#116 Taudhih Al-Hukmi : Hikmah Bacaan Jahar dan Sir Dalam Solat

#116 Taudhih Al-Hukmi : Hikmah Bacaan Jahar dan Sir dalam Solat

Tarikh: 29 Jun 2026

Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah

Pendahuluan

Solat merupakan tiang agama yang menjadi tunjang hubungan antara seorang Muslim dengan Allah SWT. Selain pergerakan dan rukun, bacaan dalam solat turut menjadi aspek penting yang melengkapkan pelaksanaan ibadah sesuai dengan ketetapan syarak.  Cara bacaan dalam solat terbahagi kepada dua iaitu secara jahar (kuat) dan sir (perlahan). Jadi, apakah hikmah disebalik pensyariatan kedua-dua cara bacaan ini dalam solat?

Bacaan Jahar dan Sir dalam Solat

Secara umumnya, bacaan jahar bermaksud bacaan yang kuat dan bacaan sir ialah bacaan yang perlahan. Sahib al-Hawiy menyatakan bahawa:

حَدُّ الْجَهْرِ أَنْ يُسْمِعَ مَنْ يَلِيهِ وَحَدُّ الْإِسْرَارِ أَنْ يُسْمِعَ نَفْسَهُ[1]

Maksudnya: Had bacaan jahar (kuat) ialah apabila orang yang berada di sebelahnya dapat mendengar bacaannya, manakala had bacaan sir (perlahan) ialah hanya dirinya sendiri yang dapat mendengar bacaannya.

Bacaan secara jahar dan sir dalam solat telah diriwayatkan oleh golongan khalaf[2] daripada salaf[3] sebagaimana dinukilkan oleh Imam al-Syirazi dalam kitab al-Muhadhab fi Fiqh al-Imam al-Shafi’i[4]:

ويستحب للإمام أن يجهر بالقراءة في الصبح والأوليين من المغرب والأوليين من العشاء والدليل عليه نقل الخلف عن السلف

Maksudnya: Disunatkan bagi imam untuk menguatkan bacaan ketika solat Subuh, dua rakaat yang pertama daripada solat Maghrib dan Isyak. Dalil bagi perkara ini ialah apa yang telah diriwayatkan oleh khalaf daripada salaf.

Sunat bacaan sir (perlahan):

ويستحب الإسرار في الظهر والعصر والثالثة من المغرب والأخريين من العشاء الأخيرة لأنه نقل الخلف عن السلف

Maksudnya: Disunatkan memperlahankan bacaan ketika solat Zohor, Asar, rakaat ketiga Maghrib dan dua rakaat terakhir Isyak. Dalil bagi perkara ini ialah apa yang telah diriwayatkan oleh khalaf daripada salaf.

Bacaan secara jahar dan sir dalam solat adalah berdasarkan kepada hadis-hadis sahih seperti yang diriwayatkan daripada Jubair bin Mut’im daripada bapanya, beliau berkata:

سَمِعْتُ الرسول صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَرَأَ فِي الْمَغْرِبِ ‌بالطور[5]

Maksudnya: Aku mendengar Rasulullah SAW membaca surah al-Tur ketika solat Maghrib.

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Selain itu, terdapat juga hadis yang diriwayatkan daripada al-Barra’ RA, bahawa beliau  mendengar Nabi SAW membaca surah al-Tin ketika solat Isyak lantas menyatakan:

وَمَا سَمِعْتُ أَحَدًا ‌أَحْسَنَ ‌صَوْتًا مِنْهُ أو قراءة[6]

Maksudnya: Aku tidak pernah mendengar siapa yang lebih merdu suaranya daripada bacaan Baginda SAW.

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis-hadis di atas jelas menunjukkan bahawa Nabi SAW menguatkan bacaan iaitu secara jahar sehingga didengari oleh orang lain bagi dua rakaat solat Maghrib, Isyak dan Subuh.

Di samping itu, kitab al-Iqna’ fi Hal Alfaz Abi Syuja’ turut menyatakan beberapa jenis solat lain yang disunatkan padanya bacaan secara jahar:

فَيسنّ لغيرالْمَأْمُوم أَن ‌يجْهر بِالْقِرَاءَةِ فِي الصُّبْح وأولتي العشاءين وَالْجُمُعَة وَالْعِيدَيْنِ وخسوف الْقَمَر وَالِاسْتِسْقَاء والتراويح ووتر رَمَضَان وركعتي الطّواف لَيْلًا أَو وَقت الصُّبْح

Maksudnya: Maka disunatkan bagi selain makmum untuk membaca secara jahar pada solat Subuh, dua rakaat pertama solat Maghrib dan Isyak, solat Jumaat, dua solat hari raya, solat gerhana bulan, solat istisqa’ (minta hujan), solat tarawih, witir pada bulan Ramadhan dan dua rakaat tawaf apabila dilakukan waktu malam atau waktu Subuh.

