#125
Taudhih Al-Hukmi : Hukum Membawa Individu ke Suatu Majlis yang Tidak Dijemput
Tarikh:
7 September 2026
Disediakan
oleh: Unit Dirasat Ilmiah
Pendahuluan
Secara asasnya, hukum memenuhi jemputan ke majlis walimah
(perkahwinan) adalah wajib selagi mana tiada keuzuran dan memenuhi
syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syarak. Jika jemputan ke majlis
walimah tidak dapat dipenuhi atas keuzuran tertentu, maka ia dimaafkan[1]. Namun
demikian, terdapat situasi apabila seseorang yang menerima jemputan ke majlis
walimah atau sesuatu jamuan makan hadir bersama individu lain yang tidak
termasuk dalam senarai jemputan. Justeru, adakah perbuatan tersebut dibenarkan
menurut syarak, ataupun sebaliknya?
Hukum Menghadiri Majlis Tanpa Jemputan
Menurut
jumhur ulama daripada mazhab Maliki, Shafi’i dan Hanbali, menghadiri majlis
perkahwinan adalah suatu kewajipan jika menerima jemputan secara khusus. Pandangan
ini bersandarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Saidina Ibn Umar RA
bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ إِلَى
الْوَلِيمَةِ فَلْيَأْتِهَا
Maksudnya:
Apabila salah seorang kamu dijemput ke majlis perkahwinan (walimah), maka hadirilah
ia.[2]
(Riwayat Muslim)
Namun begitu, jumhur ulama juga berpendapat bahawa haram[3]
bagi seseorang untuk hadir ke majlis kenduri tanpa dijemput dan tanpa
pengetahuan atau keredaan tuan rumah. Hal ini berdasarkan hadis yang
diriwayatkan daripada Saidina Abu Mas’ud RA katanya: Seorang lelaki Ansar
bernama Abu Syu’aib meminta hambanya menyediakan makanan untuk lima orang
kerana beliau ingin menjemput Rasulullah SAW bersama beberapa sahabat. Ketika mereka datang memenuhi jemputan
tersebut, seorang lelaki lain turut mengikuti mereka, lalu Baginda bersabda;
إِنَّ هَذَا قَدْ تَبِعَنَا فَإِنْ
شِئْتَ أَنْ تَأْذَنَ لَهُ فَأْذَنْ لَهُ وَإِنْ شِئْتَ أَنْ يَرْجِعَ رَجَعَ.
فَقَالَ: لَا بَلْ قَدْ أَذِنْتُ لَهُ
Maksudnya:
Sesungguhnya lelaki ini mengikut kami, jika kamu mahu mengizinkannya, maka
izinkanlah (untuk ikut bersama) dan jika kamu mahu dia pulang, maka dia akan
pulang. Kemudian Abu Syu’aib berkata: Tidak, bahkan saya mengizinkannya.[4]
(Riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan
hadis ini terdapat beberapa faedah antaranya:
1)
Seseorang yang dijemput tidak sepatutnya menghalang orang yang
tidak dijemput mengikutinya ke sesuatu majlis. Sebaliknya, dia hendaklah
meminta izin daripada tuan rumah bagi pihak orang tersebut kerana ada
kemungkinan tuan rumah mengizinkannya hadir bersama.
2)
Seseorang yang dijemput hendaklah meminta izin daripada tuan rumah
bagi sesiapa yang mengikutinya ke majlis tersebut supaya tidak menyinggung
perasaan orang yang mengikutinya selagi tidak ada sebab yang menghalang dia
daripada masuk.
