Hukum Meminang Wanita Hamil dalam ‘Iddah
Tarikh: 14 September 2026
Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah
Pendahuluan
Islam adalah agama yang mengatur kehidupan manusia secara menyeluruh termasuk urusan kekeluargaan dan perkahwinan. Dalam adat Melayu Islam, proses menuju perkahwinan mempunyai beberapa peringkat seperti merisik dan meminang sebelum berlangsungnya akad nikah. Namun begitu, Islam juga menetapkan beberapa batasan yang perlu dipatuhi dalam urusan pinangan, terutamanya apabila melibatkan wanita yang sedang berada dalam tempoh ‘iddah selepas perceraian atau kematian suami. Oleh itu, penjelasan mengenai hukum meminang wanita yang sedang hamil dalam tempoh ‘iddah menurut mazhab Shafi’i penting bagi memberikan kefahaman yang tepat terhadap ketetapan syarak dalam urusan pinangan.
Konsep ‘Iddah
Menurut Kamus Dewan Bahasa, ‘iddah memberi maksud masa yang wajib dilalui oleh seseorang wanita untuk membolehkannya berkahwin lagi dengan lelaki lain[1]. Perkataan ‘iddah merupakan kata jamak daripada ‘iddah (عِدَّةٍ) yang berasal daripada perkataan bilangan (الْعِدَدِ) kerana tempoh ini biasanya melibatkan bilangan tertentu sama ada daripada quru’ (tempoh suci/ haid) atau bulan. Dari sudut syarak, ‘iddah ialah:
اسْمٌ لِمُدَّةٍ تَتَرَبَّصُ فِيهَا الْمَرْأَةُ لِمَعْرِفَةِ بَرَاءَةِ رَحِمِهَا أَوْ لِلتَّعَبُّدِ أَوْ لِتَفَجُّعِهَا عَلَى زَوْجِهَا[2]
Maksudnya: Suatu tempoh yang diwajibkan ke atas seorang wanita untuk menunggu bagi mengetahui kekosongan rahimnya daripada kandungan, sebagai bentuk ta’abuddi (pengabdian diri) kepada Allah atau sebagai tanda berdukacita atas kematian suaminya.
Tempoh ‘iddah bagi wanita yang diceraikan ketika berada dalam keadaan suci daripada haid ialah tiga kali suci[3]. Bagi wanita yang hamil, tempoh ‘iddahnya berakhir setelah melahirkan anak[4]. Manakala bagi wanita yang telah menopaus kerana faktor usia atau yang belum keluar haid kerana masih kecil, tempoh ‘iddah ialah tiga bulan[5].‘Iddah disyariatkan ke atas wanita selepas diceraikan atau selepas kematian suami[6].
Jenis dan Tempoh ‘Iddah Wanita Hamil
Antara sebab yang mewajibkan ‘iddah adalah penceraian atau kematian suami. Terdapat dua jenis ‘iddah yang ditetapkan kepada wanita hamil iaitu:
- ‘Iddah disebabkan bercerai talak raj’i dan ba’in atau;
- ‘Iddah disebabkan kematian suami
Tempoh ‘iddah bagi kedua-dua jenis ‘iddah ini ialah apabila melahirkan anak sama ada anak tersebut hidup atau mati. Begitu juga jika berlaku keguguran kandungan yang telah membentuk janin yang sempurna atau hanya berbentuk segumpal daging menurut pakar perubatan yang mana ia merupakan kandungan yang sebenar.
Firman Allah SWT dalam surah al-Talaq ayat 4:
وَأُولَاتُ الْأَحْمَالِ أَجَلُهُنَّ أَن يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ ۚ
Maksudnya: Dan Wanita-wanita hamil, tempoh‘iddahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya.
Menurut kitab Mughni Muhtaj:
(عِدَّةُ الْحَامِلِ) مِنْ حُرَّةٍ وَأَمَةٍ عَنْ فِرَاقِ حَيٍّ أَوْ مَيِّتٍ بِطَلَاقٍ رَجْعِيٍّ أَوْ بَائِنٍ (بِوَضْعِهِ) أَيْ الْحَمْلِ[7]
Maksudnya: Tempoh ‘iddah bagi wanita hamil, sama ada wanita merdeka atau hamba, yang berpisah dengan suaminya sama ada melalui talak raj’i, talak ba’in atau kematian suami ialah sehingga dia melahirkan kandungannya.
