#122 Taudhih Al-Hukmi : Ihsan dan Layanan Islam Terhadap Haiwan
Tarikh: 17 Ogos 2026
Disediakan oleh: Unit Dirasar Ilmiah
Pendahuluan
Berlaku ihsan terhadap haiwan mencerminkan keluasan rahmat Syariah Islam yang merangkumi seluruh makhluk. Menurut mazhab Shafi’i, walaupun anjing dan babi dikategorikan sebagai najis mughallazah, namun status kenajisan tersebut tidak menafikan tuntutan syarak untuk berbuat ihsan kepada haiwan-haiwan tersebut. Hal ini menunjukkan bahawa Islam membezakan antara hukum fiqh yang berkaitan dengan taharah dan tanggungjawab berbuat ihsan terhadap setiap makhluk bernyawa.
Konsep Ihsan Dalam Islam Terhadap Semua Makhluk
Ihsan merupakan satu daripada prinsip utama dalam Islam yang menuntut setiap muslim agar berbuat baik dalam setiap urusan, sama ada sesama manusia dan juga makhluk lain termasuk haiwan. Rasulullah SAW menegaskan bahawa ihsan adalah tuntutan yang bersifat umum tanpa pengecualian terhadap mana-mana makhluk. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Ya’la Shaddad bin Aus RA:
إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذِّبْحَةَ وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ وَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ[1]
Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah mewajibkan sifat ihsan dalam setiap perkara, maka apabila kamu membunuh, hendaklah kamu melakukannya dengan cara yang terbaik (tidak menyeksa), dan apabila kamu menyembelih, hendaklah kamu menyembelih dengan cara yang baik, iaitu dengan menajamkan pisau (supaya tidak menyeksa), serta memberi kerehatan kepada haiwan yang disembelih dengan mengurangkan penderitaannya.
(Riwayat Muslim)
Terdapat pada hadis ini satu kaedah penting iaitu kewajipan berlaku ihsan dalam setiap perkara yang berada di bawah kekuasaan manusia, sama ada terhadap sesama manusia ataupun haiwan[2]. Oleh itu, setiap bentuk layanan terhadap haiwan mestilah berasaskan belas kasihan, bukan kezaliman. Sesungguhnya Allah SWT telah mewajibkan ke atas manusia untuk berlaku ihsan. Hal ini menunjukkan bahawa konsep ihsan tidak terhad kepada manusia semata-mata, bahkan meliputi semua makhluk hidup.
Walaupun anjing sering dikaitkan dengan kenajisan dalam fiqh, terdapat hadis sahih yang menunjukkan kelebihan berbuat baik kepada haiwan tersebut. Antaranya kisah seorang lelaki yang memberi minum kepada anjing yang kehausan seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
بَيْنَمَا رَجُلٌ يَمْشِي بِطَرِيقٍ اشْتَدَّ عَلَيْهِ الْعَطَشُ فَوَجَدَ بِئْرًا فَنَزَلَ فِيهَا فَشَرِبَ ثُمَّ خَرَجَ فَإِذَا كَلْبٌ يَلْهَثُ يَأْكُلُ الثَّرَى مِنَ الْعَطَشِ. فَقَالَ الرَّجُلُ: لَقَدْ بَلَغَ هَذَا الْكَلْبَ مِنَ الْعَطَشِ مِثْلُ الَّذِي كَانَ بَلَغَ مِنِّي. فَنَزَلَ الْبِئْرَ فَمَلأَ خُفَّهُ مَاءً ثُمَّ أَمْسَكَهُ بِفِيهِ حَتَّى رَقِيَ فَسَقَى الْكَلْبَ فَشَكَرَ اللَّهُ لَهُ فَغَفَرَ لَهُ”. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَإِنَّ لَنَا فِي هَذِهِ الْبَهَائِمِ لأَجْرًا. فَقَالَ: فِي كُلِّ كَبِدٍ رَطْبَةٍ أَجْرٌ[3]
Maksudnya: Ketika seorang lelaki sedang berjalan di suatu jalan, dia berasa sangat dahaga. Lalu dia menemui sebuah perigi dan turun ke dalamnya lalu minum. Setelah keluar, dia melihat seekor anjing yang sedang tercungap-cungap dan menjilat tanah kerana terlalu dahaga. Lelaki itu berkata: Sesungguhnya anjing ini telah mengalami kehausan sebagaimana yang aku alami tadi. Maka dia turun semula ke dalam perigi, mengisi kasut kulitnya dengan air, kemudian menggigit kasut itu dengan mulutnya sehingga dia dapat naik ke atas, lalu dia memberi minum kepada anjing tersebut. Maka Allah mensyukuri perbuatannya itu dan mengampunkan dosanya. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, adakah kami juga mendapat pahala kerana berbuat baik kepada haiwan-haiwan ini? Baginda SAW menjawab: Pada setiap makhluk yang hidup (bernyawa), ada pahala.