3)
Seseorang yang dijemput ke sesuatu majlis perlu meminta izin kepada
tuan rumah untuk membawa individu yang mengikutinya, hal ini kerana keputusan
untuk memberi keizinan itu sepenuhnya berada di tangan tuan rumah. Orang yang
dijemput tidak boleh bertindak sesuka hati dengan membawa sesiapa sahaja tanpa
persetujuan tuan rumah.[5]
Selain
itu, terdapat hadis yang diriwayatkan daripada Saidina Ibn Umar RA bahawa
Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ دُعِيَ فَلَمْ يُجِبْ فَقَدْ عَصَى
اللهَ وَرَسُولَهُ وَمَنْ دَخَلَ عَلَى غَيْرِ دَعْوَةٍ دَخَلَ سَارِقًا وَخَرَجَ
مُغِيرًا
Maksudnya:
Sesiapa yang dijemput tapi tidak memenuhi jemputan, dia telah ingkar kepada
Allah dan RasulNya; dan sesiapa yang pergi ke suatu majlis tanpa jemputan, dia
hadir sebagai seorang pencuri dan keluar sebagai seorang perampas.[6]
(Riwayat Abu Dawud)
Bagi
memahami hadis ini, Imam al-Muzhiri dalam karyanya Al-Mafātīḥ Fī Sharḥ al-Maṣābīh
menjelaskan bahawa seseorang yang hadir ke sesuatu majlis atau jamuan tanpa
izin tuan rumah adalah dianggap melakukan perbuatan yang salah dari sudut adab
dan syarak. Perbuatannya diibaratkan seperti pencuri mengambil hak orang lain
tanpa kebenaran, malah jika dia mengambil atau memakan makanan daripada jamuan
tersebut, ia disamakan dengan mengambil harta orang lain secara paksa.[7]
Selain
itu, seseorang itu juga dihukum fasiq dari sudut penyaksian dan jatuh maruahnya
jika terus-menerus melakukan perbuatan tersebut, kerana ia termasuk dalam
kategori memakan makanan yang haram. Imam al-Ramli menyatakan perkara tersebut
dalam karyanya Nihāyah al-Muḥtāj bahawa;
وَعُلِمَ مِمَّا تَقَرَّرَ حُرْمَةُ
التَّطَفُّلِ وَهُوَ الدُّخُولُ لِمَحَلِّ غَيْرِهِ لِتَنَاوُلِ طَعَامِهِ
بِغَيْرِ إذْنِهِ وَلَا عُلِمَ رِضَاهُ أَوْ ظَنُّهُ بِقَرِينَةٍ مُعْتَبَرَةٍ
بَلْ يَفْسُقُ بِهِ إنْ تَكَرَّرَ عَلَى مَا يَأْتِي فِي الشَّهَادَاتِ لِلْخَبَرِ
الْمَشْهُورِ أَنَّهُ يَدْخُلُ سَارِقًا وَيَخْرُجُ مُغِيرًا وَإِنَّمَا لَمْ
يَفْسُقْ بِأَوَّلِ مَرَّةٍ لِلشُّبْهَةِ
Maksudnya:
Daripada penjelasan yang telah disebut, difahami bahawa perbuatan al-tatafful
(menyertai jamuan tanpa diundang) adalah haram kerana seseorang memasuki tempat
milik orang lain untuk menikmati makanannya tanpa izin, sedangkan tidak
diketahui reda tuan rumah sama ada secara jelas atau berdasarkan sangkaan yang
kuat melalui petunjuk yang diiktiraf. Bahkan seseorang boleh dianggap fasiq
jika perbuatan itu dilakukan berulang kali, sebagaimana akan dibincangkan dalam
bab persaksian. Hal ini berdasarkan hadis masyhur yang menyatakan bahawa orang
tersebut masuk seperti pencuri dan keluar seperti perampas. Namun, seseorang
itu tidak dihukum fasiq pada kali pertama kerana masih terdapat unsur syubhah
(keraguan).[8]
Dalam memahami pengharaman ini, para ulama Shafi’iyyah meletakkan indikator
bahawa menghadiri majlis tanpa dijemput itu terikat pada keadaan apabila
jemputan tersebut bersifat khusus. Sekiranya jemputan itu bersifat umum, maka
hukumnya tidak haram.[9]
Selain itu, di sisi ulama Shafi’iyyah membenarkan seseorang untuk hadir ke sesuatu
majlis tanpa jemputan sekiranya terdapat hubungan yang rapat dan mesra antara
dirinya dengan tuan rumah.[10]
Justeru, menurut pandangan majoriti fuqaha, menghadiri majlis tanpa
dijemput adalah haram. Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang menyatakan
bahawa sesiapa yang masuk ke majlis tanpa jemputan adalah seperti pencuri yang
masuk dan perompak yang keluar.