Berdasarkan nas-nas dan perbahasan para ulama di atas, dapat difahami bahawa pembahagian bacaan secara jahar dan sir dalam solat adalah suatu ketetapan yang mempunyai asas syarak yang jelas. Oleh itu, perbahasan seterusnya akan meneliti hikmah disebalik pensyariatan kedua-dua bentuk bacaan ini.

 

Hikmah Bacaan Jahar dan Sir dalam Solat

 

Hikmah pensyariatan bacaan jahar dan sir dalam solat tidak dijelaskan secara khusus oleh para ulama. Namun, perbezaan keadaan pelaksanaannya boleh dijadikan asas dalam menjelaskan hikmah perkara tersebut dilakukan sedemikian. Antaranya ialah:

  • Mengelak Gangguan Bacaan Imam

Disunatkan bagi imam membaca secara jahar dalam solat Subuh serta dua rakaat yang pertama daripada solat Maghrib dan Isyak. Manakala makmum disunatkan membaca secara sir bagi mengelak berlakunya gangguan terhadap bacaan imam serta membolehkan mereka memberi perhatian kepada bacaan tersebut. Perkara ini sebagaimana dijelaskan dalam kitab al-Majmu’ Sharh al-Muhadhdhab:  

ويستحب للمأموم ان يسر لأنه إذا جهر نازع الإمام في القراءة لأنه مأمور بالانصات إلى الإمام وإذا جهر لم يمكنه الانصات لغيره فهو كالإمام[7]

Maksudnya: Disunatkan bagi makmum untuk membaca secara sir (perlahan) kerana jika dia membaca dengan jahar dia akan menyaingi (mengganggu) bacaan imam. Hal ini kerana, makmum diperintahkan untuk mendengar bacaan imam. Apabila  makmum membaca dengan kuat, dia tidak mungkin mendengar bacaan orang lain (iaitu imam). Maka keadaannya adalah seperti imam.

Perkara ini dapat difahami melalui hadis yang diriwayatkan daripada Imran bin al-Husayn bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‌صَلَّى ‌الظُّهْرَ. ‌فجعل ‌رجل ‌يقرأ ‌خلفه بسبح اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلَى. فَلَمَّا انْصَرَفَ قَالَ “أَيُّكُمْ قَرَأَ” أَوْ “أَيُّكُمُ الْقَارِئُ فَقَالَ رَجُلٌ: أَنَا. فَقَالَ “قَدْ ظَنَنْتُ أَنَّ بَعْضَكُمْ خَالَجَنِيهَا [8]

Maksudnya: Rasulullah SAW pernah menunaikan solat Zohor dalam keadaan Baginda mendapati seorang lelaki membaca surah Sabbihis marabbikal ‘ala (surah al-A’la). Apabila Baginda selesai solat, Baginda bertanya: Siapakah di antara kamu yang membaca ayat itu? Seorang lelaki menjawab: Saya. Baginda bersabda: Aku menyangkakan sebahagiannya (bacaan kamu) telah bercampur dengan solatku.

(Riwayat Muslim)

Dinyatakan dalam kitab al-Kawakib al-Wahaj Sharh Sahih Muslim bahawa maksud خَالَجَنِيهَا ialah:

شاركني في قراءة هذه السورة وخَلَّطنِيها[9]

Maksudnya: Turut serta bersamaku (Baginda SAW) membaca surah ini dan mencampuradukkan bacaannya dengan bacaanku.

Justeru itu, ketetapan bacaan jahar bagi imam dan bacaan sir bagi makmum ketika solat berjemaah adalah agar tidak mengganggu bacaan imam.

  • Mentadabburi Ayat-ayat al-Quran

Seseorang yang solat secara bersendirian disunatkan untuk membaca secara jahar menurut jumhur ulama dan pendapat mazhab Shafi’i. Menurut al-’Abdari, ini merupakan mazhab semua ulama kecuali Imam Abu Hanifah yang berpendapat bahawa bacaan jahar dan sir bagi seseorang yang solat bersendirian adalah sama iaitu seperti imam.

