#124 Taudhih Al-Hukmi : Keutamaan Menabung Berbanding Mengambil Pembiayaan Di Bank Untuk Menunaikan Haji

Keutamaan Menabung Berbanding Mengambil Pembiayaan di Bank Untuk Menunaikan Haji

Tarikh: 2 September 2026

Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah

Pendahuluan

 

Ibadah haji merupakan rukun Islam yang kelima. Pensyariatannya adalah diwajibkan sekali seumur hidup bagi orang Islam yang berkemampuan. Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 97:

وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu bagi orang yang mampu sampai kepadanya.

Kewajipan menunaikan ibadah haji tertakluk kepada syarat istito‘ah iaitu kemampuan yang ditetapkan oleh syarak. Kemampuan tersebut merangkumi pelbagai aspek termasuk kemampuan kewangan bagi menampung kos perjalanan dan perbelanjaan sepanjang menunaikan ibadah haji tanpa menjejaskan keperluan asas diri serta tanggungan. Umat Islam mempunyai beberapa pilihan untuk merealisasikan syarat istito’ah dari sudut kewangan sama ada melalui simpanan secara berperingkat di Tabung Haji (TH) atau melalui pembiayaan yang ditawarkan oleh institusi perbankan. Oleh itu, penilaian terhadap keutamaan antara kedua-dua pendekatan ini perlu dibuat berdasarkan prinsip istito‘ah, maqasid syariah dan panduan hukum yang digariskan oleh syarak agar pelaksanaan ibadah haji benar-benar menepati kehendak Islam.

Konsep Istito’ah dan Al-Kasb dalam Ibadah Haji

Istito’ah adalah syarat wajib haji. Ia bukan sahaja diukur dengan cukupnya jumlah wang untuk membayar kos haji, tetapi juga dinilai dari sudut kestabilan kewangan dan ketiadaan beban hutang yang memudaratkan diri dan keluarga.

Istito’ah dalam konteks kewangan bermaksud seseorang itu memiliki harta yang mencukupi untuk menampung perbelanjaan haji serta nafkah bagi tanggungan yang ditinggalkan tanpa perlu berhutang atau menggadaikan harta atau aset untuk kelangsungan hidup.

Imam al-Bayhaqi menyatakan bahawa:

فأما الاستطاعة التي هي خَلقُ الله تعالى مع كَسْب العَبد[1]

Maksudnya: Adapun istito‘ah (kemampuan) itu adalah ciptaan Allah (seseorang menjadi mampu dengan izin Allah) beserta kasb (usaha) dari hamba tersebut.

Perkataan kasb dalam pernyataan tersebut bermaksud mencari rezeki. Ibn Manzur di dalam lisan al-Arab menyatakan bahawa:

‌كسب: الكَسْبُ: طَلَبُ الرِّزْقِ وأَصلُه الْجَمْعُ[2]

Maksudnya: Ka-sa-ba iaitu al-kasb bermaksud mencari atau memperoleh rezeki, manakala asal maknanya ialah menghimpunkan (mengumpulkan).

Konsep al-kasb berkait rapat dengan usaha seseorang memperoleh dan mengumpulkan rezeki bagi membina kemampuan kewangan untuk menunaikan haji. Apabila meneliti firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 97, Allah SWT mengaitkan kewajipan haji dengan istito‘ah (kemampuan) seseorang untuk mengadakan perjalanan ke Baitullah. Nas tersebut tidak mengaitkan kewajipan haji dengan kemampuan mendapatkan pembiayaan, sebaliknya, istito‘ah (kemampuan) merujuk kepada kemampuan yang sebenar  khususnya dari sudut kewangan. Kemampuan yang dimaksudkan bukan sekadar mempunyai tiket atau kos perjalanan, bahkan meliputi pemilikan lebihan harta setelah memenuhi keperluan diri dan keluarga, tidak menzalimi hak keluarga serta tidak menimbulkan bebanan terhadap kehidupan dan keperluan masa hadapan.

Pendapat Ulama Tentang Golongan yang Berhutang Untuk Menunaikan Haji

Imam al-Khatib al-Shirbini menyatakan bahawa:

إنما يجوز الاقتراض لمن علم من نفسه القدرة على الوفاء إلا أن يعلم المقرض أنه عاجز عن الوفاء[3]

Maksudnya: Harus untuk berhutang kepada sesiapa yang tahu dirinya mampu untuk melunaskan hutang tersebut kecuali kepada sesiapa yang tahu dirinya tidak mampu melunaskan hutang tersebut.

