#113 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Meruang Ketika Beristinjak Bagi Wanita Berpuasa
Tarikh : 3 Jun 2026
Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah
Pendahuluan
Meruang mirip dengan istilah vaginal douching iaitu membersihkan bahagian dalam faraj wanita atau mengeluarkan lendiran daripada bahagian dalam faraj dengan cara memasukkan jari atau cecair seperti air, herba, ubat, antiseptik, cuka khas, sabun dan seumpamanya.[1] Meruang juga bermaksud mengeluarkan kotoran dari dalam perut mayat.[2] Dalam konteks artikel ini, perbincangan ditumpukan kepada hukum meruang iaitu amalan yang lazim dilakukan oleh sebahagian wanita secara serentak ketika beristinjak. Jadi, apakah implikasi perbuatan tersebut terhadap wanita yang sedang berpuasa sama ada membatalkan puasa atau tidak?
Bahagian Faraj Yang Wajib Dibasuh Ketika Beristinjak
Faraj wanita mempunyai dua bahagian iaitu zahir dan batin. Bahagian yang wajib dibasuh ketika beristinjak adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Ibn Hajar al-Haytami:
وَاعْلَمْ أَنَّ الْوَاجِبَ عَلَيْهَا غَسْلُ مَا ظَهَرَ بِجُلُوسِهَا عَلَى قَدَمَيْهَا وَنَازَعَ فِيهِ[3]
Maksudnya: Ketahuilah bahawa (bahagian faraj) yang wajib bagi wanita membasuhnya adalah bahagian yang terzahir apabila dirinya duduk di atas kedua-dua kakinya (mencangkung) dan terdapat khilaf (perselisihan pendapat) mengenainya (bahagian yang zahir tersebut).
Berdasarkan pernyataan tersebut, bahagian yang wajib dibasuh hanyalah bahagian yang zahir semasa mencangkung. Adapun bahagian yang tidak zahir semasa mencangkung tidak dituntut untuk dibasuh.
Hal ini kerana, penentuan had zahir yang dikaitkan dengan keadaan duduk di atas kedua kaki iaitu mencangkung menunjukkan bahawa syarak hanya mewajibkan pembersihan pada bahagian yang secara adatnya terdedah dan mudah dicapai tanpa perlu melakukan takalluf (menyusahkan diri) dengan memasukkan sesuatu ke bahagian dalam. Justeru, bahagian yang tersembunyi (batin) tidak termasuk dalam kewajipan istinjak bahkan mencucinya hingga ke dalam boleh membawa kepada ghuluw (berlebihan) yang tidak dituntut oleh syarak.
Meruang Ketika Beristinjak Bagi Wanita Berpuasa
Puasa ialah ibadah yang menuntut seseorang menahan diri daripada melakukan perkara yang boleh membatalkannya. Dalam kitab al-Taqrirat al-Sadidah dinyatakan bahawa antara perkara yang membatalkan puasa termasuklah:
وصول عين من منفذ مفتوح إلى الجوف[4]
Maksudnya: Sampainya sesuatu ain melalui saluran terbuka sehingga ke rongga.
Syeikh Hassan bin Muhammad al-Kaff menjelaskan bahawa frasa “sampainya sesuatu ain” dalam pernyataan tersebut tidak merangkumi udara kerana ia tidak membatalkan puasa. Jika dikaitkan dengan perbuatan meruang, jari termasuk dalam kategori ain. Maka, memasukkan sebahagian jari boleh membatalkan puasa.
