor. Walaupun begitu, terdapat hadis Nabi SAW yang menyebutkan tentang larangan mengadakan halaqah atau perkumpulan sebelum solat Jumaat. Sebahagian individu memahami hadis tersebut sebagai satu bentuk larangan untuk mengadakan tazkirah sebelum solat Jumaat. Maka menjadi satu keperluan untuk memahami hadis tersebut sehingga dapat dikenal pasti hukum dan keperluan mengadakan tazkirah sebelum solat Jumaat.
Hadis Larangan Mengadakan Halaqah Sebelum Solat Jumaat
Larangan mengadakan halaqah adalah bersandarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As RA katanya:
أَنَّ رَسُولَ الله صلَّى الله عَلَيهِ وَسَلَّم نَهَى عَن الشِّرَاء والبَيعِ في المسْجِدِ، وَأَن تُنشَدَ فِيهِ ضَالَّةٌ وَأَن يُنشَدَ فِيهِ شِعرٌ وَنَهَى عَن التَّحَلُّقِ قَبْلَ الصَّلاةِ يَومَ الجُمُعَةِ
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW telah melarang daripada berjual beli di dalam masjid, mengumumkan barang yang hilang di dalam masjid, mendendangkan syair di dalamnya dan melarang daripada membuat halaqah sebelum solat pada hari Jumaat.
(Riwayat Abu Daud)
Hadis ini telah direkodkan oleh Imam Abu Daud, Imam al-Tirmizi dan Imam al-Nasa’i dalam al-Sunan mereka.[1] Hadis ini turut direkodkan oleh Imam Ahmad dalam Musnad.[2] Kesemua mereka meriwayatkan hadis ini daripada jalur Abdullah bin‘Amr bin al-‘As RA secara marfu’. Imam al-Tirmizi menyatakan bahawa hadis Abdullah bin‘Amr bin al-‘As RA adalah hasan.[3]
Kefahaman Hadis
Pada zahirnya, hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As RA menjelaskan beberapa perkara yang dilarang untuk dilakukan di dalam Masjid. Antaranya adalah larangan mengadakan halaqah sebelum solat Jumaat. Justeru itu, beberapa aspek perlu diperhalusi bagi memahami makna yang tersurat dan tersirat pada hadis ini.
Pertama, halaqah yang disebutkan di dalam hadis bermaksud duduk secara berkumpulan dan membentuk bulatan daripada kalangan para jemaah. Imam Badr al-Din al-‘Aini menjelaskan:
الحلقة: كل شيء استدار كحلقة الحديد والفضة والذهب، وكذلك هو في الناس
Maksudnya: Halaqah ialah setiap sesuatu yang melingkar (membentuk bulatan) seperti rantai besi, perak dan emas. Begitu juga bulatan pada orang ramai.[4]
Imam Ibn Ruslan dalam Syarh Sunan Abi Daud menjelaskan:
وهو جلوس الناس حلقة
Maksudnya: iaitu orang ramai duduk secara bulatan.[5]
Begitu juga seperti yang dijelaskan oleh Imam al-Turibisyti:
(وأن يتحلق الناس يوم الجمعة قبل الصلاة) تحلق القوم أي: جلسوا حلقة حلقة
Maksudnya: (Dan orang ramai membuat halaqah pada hari Jumaat sebelum solat) sekumpulan orang membuat halaqah iaitu: mereka duduk secara bulatan demi bulatan.[6]
Jelaslah bahawa halaqah yang dimaksudkan di dalam hadis adalah perkumpulan para jemaah yang berbentuk bulatan. Perbuatan ini dilarang disebabkan ia boleh mengganggu konsentrasi jemaah lain ketika mendengar khutbah Jumaat serta menjadikan saf para jemaah tidak teratur. Imam Ibn Ruslan menjelaskan:
فكره الشارع التحلق والاجتماع ولو بالعلم والمذاكرة فيه لأن القوم إذا اجتمعوا للتكلم لا يسمعون الخطبة، والناس مأمورون باستماع الخطبة والسكوت
Maksudnya: Maka syarak menghukumkan makruh mengadakan halaqah dan perkumpulan walaupun bertujuan ilmu dan muzakarah padanya. Ini kerana orang ramai apabila berkumpul untuk berbual-bual mereka tidak akan mendengar khutbah, sedangkan orang ramai diperintahkan untuk mendengar khutbah dan diam.[7]
