#118 Taudhih Al-Hukmi : FADILAT MENINGGAL DUNIA PADA HARI JUMAAT
Tarikh: 13 Julai 2026
Disediakan oleh : Unit Dirasat Ilmiah
Pendahuluan
Umat Islam sememangnya mengetahui kelebihan dan kemuliaan hari Jumaat. Di samping kedudukan hari Jumaat sebagai penghulu segala hari, ia juga dikaitkan dengan beberapa kelebihan lain seperti fadilat bagi sesiapa yang meninggal dunia pada hari Jumaat akan terpelihara daripada seksa azab kubur. Timbul persoalan berkenaan fadilat ini sama ada daripada sudut kesahihan sumber mahupun pandangan ulama mengenainya. Oleh itu, penulisan ini akan menyentuh aspek kesahihan sumber fadilat ini serta menghuraikan makna di sebalik fadilat ini.
Status Hadis Fadilat Meninggal Dunia Pada Hari Jumaat
Terdapat beberapa hadis mengenai fadilat bagi orang yang meninggal dunia pada hari Jumaat. Pertama, hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As RA, sabda Nabi SAW:
مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَمُوتُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَوْ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ إِلَّا وَقَاهُ اللهُ فِتْنَةَ الْقَبْرِ
Maksudnya: Tidaklah (menerima kelebihan) bagi seseorang Muslim yang meninggal dunia pada hari Jumaat atau malam Jumaat melainkan Allah SWT memeliharanya daripada fitnah (azab) kubur.
(Riwayat Ahmad)
Hadis ini telah direkodkan oleh Imam Ahmad dalam Musnad dan Imam al-Tirmizi dalam al-Sunan[1] secara marfu’ daripada jalur Hisyam bin Sa’ad daripada Sa’id bin Abu Hilal daripada Rabi’ah bin Sayf daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As RA.
Sanad hadis ini dinilai dhaif atas dua faktor. Faktor pertama terdapat perawi dhaif dalam sanad ini iaitu Hisyam bin Sa’ad. Ulama hadis seperti Imam Ahmad, Yahya bin Ma’in, Abu Hatim al-Razi dan Ibn ‘Adi telah menilai perawi ini sebagai dhaif.[2] Ibn Hibban dalam al-Majruhin menjelaskan punca perawi ini dinilai dhaif disebabkan berlaku banyak kesilapan oleh perawi ini ketika meriwayatkan hadis sehingga bercanggah dengan riwayat para perawi thiqah.[3] Faktor kedua sanad hadis ini dihukumkan dhaif kerana berlaku inqita’ pada sanad hadis ini. Imam al-Tirmizi menyatakan hadis ini gharib dan sanadnya tidak bersambung kerana Rabi’ah bin Sayf tidak mendengar secara langsung sesuatu hadis daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As RA.[4]
Walaupun begitu, hadis ini mempunyai jalur lain daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As RA. Imam Ahmad telah merekodkan hadis ini secara marfu’ daripada jalur Baqiyyah bin al-Walid daripada Mu’awiyah bin Sa’id al-Tujibi daripada Abu Qabil daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As RA.[5]
Sanad hadis ini juga dinilai dhaif disebabkan perawi bernama Mu’awiyah bin Sa’id al-Tujibi. Tiada penjelasan dan perincian berkenaan status perawi ini sehingga beliau boleh dinilai sebagai majhul hal. Ibn Hibban sekadar menyebut nama perawi ini dalam kitab al-Thiqat tanpa dijelaskan statusnya.[6] Oleh itu, al-Dhahabi menilainya sebagai wuththiq (وثق).[7] Ibn Hajar al-Asqalani dalam Taqrib al-Tahdhib menilai perawi ini sebagai maqbul.[8]
Kedua, hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, sabda Nabi SAW:
مَنْ مَاتَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وُقِيَ عَذَابَ الْقَبْرِ
Maksudnya: Sesiapa yang meninggal dunia pada hari Jumaat akan terpelihara daripada azab kubur.’