(Riwayat Muslim)
Hadis ini memberikan gambaran jelas bahawa perbuatan ihsan kepada haiwan seperti anjing membawa kepada keampunan Allah SWT. Berbuat ihsan kepada semua haiwan, sama ada dibawah jagaannya atau yang liar, merupakan suatu ketaatan kepada Allah SWT yang diberikan. pahala kepada pelakunya serta menjadi penghapus dosa-dosanya. Berdasarkan hal itu juga, perbuatan menyakiti haiwan akan mendatangkan balasan dosa dan beban kesalahan[4].
Larangan Menyakiti Haiwan dan Penegasan Ihsan dalam Syariat Islam
Islam sangat jelas dalam melarang sebarang bentuk penyeksaan terhadap haiwan. Prinsip asasnya ialah ihsan, iaitu berbuat baik dan tidak menzalimi makhluk lain. Hal ini dapat dilihat dalam hadis Nabi ﷺ tentang seorang wanita yang diazab kerana seekor kucing sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA:
عُذِّبَتِ امْرَأَةٌ فِي هِرَّةٍ لَمْ تُطْعِمْهَا وَلَمْ تَسْقِهَا وَلَمْ تَتْرُكْهَا تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ[5]
Maksudnya: Seorang wanita diazab kerana seekor kucing; dia tidak memberinya makan, tidak memberinya minum, dan tidak membiarkannya mencari makan sendiri daripada haiwan-haiwan kecil di bumi.
(Riwayat Muslim)
Menurut Imam al-Nawawi hadis ini menunjukkan larangan keras terhadap perbuatan menyakiti dan mengabaikan haiwan. Wanita tersebut diazab kerana tidak memberi makan dan minum kepada kucing itu serta mengurungnya sehingga ia tidak mampu mencari makan sendiri. Oleh itu, perbuatan tersebut dikira sebagai satu bentuk kezaliman terhadap haiwan[6]. Islam mengharamkan segala bentuk penyeksaan haiwan, sama ada dengan menyakitinya atau mengabaikan kebajikannya dan ini merangkumi semua haiwan termasuk haiwan najis mughallazah.
Dalam konteks semasa, isu anjing liar sering menimbulkan polemik dalam masyarakat. Ada yang mengambil pendekatan ekstrem dengan menyakiti atau menghapuskan haiwan tersebut dengan cara yang tidak berperikemanusiaan. Sedangkan Islam menuntut agar pengurusan haiwan dilakukan secara berhemah dan penuh ihsan. Rasulullah SAW secara jelas menegaskan larangan menyakiti makhluk bernyawa tanpa sebab yang dibenarkan syarak. Antaranya, sabda Baginda SAW:
لَعَنَ اللَّهُ مَنْ اتَّخَذَ شَيْئًا فِيهِ الرُّوحُ غَرَضًا[7]
Maksudnya: Allah melaknat sesiapa yang menjadikan makhluk bernyawa sebagai sasaran.
(Riwayat Muslim)
Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa hadis ini menunjukkan pengharaman menjadikan haiwan sebagai sasaran kerana perbuatan tersebut mengandungi unsur penyeksaan terhadapnya[8]. Dalam konteks ini, status anjing sebagai najis mughallazah hanya berkait dengan hukum taharah, bukan justifikasi untuk menzaliminya.
