#111 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Zikir Berjemaah Secara Jahar (Kuat) Selepas Solat
Tarikh: 11 Mei 2026
Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah
Pendahuluan
Para ulama bersepakat bahawa amalan berzikir selepas solat adalah sunat.
Hal ini disokong oleh banyak hadis sahih yang menerangkan pelbagai bentuk zikir
sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi seperti berikut:
أجمع العلماءُ على استحباب الذكر بعد الصلاة، وجاءت
فيه أحاديث كثيرة صحيحة في أنواع منه متعدّدة[1]
Maksudnya: Para ulama bersepakat bahawa amalan
berzikir selepas solat adalah sunat. Hal ini disokong oleh banyak hadis sahih
yang menerangkan pelbagai bentuk zikir yang dianjurkan.
Amalan berzikir selepas solat telah menjadi kebiasaan atau adat yang
dilakukan oleh masyarakat Islam di Malaysia. Sehubungan dengan itu, timbul
perbahasan dalam kalangan ulama berkaitan cara pelaksanaannya, khususnya zikir
secara berjemaah dan dilafazkan secara jahar (kuat) selepas solat. Perbincangan
ini penting bagi memahami kedudukan sebenar amalan tersebut menurut syarak sama
ada ia termasuk dalam amalan yang dianjurkan secara umum atau tertakluk kepada
kaedah dan batasan tertentu.
Perbahasan Dalil
Antara dalil yang menjadi
perbahasan dalam masalah ini ialah hadis daripada
Ibn ‘Abbas RA katanya:
أَنَّ رَفْعَ الصَّوْتِ
بِالذِّكْرِ حِينَ يَنْصَرِفُ النَّاسُ مِنْ الْمَكْتُوبَةِ كَانَ عَلَى عَهْدِ
النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَالَ ابْنُ
عَبَّاسٍ: كُنْتُ أَعْلَمُ إِذَا انْصَرَفُوا بِذَلِكَ إِذَا سَمِعْتُهُ[2]
Maksudnya: Mengangkat suara ketika berzikir sejurus
jemaah beredar dari menunaikan solat fardu (berjemaah) merupakan amalan yang
biasa dilakukan pada zaman Nabi SAW. Ibn ‘Abbas RA berkata: Aku
mengetahui jemaah mula beredar (selepas selesai solat) apabila aku terdengar
suara zikir.
(Riwayat al-Bukhari dan
Muslim)
Dalam membahaskan hadis
ini, Imam al-Nawawi dalam kitab al-Minhaj fi Sharḥ Sahih Muslim
mengemukakan tiga pandangan ulama iaitu:
i.
Sebahagian ulama Salaf berpendapat:
أنه يُستحبُّ رَفْع الصَّوتِ بالتكبِير
والذِّكر عَقب المكْتُوبة وممنْ استحبَّه
مِن المتأخِّرين ابن حَزْم الظَّاهرِي
Maksudnya: Bahawa mustahab mengangkat suara untuk bertakbir
dan berzikir selepas solat fardu. Antara yang menyatakannya mustahab
daripada ulama mutaakhkhirin ialah Ibn Hazm al-Zahiri.
ii.
Ibn Battal al-Maliki dan lain-lain menukilkan:
أنّ أصْحَابَ المذاهِب المتبُوعَة وغيرهم متَّفقون
على عدَمِ استِحْبابِ رفْعِ الصَّوتِ بالذِّكر والتَّكْبِير
Maksudnya: Bahawa imam-imam mazhab yang menjadi ikutan dan selain
mereka bersepakat tidak mustahab mengangkat suara untuk berzikir dan
bertakbir (selepas solat fardu).
iii.
Pendapat Imam al-Shafi’i ketika mentafsirkan hadis Ibn ‘Abbas RA adalah seperti berikut:
أَنَّهُ جَهَرَ وَقْتًا يَسِيرًا حَتَّى
يُعْلِمَهُمْ صِفَةَ الذِّكْرِ لَا أَنَّهُمْ
جَهَرُوا دَائِمًا قال: فاختار
للإمام والمأموم أن يذكر اللَّهَ
تَعَالَى بَعْدَ الْفَرَاغِ مِنَ الصَّلَاةِ وَيُخْفِيَانِ ذَلِكَ إِلَّا أَنْ يَكُونَ إِمَامًا
يُرِيدُ أَنْ يُتَعَلَّمَ مِنْهُ فَيَجْهَرُ حَتَّى يَعْلَمَ أَنَّهُ قَدْ
تُعُلِّمَ مِنْهُ ثُمَّ يُسِرُّ[3]
Maksudnya: Bahawa Rasulullah SAW berzikir
dengan menguatkan suara untuk seketika kerana mengajar para Sahabat RA tentang
lafaz dan cara berzikir dan bukan menunjukkan bahawa mereka melazimi zikir
secara kuat (dari awal zikir sehingga selesai zikir). Maka, aku cenderung bagi
imam dan makmum supaya berzikir dengan suara yang perlahan seusai solat
melainkan jika si
imam berhasrat agar makmum mempelajari zikir daripadanya. Maka dalam keadaan
ini, si imam menguatkan suara sehingga makmum sudah mampu mempelajarinya.