Tempoh ‘iddah bagi wanita hamil tidak ditetapkan berdasarkan tempoh tertentu sama ada panjang atau pendek, sebaliknya berakhir apabila wanita tersebut melahirkan kandungannya. Perkara ini sebagaimana dijelaskan dalam kitab Majmu’ Sharh al-Muhadhdhab:
وقد ذهب جمهور الفقهاء من السلف والخلف إلى أن الحامل إذا مات عنها زوجها تنقضي عدتها بوضع الحمل[8]
Maksudnya: Menurut majoriti fuqaha dalam kalangan ulama salaf dan khalaf menyatakan bahawa wanita hamil yang kematian suami, ‘iddahnya tamat dengan kelahiran kandungan.
Begitu juga hadis daripada Sabi’ah binti al-Harith RA menjelaskan bahawa beliau merupakan isteri kepada Sa’d bin Khaulah yang meninggal dunia ketika Haji Wada’ sedangkan beliau sedang hamil. Tidak lama selepas itu, beliau melahirkan kandungannya. Setelah selesai nifas, beliau ingin menerima pinangan, namun Abu al-Sanabil bin Ba’kak menyatakan bahawa beliau masih perlu menunggu sehingga genap empat bulan 10 hari. Lalu Sabi’ah RA bertanya kepada Rasulullah SAW, dan dia berkata:
فأفتاني بأني قد حللت حين وضعت حملي وأمرني بالتزوج إن بدا لي[9]
Maksudnya: Lalu Baginda memberikan fatwa kepadaku bahawa aku telah menjadi halal (boleh berkahwin) apabila aku telah melahirkan kandunganku, dan Baginda memerintahkanku supaya berkahwin jika aku menghendakinya.
(Riwayat al-Bukhari)
Hukum Meminang Wanita Hamil dalam ‘Iddah
Semasa tempoh ‘iddah, terdapat beberapa ketetapan syarak berkaitan urusan peminangan terhadap wanita hamil. Hukum meminang wanita hamil yang sedang menjalani tempoh ‘iddah berbeza mengikut jenis ‘iddah yang dilaluinya, sama ada `iddah talak raj’i, talak ba’in atau kematian suami. Meminang wanita yang berada dalam tempoh ‘iddah terbahagi kepada dua bentuk, iaitu secara tasrih (terus terang) atau ta’ridh (kiasan).
- Meminang wanita dalam tempoh ‘iddah secara tasrih (terus terang) dihukumkan haram menurut mazhab Shafi’i sama ada ia merupakan talak raj’i, ba’in atau kematian suami. Perkara ini berdasarkan kepada penjelasan Imam al-Nawawi dalam kitab Raudhah al-Talibin berikut:
وإن كان معتدة حرم التصريح بخطبتها مطلقا[10]
Maksudnya: Jika dia seorang mu’taddah (wanita yang sedang berada dalam tempoh ‘iddah), haram secara mutlak meminangnya secara tasrih (terus terang).
Ciri-ciri wanita yang boleh dipinang secara tasrih (terus terang) adalah mereka yang bebas daripada ikatan perkahwinan, tidak berada dalam tempoh ‘iddah dan wanita yang tidak dipinang oleh lelaki lain sebagaimana dijelaskan dalam kitab al-Mughni al-Muhtaj:
(تَحِلُّ خِطْبَةُ خَلِيَّةٍ عَنْ نِكَاحٍ وَ) عَنْ (عِدَّةٍ) وَكُلِّ مَانِعٍ مِنْ مَوَانِعِ النِّكَاحِ وَأَنْ لَا يَسْبِقَهُ غَيْرُهُ بِالْخِطْبَةِ وَيُجَابُ تَعْرِيضًا وَتَصْرِيحًا كَمَا تَحْرُمُ خِطْبَةُ مَنْكُوحَةٍ كَذَلِكَ إجْمَاعًا فِيهِمَا.[11]
Maksudnya: Dibolehkan meminang wanita yang bebas daripada ikatan perkahwinan, ‘iddah dan semua halangan perkahwinan yang lain dengan syarat tiada orang lain mendahuluinya dalam pinangan. Pinangan itu dibolehkan sama ada secara ta’ridh (kiasan) atau tasrih (terus terang). Sebagaimana haram meminang wanita yang sudah berkahwin, demikianlah juga para ulama bersepakat dalam kedua-dua perkara tersebut.
