#117
Taudhih Al-Hukmi : Hukum Membeli Emas Bukan
Perhiasan Secara Ansuran
Tarikh: 6
Julai 2026
Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah
Pendahuluan
Jual beli
barangan ribawi dikira sah dan tiada unsur riba apabila memenuhi syarat yang
ditetapkan. Antara bentuk pertukaran dua barangan ribawi ialah pertukaran emas
bukan perhiasan dengan mata wang. Mata wang kini merupakan medium bagi
kebanyakan transaksi dan diletakkan kedudukannya oleh para sarjana setara
dengan emas dan perak dari sudut nilai dan ‘illahnya, iaitu thaman (wang).
Justeru, apakah status jual beli emas bukan perhiasan secara ansuran yang
kebiasaannya melibatkan pertukaran antara emas dengan mata wang?
Hukum Jual Beli Antara Dua Barangan Ribawi
Pertukaran antara dua barangan ribawi adalah berpandukan kepada hadis yang
diriwayatkan daripada Ubadah bin Samit RA, beliau berkata bahawasanya
Rasulullah SAW bersabda:
الذَّهَبُ
بِالذَّهَبِ وَالْفِضَّةُ بِالْفِضَّةِ وَالْبُرُّ بِالْبُرِّ وَالشَّعِيرُ
بِالشَّعِيرِ وَالتَّمْرُ بِالتَّمْرِ وَالْمِلْحُ بِالْمِلْحِ مِثْلًا بِمِثْلٍ
سَوَاءً بِسَوَاءٍ يَدًا بِيَدٍ فَإِذَا اخْتَلَفَتْ هَذِهِ الْأَصْنَافُ
فَبِيعُوا كَيْفَ شِئْتُمْ إِذَا كَانَ يَدًا بِيَدٍ
Maksudnya:
(Jual) emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan
barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, timbangan dan beratnya mesti
sama, penyerahan secara serta-merta. Namun, jika berbeza jenis, maka lakukanlah
jual beli mengikut apa yang kamu kehendaki sekiranya bayaran dilakukan dengan
serta-merta.[1]
Pertukaran
antara barangan ribawi sejenis adalah dibenarkan tertakluk kepada syarat yang
ditetapkan oleh para fuqaha berdasarkan hadis tersebut, iaitu:
1. Tamāthul (sama kuantiti antara keduanya).
2. Ḥulul (pertukaran serta-merta tanpa syarat
bertangguh).
3. Taqābuḍ (berlaku penyerahan pegangan ketika
memeterai kontrak).[2]
Namun, tamāthul tidak disyaratkan apabila kedua-duanya berlainan
jenis seperti yang dinyatakan dalam hadis tersebut. Oleh itu, transaksi jual
beli antara dua barangan ribawi yang berlainan jenis tetapi sama ‘illahnya
adalah sah jika berlaku secara ḥulul dan taqābuḍ. Imam al-Nawawī berkata:
وَإِنْ
كَانَا بِعِلَّةٍ فَإِنِ اتَّحَدَ الْجِنْسُ بِأَنْ بَاعَ الذَّهَبَ بِالذَّهَبِ
وَالْحِنْطَةَ بِالْحِنْطَةِ ثَبَتَتْ أَحْكَامُ الرِّبَا الثَّلَاثَةُ فَتَجِبُ
رِعَايَةُ التَّمَاثُلِ وَالْحُلُولِ وَالتَّقَابُضِ فِي الْمَجْلِسِ. وَإِنِ
اخْتَلَفَ الْجِنْسُ كَالْحِنْطَةِ بِالشَّعِيرِ وَالذَّهَبِ بِالْفِضَّةِ لَمْ
تُعْتَبَرِ الْمُمَاثَلَةُ وَيُعْتَبَرُ الْحُلُولُ وَالتَّقَابُضُ فِي الْمَجْلِس
Maksudnya:
Jika kedua-dua barang tukaran mempunyai ‘illah dan jenis yang sama,
seperti emas dengan emas, gandum dengan gandum, maka terpakai ketiga-tiga hukum
riba tersebut. Oleh itu, syarat tamāthul, ḥulul, dan taqābuḍ
perlu dijaga ketika majlis akad. Jika keduanya berlainan jenis seperti gandum
dengan barli, emas dengan perak, maka tidak terpakai syarat tamāthul,
namun disyaratkan ḥulul dan taqābuḍ ketika majlis akad.[3]
Bagi jual
beli emas, kontrak yang terlibat ialah bay‘al-ṣarf yang mana‘illah
antara dua barangan tukaran adalah thaman (wang). Syarat kontrak bay‘al-ṣarf
adalah sama seperti syarat jual beli berserta syarat yang perlu dipenuhi
bagi pertukaran antara dua barangan ribawi, iaitu tamāthul, ḥulul,
dan taqābuḍ. Jika keduanya berlainan jenis tetapi sama ‘illahnya
seperti emas bukan perhiasan dengan mata wang, maka hanya ḥulul dan taqābuḍ
sebagai syarat yang perlu dipenuhi.