Hukum Mengajak Orang Lain ke Majlis Tanpa Pengetahuan Penganjur
Dalam Islam, hukum individu yang dijemput membawa seseorang yang
tidak dijemput ke suatu majlis adalah tidak dibenarkan dan dianggap sebagai
perbuatan yang tidak beradab. Perbuatan ini juga dikenali sebagai tatafful[11].
Hukum asal dalam isu ini juga adalah haram sebagaimana yang telah dijelaskan.
Namun
demikian, para ulama menjelaskan bahawa terdapat beberapa keadaan yang
dikecualikan daripada hukum tersebut. Dalam situasi tertentu, membawa individu
yang tidak dijemput ke sesuatu majlis adalah diharuskan oleh syarak tertakluk
kepada syarat dan keadaan yang telah digariskan. Antaranya:
1.
Mengiringi Orang yang Dijemput: Seseorang yang tidak dijemput diharuskan mengikuti individu yang
dijemput ke sesuatu majlis sekiranya diketahui bahawa individu tersebut
kebiasaannya tidak datang bersendirian. Dalam keadaan ini, orang yang
mengiringinya dianggap turut menerima jemputan secara tidak langsung melalui
jemputan yang diberikan kepada individu tersebut. Hal ini sebagaimana
dinyatakan dalam kitab Ḥāshiyah al-Dasūqī ‘Alā al-Sharḥ al-Kabīr bahawa;
وهذا ما لم يكن تابعا
لذي قدر يعلم أنه لا يجيء وحده عادة فلا يحرم فيما يظهر
Maksudnya: Melainkan jika orang
yang tidak dijemput itu mengikut orang yang mempunyai kedudukan pada kadar yang
diketahui bahawa dia biasanya tidak hadir bersendirian, maka pada zahirnya ia tidak haram.[12]
2.
Mendapat Keizinan Tuan Rumah: Jika seseorang yang tidak dijemput mengikut rombongan yang
dijemput, tuan rumah perlu dimaklumkan. Rasulullah SAW pernah bertanya kepada
tuan rumah sama ada dia mengizinkan seorang lelaki yang mengikut rombongan
mereka untuk masuk dan tuan rumah mengizinkannya.[13]
Kesimpulan
Hukum
seseorang menghadiri sesuatu majlis tanpa dijemput atau tanpa mendapat keizinan
serta keredaan tuan rumah adalah haram berdasarkan hadis Nabi SAW dan pandangan
jumhur ulama. Begitu juga, perbuatan membawa individu yang tidak dijemput ke
sesuatu majlis adalah tidak dibenarkan dalam Islam. Walau bagaimanapun,
terdapat pengecualian dalam keadaan tertentu iaitu sekiranya individu tersebut
mengiringi tetamu yang dijemput dan diketahui secara adat bahawa tetamu
tersebut tidak akan hadir bersendirian atau jika tuan rumah memberikan izin
setelah diberitahu kepadanya.
[1] Rujuk artikel Taudhih
al-Hukmi: https://www.muftiselangor.gov.my/2025/07/28/91-taudhih-al-hukmi-hukum-berkaitan-jemputan-walimah/.
[2] Abū al-Husayn
Muslim bin al-Ḥajjāj al-Qusyairī al-Naysabūrī, Ṣaḥīḥ Muslim, (Kaherah:
Maṭba’ah Isā al-Bābī al-Ḥalabī wa Shirkāh, 1955), jil. 2 ms. 1052. Hadis no.
1429.
[3] Wizārah
al-Awqāf wa- al-Shu’un al-Islāmiyyah, Al-Mawsū’ah al-Fiqhiyyah
al-Kuwaytīyyah, jil. 12 ms. 143.