Imam al-Ramli dalam kitabnya menyatakan bahawa orang yang solat secara bersendirian diqiyaskan seperti imam[10]

Pengqiyasan ini boleh dijadikan hikmah bacaan jahar dalam solat seperti yang dijelaskan oleh Imam al-Nawawi dalam Majmu’ Syarh al-Muhadhdhab bahawa orang yang solat bersendirian juga berhajat kepada bacaan secara jahar bagi membantu tadabbur (merenung dan memahami makna) terhadap ayat-ayat yang dibaca:

أَنَّ الْمُنْفَرِدَ كَالْإِمَامِ فِي الْحَاجَةِ إلَى الْجَهْرِ لِلتَّدَبُّرِ فَسُنَّ لَهُ الْجَهْرُ كَالْإِمَامِ وَأَوْلَى لِأَنَّهُ أَكْثَرُ تَدَبُّرًا لِقِرَاءَتِهِ لِعَدَمِ ارْتِبَاطِ غَيْرِهِ وَقُدْرَتِهِ عَلَى إطَاقَةِ الْقِرَاءَةِ وَيَجْهَرُ بِهَا لِلتَّدَبُّرِ كَيْفَ شَاءَ[11]

Maksudnya: Seseorang yang solat bersendirian adalah seperti imam dari segi keperluan untuk menguatkan bacaan bagi tujuan tadabbur. Maka disunatkan baginya menguatkan bacaan seperti seorang imam bahkan lebih afdal. Hal ini kerana, seseorang yang solat bersendirian lebih banyak merenung bacaan dan tiada sesiapa bersamanya. Jadi, dia mampu menguasai bacaan itu lalu menguatkan bacaan untuk tadabbur mengikut kehendaknya.

Oleh itu, orang yang solat bersendirian disunatkan membaca secara jahar supaya dapat merenungi makna ayat-ayat al-Quran yang dibaca.

  • Menjaga Kehormatan dan Mengelak Fitnah Terhadap Wanita

Menurut kebanyakan ulama mazhab Shafi’i iaitu Imam al-Nawawi, Syeikh Abdul Hamid al-Bandaniji, Abu al-Tayyib dan al-Mahamili, seseorang perempuan boleh membaca secara jahar dalam solat apabila dia solat di hadapan perempuan lain atau lelaki mahram sama ada solat secara berjemaah dengan perempuan lain atau secara bersendirian[12].

Namun jika dia solat di hadapan lelaki ajnabi (bukan mahram), maka dia hendaklah membaca secara sir. Hal ini kerana perbuatan tersebut dikhuatiri boleh menimbulkan fitnah terhadap dirinya. Perkara ini dinyatakan dalam kitab Busyra al-Karim bahawa:

(لغير إمرأة) وخنثى (بحضرة) الرجال (الأجانب) لكراهته لهما حينئذٍ لخوف الفتنة[13]

Maksudnya: (Sunat bacaan jahar itu) bagi selain perempuan dan khunsa apabila berada di hadapan lelaki ajnabi kerana makruh bagi kedua-duanya (menjaharkan) bacaan ketika itu, kerana dikhuatiri menimbulkan fitnah.

Perkara ini turut dinyatakan oleh Imam Khatib al-Syirbini dalam kitab Mughni al-Muhtaj seperti berikut:

أما الأنثى والخنثى فيجهران حيث لا يسمع أجنبي ويكون جهرهما دون جهر الذكر فإن كان يسمعهما أجنبي أسرا فإن جهرا لم تبطل[14]

Maksudnya: Adapun perempuan dan khunsa, maka mereka membaca secara jahar pada tempat yang tidak didengari oleh lelaki ajnabi. Namun bacaan jahar mereka adalah lebih perlahan berbanding bacaan jahar lelaki. Jika terdapat lelaki ajnabi yang dapat mendengar mereka, maka mereka hendaklah membaca secara sir. Jika mereka tetap membaca secara jahar, maka solat mereka tidak batal.

Justeru itu, hukum ini menunjukkan bahawa syariat memelihara kehormatan wanita dan menutup pintu fitnah.

  • Membezakan Bacaan Jahar dan Sir berdasarkan Waktu Pelaksanaan Solat Qadha

Dalam kitab al-Iqna’ fi hal Alfaz Abi Shuja’, Imam Khatib al-Syirbini menjelaskan bahawa penentuan bacaan jahar atau sir bagi solat qadha’ adalah berdasarkan waktu ia ditunaikan, bukan waktu asal solat tersebut:

وَالْعبْرَة فِي الْجَهْر والإسرار فِي الْفَرِيضَة المقضية بِوَقْت الْقَضَاء لَا بِوَقْت الْأَدَاء[15]

Maksudnya: Penentuan bacaan jahar atau sir bagi solat yang diqadha’ adalah bergantung kepada waktu solat qadha’ ditunaikan.

