#119 Taudhih Al-Hukmi : Adakah Berjemaah Merupakan Syarat Sah Solat Jenazah?

 

#119 Taudhih Al-Hukmi : Adakah Berjemaah Merupakan Syarat Sah Solat Jenazah?

Tarikh: 20 Julai 2026

Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah

Pendahuluan

Syarat sah solat jenazah adalah sama seperti syarat yang ditetapkan bagi solat fardu lima waktu dan solat sunat walaupun terdapat perbezaan pada kaifiatnya. Ibadah fardu kifayah ini sering kali dilaksanakan secara berjemaah seolah-olah menggambarkan bahawa pelaksanaannya secara individu adalah tidak memenuhi syarat sah solat tersebut. Justeru, adakah berjemaah merupakan sebahagian daripada syarat sah solat jenazah ini?


Had Minima Kewajipan Solat Jenazah

Terdapat beberapa pandangan dalam mazhab Shafi‘i berkenaan penetapan had minima bagi pelaksanaan solat jenazah agar gugur tuntutan fardunya terhadap orang lain. Kesemua pandangan tersebut dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam Rawdat al-Talibin seperti berikut:

وَفِي أَقَلِّ مَا يَسْقُطُ فَرْضُ الْكِفَايَةِ فِي هَذِهِ الصَّلَاةِ قَوْلَانِ وَوَجْهَانِ. أَحَدُ الْقَوْلَيْنِ: بِثَلَاثَةٍ. وَالثَّانِي: بِوَاحِدٍ. وَأَحَدُ الْوَجْهَيْنِ بِاثْنَيْنِ. وَالثَّانِي: بِأَرْبَعَةٍ[1]

Maksudnya: Dalam menentukan bilangan paling minima untuk gugur tuntutan fardu kifayah dalam solat ini, terdapat dua pendapat (Imam al-Shafi‘i) dan dua pandangan (ashab).[2] Pendapat pertama (Imam al-Shafi‘i) ialah tiga orang, dan pendapat kedua ialah seorang. Pandangan pertama (ashab) ialah dua orang, dan pandangan kedua ialah empat orang.

Imam al-Nawawi menyatakan pandangan yang muktamad ialah memadai seorang sahaja sebagai had minima bagi memenuhi kewajipan solat jenazah.[3] Hal ini kerana yang penting ialah kewajipan solat jenazah dipenuhi oleh pihak yang wajib menunaikannya. Maka kewajipan tersebut dianggap terlaksana walaupun hanya ditunaikan oleh seorang sahaja.[4]

Justeru, adalah memadai jika solat jenazah hanya ditunaikan oleh seorang individu, sama ada seorang lelaki dewasa atau seorang kanak-kanak lelaki yang sudah mumaiyiz. Adapun, solat jenazah yang dilakukan oleh seorang wanita tidak menggugurkan kewajipan solat tersebut sekiranya di tempat itu terdapat lelaki dewasa atau kanak-kanak lelaki yang sudah mumaiyiz.[5]

Solat Jenazah Secara Berjemaah

Tidak disyaratkan berjemaah dalam pelaksanaan solat jenazah sepertimana tidak disyaratkan bilangan. Memadai seorang sahaja sebagai bilangan minima pelaksanaan solat jenazah mengikut pandangan muktamad mazhab Shafi‘i. Malah, pendapat yang tidak selari dengan pandangan muktamad bersepakat menyatakan bahawa tidak disyaratkan berjemaah dalam solat jenazah. Imam al-Nawawi menjelaskan:

فإن قلنا يشترط اثنان أو ثلاثة أو أربعة سقط الفرض بفعلهم جماعة أو فرادى بلا خلاف لكن الجماعة أفضل وتكثيرها أفضل[6]

Maksudnya: Sekiranya diambil pandangan yang menyebut disyaratkan dua, tiga atau empat orang, maka gugur kewajipan (solat jenazah) jika mereka melakukannya secara berjemaah atau individu tanpa khilaf. Akan tetapi, secara berjemaah adalah lebih baik dan begitu juga dengan meramaikannya.