Kemudian ia kembali berzikir dengan suara yang perlahan.
Dalam mensyarahkan hadis Ibn ‘Abbas RA, Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitab Fath al-Bari fi Sharh Sahih
al-Bukhari menyatakan bahawa:
وفيه دليل على جواز الجهر بالذكر عقب
الصلاة[4]
Maksudnya: Terdapat padanya dalil keharusan
jahar dalam berzikir selepas solat.
Kemudian, beliau turut menukilkan
pandangan yang dibawa oleh Imam al-Nawawi
daripada Imam al-Shafi’i seperti yang
telah dinyatakan. Namun demikian, kedua-dua tokoh tersebut tidak menghuraikan
pendirian itu secara jelas. Hal ini seolah-olah menunjukkan bahawa menurut
mereka, masih terdapat ruang keluasan dan kelonggaran dalam isu ini.
Selain itu, Imam al-Bukhari yang
meriwayatkan hadis Ibn ‘Abbas RA dalam Sahih
beliau juga tidak memberikan penegasan khusus berhubung perkara ini pada judul
bab sebaliknya hanya menyebut: (بَابُ الذِّكْرِ بَعْدَ الصَّلاَةِ)
iaitu “Bab berzikir selepas solat”. Justeru, boleh dikatakan bahawa
mafhum hadis ini juga mencerminkan kecenderungan Imam
al-Bukhari memandangkan telah masyhur dalam kalangan ulama bahawa: “Fiqh
Imam al-Bukhari terserlah melalui judul-judul bab dalam kitab Sahih beliau”.
Maka, jelas bahawa
isu ini termasuk dalam perkara khilafiah dalam kalangan ulama. Sehubungan
dengan itu, adalah tidak tepat untuk menyatakan bahawa amalan zikir berjemaah
secara jahar selepas solat merupakan perbuatan bid’ah yang dilarang
secara mutlak.
Pandangan Yang Mengharuskan Zikir Berjemaah Secara Jahar Selepas
Solat
Di samping pandangan yang
mengharuskan zikir berjemaah secara jahar selepas solat dilakukan, terdapat
pandangan yang membataskan amalan berkenaan hanya boleh dilakukan berdasarkan
tujuan atau keadaan tertentu. Berdasarkan penelitian, pandangan yang
membataskan ini boleh kita rumuskan seperti berikut:
(a) Bertujuan mengajar
Imam Khatib al-Shirbini berpandangan
bahawa:
وَيُسَنُّ الْإِسْرَارُ بِالذِّكْرِ وَالدُّعَاءِ إلَّا أَنْ
يَكُونَ إمَامًا يُرِيدُ تَعْلِيمَ الْمَأْمُومِينَ فَيَجْهَرَ بِهِمَا فَإِذَا
تَعلمُوا أَسَرَّ[5]
Maksudnya:
Disunatkan berzikir dan berdoa dengan suara yang perlahan kecuali bagi imam
yang hendak mengajar makmum. Maka si imam boleh berzikir dan berdoa dengan kuat.
Apabila makmum telah mempelajarinya, si imam kembali berzikir dengan suara yang
perlahan.
(b) Sebagai panduan bagi
jemaah yang silih berganti
Imam Ibn Hajar al-Haytami menyatakan
dalam al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra
bahawa:
وَفِي كَلَامِ الْمُتَوَلِّي وَغَيْرِهِ مَا يَقْتَضِي
اسْتِحْبَابَ رَفْعِ الْجَمَاعَةِ الصَّوْتَ بِالذِّكْرِ، دَائِمًا وَهُوَ ظَاهِرُ
الْأَحَادِيثِ؛ أَيْ لِخَبَرِ الصَّحِيحَيْنِ: وَإِنَّ رَفْعَ الصَّوْتِ
بِالذِّكْرِ – أَيْ حِينَ يَنْصَرِفُ النَّاسُ مِنْ الْمَكْتُوبَةِ – كَانَ عَلَى
عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ [6]
Maksudnya: Pada
kenyataan al-Mutawalli dan selainnya
memberikan petunjuk bahawa disunatkan bagi jemaah mengangkat suara dalam berzikir
secara berterusan dan hal ini bertepatan dengan zahir hadis yang bersandarkan
kepada riwayat dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim pada
pernyataan bahawa mengangkat suara ketika berzikir sejurus jemaah
beredar daripada menunaikan solat fardu (berjemaah) merupakan amalan yang biasa
dilakukan pada zaman Nabi SAW.