Pinangan secara tasrih (terus terang) merujuk kepada ungkapan seseorang seperti berikut:
إذا انقضت عدتك تزوجتك أو ما أشبهه[12]
Maksudnya: Apabila tempoh ‘iddah kamu telah tamat, aku akan mengahwini kamu atau ungkapan lain yang seumpamanya.
- Meminang wanita dalam tempoh ‘iddah secara ta’ridh (kiasan) adalah berbeza bergantung kepada jenis ‘iddah yang dialami oleh wanita tersebut:
- ‘Iddah talak raj’i:
Suami yang menceraikan isteri dengan talak satu atau dua adalah lebih berhak ke atas isterinya. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 228:
وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِي ذَٰلِكَ إِنْ أَرَادُوا إِصْلَاحًا ۚ وَلَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ
Maksudnya: Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (merujuk) isteri-isteri itu dalam masa ‘iddah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai. Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak).
Al-Khatib al-Shirbini menyatakan bahawa wanita yang ditalak dengan talak satu atau dua (talak raj’i) masih berstatus isteri kepada suami yang sah:
وَلَا يجوز تَعْرِيض لرجعية لِأَنَّهَا زَوْجَة أَو فِي معنى الزَّوْجَة[13]
Maksudnya: Haram melamar wanita yang ber’iddah talak raj’i secara ta’ridh (kiasan) kerana wanita tersebut adalah seorang isteri atau masih status seorang isteri.
Oleh itu, meminang wanita secara ta’ridh (kiasan) dalam tempoh ‘iddah raj’i sama ada wanita itu hamil atau tidak adalah haram sebagaimana dinukilkan Imam al-Nawawi:
وَأَمَّا التَّعْرِيضُ فَيَحْرُمُ فِي عِدَّةِ الرَّجْعِيَّةِ[14]
Maksudnya: Manakala pinangan secara ta’ridh (kiasan) pula diharamkan terhadap wanita yang sedang menjalani ‘iddah raj‘iyyah.
Berikut merupakan antara contoh ungkapan ta’ridh (kiasan) yang digunakan untuk meminang wanita dalam tempoh ‘iddah:
والتعريض ما يحتمل الرغبة في النكاح وعدمها كقوله: أنت جميلة، ورب راغب فيك ومن يجد مثلك ولست بمرغوب عنك[15]
Maksudnya: Al-Ta’ridh (kiasan) ialah kata-kata yang boleh difahami sama ada sebagai keinginan untuk berkahwin atau tidak. Contohnya seseorang mengucapkan ucapan ini kepada seorang wanita: “Kamu cantik. ramai yang menginginkanmu.Siapa sahaja yang tidak tertarik dengan orang sepertimu. Kamu bukanlah orang yang tidak diingini.”
- ‘Iddah talak ba’in dan kematian suami
Fuqaha mazhab Shafi’i menetapkan hukum meminang wanita secara ta’ridh (kiasan) ketika tempoh ‘iddah talak tiga (ba’in) dan kematian suami adalah harus sebagaimana dinukilkan Imam al-Nawawi dalam kitab Majmu’ Sharh al-Muhadhdhab:
ويجوز التعريض بخطبة المعتدة عن الوفاة والطلاق الثلاث[16]
Maksudnya: Diharuskan mengemukakan pinangan secara ta‘ridh (kiasan) kepada wanita yang sedang menjalani ‘iddah kerana kematian suami atau talak tiga.
Perkara ini bersandarkan kepada firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 235:
وَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا عَرَّضْتُم بِهِ مِنْ خِطْبَةِ النِّسَاءِ
Maksudnya: Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara kiasan), untuk meminang wanita (yang kematian suami dan masih dalam ‘iddah).
Keharusan ini kerana hubungan perkahwinan telah terputus, justeru syarak mengharuskan pinangan secara ta’ridh (kiasan) tanpa menjejaskan kehormatan wanita yang masih berada dalam tempoh ‘iddah.
Terdapat wanita yang sedang menjalani ‘iddah talak ba’in tetapi masih halal dikahwini semula oleh bekas suaminya iaitu wanita yang diceraikan dengan satu atau dua talak melalui khulu’ (dengan bayaran tebus talak), atau fasakh (perkahwinannya dibubarkan) kerana terdapat kecacatan pada salah seorang daripada pasangan suami isteri. Dalam keadaan ini:
فيجوز لزوجها التعريض بخطبتها والتصريح لانها تحل له بعقد النكاح[17]
Maksudnya: Bekas suami diharuskan mengemukakan pinangan sama ada secara ta‘ridh (kiasan) mahupun tasrih (terus terang), kerana dia masih boleh mengahwininya semula dengan akad nikah yang baharu.