Imam al-Munawi dalam Faydh al-Qadir turut menjelaskan:
(ونهى عن التحلق قبل الصلاة يوم الجمعة) لأنه ربما قطع الصفوف مع كونهم مأمورين يوم الجمعة بالتبكير والتراص في الصفوف الأول فالأول
Maksudnya: (Dan dilarang daripada mengadakan halaqah sebelum solat pada hari Jumaat) kerana ia terkadang dapat memisahkan barisan-barisan saf dalam keadaan mereka diperintahkan pada hari Jumaat itu untuk bersegera dan memenuhi pada saf pertama terlebih dahulu.[8]
Imam al-Turibisyti juga menjelaskan dalam Syarh Masabih al-Sunnah:
وإنما نهى عنه لمعنيين أحدهما: أن تلك الهيئة تخالف اجتماع المصلين … والآخر: أن الاجتماع للجمعة خطب جليل لا يسع من حضرها أن يهتم بما سواها حتى يفرغ منها وتحلق الناس قبل الصلاة موهم بالغفلة عن الأمر الذي ندبوا إليه والاهتمام بما سوى ذلك
Maksudnya: Dan adapun larangan daripadanya (mengadakan halaqah) disebabkan oleh dua maksud salah satunya: Keadaan duduk (secara bulatan) tersebut menyalahi perkumpulan (cara duduk) orang-orang yang menunaikan solat … dan satu lagi: Berkumpul untuk (solat) Jumaat merupakan satu urusan yang sangat agung yang tidak patut bagi sesiapa yang menghadirinya untuk mementingkan sesuatu perkara selain daripadanya (solat Jumaat) sehingga selesai daripadanya dan mengadakan halaqah (bulatan) oleh orang ramai sebelum solat menunjukkan kekeliruan dengan melakukan perkara yang melalaikan daripada perkara yang telah disunatkan kepada mereka dan mementingkan perkara yang selain daripada itu.[9]
Keterangan-keterangan ini menjelaskan bahawa halaqah iaitu perkumpulan para jemaah sebelum solat Jumaat adalah dilarang. Halaqah yang dimaksudkan adalah segala bentuk perkumpulan walaupun perbincangan ilmu. Halaqah yang dilarang adalah semasa khutbah disampaikan. Hal ini kerana ia boleh mengganggu konsentrasi jemaah untuk fokus mendengar khutbah. Selain itu, ia juga boleh mengakibatkan saf-saf jemaah menjadi terpisah dan tidak teratur.
Manakala larangan yang dimaksudkan dalam hadis adalah larangan yang membawa maksud makruh. Oleh itu, makruh mengadakan halaqah di dalam masjid semasa khutbah. Imam al-Syawkani menjelaskan di dalam Nayl al-Awthar:
أما التحلق يوم الجمعة في المسجد قبل الصلاة فحمل النهي عنه الجمهور على الكراهة
Maksudnya: Adapun mengadakan halaqah pada hari Jumaat di masjid sebelum bermula solat maka jumhur menafsirkan larangan tentangnya sebagai makruh.[10]
Hukum Mengadakan Tazkirah Sebelum Solat Jumaat
Realiti masjid-masjid mahupun surau kebenaran Jumaat masa kini di Negeri Selangor kebiasaannya akan mengadakan tazkirah Jumaat sebelum masuknya waktu zohor pada hari Jumaat. Seseorang penceramah akan menyampaikan tazkirah ringkas sekitar 20 hingga 30 minit sebelum azan zohor berkumandang. Kebiasaannya tempat penceramah adalah di hadapan saf para Jemaah berhampiran dengan mimbar atau tempat solat imam. Manakala para jemaah akan duduk di dalam barisan saf. Berdasarkan gambaran tazkirah Jumaat ini, dapat dirumuskan bahawa hukum mengadakan tazkirah sebelum solat Jumaat adalah diharuskan atas dua sebab utama seperti berikut:
i. Kedudukan penceramah dan para jemaah teratur serta tidak mengganggu barisan saf. Ini menjadikan tazkirah Jumaat tidak termasuk dalam kategori halaqah yang dilarang dalam hadis.
ii. Tazkirah Jumaat diadakan sebelum bermulanya khutbah Jumaat. Ini menunjukkan tiada isu gangguan suara dan konsentrasi ketika khutbah disampaikan.
