Jabatan Mufti Negeri Selangor Terus Meriahkan Karnival Agensi Islam Selangor 2026 Zon 2 dengan Pengisian Ilmiah

Jabatan Mufti Negeri Selangor Terus Meriahkan Karnival Agensi Islam Selangor 2026 Zon 2 dengan Pengisian Ilmiah

 

PUNCAK ALAM, 5 Julai – Meneruskan komitmen penyertaan pada Karnival Agensi Islam Selangor 2026 Zon 1 di Rawang, Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMNS) sekali lagi tampil memeriahkan Karnival Agensi Islam Selangor 2026 Zon 2 yang berlangsung selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Julai 2026 di Masjid Puncak Alam.

 

Karnival anjuran Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor, YB Tuan Dr. Mohd Fahmi bin Ngah yang diselaraskan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ini terus menjadi platform menghimpunkan pelbagai agensi Islam negeri bagi mendekatkan perkhidmatan, menyampaikan penerangan serta memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap hal ehwal Islam.

 

Sepanjang penganjuran Zon 2, JMNS meneruskan pelbagai pengisian ilmiah dan interaktif yang mendapat sambutan baik daripada para pengunjung. Antara aktiviti yang disediakan ialah Pameran Falak dan Fatwa, Klinik Hukum, Transformasi Tarikh Hijri, Cerapan Langit Malam, serta Slot Penerangan Pengurusan Kiblat Negeri Selangor. Kesemua pengisian ini memberi peluang kepada masyarakat untuk mengenali dengan lebih dekat peranan Jabatan Mufti dalam bidang falak, fatwa dan pengurusan kiblat di Negeri Selangor.

 

Turut diadakan ialah Pentazkirah Jumaat bertajuk “Pengurusan Waktu Solat Negeri Selangor 2027” yang disampaikan oleh Ustaz Muhamad Fahmi bin Soen, Penolong Mufti Kanan, Bahagian Falak. Beliau menghuraikan kaedah penentuan waktu solat serta usaha berterusan Jabatan Mufti dalam memastikan ketepatan jadual waktu solat bagi kegunaan umat Islam di Negeri Selangor.

 

Selain itu, Penolong Mufti Kanan, Bahagian Fatwa, Ustaz Abdul Wahid bin Ishak telah menyampaikan ceramah bertajuk “Pengurusan Kubur Bertingkat Negeri Selangor“. Ceramah tersebut menjelaskan konsep, keperluan serta panduan syarak berkaitan pelaksanaan kubur bertingkat sebagai salah satu pendekatan dalam menangani isu kekurangan tanah perkuburan di beberapa kawasan di Negeri Selangor.

 

Penyertaan berterusan Jabatan Mufti Negeri Selangor dalam siri Karnival Agensi Islam Selangor 2026 membuktikan komitmen jabatan untuk terus mendekati masyarakat melalui penyampaian ilmu yang sahih, perkhidmatan yang mudah diakses serta pendekatan yang lebih interaktif. Usaha ini diharapkan dapat memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap hukum syarak dan meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap peranan institusi mufti dalam mendepani isu-isu semasa.

 

Unit Komunikasi Korporat

Jabatan Mufti Negeri Selangor

Accessibility Toolbar