Manakala Ibnu Hajar al-Haytami menyatakan bahawa:

ويحرم الاقتراض والاستدانة على غير مضطر لم يرج الوفاء[4]

Maksudnya: Haram meminjam dan berhutang bagi sesiapa yang tidak berada dalam kesempitan dan tidak bercita-cita untuk melunaskan hutang tersebut.

Selain itu, Imam al-Nawawi menyatakan bahawa:

أنه لا يجب عليه ‌استقراض مال يحج به بلا خلاف [5]

Maksudnya: Sesungguhnya tidak diwajibkan berhutang dengan sesuatu harta untuk menunaikan haji tanpa ada khilaf.

Begitu juga fatwa daripada Darul Ifta’, Mesir yang menyatakan bahawa membayar hutang adalah termasuk dalam keperluan asas bahkan lebih utama daripada menunaikan haji. Pernyataannya adalah seperti berikut:

ومن أجل هذا قال الفقهاء إن قضاء الدين من الحوائج الأصلية

وبهذا الاعتبار آكد من الحج بل ومن الزكاة[6]

Maksudnya: Atas dasar inilah (terdapat hadis yang menyatakan tidak perlu berhutang), para fuqaha menjelaskan bahawa melunaskan hutang termasuk dalam kategori al-ḥawāʾij al-aṣliyyah (keperluan asas). Oleh itu, dalam keadaan tertentu, menyelesaikan hutang perlu diutamakan berbanding menunaikan haji, bahkan (melunaskan hutang) didahulukan juga daripada menunaikan zakat.

Berdasarkan pendapat ulama dan fatwa yang telah dinyatakan, dapat difahami bahawa berhutang untuk menunaikan haji adalah diharuskan di sisi syarak dalam keadaan tertentu serta tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan. Namun demikian, terdapat juga penegasan bahawa seseorang tidak diwajibkan berhutang semata-mata untuk memenuhi tuntutan menunaikan ibadah haji. Pelunasan hutang pula termasuk dalam kategori al-ḥawāʾij al-aṣliyyah (keperluan asas) yang perlu diutamakan berbanding menunaikan haji, bahkan dalam keadaan tertentu lebih utama daripada menunaikan zakat.

Pembiayaan pula mewujudkan komitmen kewangan yang perlu ditanggung secara bulanan selepas ia diluluskan. Sebagaimana orang yang berhutang berkewajipan melunaskan hutangnya mengikut jadual pembayaran yang dipersetujui, demikian juga individu yang memohon pembiayaan bagi menunaikan ibadah haji. Justeru, pembiayaan mewujudkan suatu tanggungan kewangan dan perlu diambil kira sebelum seseorang membuat keputusan untuk memohon pembiayaan bagi menunaikan ibadah haji.

Keutamaan Menabung Duit Untuk Persediaan Haji

Cara yang sesuai dan menepati maqasid al-syariah berkaitan istito’ah ialah dengan cara menabung atau menyimpan untuk persediaan haji. Kaedah simpanan haji yang diamalkan di Malaysia sejak dahulu berteraskan konsep menyimpan sedikit demi sedikit. Pendekatan ini juga mendidik umat Islam tentang perancangan kewangan yang tertib dan berdisiplin, menjaga amanah harta, mengutamakan maslahat jangka panjang serta mengukuhkan tabiat berjimat cermat dan menabung.

Tidak dinafikan bahawa terdapat institusi perbankan yang menawarkan skim pembiayaan bagi membantu individu menunaikan ibadah haji. Pembiayaan tersebut disediakan dengan tempoh pembayaran balik yang berbeza mengikut pakej pembiayaan haji yang ditawarkan. Sepanjang tempoh pembiayaan, orang yang memohon pembiayaan tersebut dikehendaki membuat bayaran secara ansuran bulanan kepada pihak bank. Skim pembiayaan ini lazimnya, dipromosikan sebagai satu kemudahan yang membolehkan bakal jemaah haji menunaikan ibadah haji tanpa perlu menunggu sehingga mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menampung kos haji.

Walaupun cadangan skim pembiayaan haji daripada bank dilihat dapat memudahkan bakal jemaah menunaikan ibadah haji, namun ia boleh membawa kepada risiko kewangan dan kurang menepati konsep istito’ah yang ditetapkan oleh syarak. Pendekatan sedemikian berpotensi membebankan orang yang memohon pembiayaan dengan komitmen bayaran yang berpanjangan, sedangkan istito’ah dalam ibadah haji hendaklah berasaskan keupayaan kewangan yang sebenar tanpa menjejaskan keperluan diri dan tanggungan.