Perkara ini turut disebut dalam kitab Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifat Alfaz al-Minhaj bahawa:

وأما المقضية فيجهر فيها من مغيب الشمس إلى طلوعها، ويسر من طلوعها إلى غروبها[16]

Maksudnya: Adapun solat qadha’ maka ia dibaca secara jahar apabila ditunaikan dari waktu terbenam matahari hingga terbit matahari, dan dibaca secara sir dari waktu terbit matahari hingga terbenamnya matahari.

Oleh itu, seseorang yang hendak menunaikan solat qadha’ perlu mengambil kira waktu pelaksanaannya untuk menentukan bacaan solat tersebut dilakukan secara jahar atau sir.

  • Mengelak Gangguan Terhadap Orang Lain

Bacaan solat bagi solat sunat yang dilakukan pada waktu malam dilakukan secara pertengahan antara jahar dan sir. Perkara ini dijelaskan dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj menjelaskan bahawa:

يُسَنُّ التَّوَسُّطُ فِي نَافِلَةِ اللَّيْلِ بَيْنَ الْجَهْرِ وَالْإِسْرَارِ لِأَنَّ ‌مَحَلَّهُ ‌فِي ‌النَّافِلَةِ ‌الْمُطْلَقَةِ[17]

Maksudnya: Disunatkan pertengahan antara bacaan jahar dan sir (perlahan)  dalam solat sunat malam. Hal ini kerana tempat (hukum tersebut) pada solat sunat mutlak.

Menurut Imam Khatib al-Syirbini, perbuatan ini dilakukan sekiranya tidak mengganggu orang lain yang sedang tidur atau menunaikan solat dan sebagainya[18]:

فِي نَافِلَة اللَّيْل الْمُطلقَة فيتوسط فِيهَا بَين الْإِسْرَار والجهر إِن لم يشوش على نَائِم أَو مصل أَو نَحوه

Maksudnya: Bagi solat sunat malam yang mutlak, maka bacaan dilakukan secara pertengahan antara sir (perlahan) dan jahar sekiranya tidak mengganggu orang yang sedang tidur, orang yang sedang solat atau seumpamanya.

Justeru itu, hukum ini menggambarkan bahawa ibadah sunat yang dilakukan pada waktu malam (solat malam) tidak mengabaikan kesejahteraan orang lain yang sedang berehat dengan menetapkan bacaan secara pertengahan antara jahar dan sir agar tidak mengganggu mereka.

Kesimpulan

Bacaan solat secara jahar dan sir disyariatkan dengan hikmah yang tertentu mengikut peranan seseorang dalam solat, sama ada sebagai imam atau makmum. Begitu juga bergantung sama ada solat bersendirian atau berjemaah, serta solat bagi seorang perempuan. Di samping itu, penetapan bacaan jahar dan sir turut mengambil kira waktu solat tersebut dilaksanakan. Oleh itu, antara hikmah bacaan jahar dan sir dalam solat ialah mengelakkan gangguan bacaan imam ketika solat berjemaah, menghayati bacaan ayat al-Quran, memelihara kehormatan serta meraikan kesesuaian waktu dan keadaan ketika menunaikan solat. Dengan memahami penetapan bacaan jahar dan sir dalam solat, seorang Muslim dapat menghayati ibadah solat dengan khusyuk serta merasai hikmah disebalik pensyariatan tersebut.

[1] Abū Zakariā Muḥy al-Dīn bin Sharf al-Nawawī, al-Majmū’ Sharḥ al-Muhadhab, (Kāherah: Idārah al-Tibā’ah al-Munīriah, 1929), Jil. 3, ms, 390.

[2] Khalaf juga dikenali sebagai al-Sabiqun iaitu generasi yang mendahului orang lain dalam kebaikan, ilmu, dan kelebihan

وَأَشْهَرُ وَهُمْ السَّابِقُونَ لِمَنْ قَبْلَهُمْ فِي الْخَيْرِ وَالْعِلْمِ وَالْفَضْلِ.

[3] Salaf juga dikenali sebagai al-Mutaqaddimun iaitu generasi awal daripada umat ini.

السَّلَفُ فِي اللُّغَةِ هُمْ الْمُتَقَدِّمُونَ وَالْمُرَادُ هنا أوائل هذه الامة

[4] Abū Isḥāq Ibrahīm bin Alī bin Yūsuf al-Shīrāzī, al-Muhadhab fī Fiqh al-Imām al-Shāfi’ī, (Dār al-Kutub ‘ilmiah, t.t), jil. 1, ms. 142.