Berjemaah bukan sebahagian daripada syarat sah solat jenazah. Walau bagaimanapun, pelaksanaannya secara berjemaah adalah sunat berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Malik bin Hubayrah RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

‌ما ‌مِنْ ‌مُسلمِ ‌يموتُ ‌فيصلِّيَ عليه ثلاثةُ صفوف من المسلمين إلاَّ أوْجَبَ[7]

Maksudnya: Tidaklah seorang Muslim meninggal dunia, lalu disolatkan jenazahnya oleh orang Islam sebanyak tiga saf melainkan pasti dia memperoleh (keampunan).

Hadis ini juga secara tidak langsung mengisyaratkan kepada galakan untuk menunaikan solat jenazah dengan tiga saf atau lebih sebagaimana yang disebutkan oleh ulama mazhab Shafi’i seperti al-Khatib al-Shirbini,[8] Shams al-Din al-Ramli,[9] Ibn Hajar al-Haytami dan ramai lagi. Disebutkan dalam Tuhfat al-Muhtaj:

(وَيُسَنُّ) حَيْثُ كَانُوا سِتَّةً فَأَكْثَرَ (جَعْلُ صُفُوفِهِمْ ثَلَاثَةً فَأَكْثَرَ) لِلْخَبَرِ الصَّحِيحِ «مَنْ صَلَّى عَلَيْهِ ثَلَاثَةُ صُفُوفٍ فَقَدْ أَوْجَبَ أَيْ غُفِرَ لَهُ» كَمَا فِي رِوَايَةٍ وَالْمَقْصُودُ مَنْعُ النَّقْصِ عَنْ الثَّلَاثَةِ لَا الزِّيَادَةِ عَلَيْهَا[10]

Maksudnya: Disunatkan apabila mereka berjumlah enam orang atau lebih untuk dijadikan tiga saf atau lebih, berdasarkan hadis sahih: Sesiapa yang disolatkan jenazahnya oleh tiga saf, maka wajib baginya iaitu diampunkan dosanya sebagaimana disebut dalam satu riwayat. Yang dimaksudkan ialah larangan daripada kurang daripada tiga saf, bukan larangan menambah lebih daripada tiga saf. [11]

Terdapat juga beberapa hadis lain yang membawa makna yang hampir sama tapi dengan jumlah yang khusus seperti 100 orang berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Aishah RA:

مَا مِنْ مَيِّتٍ يُصَلِّي عَلَيْهِ أُمَّةٌ مِنَ الْمُسْلِمِينَ ‌يَبْلُغُونَ ‌مِائَةً ‌كُلُّهُمْ يَشْفَعُونَ لَهُ إِلَّا شُفِّعُوا فِيهِ[12]

Maksudnya: Tidaklah seorang mayat disolatkan oleh sekumpulan umat Islam yang mencapai seratus orang, yang mana semuanya memohon syafaat untuknya, melainkan syafaat mereka itu diterima.

Begitu juga hadis yang menyebut 40 orang seperti riwayat Kurayb daripada Ibn ‘Abbas RA:

سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ ﷺ يَقُولُ: مَا مِنْ رَجُلٍ مُسْلِمٍ يَمُوتُ ‌فَيَقُومُ ‌عَلَى ‌جَِنَازَتِهِ ‌أَرْبَعُونَ ‌رَجُلًا لَا يُشْرِكُونَ بِاللهِ شَيْئًا إِلَّا شَفَّعَهُمُ اللهُ فِيهِ[13]

Maksudnya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah seorang Muslim meninggal dunia lalu disolatkan jenazahnya oleh empat puluh orang lelaki yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu apa pun, melainkan Allah menerima syafaat mereka untuknya.

(Riwayat Muslim)

Dalam mengharmonikan perbezaan bilangan jemaah dalam ketiga-tiga hadis tersebut, Imam al-Nawawi menyebutkan tiga kemungkinan; pertama; setiap hadis adalah jawapan bagi pertanyaan yang berbeza, kedua; Nabi SAW menyampaikan berita yang diwayhukan kepada Baginda SAW secara berperingkat daripada ramai kepada sedikit dan ketiga; ini termasuk dalam mafhum ‘adad yang mana tidak dianggap sebagai hujah di sisi jumhur ulama usul fiqh. Syafaat yang dijanjikan diperolehi jika solat jenazah ditunaikan sekurang-kurangnya tiga saf atau seramai 40 orang.[14]

Justeru, kami berpandangan bahawa solat jenazah secara individu adalah harus dan sah, tapi menunaikannya secara berjemaah adalah lebih baik kerana fadhilat yang dijanjikan dalam hadis tersebut.

