#115 Taudhih Al-Hukmi : Solat Sunat Rawatib Afdal Dilaksanakan di Rumah atau di Masjid?

#115 Taudhih Al-Hukmi : Solat Sunat Rawatib Afdal Dilaksanakan di Rumah atau di Masjid?

Tarikh: 22 Jun 2026

Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah

Pendahuluan

Solat sunat rawatib ialah solat sunat yang mengiringi solat fardu sama ada sebelum atau selepasnya. Di Malaysia, lazimnya masyarakat muslim menunaikan solat sunat rawatib di masjid memandangkan mereka telah hadir untuk menyahut seruan solat fardu secara berjemaah. Namun begitu, terdapat juga sebahagian masyarakat yang memilih untuk menunaikan solat sunat rawatib di rumah. Kedua-dua keadaan tersebut menimbulkan persoalan tentang tempat yang afdal bagi pelaksanaan solat sunat rawatib iaitu sama ada di rumah atau di masjid.

Dalil Keutamaan Solat Sunat di Rumah

Secara umumnya, solat-solat sunat termasuk solat sunat rawatib afdal dilaksanakan di rumah bersandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Thabit RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَعَلَيْكُمْ بِالصَّلَاةِ فِي بُيُوتِكُمْ فَإِنَّ خَيْرَ صَلَاةِ الْمَرْءِ فِي بَيْتِهِ ‌إِلَّا ‌الصَّلَاةَ ‌الْمَكْتُوبَة[1]

Maksudnya: Hendaklah kamu mengerjakan solat di rumah kamu kerana sebaik-baik solat seseorang adalah di rumahnya kecuali solat fardu.

(Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa hadis ini menunjukkan solat sunat termasuk solat sunat rawatib afdal dilaksanakan di rumah tanpa mengira sama ada solat sunat sebelum atau selepas solat fardu. Pernyataan beliau seperti berikut:

فَإِنَّ خَيْرَ صَلَاةِ الْمَرْءِ فِي بَيْتِهِ إِلَّا الصَّلَاةَ الْمَكْتُوبَةَ هَذَا ‌عَامٌّ ‌فِي ‌جَمِيعِ ‌النَّوَافِلِ الْمُرَتَّبَةِ مَعَ الْفَرَائِضِ وَالْمُطْلَقَةِ إِلَّا فِي النَّوَافِلِ الَّتِي هِيَ مِنْ شَعَائِرِ الْإِسْلَامِ وَهِيَ الْعِيدُ وَالْكُسُوفُ وَالِاسْتِسْقَاءُ وَكَذَا التَّرَاوِيحُ عَلَى الْأَصَحِّ فَإِنَّهَا مَشْرُوعَةٌ فِي جَمَاعَةٍ فِي الْمَسْجِدِ [2]

Maksudnya: Sebaik-baik solat seseorang adalah di rumahnya kecuali solat fardu. Perkara ini bersifat umum bagi semua solat sunat yang beriringan dengan solat fardu beserta solat sunat mutlaq kecuali beberapa solat sunat yang disyariatkan untuk dilakukan secara terbuka sebagai syiar Islam seperti solat sunat hari raya, solat sunat gerhana, solat sunat istisqa’ (meminta hujan) dan solat sunat tarawih menurut pendapat yang asoh. Hal ini kerana, solat-solat tersebut disyariatkan untuk dilaksanakan secara berjemaah di masjid.

 

 

 

Pendapat Ulama Berkaitan Kebaikan Solat Sunat Di Rumah Berdasarkan Hadis Nabi SAW

1.      Al-Qadhi ‘Iyadh

Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا قَضَى أَحَدُكُمُ الصَّلَاةَ فِي مَسْجِدِهِ، فَلْيَجْعَلْ لِبَيْتِهِ نَصِيبًا مِنْ صَلَاتِهِ فَإِنَّ اللهَ جَاعِلٌ فِي بَيْتِهِ مِنْ صَلَاتِهِ خَيْرًا [3]

Maksudnya: Apabila seseorang daripada kalian selesai menunaikan solat di masjid, maka hendaklah dia menunaikan sebahagian daripada solatnya yang lain di rumahnya. Sesungguhnya Allah SWT akan mengurniakan kebaikan daripada solat yang dilaksanakan di rumah.