(Riwayat Abu Ya’la)
Hadis ini telah direkodkan oleh Imam Abu Ya’la al-Mawsili dalam Musnad secara marfu’ daripada jalur Yazid al-Raqasyi daripada Anas bin Malik RA.[9]
Hadis riwayat Anas bin Malik RA ini dinilai dhaif disebabkan terdapat perawi dhaif bernama Yazid al-Raqasyi. Ibn ‘Adi, al-Dhahabi dan Ibn Hajar al-Asqalani telah menilai perawi ini sebagai dhaif.[10] Ibn Hibban dalam al-Majruhin menjelaskan punca perawi ini dinilai dhaif kerana perawi ini tidak terlalu mementingkan penjagaan hadis disebabkan terlalu sibuk fokus beribadah semata.[11]
Ketiga, hadis yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah RA , sabda Nabi SAW:
مَنْ مَاتَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَوْ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ أُجِيرَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَجَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَلَيْهِ طَابَعُ الشُّهَدَاءِ
Maksudnya: Sesiapa yang meninggal dunia pada hari Jumaat atau malam Jumaat akan terpelihara daripada azab kubur dan akan dibangkitkan pada hari kiamat dengan tanda para syuhada.
(Riwayat Abu Nu’aim)
Hadis ini direkodkan oleh Imam Abu Nu’aim al-Asbahani secara marfu’ daripada jalur Umar bin Musa al-Wajihi daripada Muhammad bin al-Munkadir daripada Jabir bin Abdullah RA. Imam Abu Nu’aim menjelaskan bahawa hadis riwayat Jabir bin Abdullah RA ini adalah gharib.[12]
Hadis riwayat Jabir bin Abdullah RA ini juga dhaif dalam kategori dhaif jiddan kerana terdapat perawi bernama Umar bin Musa al-Wajihi yang merupakan perawi matruk. Imam al-Bukhari menilai perawi ini sebagai munkar al-hadith.[13] Imam al-Nasa’i pula menilai perawi ini sebagai matruk al-hadith.[14] Ibn Hibban dan Ibn ‘Adi turut menilai perawi ini sebagai terlalu dhaif.[15]
Terdapat beberapa lagi riwayat sokongan lain. Walaupun setiap satu riwayat tersebut dikritik, namun kesemuanya mampu menguatkan antara satu sama lain. Oleh itu, hadis fadilat meninggal dunia pada hari Jumaat dapat dihukumkan sebagai hasan lighayrih.
Penetapan status hadis sebagai hasan lighayrih bertepatan dengan kaedah yang telah dijeslakan oleh para ulama hadis. Imam al-Tirmizi dalam al-Sunan menjelaskan:
كل حديث يروى لا يكون في إسناده من يتهم بالكذب، ولا يكون الحديث شاذا، ويروى من غير وجه نحو ذلك فهو عندنا حديث حسن
Maksudnya: Setiap hadis yang diriwayatkan yang tiada pada sanadnya perawi yang ditohmah berdusta dan tiada syaz pada hadis itu serta diriwayatkan daripada pelbagai jalur, maka hadis ini di sisi kami adalah hasan (lighayrih).[16]
Imam Ibn al-Salah turut menjelaskan:
الحديث الذي لا يخلو رجال إسناده من مستور لم تتحقق أهليته، غير أنه ليس مغفلا كثير الخطأ فيما يرويه، ولا هو متهم بالكذب في الحديث، أي لم يظهر منه تعمد الكذب في الحديث ولا سبب آخر مفسق، ويكون متن الحديث مع ذلك قد عرف بأن روي مثله أو نحوه من وجه آخر أو أكثر حتى اعتضد بمتابعة من تابع راويه على مثله، أو بما له من شاهد، وهو ورود حديث آخر بنحوه، فيخرج بذلك عن أن يكون شاذا ومنكرا
Maksudnya: Hadis yang pada sanadnya terdapat para perawi yang tidak terlepas daripada sifat mastur yang belum jelas kelayakannya (sebagai perawi terpercaya), melainkan dia bukan seorang yang banyak melakukan kesalahan dalam periwayatannya dan bukan juga ditohmah berdusta dalam hadis, iaitu tidak jelas daripada perawi ini sengaja berdusta (memalsukan) hadis dan sebab lain yang menyebabkan dia disifatkan sebagai fasik, dan hendaklah matan hadis tersebut diketahui melalui riwayat lain yang seumpamanya atau hampir sama dengannya daripada satu atau lebih jalur periwayatan sehingga ia dikuatkan dengan mutaba’at daripada perawi lain yang meriwayatkan seumpamanya, atau dengan syahid iaitu daripada hadis lain yang hampir sama makna dengannya, maka dengan itu hadis tersebut keluar daripada kategori syaz dan munkar.[17]