Dalam konteks istinjak ketika berpuasa, terdapat sebahagian wanita melakukan istinjak secara berlebihan dengan melakukan perbuatan tambahan seperti meruang tanpa membezakan antara keperluan syarak dan amalan yang tidak dituntut. Imam al-Nawawi menyatakan:
لَوْ أَدْخَل الرَّجُل أُصْبُعَهُ أَوْ غَيْرَهَا دُبُرَهُ أَوْ أَدْخَلَتِ الْمَرْأَةُ أُصْبُعَهَا أَوْ غَيْرَهَا دُبُرَهَا أَوْ قُبُلَهَا وبقي البعض خارجا بَطَل الصَّوْمُ بِاتِّفَاقِ أَصْحَابِنَا، ثُمَّ قَال: قَال أَصْحَابُنَا: وَيَنْبَغِي لِلصَّائِمَةِ أَنْ لَا تُبَالِغَ بِأُصْبُعِهَا فِي الاِسْتِنْجَاءِ، فَالَّذِي يَظْهَرُ مِنْ فَرْجِهَا إِذَا قَعَدَتْ لِقَضَاءِ الْحَاجَةِ لَهُ حُكْمُ الظَّاهِرِ فَيَلْزَمُهَا تَطْهِيرُهُ وَلَا يَلْزَمُهَا مُجَاوَزَتُهُ، فَإِنْ جَاوَزَتْهُ بِإِدْخَال أُصْبُعِهَا زِيَادَةً عَلَيْهِ بَطَل صَوْمُهَا[5]
Maksudnya: Jika seseorang lelaki memasukkan jarinya atau selain daripada itu ke dalam duburnya atau seseorang wanita memasukkan jarinya atau selain daripada itu ke dalam lubang dubur atau qubulnya sedangkan sebahagian anggota tangan yang lain berada di luar, maka puasa menjadi batal mengikut sepakat ulama kami (mazhab Shafi’i). Kemudian beliau berkata: Para ulama kami menyatakan bahawa: Wanita yang berpuasa sepatutnya tidak berlebih-lebihan menggunakan jarinya ketika beristinjak. Bahagian yang terzahir daripada faraj apabila dia duduk untuk menunaikan hajat (membuang air) dihukumkan sebagai bahagian luar (zahir). Maka wanita tersebut wajib membersihkannya dan tidak wajib melampaui had tersebut (hingga ke bahagian dalam). Sekiranya dia melampaui had tersebut dengan memasukkan jarinya lebih daripada kadar itu, maka puasanya menjadi batal.
Justeru, berdasarkan pendapat tersebut, perbuatan meruang adalah sama dengan apa yang dinyatakan iaitu perbuatan memasukkan sesuatu ke dalam rongga qubul atau dubur dan tidak kiralah sama ada dilakukan oleh lelaki ataupun wanita. Perbuatan tersebut boleh membatalkan puasa meskipun sesuatu yang dimasukkan itu tidak dimasukkan secara keseluruhan.
Persamaan Meruang dengan Perbuatan Menyumbat Faraj Dengan Kapas ketika Istihadhah
Meruang ketika berpuasa juga boleh disamakan dengan situasi wanita mustahadhah yang menyumbat kapas ke dalam bahagian faraj ketika berpuasa. Bagi wanita mustahadhah yang berpuasa, menyumbat kapas ke dalam faraj bagi tujuan menahan aliran darah untuk menunaikan solat merupakan perbuatan yang membatalkan puasa. Sekiranya perlu, memadai dengan membalut bahagian luar faraj sahaja untuk menjaga kesahan solat.
Justeru, berdasarkan persamaan ini, perbuatan memasukkan jari ke dalam faraj untuk membersihkan bahagian batin (dalaman) juga termasuk dalam perbuatan yang membatalkan puasa sedangkan yang diwajibkan hanyalah membersihkan bahagian zahir (luaran). Imam Ibn Hajar al-Haytami menyatakan bahawa:
وَإِنْ كَانَتْ صَائِمَةً تَرَكَتْ الْحَشْوَ نَهَارًا وَاقْتَصَرَتْ عَلَى الْعَصْبِ مُحَافَظَةً عَلَى الصَّوْمِ لَا الصَّلَاةِ[6]
Maksudnya: Wanita (istihadhah) yang berpuasa hendaklah meninggalkan al-hasywu (menyumbat faraj dengan kapas atau seumpamanya) pada siang hari dan cukup sekadar al-‘asbu (membalut faraj dengan kain atau seumpamanya) untuk menjaga puasa dan bukan solat.