Kesimpulan
Hukum meminang wanita hamil dalam tempoh ‘iddah berbeza mengikut jenis ‘iddah. Menurut mazhab Shafi’i, meminang secara tasrih (terus terang) terhadap wanita yang sedang ber‘iddah adalah haram. Bagi wanita dalam ‘iddah talak raj‘i, meminangnya sama ada secara tasrih (terus terang) atau ta’ridh (kiasan) juga haram kerana bekas suami masih mempunyai hak rujuk. Sebaliknya, meminang secara ta’ridh (kiasan) dibenarkan bagi wanita yang berada dalam tempoh ‘iddah talak ba’in dan kematian suami kerana hubungan perkahwinan telah terputus.
[1] Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), Frasa ‘idah’, Kamus Dewan Edisi ke-4, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), maklumat diakses pada 13 Mac 2026, https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=idah
[2] al-Khatīb al-Shirbīnī, Muḥammad bin Muḥammad, Mughnī al-Muḥtāj ilā Ma’rifah Ma’ānī Alfāz al-Minhāj, (Dār al-Kutub ‘Ilmiah, 1994), jil. 5, ms. 78.
[3] al-Nawawī, Abū Zakaria Muḥy al-Dīn bin Sharf al-Nawawī, al-Majmū’ Sharḥ al-Muhadhdhab, (Kaherah: Idārah al-Ṭabā’ah al-Muniriah, 1928), jil. 18, ms 130.
[4] Shihāb al-Dīn al-Ramlī, Shams al-Dīn Muḥammad bin Abī al-‘Abbās Aḥmad bin Ḥamzah, Nihāyah al-Muḥtāj ilā Sharḥ al-Minhāj, (Beirut: Dār al-Fikr, 1984), jil. 7, ms. 134.
[5] al-Nawawī, al-Majmū’ Sharḥ al-Muhadhdhab, jil. 18, ms. 141.
وان كانت ممن لا تحيض ولا يحيض مثلها كالصغيرة والكبيرة الآيسة اعتدت بثلاثة أشهر
[6] Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Garis Panduan Ber`Iddah Bagi Wanita Yang Bercerai Atau Kematian Suami (JAKIM: 2015), https://www.islam.gov.my/en/guideline/479-garis-panduan-ber-iddah-bagi-wanita-yang-bercerai-atau-kematian-suami
[7] al-Khatīb al-Shirbīnī, Mughnī al-Muḥtāj ilā Ma’rifah Ma’ānī Alfāz al-Minhāj, jil. 5, ms. 84.
[8] al-Nawawī, al-Majmū’ Sharḥ al-Muhadhdhab, jil. 18, ms 149.
[9] al-Bukhārī, Abū Abd Allāh Muḥammad bin Ismā’il, Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, (Damsyik: Dār Ibn Kathīr, 1993), Hadis no. 3770, jil. 4, m2. 1466.
[10] al-Nawawī, Abū Zakariyyā Muḥyī al-Dīn bin Sharaf, Rawḍah al-Ṭālibin wa ‘Umdah al-Muftīn, (Beirut: Maktab al-Islāmī, 1991), jil. 7, 30.
[11] al-Khatīb al-Shirbīnī, Mughnī al-Muḥtāj ilā Ma’rifah Ma’ānī Alfāz al-Minhāj, jil. 4, ms. 219.
[12] al-Nawawī, al-Majmū’ Sharḥ al-Muhadhdhab, jil. 16, ms. 257.
[13] al-Khaṭīb al-Shirbinī, Shams al-Dīn Muḥammad bin Aḥmad, al-Iqnā’ fī Ḥal Alfāẓ Abī Syuja’, (Beirut: Dār al-Fikr, t.t), jil. 2, ms. 414.
[14] al-Nawawī, Rawḍah al-Ṭālibin wa ‘Umdah al-Muftīn, jil. 7, ms. 30
[15] al-Khatīb al-Shirbīnī, Mughnī al-Muḥtāj ilā Ma’rifah Ma’ānī Alfāz al-Minhāj, jil. 4, ms. 219.
[16] al-Nawawī, al-Majmū’ Sharḥ al-Muhadhdhab, jil. 16, ms. 256
[17] al-Nawawī, al-Majmū’ Sharḥ al-Muhadhdhab, jil. 16, ms. 259.

