#21 Taudhih Al-Falak : Benarkah Fenomena Aphelion Punca Cuaca Sejuk
Tarikh: 25 Mei 2026
Disediakan oleh: Nabeela Akrasha binti Surtahman
Pendahuluan
Tular kembali di media sosial yang mendakwa cuaca sejuk berpunca daripada fenomena aphelion. Dakwaan tersebut mengatakan bumi berada pada jarak paling jauh dari matahari, menyebabkan suhu menurun secara drastik.
Adakah dakwaan ini benar?
Aphelion dan Perihelion
Fenomena aphelion dan perihelion merupakan dua titik penting dalam lintasan orbit bumi secara tahunan. Orbit bumi yang berbentuk elips dengan eksentrisiti[1] sekitar 0.0167, menghasilkan perubahan jarak antara bumi dan matahari sepanjang tahun. Secara umumnya, bumi akan melalui dua titik utama setiap tahun iaitu:
1. Aphelion: Kedudukan bumi berada di titik paling jauh dari matahari (kira-kira 152 juta km). Fenomena ini berlaku sekitar awal bulan Julai setiap tahun.
2. Perihelion: Kedudukan bumi berada di titik paling dekat dengan matahari (kira-kira 147 juta km). Fenomena ini berlaku sekitar awal bulan Januari setiap tahun.
Rajah 1: Perihelion dan Aphelion[2]
Perbezaan jarak 5 juta km antara aphelion dan perihelion hanyalah memberi kesan yang sangat minimum terhadap jumlah tenaga suria yang diterima bumi. Ia tidak cukup signifikan untuk membekukan bumi atau menyebabkan penurunan suhu secara drastik. Menurut MYSA, fenomena perihelion dan aphelion berlaku setiap tahun berikutan peredaran bumi mengelilingi matahari dalam orbit berbentuk elips dan ia tidak akan memberi sebarang kesan yang signifikan kepada penduduk di bumi[3].
Penentu utama suhu dan kejadian empat musim adalah kecondongan paksi bumi sebanyak 23.5 darjah. Apabila hemisfera utara condong menjauhi matahari (sekitar Disember-Januari), ia mengalami musim sejuk, walaupun ketika itu bumi berada pada jarak paling dekat dengan matahari (perihelion). Sebaliknya, apabila hemisfera utara condong menghadap matahari (sekitar Jun-Julai), ia mengalami musim panas, walaupun ketika itu bumi berada pada jarak paling jauh dari matahari (aphelion).
Rajah 2: Kecondongan Paksi dan Peredaran Bumi
Cuaca Sejuk di Malaysia
Suhu yang lebih rendah atau rasa sejuk yang dialami di Malaysia tiada kaitan dengan jarak bumi ke matahari. Ia adalah kesan daripada Monsun Timur Laut (MTL). Angin sejuk yang bertiup dari benua Asia (kawasan Siberia), ditambah dengan litupan awan tebal dan hujan yang berterusan, menghalang pemanasan permukaan bumi oleh sinaran matahari. Inilah punca sebenar penurunan suhu tempatan, bukan kerana bumi berada jauh daripada matahari.
Rajah 3: Luruan Monsun
Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia
Rajah 4: Corak Iklim dan Cuaca Malaysia
Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia
Kesimpulan
Dakwaan mesej tular yang mengaitkan cuaca sejuk dengan aphelion adalah tidak benar. Sejuk yang dirasai adalah disebabkan pergerakan angin monsun dan kecondongan paksi bumi. Fenomena peredaran matahari dan bumi ini berlaku secara teratur menurut ketetapan yang telah ditentukan. Ia menggambarkan keseimbangan dan ketepatan sunnatullah. Firman Allah SWT dalam surah Yasin ayat 38;
وَٱلشَّمْسُ تَجْرِى لِمُسْتَقَرٍّۢ لَّهَا ۚ ذَٰلِكَ تَقْدِيرُ ٱلْعَزِيزِ ٱلْعَلِيمِ
Maksudnya: Dan (sebahagian dari dalil yang tersebut ialah) matahari; ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.
[1] Ukuran pemanjangan sesebuah elips.
[2] Abu Yazid Raisal et al., “Analisis Pengaruh Aphelion dan Perihelion terhadap Suhu Menggunakan Weather Station”. Jurnal Environmental Science. Vol. 3, No. 2, April 2021. ms. 122.