Menjaga Kebersihan Faraj Menurut Pakar Klinikal
Meruang dengan maksud memasukkan jari ke dalam faraj dikatakan boleh membawa risiko yang serupa dengan vaginal douching iaitu boleh mengganggu keseimbangan pH dan mikroflora semula jadi faraj. Menurut Dr. Afida Sohana, tindakan ini boleh menyebabkan ketidakseimbangan antara bakteria baik dan jahat sekali gus meningkatkan risiko jangkitan. Walaupun sesetengah wanita merasakan faraj lebih bersih selepas meruang, perbuatan ini sebenarnya boleh mengganggu keasidan semulajadi faraj.[7]
Sehubungan itu, daripada sudut penjagaan kebersihan yang disarankan oleh pakar klinikal, pembersihan kawasan faraj sebenarnya memadai dilakukan pada bahagian luar sahaja tanpa perlu memasukkan jari atau sebarang objek ke bahagian batin faraj. Hal ini kerana, faraj mempunyai mekanisme pembersihan semula jadi yang telah Allah SWT jadikan, manakala intervensi ke bahagian dalam hanya berpotensi mengganggu keseimbangan tersebut.
Dalam konteks istinjak pula, Islam menekankan kebersihan zahir tubuh badan dengan mencuci bahagian yang terkena najis dan kekotoran sahaja iaitu kawasan zahir faraj tanpa perlu menyentuh atau membersihkan bahagian batin kecuali dalam keadaan tertentu seperti mandi junub. Oleh itu, amalan menjaga kebersihan yang selamat dan selari dengan nasihat perubatan adalah dengan mencuci secara lembut pada bahagian zahir sahaja sekaligus mengelakkan sebarang risiko gangguan kepada kesihatan organ intim wanita.
Kesimpulan
Meruang ialah perbuatan memasukkan jari atau cecair khusus ke dalam faraj dengan tujuan mengeluarkan lendiran atau kotoran yang terdapat di bahagian dalam (batin) faraj. Perbuatan ini merupakan salah satu perbuatan yang boleh membatalkan puasa. Syarak mewajibkan wanita untuk membasuh bahagian zahir faraj sahaja ketika bersitinjak. Manakala membasuh bahagian batin faraj dengan cara meruang adalah tidak dituntut kecuali dalam keadaan tertentu seperti mandi junub. Wanita yang sedang berpuasa hendaklah mengelakkan perbuatan meruang ketika beristinjak agar puasanya tidak terbatal.
[1] Xtra. (2018, 8 Januari). Apa Itu ‘Meruang’? Ini 5 Perkara Wanita Malu Bertanya Tentang Kesihatan Vagina. Disiarkan pada 8 Januari 2018. Diakses pada 14 Ogos 2025. Laman web berita hiburan dan dadah): “Apa Itu Meruang? Ini 5 Perkara Wanita Malu Bertanya Tentang Kesihatan Vagina”.
[2] Frasa “meruang”, Kamus Dewan, Edisi Keempat, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka), maklumat diakses pada 14 Ogos 2025, rujuk dalam talian melalui PRPM, https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=meruang.
[3] Ibn Ḥajar al-Haytamī, Aḥmad bin Muḥammad, Tuhfah al-Muḥtāj fī Sharḥ al-Minhāj, (Beirūt: Dār Iḥyā’ Turāth al-‘Arabī, 1983), jld. 1, ms. 175.
[4] Ḥasan bin Muḥammad bin Sālim al-Kāff, al-Taqrīrāt al-Sadīdah fī al-Masā’il al-Mufīdah, (Tarīm: Dār al-Mīrāth al-Nabawī, t.t.), ms. 451.
[5] Al-Nawawi, Muhy al-Din bin Sharaf, al-Majmu’ Sharh al-Muhadhdhab, (Kaherah: Idarah al-Tiba’ah al-Muniriyyah, 1347H), jil. 6, ms. 314.
[6] Ibn Ḥajar al-Haytamī, Aḥmad bin Muḥammad, Tuhfah al-Muḥtāj fī Sharḥ al-Minhāj, (Beirūt: Dār Iḥyā’ Turāth al-‘Arabī, 1983), jld. 1, ms. 394.
[7] Xtra, (2018, 8 Januari), Apa Itu ‘Meruang’? Ini 5 Perkara Wanita Malu Bertanya Tentang Kesihatan Vagina, disiarkan pada 8 Januari 2018, diakses pada 27 Ogos 2025.