[5] Abū Abdullah Muḥammad bin Ismā’il al-Bukhārī al-Ja’fi, Ṣaḥīh al-Bukhārī, Peny. Mustafa Dib al-Bughā, (Damsyik:  Dār Ibn Katsīr, 1993), no. hadis 731, jil. 1, ms. 265; Abū al-Ḥusayn Muslim bin al-Ḥujaj bin Muslim al-Qusyairī al-Naysaburī, al-Jami’ al-Ṣaḥīḥ (Ṣaḥīḥ Muslim), ((Kaherah: Matba’ah Isā al-Bābī wal al-Halabī wa Shirkahu, 1955), No Hadis 463, Jil. 1, ms. 338.

[6] Abū Abdullah Muḥammad bin Ismā’il al-Bukhārī al-Ja’fi, Ṣaḥīh al-Bukhārī,  no. hadis 733, jil. 1, ms. 266;   Abū al-Ḥusayn Muslim bin al-Ḥujaj bin Muslim al-Qusyairī al-Naysaburī, al-Jami’ al-Ṣaḥīḥ (Ṣaḥīḥ Muslim), no. hadis 464, jil. 1, ms. 339.

[7] Abū Zakariā Muḥy al-Dīn bin Sharf al-Nawawī, al-Majmū’ Sharḥ al-Muhadhab, jil. 3, ms. 389.

[8]  Abū al-Ḥusayn Muslim bin al-Ḥujaj bin Muslim al-Qusyairī al-Naysaburī, al-Jami’ al-Ṣaḥīḥ (Ṣaḥīḥ Muslim),no. hadis 398, jil. 1, ms. 299.

[9] Muḥammad al-Amīn bin Abd Allāh al-Uramī al-‘Alawī al-Hararī al-Shāfi’ī, al-Kawakib al-Wahhaj Syarḥ Ṣaḥīḥ Muslim (Dār al-Minhaj, 2009), Jil. 7, ms. 97.

[10] Shams al-Dīn Muḥammad bin Abī al-Abbas Aḥmad bin Ḥamzah Shihāb al-Dīn al-Ramlī, Nihāyah al-Muḥtāj ilā Syarḥ al-Minhāj, (Beirut: Dār al-Fikr, 1984), jil. 1, ms. 493.

ويسن لكل من إمام ومنفرد جهر في صبح وأوليي مغرب وعشاء وإمام في جمعة للاتباع والإجماع في الإمام وقيس عليه المنفرد والإجماع في الإمام، وقيس عليه المنفرد

[11] Abū Zakariā Muḥy al-Dīn bin Sharf al-Nawawī, al-Majmū’ Sharḥ al-Muhadhab, jil. 3, ms. 390.

[12] Abū Zakariā Muḥy al-Dīn bin Sharf al-Nawawī, al-Majmū’ Sharḥ al-Muhadhab jil. 3, ms. 390.

[13] Sa’īd bin Muḥammad Bā’alī Bā’ashan al-Daw’anī al-Hadhramī, Bushrā al-Karīm Masā’il al-Ta’līm, (Jeddah: Dār al-Minhāj li Nasyr wa al-Tawzī’, 2004), 223.

[14] Shams al-Dīn, Muḥammad bin Muḥammad al-Khatīb al-Syirbīnī, Mughnī al-Muḥtāj ilā Ma’rifah Ma’ānī Alfāz al-Minhāj, (Dār al-Kutub ‘Ilmiah, 1994), jil. 1, ms. 362.

[15] Shams al-Dīn, Muḥammad bin Aḥmad al-Khaṭīb al-Shirbinī al-Shāfi’ī, al-Iqnā’ fī Ḥal Alfāẓ Abī Syuja’, jil. 1, ms. 143.

[16] Shams al-Dīn, Muḥammad bin Muḥammad al-Khatīb al-Syirbīnī, Mughnī al-Muḥtāj ilā Ma’rifah Ma’ānī Alfāz al-Minhāj, (Dār al-Kutub ‘Ilmiah, 1994), jil. 1, ms. 362.

[17] Aḥmad bin Muḥammad bin Alī bin Ḥajar al-Haytamī, Tuḥfah al-Muḥtāj fī Syarḥ al-Minhāj, (t.p, 1983), jil. 4, ms. 93.

[18] Shams al-Dīn, Muḥammad bin Aḥmad al-Khaṭīb al-Shirbinī al-Shāfi’ī, al-Iqnā’ fī Ḥal Alfāẓ Abī Syuja’, jil. 1, ms. 143.#

Accessibility Toolbar