Imam al-Nawawi dalam al-Taqrib Wa al-Taysir menjelaskan:
إذا روي الحديث من وجوه ضعيفة لا يلزم أن يحصل من مجموعها حسن، بل ما كان ضعفه لضعف حفظ راويه الصدوق الأمين زال بمجيئه من وجه آخر وصار حسنا
Maksudnya: Jika suatu hadis diriwayatkan daripada jalur-jalur yang dhaif tidak lazim dengan terhimpunnya (jalur periwayatan) menjadikan ia status hasan. Bahkan selagimana sifat dhaif disebabkan lemah hafazan (ingatan) perawinya yang bersifat al-saduq al-amin (terpercaya) hilanglah (sifat dhaif) dengan dibawa jalur yang lain maka menjadi hadis tersebut sebagai hasan.[18]
Makna Hadis Fadilat Meninggal Dunia Pada Hari Jumaat
Para ulama ketika mensyarahkan hadis fadilat meninggal dunia pada hari Jumaat menyatakan bahawa sesiapa yang meninggal sama ada pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat, maka orang tersebut akan terselamat daripada fitnah kubur serta terlepas daripada soalannya. Imam al-Suyuti ketika menerangkan kelebihan hari Jumaat menjelaskan:
الخصوصية السابعة والأربعون: الأمان من فتنة القبر لمن مات يومها، أو ليلتها، فلا يسأل في قبره
Maksudnya: Kelebihan keempat puluh tujuh: Selamat daripada fitnah kubur bagi sesiapa yang meninggal pada hari (Jumaat) atau malamnya, maka dia tidak akan ditanya di dalam kuburnya.[19]
Manakala, yang dimaksudkan dengan terselamat daripada fitnah kubur adalah diberikan kelancaran untuk menjawab soalan Malaikat di dalam kubur serta tidak takut apabila ditanya oleh mereka. Imam al-Ramli dalam Fatawa beliau menjelaskan:
ومعناه والله أعلم أنه لا يحصل له من رؤيتهما وسؤالهما خوف ولا فزع ويثبت
Maksudnya: Dan maknanya – hanya Allah SWT yang lebih mengetahui – adalah sesungguhnya orang tersebut tidak akan berasa takut dan gentar ketika melihat kedua-dua Malaikat dan ketika disoal mereka serta diberikan kemapanan (semasa menjawab soalan kubur).[20]
Bukan itu sahaja, mereka yang meninggal pada hari Jumaat adalah mereka yang telah ditetapkan oleh Allah SWT untuk meninggal dalam keadaan husnul khatimah. Hal ini menunjukkan mereka yang meninggal pada hari Jumaat adalah bagi mereka yang beriman sahaja. Adapun golongan fasik dan munafik tidak termasuk dalam golongan yang menerima kelebihan ini walaupun meninggal pada hari Jumaat. Al-Hakim al-Tirmizi menjelaskan dalam Nawadir al-Usul:
وأنه لم يقبض في هذا اليوم العظيم إلَاّ من كتب الله له السعادة عنده فلذلك يقيه فتنة القبر لأنَّ سببها إنما هو تمييز المنافق من المؤمن
Maksudnya: Dan dia tidak mencabut nyawa seseorang pada hari yang agung ini (hari Jumaat) melainkan Allah SWT telah menetapkan kebahagiaan untuknya di sisi-Nya. Oleh itu, Allah SWT memeliharanya daripada fitnah kubur, kerana sebabnya adalah untuk membezakan antara orang munafik dan orang beriman.[21]
Kesimpulan
Fadilat meninggal dunia pada hari Jumaat mempunyai asal daripada hadis Nabi SAW dan ia dapat dihukumkan sebagai hasan lighayrih. Hadis ini dikategorikan dalam hadis kelebihan beramal (fadha’il al-a’mal). Hadis ini menjelaskan bahawa mereka yang meninggal dunia pada hari Jumaat akan dipelihara daripada soalan dan fitnah kubur. Hadis ini secara tidak langsung mendidik masyarakat agar bersangka baik terhadap mereka yang meninggal pada hari yang mulia ini.
[1] Aḥmad bin Muḥammad bin Ḥanbal. Musnad Aḥmad. (Beirut: Mu’assasat al-Risālah, 2001). no. hadis hadis 6582, jilid 11. M.s . 147,; Al-Tirmidhī, Muḥammad bin ʿĪsā. Sunan al-Tirmidhī. (Mesir: Musṭafā al-Bābī al-Ḥalabī, 1975). no. hadis 1074, Jilid 3. M.s . 378.