Prinsip ihsan turut dituntut dalam etika peperangan di dalam Islam yang turut melarang sebarang bentuk kerosakan terhadap alam dan haiwan tanpa keperluan. Dinyatakan, dalam athar wasiat Abu Bakar RA, sebagaimana diriwayatkan oleh Ibn Abi Shaybah dalam al-Musannaf:
وَلَا تَقْطَعُوا شَجَرًا مُثْمِرًا وَلَا تَذْبَحُوا شَاةً وَلَا بَقَرَةً وَلَا بَعِيرًا إِلَّا لِمَأْكَلَةٍ[9]
Maksudnya: Dan janganlah kamu menebang pokok yang berbuah, serta janganlah kamu menyembelih kambing, lembu atau unta kecuali untuk tujuan dimakan.
Imam al-Qurtubi menyatakan bahawa menebang pokok dan membinasakan haiwan tanpa keperluan termasuk dalam bentuk kerosakan yang dilarang oleh syarak[10]. Ini menunjukkan bahawa dalam keadaan perang sekalipun, Islam melarang kerosakan terhadap tumbuhan dan pembunuhan haiwan tanpa keperluan. Maka dalam keadaan aman, umat Islam lebih dituntut bersifat ihsan terhadap haiwan dan alam sekitar serta menjauhi sebarang bentuk kezaliman.
Panduan bermuamalah dengan haiwan mughallazah
1. Tidak Menyakiti Haiwan
Berdasarkan hadis yang disebutkan sebelum ini cukup jelas bahawa Islam melarang segala bentuk kezaliman seperti memukul, menyeksa, membiarkan kelaparan, atau membunuh tanpa sebab yang dibenarkan syarak. Hadis ini menjadi asas kewajipan berlaku ihsan terhadap semua haiwan secara umum.
2. Interaksi Ketika Hajat atau Maslahah
Islam membenarkan interaksi dengan anjing apabila terdapat keperluan yang diiktiraf seperti menjaga keselamatan, anjing pemburuan dan anjing pengesan. Dalam keadaan tersebut, interaksi hendaklah dilakukan sekadar keperluan dengan mematuhi hukum taharah selepasnya. Sabda Baginda SAW:
مَن أمسَكَ كَلبًا فإنَّه يَنقُصُ كُلَّ يَومٍ مِن عَمَلِه قيراطٌ، إلَّا كَلبَ حَرثٍ أو ماشيةٍ[11]
Maksudnya: Sesiapa yang memelihara seekor anjing, maka setiap hari akan berkurang daripada pahala amalannya sebanyak satu qirāṭ, kecuali anjing yang dipelihara untuk menjaga tanaman atau menjaga ternakan.
(Riwayat Bukhari)
3. Menjaga Kebajikan Haiwan
Sekiranya haiwan tersebut dipelihara untuk tujuan yang dibenarkan syarak, pemilik wajib menyediakan makanan dan minuman yang mencukupi, tempat perlindungan yang sesuai, rawatan ketika sakit, serta tidak membebankan haiwan melebihi kemampuannya.
4. Melaksanakan Sertu Apabila Berlaku Sentuhan
Apabila berlaku sentuhan najis mughallazah, maka wajib dilakukan sertu iaitu membasuh sebanyak tujuh kali dan salah satunya menggunakan air yang bercampur tanah sepertimana sabda Rasulullah SAW:
طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ[12]
Maksudnya: Sucinya bekas salah seorang di antara kamu apabila ia (bekas) dijilat anjing adalah dengan cara membasuhnya sebanyak tujuh kali dan yang pertama (basuhan) dengan tanah.