Tabung Haji Mengutamakan Kepentingan Menabung

Tabung Haji (TH) ditubuhkan untuk membantu umat Islam di Malaysia menunaikan haji dengan cara yang teratur. TH menggalakkan bakal jemaah untuk menabung secara konsisten sehingga mencapai jumlah yang mencukupi untuk menunaikan haji. Pendekatan ini selaras dengan konsep istito’ah yang sebenar, di mana kemampuan kewangan dicapai melalui usaha dan perancangan, bukan melalui bebanan atau komitmen selepas haji.

Almarhum Profesor Diraja Tun Dr. Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid menubuhkan TH supaya orang Melayu Islam tidak menjual sawah, tidak menjual kebun, tidak menggadai tanah dan tidak berhutang semata-mata untuk pergi haji.[7] Almarhum juga pernah menekankan kepentingan mengelakkan situasi jemaah haji pulang ke tanah air tanpa harta atau dengan beban serta komitmen kewangan yang tinggi sehingga menjejaskan kehidupan mereka selepas menunaikan ibadah haji. Jika hari ini wujud semula trend berhutang secara besar-besaran untuk tujuan yang sama, maka hakikatnya kita mengulangi masalah yang pernah cuba diselesaikan lebih 60 tahun dahulu.

Berdasarkan pertimbangan maqasid al-syariah dan qawa’id fiqhiyyah, awlawiyyat (keutamaan) bagi umat Islam di Malaysia pada masa ini ialah membudayakan amalan menyimpan untuk menunaikan haji sejak awal secara konsisten melalui TH. Pendekatan ini mendidik masyarakat agar melihat ibadah haji sebagai journey of planning (kemuncak perjalanan hidup yang dirancang), bukan projek segera berteraskan komitmen dan memastikan bahawa selepas pulang dari haji, seseorang tidak terjatuh ke dalam kesempitan hidup kerana beban dan komitmen, tetapi sebaliknya kekal stabil dan mampu terus berperanan sebagai anggota masyarakat yang menyumbang.

Kesimpulan

Islam tidak melarang seseorang berhutang atau mengambil pembiayaan untuk mencapai istito’ah bagi tujuan melaksanakan ibadah haji. Namun demikian, dalam konteks memenuhi syarat istito’ah untuk menunaikan ibadah haji, pendekatan menabung secara berperingkat adalah lebih utama kerana ia lebih menepati konsep kemampuan yang dikehendaki oleh syarak, di samping dapat mengelakkan bebanan hutang serta memelihara kestabilan kewangan individu dan keluarga. Oleh itu, walaupun pembiayaan boleh menjadi pilihan dalam keadaan tertentu, masyarakat sewajarnya mengutamakan budaya menabung sebagai bentuk persediaan yang lebih baik bagi menunaikan ibadah haji secara lebih lestari dan selaras dengan semangat pensyariatan haji.

[1] Al-Bayhaqī, Aḥmad ibn al-Ḥusayn, Aḥkām al-Qurʾān li al-Imām al-Shāfiʿī, (Mesir: Maktabat al-Khānjī, 1994), ms.157

[2] Ibn Manẓūr, Muḥammad ibn Mukarram ibn ʿAlī, Lisān al-ʿArab, (Beirūt: Dār Ṣādir, t.t.), jil. 1, ms. 716.

[3] al-Khaṭīb al-Shirbīnī, Muḥammad bin Muḥammad. Mughnī al-Muḥtāj. (Beirut: Dār al-Kutub al-ʿIlmiyyah, 1994), jil. 3, ms. 30.

[4] Al-Haytamī, Aḥmad bin Muḥammad. Tuḥfat al-Muḥtāj Fi Sharḥ al-Minhāj. (Mesir: al-Maktabah al-Tijāriyyah al-Kubrā, 1983), jil. 5, ms. 36.

[5] Al-Nawawī, Muḥy al-Dīn bin Sharf, al-Majmūʿ Sharḥ al-Muhadhdhab, (Mesir: al-Ṭibā`ah al-Munīriyyah, 1929), jil. 7, ms. 76.

[6] Koleksi Fatwa Darul Ifta’, Mesir,  jil 1, ms 201.

[7] Pasukan Editorial Tabung Haji.my, “Sejarah Tabung Haji: Masalah Sebelum Tabung Haji,” Tabung Haji.my, 31 Januari 2026, https://tabung.my/kewangan/tabung-haji/sejarah/#masalah-sebelum-tabung-haji, diakses pada 2 Julai 2026.

Accessibility Toolbar