Kesimpulan

Berjemaah bukan sebahagian daripada syarat sah solat jenazah walaupun ia sering ditunaikan secara berjemaah. Oleh itu, kewajipan solat jenazah dianggap terlaksana walaupun ia ditunaikan oleh seorang lelaki dewasa atau seorang kanak-kanak lelaki yang sudah mumaiyiz secara bersendirian. Begitu juga jika ia ditunaikan oleh seorang wanita apabila tiada lelaki dewasa atau kanak-kanak lelaki yang sudah mumaiyiz di satu-satu tempat. Namun begitu, menunaikan solat jenazah secara berjemaah dengan tiga saf atau lebih adalah afdal.

 



[1] Muḥy al-Dīn Al-Nawawī, Yaḥyā bin Sharf, Rawḍat al-Ṭālibīn wa ‘Umdat al-Muftīn, (Beirut, Damsyik, Amman: al-Maktab al-Islāmī, 1991), jil. 2, ms. 129.

[2] Aṣḥāb ialah fuqaha yang merupakan mujtahid dalam mazhab Shafi‘i di mana mereka mengeluarkan sesuatu hukum fiqh menggunakan kaedah yang ditetapkan oleh Imam al-Shafi‘i. Dr. Kamāl Ṣādiq Yāsīn, Muṣṭalaḥāt al-Madhhab al-Shāfi‘ī, (Iraq, Maktab al-Tafsīr, 2006), ms. 46.

[3] Muḥy al-Dīn Al-Nawawī, Yaḥyā bin Sharf, Al-Majmū‘ Sharḥ al-Muhadhdhab, (Kaherah: Idarah al-Ṭibā‘ah al-Manīriyyah, 1347), jil. 5, ms. 213.

والأصح من الخلاف الاكتفاء بواحد.

[4] Ibn Hajar al-Haytamī, Aḥmad bin Muḥammad, Ṭuḥfat al-Muḥtāj fī Sharḥ al-Minhāj, (Mesir: al-Maktabah al-Tijāriyyah al-Kubrā, 1983), jil. 3, ms. 147.

لِأَنَّ الْمَقْصُودَ وُجُودُ صَلَاةٍ صَحِيحَةٍ مِنْ جِنْسِ الْمُخَاطَبِينَ وَقَدْ وُجِدَتْ.

[5] Al-Bājūrī, Ibrāhīm bin Aḥmad, Hāshiyah al-Bājūrī ‘alā Sharḥ al-‘Allāmah Ibn Qāsim al-Ghazzī ‘alā Matn Abī Shujā‘, (Jedah: Dār al-Minhāj, 2016), jil. 2, ms. 278.

ويسقط الفرض بصلاة الصبي المميز ولو مع وجود الرجال لأنه من جنسهم مع كون المقصود منها الدعاء وهو أقرب إلى الإجابة وبهذا فارق عدم سقوطه به في رد السلام فإن المقصود منه الأمان لكل من المسلّم والمجيب وأن كلا منهما سالم الآخر وأمان الصبي لا يصح ولا يسقط الفرض بصلاة النساء مع وجود ذكر ولو من صبيا لأنه أكمل منهن فإن لم يصل .. أمرنه بها فإن امتنع بعد ذلك .. توجه الفرض إليهن.

[6] Muḥy al-Dīn Al-Nawawī, Yaḥyā bin Sharf, Al-Majmū‘ Sharḥ al-Muhadhdhab, (Kaherah: Idarah al-Ṭibā‘ah al-Manīriyyah, 1347), jil. 5, ms. 213.

[7] Abū Dāwud Sulaymān bin al-Ash‘ath, Sunan Abī Dāwud, (Dār al-Risālah al-‘Alamiyyah, 2009). No. hadis 3167, jil. 7, ms. 78.

[8] Al-Khaṭīb al-Shirbīnī, Muḥammad bin Muḥammad, Mughnī al-Muḥtāj ’ilā Ma‘rifah Ma‘anī Alfāẓ al-Minhāj. (Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1994), jil. 2, ms. 50.