(Riwayat Muslim)
Kesimpulan
Islam menampilkan keseimbangan yang jelas antara ketetapan hukum fiqh dan tuntutan akhlak dalam berinteraksi dengan makhluk hidup. Walaupun seseekor haiwan dikategorikan sebagai najis mughallazah dari sudut taharah, hal ini tidak menafikan kewajipan berbuat ihsan terhadapnya. Manakala kezaliman terhadapnya adalah perbuatan yang dilarang dan membawa kepada dosa. Justeru, kefahaman yang tepat perlu dibina agar hukum kenajisan tidak disalahertikan sehingga menjejaskan nilai ihsan yang menjadi teras ajaran Islam.
Dalam konteks semasa, umat Islam dituntut untuk mengaplikasikan prinsip ihsan secara praktikal dan seimbang, khususnya dalam isu melibatkan haiwan seperti anjing liar. Pendekatan yang berperikemanusiaan, berhemah dan selari dengan maqasid Syariah perlu diutamakan agar tidak berlaku tindakan melampau yang bercanggah dengan syariat. Dengan itu, pengamalan ihsan bukan sahaja mencerminkan ketinggian akhlak seorang Muslim, bahkan menyerlahkan keindahan Islam sebagai agama yang memelihara kesejahteraan semua makhluk hidup.
[1] Muslim, Abū al-Ḥusayn Muslim bin al-Ḥajjāj bin Muslim al-Qushayrī al-Naysābūrī, Ṣaḥīḥ Muslim. (Turki: Dār al-Ṭibā‘ah al- ‘Āmirah, 1916), no. hadis 1955, jil. 6, ms. 72.
[2] ʿAbd Allāh bin Ṣāliḥ al-Muḥsin, al-Aḥādīth al-Arbaʿīn al-Nawawiyyah maʿa Mā Zāda ʿAlayhā Ibn Rajab wa ʿAlayhā al-Sharḥ al-Mūjaz al-Mufīd, (Madinah al-Munawwarah: al-Jāmiʿah al-Islāmiyyah, 1984). ms. 34.
[3] Muslim, Ṣaḥīḥ Muslim, no. hadis 2244, jil. 7, ms. 44.
[4] Al-Qāḍī ‘Iyāḍ, Abū al-Faḍl ‘Iyāḍ bin Mūsā bin ‘Iyāḍ al-Yaḥṣubī al-Sabtī, Ikmāl al-Mu‘lim bi Fawā’id Ṣaḥīḥ Muslim, (Mesir: Dar al-Wafa’ lil Tibaah wa al-Nasy wa al-Tawziy, 1998), jld. 7, ms. 181.
[5] Muslim, Ṣaḥīḥ Muslim, no. hadis 2243, jil. 7, ms. 44.
[6] Al-Nawawī, Abū Zakariyyā Muḥyī al-Dīn Yaḥyā bin Sharaf, al-Minhāj Sharḥ Ṣaḥīḥ Muslim bin al-Ḥajjāj, (Beirut: Dār Iḥyā’ al-Turāth al- ‘Arabī, 1392), jil. 14, ms. 240.
[7] Muslim, Ṣaḥīḥ Muslim, no. hadis 1958, jil. 6, ms. 73.
[8] Al-Nawawī, al-Minhāj Sharḥ Ṣaḥīḥ Muslim bin al-Ḥajjāj, (Beirut: Dār Iḥyā’ al-Turāth al- ‘Arabī, 1392), jil. 13, ms. 108.
[9] Ibn Abī Shaybah, al-Muṣannaf, (Riyadh: Dār Kunūz Ishbīliyā li al-Nashr wa al-Tawzī’), no. 35333, jil. 18, ms. 376.
[10] Al-Qurṭubī, Abū ‘Abd Allāh Muḥammad ibn Aḥmad al-Anṣārī al-Qurṭubī, al-Jāmi’ li Aḥkām al-Qur’ān, taḥqīq Aḥmad al-Bardūnī dan Ibrāhīm Aṭfīsh (Kaherah: Dār al-Kutub al-Miṣriyyah, 1964), jil. 7, ms. 226.
[11] Al-Bukhārī, Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, no. hadis 2322, jil. 2, ms. 380.
[12] Muslim, Ṣaḥīḥ Muslim, no. hadis 279, jil. 1, ms. 234.