(Riwayat Muslim)                  

Hadis tersebut menunjukkan galakan supaya seseorang menjadikan sebahagian solat sunatnya di masjid dan dirumah. Dinyatakan dalam kitab Ikmal al-Mu‘allim bi-Fawaid Muslim bahawa kebaikan yang dimaksudkan dalam ayat جاعل في بيته من صلاته خيرا adalah:

بأنها تحضره الملائكة وتنفر منه الشياطين، ويتسع على أهله[4]

Maksudnya: Orang yang mendirikan solat di dalam rumahnya akan dikunjungi para malaikat, dijauhkan daripada syaitan serta disebarkan keberkatan kepada ahli keluarganya.

 

2.      Shihab al-Din al-Turbishti

 

Shihab al-Din al-Turbishti menimbulkan persoalan bahawa bagaimanakah Baginda SAW memerintahkan supaya solat sunat ditunaikan di rumah (hadis Zaid), sedangkan pada masa yang sama Baginda SAW pernah menyatakan bahawa Allah SWT menjanjikan pahala bagi mereka yang keluar menunaikannya (terdapat hadis lain yang menyatakan bahawa pahala solat di luar rumah menyamai pahala orang yang menunaikan umrah dan solat yang dimaksudkan termasuklah solat sunat). Hadis tersebut ialah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

من خرج من بيته متطهرا إلى صلاة مكتوبة فأجره كأجر الحاج المحرم، ومن خرج إلى تسبيح الضحى لا ينصبه إلا إياه ‌فأجره ‌كأجر ‌المعتمر، وصلاة على إثر صلاة لا لغو بينهما كتاب في عليين[5]

Maksudnya: Sesiapa yang keluar dari rumahnya dalam keadaan bersuci (mempunyai wuduk) menuju (ke masjid) untuk menunaikan solat fardu (berjemaah), maka pahalanya sama seperti pahala orang yang mengerjakan haji dalam keadaan berihram. Begitu juga sesiapa yang keluar (dari rumahnya dalam keadaan yang sama dinyatakan tadi iaitu suci dan mempunyai wuduk) menuju (ke masjid) untuk menunaikan solat sunat Dhuha dalam keadaan tidak ada sesuatu yang lain mendorongnya melakukan sedemikian melainkan keinginannya sendiri, maka baginya pahala seperti orang yang mengerjakan umrah. Solat yang diikuti dengan solat yang lain tanpa diselangi dengan perbuatan sia-sia di antara keduanya, (akan dicatatkan sebagai) satu catatan dalam ‘Illiyyīn.

 

(Riwayat Abu Daud)

 

Al-Turbishti menggunakan pendekatan yang baik bagi mengharmonikan kedua-dua hadis (Hadis Zaid dengan hadis Abu Umamah) yang kelihatan bercanggah. Beliau menyatakan bahawa:

يحتمل أن يكون قوله – صلى الله عليه وسلم – مختصا بصلاة الليل وإن كان ظاهر لفظه يقتضي العموم[6]

Maksudnya: Sabda Nabi SAW (hadis Zaid) tersebut berkemungkinan khusus merujuk kepada solat sunat pada waktu malam walaupun pada zahir lafaznya menunjukkan makna umum.

Al-Turbishti menjelaskan bahawa hadis Zaid tersebut diucapkan oleh Baginda SAW sewaktu Baginda SAW selesai mendirikan solat tarawih bersama para Sahabat RA di bulan Ramadan. Ketika mana Baginda SAW melihat para Sahabat RA masih berkumpul menunggu Baginda untuk meneruskan solat sunat bersama-sama, Baginda SAW bimbang solat sunat tersebut akan diwajibkan ke atas para Sahabat RA sedangkan mereka mungkin tidak mampu melaksanakannya. Oleh sebab itu, Baginda SAW juga menganjurkan agar sebahagian solat sunat dilaksanakan di rumah berdasarkan hadis Zaid tadi.

Al-Turbishti berpandangan bahawa secara zahirnya, Baginda SAW menyarankan para Sahabat RA menunaikan solat di rumah kerana tiga perkara iaitu:

1.      Baginda SAW lebih menyukai para Sahabat RA mengambil rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT iaitu solat sunat tidak hanya dilakukan di masjid sahaja, berbeza dengan Ahli Kitab yang hanya menunaikan ibadat mereka di gereja dan rumah-rumah ibadat khusus.