[2] Ibn Abī Ḥātim,ʿAbd al-Raḥman bin Muḥammad. Al-Jarh Wa al-Taʿdīl. (Beirut: Dār Iḥyā’ al-Turāth al-Islāmī, 1952). Jilid 9. M.s . 61.
Ahmad bin Hanbal:
نا عبد الرحمن حدثني أبي قال سمعت أحمد بن حنبل يقول: لم يكن هشام ابن سعد بالحافظ.
نا عبد الرحمن نا حرب بن إسماعيل الكرماني فيما كتب إلى قال سمعت أحمد بن حنبل وذكر له هشام بن سعد فلم يرضه، وقال: ليس بمحكم الحديث.
Yahya bin Ma’in:
نا عبد الرحمن قال قرئ على العباس بن محمد الدوري قال سمعت يحيى بن معين يقول: هشام بن سعد فيه ضعف وداود بن قيس أحب إلي منه.
نا عبد الرحمن أنا أبو بكر ابن أبي خيثمه فيما كتب إلي قال سمعت يحيى بن معين يقول هشام ابن سعد هو صالح ليس بمتروك الحديث
Abu Hatim al-Razi:
نا عبد الرحمن قال سألت ابى عن هشام بن سعد فقال يكتب حديثه ولا يحتج به، هو ومحمد بن اسحاق عندي واحد.
Ibn ʿAdī, Aḥmad bin ʿAdī. Al-Kāmil Fī Ḍuʿafā’ al-Rijāl. (Beirut: al-Kutub al-ʿIlmiyyah, 1997). Jilid 8. M.s . 411.
ولهشام غير ما ذكرت ومع ضعفه يكتب حديثه
[3] Ibn Ḥibbān, Muḥammad bin Ḥibbān. Al-Majrūḥīn Min al-Muḥaddithīn Wa al-Ḍuʿafā’ Wa al-Matrūkīn. (Syria: Dār al-Waʿyī, 1996). Jilid 3. M.s . 89.
كان ممن يقلب الأسانيد وهو لا يفهم ويسند الموقوفات من حيث لا يعلم فلما كثر مخالفته الأثبات فيما يروي عن الثقات بطل الاحتجاج به وإن اعتبر بما وافق الثقات من حديثه فلا ضير
[4] Al-Tirmidhī, Muḥammad bin ʿĪsā. Sunan al-Tirmidhī. no. hadis 1074. Jilid 3. M.s . 378.
هذا حديثٌ غريبٌ. وليسَ إسنادُه بمُتَّصِلٍ؛ ربيعةُ بنُ سيفٍ إنما يروي عن أبي عبد الرحمنِ الحُبُليِّ، عن عبدِ الله بنِ عَمْرٍو، ولا نَعْرِفُ لربيعةَ بنِ سيفٍ سماعًا من عبدِ الله بنُ عَمْرو
[5] Aḥmad bin Muḥammad bin Ḥanbal. Musnad Aḥmad. no. hadis 6646. Jilid 11. M.s . 226,.
[6] Ibn Ḥibbān, Muḥammad bin Ḥibbān. Al-Thiqāt. (India: Dā’irat al-Maʿārif al-ʿUthmāniyyah, 1973). Jilid 9. M.s . 166.
[7] Al-Dhahabī, Muḥammad bin Aḥmad. Al-Kāshif. (Saudi: Dār al-Qiblah, 1992). Jilid 2. M.s . 275.
[8] Ibn Ḥajar al-ʿAsqalānī, Aḥmad bin ʿAlī. Taqrīb al-Tahdhīb. (Saudi: Dār al-Minhāj, 2009). M.s . 537.
[9] Abu Yaʿlā al-Mawṣilī, Aḥmad bin ʿAlī. Musnad Abī Yaʿlā al-Mawṣilī. (Syria: Dār al-Ma’mūn Li al-Turāth, 1984). Jilid 7. M.s . 146, no. hadis 4113.
[10] Al-Kamil. Jilid 9. M.s 131.
وليزيد الرقاشي أحاديث صالحة، عن أنس وغيره ونرجو أنه لا بأس به برواية الثقات عنه من البصريين والكوفيين وغيرهم
Al-Dhahabī, Muḥammad bin Aḥmad. Al-Kāshif. Jilid 2. M.s . 380.