Pegangan
Emas Secara Fizikal Atau Simpanan Dalam Akaun
Era kini,
pegangan emas yang dimiliki boleh berlaku secara hakiki, iaitu fizikal atau
secara hukmī, iaitu simpanan dalam akaun.[4] Pegangan emas secara hukmī
bermaksud kuantiti emas yang dibeli tersimpan dalam suatu akaun dan direkodkan
secara rasmi ketika pemeteraian kontrak. Emas tersebut boleh direkodkan melalui
kaedah pensijilan atau penomboran bersiri atau apa-apa cara yang diiktiraf yang
mana membolehkan pembeli menjual atau mendapatkannya secara fizikal pada
bila-bila masa.[5]
Pegangan ini juga mestilah membawa kepada takhliyyah (pemindahan hak
pemilikan), tamkīn (hak faedah) dan ḍamān (hak liabiliti).[6] Imam
al-Kasani menyebut:
ولا
يشترط القبض بالبراجم لأن معنى القبض هو التمكين والتخلي وارتفاع الموانع عرفا
وعادة حقيقة
Maksudnya:
Tidak disyaratkan berlakunya serahan melalui tangan (fizikal), kerana makna
sebenar serahan merangkumi tamkīn (mengambil manfaat daripada barang
tersebut), takhalli (penyerahan) dan tiada sebarang halangan (daripada
menggunakannya untuk apa-apa urusan) menurut ‘urf dan kebiasaan secara
hakiki.[7]
Qabḍ
hukmī atau dikenali sebagai pegangan
konstruktif juga diiktiraf Akademi Fiqh Islam Antarabangsa (IIFA) dalam
persidangannya yang ke-6.[8]
Selain itu, kontrak asas yang diaplikasikan dalam transaksi jual beli emas
ialah bay‘al-ṣarf, iaitu kontrak pertukaran antara wang dengan wang yang
terdiri daripada mata wang, emas dan perak sama ada daripada jenis yang sama
atau bukan.[9]
Hukum
Membeli Emas Bukan Perhiasan Secara Ansuran
Taqābuḍ dan ḥulul adalah sebahagian daripada syarat kontrak bay‘al-ṣarf.
Oleh itu, transaksi jual beli emas bukan perhiasan dengan emas bukan perhiasan,
perak atau mata wang pada asalnya tidak boleh dilakukan secara ansuran dan
bertangguh[10]
kerana ia bercanggah dengan ketetapan kontrak bay‘al-ṣarf.