 

2.      Baginda SAW lebih menyukai para Sahabat RA menunaikan solat sunat di rumah agar keberkatan daripada amalan tersebut meliputi rumah mereka. Dalam erti kata lain, keberkatan yang dimaksudkan adalah:

فيرتحل عنها الشيطان وينزل فيه الخير والسكينة

Maksudnya: Syaitan akan menjauh dari rumah tersebut. Kebaikan dan ketenangan akan diturunkan padanya.

3.      Baginda SAW melihat bahawa solat sunat yang dilakukan di rumah itu adalah lebih baik sebagai langkah menjaga seseorang daripada perasaan riak dan keinginan untuk mendapatkan pujian manusia yang sememangnya menjadi tabiat semula jadi manusia.

Berdasarkan perkara pertama dan kedua, jika seseorang menunaikan sebahagian solat sunatnya di rumah, maka dia telah menunaikan tuntutan yang disyariatkan ke atasnya. Manakala berdasarkan perkara ketiga pula, jika seseorang mampu menunaikan solat sunat di masjid tanpa terdorong hatinya dengan perasaan riak dan keinginan mendapatkan pujian, maka solat sunat yang dilakukan di masjid itu tidak kurang keutamaannya berbanding solat di rumah.

3.      Al-Hafiz al-Iraqi

Beliau menyatakan di dalam Ṭarh al-Tathrīb fī Sharh al-Taqrīb bahawa:

وَاتَّفَقَ الْعُلَمَاءُ عَلَى أَفْضَلِيَّةِ فِعْلِ النَّوَافِلِ الْمُطْلَقَةِ فِي الْبَيْتِ وَاخْتَلَفُوا فِي الرَّوَاتِبِ فَقَالَ الْجُمْهُورُ الْأَفْضَلُ فِعْلُهَا فِي الْبَيْتِ أَيْضًا وَسَوَاءٌ فِي ذَلِكَ رَاتِبَةُ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ قَالَ النَّوَوِيُّ: وَلَا خِلَافَ فِي هَذَا عِنْدَنَا وَقَالَ الْقَاضِي أَبُو بَكْرِ بْنُ الْعَرَبِيِّ: لَمْ يَخْتَلِفْ أَحَدٌ مِنْ أَهْلِ الْعِلْمِ فِي ذَلِك[7]

Maksudnya: Para ulama telah sepakat tentang keafdalan mengerjakan solat sunat mutlak di rumah. Namun, mereka berbeza pendapat tentang solat sunat rawatib. Jumhur berpendapat bahawa ia juga afdal dilakukan di rumah termasuklah sama ada solat sunat rawatib yang dilakukan pada waktu malam dan siang. Imam al-Nawawi berkata: Dan tidak ada khilaf di sisi kami dalam perkara ini. Al-Qadhi Abu Bakar Ibn al-‘Arabiy berkata: Tidak ada seorang pun daripada kalangan ahl al-ilm yang berbeza pendapat dalam hal tersebut.

Berdasarkan pendapat tersebut, ulama bersepakat bahawa solat sunat mutlak afdal dilakukan di rumah. Begitu juga bagi solat sunat rawatib, afdal dilakukan di rumah sama ada pada waktu malam atau siang sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dan al-Qadhi Ibn al-‘Arabi bahawa tiada khilaf dalam perkara ini.

Kedudukan Rumah Nabi SAW Yang Berhampiran Masjid Dan Hubungannya Dengan Solat Sunat Rawatib

Diriwayatkan daripada Aishah RA apabila ditanyakan kepada beliau tentang solat sunat rawatib Nabi SAW, lalu beliau mengatakan:

كَانَ يُصَلِّي فِي بَيْتِي قَبْلَ الظُّهْرِ أَرْبَعًا، ‌ثُمَّ ‌يَخْرُجُ ‌فَيُصَلِّي ‌بِالنَّاسِ، ثُمَّ يَدْخُلُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ. وَكَانَ يُصَلِّي بِالنَّاسِ الْمَغْرِبَ ثُمَّ يَدْخُلُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ، وَيُصَلِّي بِالنَّاسِ الْعِشَاءَ وَيَدْخُلُ بَيْتِي فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ. وَكَانَ يُصَلِّي مِنَ اللَّيْلِ تِسْعَ رَكَعَاتٍ فِيهِنَّ الْوِتْرُ [8]

Maksudnya: Kebiasaannya, Baginda SAW menunaikan solat empat rakaat di rumahku sebelum Zohor, kemudian keluar dan mengimami solat bersama orang ramai. Setelah itu, Baginda SAW masuk (ke rumah) lalu menunaikan dua rakaat. Baginda SAW menunaikan solat Maghrib bersama orang ramai, kemudian masuk (ke rumah) dan menunaikan dua rakaat. Baginda SAW menunaikan solat Isyak bersama orang ramai, lalu masuk (ke rumahku) dan menunaikan dua rakaat. Pada waktu malam, Baginda SAW menunaikan sembilan rakaat termasuk di dalamnya solat witir.