ضعيف
Ibn Ḥajar al-ʿAsqalānī, Aḥmad bin ʿAlī. Taqrīb al-Tahdhīb. M.s . 599.
زاهد ضعيف
[11] Ibn Ḥibbān, Muḥammad bin Ḥibbān. Al-Majrūḥīn Min al-Muḥaddithīn Wa al-Ḍuʿafā’ Wa al-Matrūkīn. Jilid 3. M.s . 89.
يزيد الرقاشي هو يزيد بن أبان من أهل البصرة كنيته أبو عمرو يروي عن أنس بن مالك روى عنه أهل البصرة والعراقيون وكان من خيار عباد الله من البكائين بالليل في الخلوات والقائمين بالحقائق في السبرات ممن غفل عن صناعة الحديث وحفظها واشتغل بالعبادة وأسبابها حتى كان يقلب كلام الحسن فيجعله عن أنس عن النبي صلى الله عليه وسلم وهو لا يعلم فلما كثر في روايته ما ليس من حديث أنس وغيره من الثقات بطل الاحتجاج به فلا تحل الرواية عنه إلا على سبيل التعجب وكان قاصا يقص بالبصرة ويبكي الناس
[12] Al-Aṣbahānī, Aḥmad bin ʿAbd Allah Abū Nuʿaym. Ḥilyat al-Awliyā’ Wa Ṭabaqāt al-Aṣfiyā’. (Mesir: Maṭbaʿah al-Saʿādah, 1974). Jilid 3. M.s . 155.
[13] Al-Bukhārī, Muḥammad bin Ismāʿīl. Al-Tārīkh al-Kabīr. (India: Dār al-Maʿārif al-ʿUthmāniyyah, t.t). Jilid 6. M.s . 197.
[14] Al-Nasā’ī, Aḥmad bin Shuʿayb. Al-Ḍuʿafā’ Wa al-Matrūkūn. (Syria: Dār al-Waʿyī, 1976). M.s . 86.
[15] Ibn Ḥibbān, Muḥammad bin Ḥibbān. Al-Majrūḥīn Min al-Muḥaddithīn Wa al-Ḍuʿafā’ Wa al-Matrūkīn. Jilid 2. M.s . 86.
كان ممن يروي المناكير عن المشاهير فلما كثر في روايته عن الثقات مالا يشبه حديث الأثبات حتى خرج عن حد العدالة إلى الجرح فاستحق الترك
Ibn ʿAdī, Aḥmad bin ʿAdī. Al-Kāmil Fī Ḍuʿafā’ al-Rijāl. Jilid 6. M.s . 23.
ولعمر بن موسى غير ما ذكرت من الحديث كثير وكل ما أمليت لا يتابعه الثقات عليه وما لم أذكره كذلك، وهو بين الأمر في الضعفاء، وهو في عداد من يضع الحديث متنا وإسنادا
[16] Al-Tirmidhī, Muḥammad bin ʿĪsā. Sunan al-Tirmidhī. Jilid 6. M.s . 251.
[17] Ibn al-Ṣalāḥ, ʿUthmān bin ʿAbd al-Raḥmān. Muqaddimah Ibn al-Ṣalāḥ. (Beirut: Dār al-Fikr, 1986)
M.s. 34.
[18] Al-Nawawī, Muḥy al-Dīn bin Sharf. Al-Taqrīb Wa al-Taysīr. (Beirut: Dār al-Kitāb al-ʿArabī, 1985) M.s. 31.
[19] Al-Suyūṭī, ʿAbd al-Raḥman bin Abī Bakr. Nūr al-Lumʿah Fī Khaṣā’iṣ Yawm al-Jumuʿah. (Beirut: Dār al-Kutub al-ʿIlmiyyah, 1987). M.s. 61.
[20] Al-Ramlī, Shihāb al-Dīn Aḥmad bin Ḥamzah. Fatāwā al-Ramlī. (t.t.p: al-Maktabah al-Islāmiyyah, t.t). Jilid 4. M.s. 379.
[21] Al-Suyūṭī, ʿAbd al-Raḥman bin Abī Bakr. Qūt al-Mughtadhī ʿAlā Jāmiʿ al-Tirmidhī . (Saudi: Jāmiʿah Umm al-Qurā, 2004). Jilid 1. M.s . 324.