Secara umumnya, keharusan tazkirah Jumaat disebabkan ia tidak terkait dengan larangan mengadakan halaqah sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis sebelum ini. Keharusan ini juga dikuatkan dengan kaedah fiqh berikut:
الأصل في الأشياء الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم
Maksudnya: Asal kepada sesuatu perkara adalah harus sehingga terdapat dalil yang menunjukkan ia haram.[11]
Hadis larangan mengadakan halaqah sebelum solat Jumaat bukanlah dalil larangan bagi penyampaian tazkirah Jumaat. Maka hukum aktiviti tazkirah Jumaat adalah harus kerana tiada dalil yang jelas menunjukkan larangan aktiviti ini. Tambahan pula, aktiviti tazkirah Jumaat bertepatan dengan maslahah (kebaikan) umat kerana ia menyediakan ruang penyampaian ilmu kepada masyarakat yang sibuk dengan urusan harian dan tidak berkesempatan menghadiri majlis-majlis ilmu pada waktu lain. Bahkan ada kalanya sebahagian huraian tazkirah tersebut berkaitan dengan khutbah yang akan disampaikan.
Kesimpulan
Penyampaian tazkirah Jumaat di Negeri Selangor yang dilakukan sebelum masuknya waktu zohor adalah diharuskan. Perlaksanaan aktiviti tazkirah Jumaat yang dilakukan tidak berkait dengan hadis larangan mengadakan halaqah sebelum solat Jumaat. Hal ini kerana aktiviti tazkirah Jumaat tidak mengganggu barisan saf para jemaah serta tidak dilakukan ketika khutbah disampaikan. Tambahan pula, aktiviti tazkirah Jumaat yang dilaksanakan dapat merealisasikan maslahah (kebaikan) umat kerana memberi peluang kepada masyarakat yang sibuk dengan urusan harian untuk menghadiri majlis ilmu pada waktu-waktu lain. Huraian tazkirah yang disampaikan juga terkadang berkaitan dengan tajuk khutbah pada hari tersebut.
[1] Abū Dāwūd, Sulaymān bin al-Ashʿath. Sunan Abī Dāwūd. (Beirut: Dār al-Risālah al-ʿAlamiyyah, 2009) jilid 2, m.s. 306. No. hadis: 1079; Al-Tirmidhī, Muḥammad bin ʿĪsā. Sunan al-Tirmidhī. (Mesir: Musṭafā al-Bābī al-Ḥalabī, 1975) jilid 2, m.s. 139. No. hadis: 322; Al-Nasā’ī, Aḥmad bin Shuʿayb. Sunan al-Nasā’ī. (Mesir: Maktabat al-Tijāriyah al-Kubrā, 1930) jilid 1, m.s. 394. No. hadis: 795.
[2] Aḥmad bin Muḥammad bin Ḥanbal. Musnad Aḥmad. (Beirut: Mu’assasat al-Risālah, 2001) jilid 11, m.s. 257. No. hadis: 6676.
[3] Al-Tirmidhī, Muḥammad bin ʿĪsā. Sunan al-Tirmidhī. (Mesir: Musṭafā al-Bābī al-Ḥalabī, 1975) jilid 2, m.s. 139. No. hadis: 322.
[4] Badr al-Dīn al-ʿAynī, Maḥmūd bin Āḥmad. Sharḥ Sunan Abī Dāwud. (Saudi: Maktabah al-Rushd, 1999). Jilid 4, m.s. 414.
[5] Ibn Ruslān, Aḥmad bin Ḥusayn al-Ramlī. Sharḥ Sunan Abī Dāwud. (Mesir: Dār al-Falāh, 2016). Jilid 5, m.s. 544.
[6] Al-Tūribishtī, Faḍlullāh bin Ḥasan. Al-Muyassr Fī Sharḥ Maṣābīḥ al-Sunnah. (Saudi: Maktabah Nizār Muṣṭafā al-Bāz, 2008). Jilid 1, m.s. 217.
[7] Ibn Ruslān, Aḥmad bin Ḥusayn al-Ramlī. Sharḥ Sunan Abī Dāwud. Jilid 5, m.s. 544.
[8] Al-Munāwī, ʿAbd al-Ra’ūf bin Tāj al-ʿĀrifīn. Fayḍ al-Qadīr Sharḥ al-Jāmiʿ al-Ṣaghīr. (Mesir: al-Maktabah al-Tijāriyah al-Kubrā, 1937). Jilid 6, m.s. 317.
[9] Al-Tūribishtī, Faḍlullāh bin Ḥasan. Al-Muyassr Fī Sharḥ Maṣābīḥ al-Sunnah. Jilid 1, m.s. 217.
[10] Al-Shawkānī, Muḥammad bin ʿAlī. Nayl al-Awṭār. (Mesir: Dār al-Ḥadīth, 1993). Jilid 2, m.s. 186.
[11] Al-Suyūṭī, ʿAbd al-Raḥman bin Abī Bakr. Al-Ashbah Wa al-Naẓā’ir. (Beirut: Dār al-Kutub al-ʿIlmiyyah, 1996). m.s. 60