(Riwayat Muslim)

Hadis ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW lazimnya menunaikan solat sunat rawatib di rumah walaupun Baginda SAW menunaikan solat fardu secara berjemaah di masjid. Perkara ini menjadi dalil kepada keafdalan menunaikan solat sunat di rumah kerana ia merupakan amalan yang berterusan dilakukan oleh Baginda SAW.

Daripada gambaran hadis Aisyah RA, dapat difahami bahawa jarak antara rumah Nabi SAW dengan masjid adalah sangat dekat bahkan berada dalam lingkungan yang membolehkan Baginda SAW bergerak dengan mudah tanpa perlukan kepada sebarang pengangkutan. Namun demikian, keadaan tersebut perlu difahami berdasarkan suasana pada zaman Nabi SAW iaitu kedudukan rumah Baginda SAW yang sangat hampir dengan masjid.

Berbeza dengan kebanyakan keadaan di Malaysia pada hari ini, khususnya di kawasan bandar dan pinggir bandar, ramai jemaah perlu bergerak menggunakan kenderaan serta menempuh jarak tertentu untuk ke masjid dalam kawasan kariah yang luas. Oleh itu, pelaksanaan solat sunat rawatib di masjid selepas solat fardu berjemaah juga mempunyai pertimbangan tersendiri daripada sudut kemudahan, kesinambungan ibadah serta mengelakkan kesukaran untuk berulang-alik antara rumah dengan masjid.

Para Sahabat Yang Menunaikan Solat Sunat Rawatib Di Masjid

Abu Hurairah RA meriwayatkan hadis daripada Abu Sufyan RA dan Jabir RA bahawa mereka berdua telah berkata:

جَاءَ سُلَيْكٌ الْغَطَفَانِيُّ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْطُبُ فَقَالَ لَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَصَلَّيْتَ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ تَجِيءَ؟ قَالَ: لَا قَالَ: فَصَلِّ رَكْعَتَيْنِ وَتَجَوَّزْ فِيهِمَا[9]

Maksudnya: Sulaik al-Ghatafani tiba (di masjid) ketika Rasulullah SAW sedang berkhutbah. Lalu Nabi SAW bersabda kepadanya: Adakah engkau telah menunaikan dua rakaat sebelum datang? Dia menjawab: Tidak. Baginda bersabda: Maka tunaikanlah dua rakaat dan ringkaskanlah (solat tersebut).

(Riwayat Ibn Majah)

Hadis berkaitan Sulaik al-Ghatafani RA menunjukkan bahawa terdapat keadaan para Sahabat RA menunaikan solat sunat di masjid dan Nabi SAW membenarkan perbuatan tersebut dalam situasi tertentu. Perkara ini sekali gus menunjukkan bahawa pelaksanaan solat sunat rawatib tidak terhad di rumah sahaja dan keharusan menunaikannya di masjid bahkan dalam situasi tertentu keutamaan menunaikannya di masjid bergantung kepada keadaan dan maslahah ibadah.

Pandangan Yang Terpilih

Setelah meneliti dalil-dalil hadis yang berkaitan serta pandangan para ulama, kami berpandangan bahawa hukum asal bagi solat sunat rawatib adalah afdal dilaksanakan di rumah sebagaimana yang diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW. Pendekatan ini menepati maksud asal pensyariatan solat sunat iaitu bagi menghidupkan rumah dengan ibadah, menjauhkan rumah daripada gangguan syaitan serta lebih selamat daripada unsur riak dan keinginan untuk dipuji.

Walau bagaimanapun, tuntutan menunaikan solat sunat di rumah tidak menafikan keharusan serta kelebihan menunaikannya di masjid dalam keadaan tertentu. Hal ini kerana, terdapat juga riwayat yang menunjukkan keharusan menunaikan solat sunat rawatib di masjid.