صَرَّحَ
الْمَالِكِيَّةُ وَالشَّافِعِيَّةُ وَالْحَنَابِلَةُ – وَهُوَ الْمُتَبَادَرُ مِنْ
أَقْوَال الْحَنَفِيَّةِ – أَنَّ حُضُورَ طَعَامِ الْغَيْرِ بِغَيْرِ دَعْوَةٍ،
وَبِغَيْرِ عِلْمِ رِضَاهُ حَرَامٌ، بَل يُفَسَّقُ بِهِ إِنْ تَكَرَّرَ
[4] Abū Abdullāh
Muḥammad bin Ismāīl al-Bukhārī al-Ju’fī, Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, (Dimashq: Dār
Ibn Kathīr, 1993), jil. 2 ms. 733. Hadis no. 1975.
[5] Badruddīn Abū
Muḥammad Maḥmūd bin Aḥmad al-‘Ainī, ‘Umdah al-Qārī Sharḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī,
(Beirut: Dār Iḥyā’ al-Turāth al-‘Arabī, t.t.), jil. 11 ms. 198.
[6] Abū Dāud
Sulaimān bin al-Ash’ath bin Ishāq bin Bashīr al-Azdī al-Sijistānī, Sunan Abū
Dāud, (Beirut: al-Maktabah al-‘Aṣriyyah, t.t.), jil. 3 ms. 341. Hadis no. 3741.
[7] Muẓhiruddīn
al-Zaidānī al-Ḥusayn Bin Maḥmūd al-Ḥanafī, Al-Mafātīḥ Fī Sharḥ al-Maṣābīh,
(Wizārah al-Awqāf wa- al-Shu’un al-Islāmiyyah, Dār al-Nawādir, 2012), jil 4. ms.
72.
[8] Shamsuddīn Muḥammad
bin Abū al-‘Abbās Aḥmad bin Ḥamzah al-Ramlī, Nihāyah al-Muḥtāj Ilā Sharḥ
al-Minhāj, (Beirut: Dār al-Fikr, 1984), jil. 6 ms. 377.
[9] Abū Bakr
‘Uthmān bin Muḥammad Shaṭā al-Dimyāṭī al-Shāfi’ī, I’ānah al-Ṭālibīn ‘Alā Ḥil
Alfāẓ Fatḥ al-Mu’īn, (t.t.p.: Dār al-Fikr li Ṭibā’ah wa al-Nashr wa
al-Tawzī’, 1997), jil. 3 ms. 419.
قيد
في حرمة التطفل: أي محل الحرمة حيث لم يعم دعوته، فإن عم لم يحرم
[10] Shamsuddīn Muḥammad
bin Muḥammad al-Khatīb al-Shirbīnī, Mughnī al-Muḥtāj ilā Ma’rifah Ma’ānī
al-Faẓ al-Minhāj, (t.t.p: Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1994), jil. 4 ms. 410.
وَيَحْرُمُ
التَّطَفُّلُ، وَهُوَ حُضُورُ الْوَلِيمَةِ مِنْ غَيْرِ دَعْوَةٍ إلَّا إذَا
عَلِمَ رِضَا الْمَالِكِ بِهِ لِمَا بَيْنَهُمَا مِنْ الْأُنْسِ وَالِانْبِسَاطِ
[11] Abū al-Faḍl,
Muḥammad bin Mukarram bin Alī Jamaluddīn Ibn Manẓūr al-Anṣārī, Lisān
al-‘Arab, (Beirut: Dār Ṣādir, t.t.), jil. 11 ms. 404.
قال
الأصمعي: هو الذي يدخل على القوم من غير أن يدعوه. مأخوذ من الطَّفْلِ وهو إقبال
الليل على النهار بظُلمته
[12] Muḥammad bin Aḥmad
bin ‘Arafah al-Dusūqī al-Mālikī, Ḥāshiyah al-Dasūqī ‘Alā al-Sharḥ al-Kabīr,
(t.t.p: Dār al-Fikr, t.t.), jil. 2 ms. 338.
[13] Abū Abdullāh
Muḥammad bin Ismāīl al-Bukhārī al-Ju’fī, Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, jil. 2 ms.
733. Hadis no. 1975.