(وَيُسَنُّ جَعْلُ صُفُوفِهِمْ) أَيْ الْمُصَلِّينَ عَلَى الْمَيِّتِ (ثَلَاثَةً فَأَكْثَرَ) لِحَدِيثٍ صَحَّحَهُ الْحَاكِمُ «‌مَنْ ‌صَلَّى ‌عَلَيْهِ ‌ثَلَاثَةُ صُفُوفٍ فَقَدْ وَجَبَتْ: أَيْ حَصَلَتْ لَهُ الْمَغْفِرَةُ» وَفِي رِوَايَةٍ فَقَدْ غُفِرَ لَهُ.

[9] Shams al-Dīn al-Ramlī, Muḥammad bin Aḥmad, Nihāyat al-Muḥtāj ’ilā Sharḥ al-Minhāj, (Beirut: Dār al-Fikr, 1984), jil. 3, ms. 26.

(وَيُسَنُّ جَعْلُ صُفُوفِهِمْ) أَيْ الْمُصَلِّينَ عَلَى الْمَيِّتِ (ثَلَاثَةً فَأَكْثَرَ) لِخَبَرِ «‌مَنْ ‌صَلَّى ‌عَلَيْهِ ‌ثَلَاثَةُ صُفُوفٍ فَقَدْ أَوْجَبَ: أَيْ حَصَلَتْ لَهُ الْمَغْفِرَةُ».

[10] Ibn Hajar al-Haytamī, Aḥmad bin Muḥammad, Ṭuḥfat al-Muḥtāj fī Sharḥ al-Minhāj, (Mesir: al-Maktabah al-Tijāriyyah al-Kubrā, 1983), jil. 3, ms. 190-191.

[11] Ibn Hajar al-Haytamī, Aḥmad bin Muḥammad, Ṭuḥfat al-Muḥtāj fī Sharḥ al-Minhāj, (Mesir: al-Maktabah al-Tijāriyyah al-Kubrā, 1983), jil. 3, ms. 190-191.

[12] Abū al-Ḥusayn, Muslim bin al-Ḥajjāj, Ṣaḥīḥ Muslim, (Turki: Dār al-Ṭibā‘ah al-‘Āmirah, 1443). No. Hadis 947, jil. 3, ms. 52.

[13] Abū al-Ḥusayn, Muslim bin al-Ḥajjāj, Ṣaḥīḥ Muslim, (Turki: Dār al-Ṭibā‘ah al-‘Āmirah, 1443). No. Hadis 948, jil. 3, ms. 53.

[14] Al-Nawawī, Yaḥyā bin Sharf, al-Minhāj Sharḥ Ṣaḥīḥ Muslim bin al-Hajjāj, (Beirut: Dār Ihyā’ al-Turāth al-‘Arabī,1392), jil. 7, ms. 17.

قِيلَ هَذِهِ الْأَحَادِيثُ خَرَجَتْ أَجْوِبَةً لِسَائِلِينَ سَأَلُوا عَنْ ذَلِكَ فَأَجَابَ كُلَّ وَاحِدٍ مِنْهُمْ عَنْ سُؤَالِهِ هَذَا كَلَامُ الْقَاضِي وَيَحْتَمِلُ أَنْ يَكُونَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَخْبَرَ بِقَبُولِ شَفَاعَةِ مِائَةٍ فَأَخْبَرَ بِهِ ثُمَّ بقبول شفاعة أربعين ثم ثلاث صُفُوفٍ وَإِنْ قَلَّ عَدَدُهُمْ فَأَخْبَرَ بِهِ وَيَحْتَمِلُ أَيْضًا أَنْ يُقَالَ هَذَا مَفْهُومُ عَدَدٍ وَلَا يَحْتَجُّ بِهِ جَمَاهِيرُ الْأُصُولِيِّينَ فَلَا يَلْزَمُ مِنَ الْإِخْبَارِ عَنْ قَبُولِ شَفَاعَةِ مِائَةٍ مَنْعُ قَبُولِ مَا دُونَ ذَلِكَ وَكَذَا فِي الْأَرْبَعِينَ مَعَ ثَلَاثَةِ صُفُوفٍ وَحِينَئِذٍ كُلُّ الْأَحَادِيثِ مَعْمُولٌ بِهَا وَيَحْصُلُ الشَّفَاعَةُ بِأَقَلِّ الْأَمْرَيْنِ مِنْ ثَلَاثَةِ صُفُوفٍ وأربعين.

 

Accessibility Toolbar