Keadaan ini lebih relevan dalam situasi misalnya bagi jemaah yang mempunyai kekangan seperti:

1.      Mempunyai tugas lain yang perlu didahulukan.

2.      Memerlukan kenderaan untuk ke masjid atas faktor jarak rumah dengan masjid agak jauh.

3.      Merasa bimbang akan terlupa menunaikan solat sunat jika dilakukan di rumah.

4.      Mempunyai urusan kerja yang memerlukan pergerakan segera ke lokasi lain selepas solat fardu.

5.      Memperoleh risiko batalnya wuduk serta terdorong oleh rasa malas untuk mengambil semula wuduk semata-mata bagi menunaikan solat sunat.

Dalam keadaan seperti sedemikian, menunaikan solat sunat rawatib di masjid adalah diharuskan dan lebih sesuai serta tetap mendapat ganjaran pahala. Bahkan, ia boleh menjadi lebih utama kerana menjaga kesinambungan ibadah selepas solat fardu tanpa tertangguh dan mengelakkan terlepas daripada melaksanakannya.

Kesimpulan

Keutamaan menunaikan solat sunat rawatib di rumah merupakan hukum asal dan menjadi pegangan jumhur ulama. Walau bagaimanapun, pelaksanaannya di masjid juga merupakan suatu pilihan yang turut dianjurkan selari dengan maqasid syariah serta wajar diraikan dalam kepelbagaian situasi. Oleh itu, sama ada solat sunat rawatib ditunaikan di rumah atau di masjid, kedua-duanya mempunyai fadilat yang tersendiri berdasarkan hadis Nabi SAW dan tetap memperoleh ganjaran pahala.

 



[1] Muslim bin al-Hajjāj al-Qusyairī al-Naisābūrī, Sāhīh Muslim, (Turkī:Dār al-Ṭobā’ah al-‘Āmirah, 1915M), no. hadis 781, jil. 2, ms. 188.

[2] Al-Nawawī, Abū Zakariyā Muḥyī bin Sharf, al-Minhāj Sharh Sahīh Muslim bin al-Hajjāj, (Beirut: Dār Ihya’ al-Turath al-Arabī, 1972M), jil 6, ms 70.

[3] Muslim bin al-Hajjāj al-Qusyairī al-Naisābūrī, Sāhīh Muslim, (Turkī:Dār al-Ṭobā’ah al-‘Āmirah, 1915M), no. hadis 778, jil. 2, ms. 187.

[4] Al-Qāḍī ‘Iyāḍh, ‘Iyāḍh ibn Mūsā ibn ‘Iyāḍ ibn ‘Amrūn al-Yahṣabī al-Sabtī, Ikmāl al-Mu‘allim bi-Fawāid Muslim, (Mesir: Dār al-Wafā’ li al-Ṭibā‘ah wa al-Nashr wa al-Tawzī‘, 1998), jil. 3, ms. 154.

[5] Abū Dāwūd, Abū Dāwūd Sulaymān ibn al-Ash‘ath al-Sijistānī, Sunan Abī Dāwūd ma‘a Sharḥ ‘Awn al-Ma‘būd, (Delhi, India: Matba‘ah al-Ansariyyah, 1323H), no. hadis 558, jil, 1, ms. 218.

[6] Shihāb al-Dīn al-Turbishtī, Faḍlallāh ibn Ḥasan ibn Ḥusayn ibn Yūsuf Abū ‘Abdullāh, al-Muyassar fī Sharḥ Maṣābīḥ al-Sunnah li al-Turbishtī, (Maktabah Nizzār Muṣṭafā al-Bāz, 1437 H), jil. 1, ms. 216.

 

[7] Al-‘Irāqī, Zain al-Dīn Abd al-Raḥīm bin al-Ḥusain bin Abd al-Rahman bin Abī Bakr bin Ibrāhīm, Ṭarh al-Tathrīb fī Syarh al-Taqrīb (Al-Ṭob’ah al-Misriyyah al-Qadīmah), jil 3, ms 36.

[8] Muslim, Muslim bin al-Hajjāj al-Qusyairī al-Naisābūrī, Sāhīh Muslim, (Turkī:Dār al-Ṭobā’ah al-‘Āmirah, 1334H), no. hadis 730, jil. 2, no. 162.

[9] Ibn Mājah, Abū ʿAbd Allāh Muḥammad ibn Yazīd al-Qazwīnī, Sunan Ibn Mājah, (Dār Iḥyāʾ al-Kutub al-ʿArabiyyah, t.t.), no. hadis 1114, jil. 1, ms. 353.

Accessibility Toolbar