Namun
dalam konteks moden, bagi pembelian emas melalui kemudahan Beli Sekarang Bayar
Kemudian (Buy Now Pay Later, BNPL), Majlis Penasihat Syariah (MPS) Bank
Negara Malaysia (BNM) pada mesyuarat kali ke-228 dan ke-231 memutuskan bahawa
bayaran boleh diselesaikan selewatnya dua hari selepas daripada tarikh
transaksi disebabkan kekangan operasi dan amalan pasaran perniagaan (‘urf
tijarī) atau lebih jika belaku gangguan di luar jangkaan (unexpected
disruption). Hal ini selari dengan dua kaedah fiqh berikut:
الـمَشَقَّةُ
تَجْلِبُ التَّيْسِيرَ
Maksudnya:
Kesukaran membawa kepada keringanan
dan
العَادَّةُ
مُحَكَّمَة
Maksudnya:
Adat adalah asas penghakiman.[11]
Justeru,
difahami bahawa pembelian emas bukan perhiasan menggunakan emas bukan
perhiasan, perak, atau mata wang tidak boleh berlaku secara bertangguh atau
secara ansuran.
Kesimpulan
Transaksi
antara dua barangan ribawi yang mana ‘illahnya adalah thaman (wang)
disyaratkan tamāthul, ḥulul, dan taqābuḍ jika keduanya
daripada jenis yang sama seperti emas bukan perhiasan dengan emas bukan
perhiasan. Namun begitu, tamāthul tidak wajib jika keduanya berlainan
jenis seperti emas bukan perhiasan dengan mata wang sama ada taqābuḍ
berlaku secara fizikal atau konstruktif. Justeru, pembelian emas bukan
perhiasan tidak boleh dilakukan secara ansuran jika nilai tukarannya ialah emas
bukan perhiasan, perak atau mata wang.
[1] Abu al-Husayn Muslim bin al-Hajjāj, Ṣaḥīḥ
Muslim, (Turki: Dār al-Tibā‘ah al-‘Āmirah), no. hadis 1587, jil. 5, ms. 44.
[2] ‘Umar bin Husayn al-Kāf, Aḥmad bin Husayn
al-Kāf & Muḥammad bin Muḥsin al-‘Aṭṭās, Naf‘u al-Asqā‘ Sharḥ Mu‘āmalat
Abī Shujā‘ (Tarīm: Maktabah Tarīm al-Hadīthah), ms. 60.
[3] Al-Nawawī, Muḥy al-Dīn Yaḥyā bin Sharaf, Rawḍat
al-Ṭālibīn wa ‘Umdat al-Muftīn, (t.t.p: Al-Maktab Al-’Islāmī), jil. 3, ms.
380.
[4] Dr. Zaharuddin Abd Rahman “Ensiklopedia
Fiqh Muamalat dan Kewangan Islam”, Karya Bestari, ms. 498-499.
[5] Accounting
and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions (AAOIFI), Shari’ah Standard No. (57) Gold and Its Trading Parameters
in Shari’ah.
[6] Bank Negara Malaysia, Mesyuarat MPS 220, 228
dan 231.
[7] Al-Kāsānī, Abū Bakr bin Mas‘ūd, Baḍāi‘
al-Ṣanāi‘ fī Tartīb al-Sharāi‘, (Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1328), jil. 5,
ms. 148. Disebutkan dalam Majallah al-Buhuth al-Islāmiyyah, jil. 95, ms.
213:
وقال الكاساني (ت: 587 هـ): (ولا يشترط القبض بالبراجم لأن معنى
القبض هو التمكين والتخلي وارتفاع الموانع عرفًا وعادةً حقيقة) .فالقبض
استيلاء على الشيء وتمكنٌ منه وارتفاع الموانع من التصرف فيه.
[8] Majalah Majma’ al-Fiqh
al-Islami,
bil. 19, jil. 6, ms. 592.
بأنَّ الذمةَ الحاضرةَ كالعين الحاضرة وبأنَّ الدين في الذمة
كالمقبوض
[9] Bank Negara Malaysia, Policy Document Bai Al-Sarf, 11 April 2018, ms. 4.
[10] Accounting
and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions (AAOIFI), Shariah’s Standard No. (1) Trading in Currencies, 31 Mei 2000, ms. 3.
[11] Bank Negara Malaysia, Kompilasi Keputusan
Syariah Dalam Kewangan Islam, Edisi Ketiga, ms. 53.