Meskipun Imam Ibn Hajar al-Haytami menukilkan dan
menolak pandangan Syeikh al-Mutawalli
tersebut, namun ada sudut pandangan Syeikh al-Mutawalli yang mungkin boleh
diambilkira di mana beliau menyatakan bahawa:
وَأَمَّا
الْمَسْجِدُ الَّذِي عَلَى الشَّارِعِ مَثَلًا فَلَا؛ لِأَنَّهُ يَطْرُقُهُ مَنْ
لَمْ يَدْخُلْهُ قَبْلُ، فَهُوَ كَمَسْجِدِهِ الشَّرِيفِ كَانَتْ تَرِدُهُ
الْأَعْرَابُ وَأَهْلُ الْبَوَادِي، فَفِيهِ يَظْهَرُ نَدْبُ إدَامَةِ الرَّفْعِ؛
لِيَتَعَلَّمَ كُلَّ مَرَّةٍ مَنْ لَمْ يَتَعَلَّمْ فِيمَا قَبْلَهَا اهـ[7]
Maksudnya: Adapun
bagi masjid yang terletak di laluan umum, maka tidak wajar dihadkan kepada
keadaan tersebut sahaja. Hal ini kerana, masjid seperti itu sentiasa dikunjungi
oleh orang yang belum pernah memasukinya sebelum ini. Keadaannya adalah
seumpama masjid Baginda SAW yang sering didatangi oleh golongan Arab Badwi dan
penduduk luar bandar. Oleh itu, dalam situasi sedemikian, disunatkan untuk
mengekalkan amalan mengangkat suara dalam berzikir agar setiap kali orang yang
belum mempelajarinya dapat mengambil manfaat dan mempelajarinya.
(c)
Tidak mengganggu jemaah yang lain
Syeikh Zainuddin
al-Malibari menyatakan di dalam kitab Fath al-Mu‘in bahawa:
أما المبالغة في الجهر
بهما في المسجد بحيث يحصل تشويش على مصل فينبغي حرمتها[8]
Maksudnya: Adapun berlebih-lebihan pada menguatkan suara ketika
melakukan kedua-duanya (zikir dan doa) dalam masjid sehingga mengganggu orang
yang sedang solat sewajarnya dilarang.
Berdasarkan
pandangan ini, larangan bukan terletak pada amalan zikir secara jahar itu
sendiri sebaliknya pada tahap lafaz
dan kekuatan suara yang digunakan. Sekiranya zikir dilantunkan
secara berlebih-lebihan sehingga menimbulkan tashwish (gangguan)
kepada jemaah lain, maka hal tersebut adalah tidak wajar. Gangguan ini
termasuklah terhadap mereka yang masih menyempurnakan solat, berzikir secara
perlahan, membaca al-Quran atau berdoa secara individu.
Fatwa Menangani Persoalan Bid’ah Dalam Masalah Ikhtilaf Atau
Khilaf Perkara Furu’
Menurut seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri
Selangor) 2003, atas perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan, Jawatankuasa Fatwa
bagi Negeri Selangor telah memutuskan bahawa:
“ 1. Persoalan khilafiah adalah perkara ijtihadiyyah dan tidak
boleh sama sekali dihukumkan bid’ah kerana amalan tersebut telah diterima dan
menjadi amalan ulama’ muktabar sejak dahulu.
2. Pandangan jumhur ulama’ sewajarnya menjadi ikutan masyarakat
Islam dengan mengutamakan perkara asas dalam berdakwah dan tidak
membesar-besarkan perkara khilafiyyah yang boleh menggugat perpaduan umat
Islam.”
Tambahan lagi, dalam fatwa tersebut turut dinyatakan antara amalan
yang didakwa sebagai bid’ah adalah:
“ 3.7 Membaca wirid dan zikir secara kuat/nyaring beramai-ramai
selepas solat fardu”
Amalan wirid dan zikir secara kuat atau beramai-ramai selepas solat
fardu termasuk dalam kategori amalan yang diperselisihkan oleh ulama, namun sering dituduh sebagai bid‘ah
oleh sesetengah pihak. Fatwa ini menekankan bahawa persoalan seperti ini adalah
sebahagian daripada khilaf furu’ dan tidak wajar
dihukumkan terus sebagai bid’ah kerana ia telah menjadi amalan dalam kalangan
masyarakat serta telah dibincangkan secara terperinci oleh ulama muktabar.
Justeru, berdasarkan hujah dan
pendapat ulama seperti yang telah dijelaskan, kami cenderung menyatakan bahawa
hukum zikir berjemaah secara jahar (kuat) selepas solat adalah diharuskan
berdasarkan situasi yang telah dinyatakan dan perbincangan yang telah
dikemukakan, selain ia juga telah menjadi amalan masyarakat Islam di Malaysia.
Namun, zikir tersebut hendaklah dilakukan dengan kadar suara yang
sederhana dan terkawal yakni direndahkan sedikit sekiranya terdapat jemaah yang
masih solat agar tidak menimbulkan tashwish (gangguan) kepada mereka.
Kesimpulan
Zikir berjemaah secara jahar (kuat)
selepas solat adalah diharuskan. Perkara ini bersandarkan kepada pandangan ulama khususnya dalam mazhab al-Shafi’i yang mengharuskannya mengikut situasi tertentu seperti
bagi tujuan untuk mengajar para jemaah terutamanya golongan
pelajar dan orang awam serta dilakukan di masjid yang dikunjungi oleh jemaah yang
berbeza pada setiap waktu. Walau
bagaimanapun, pelaksanaan zikir berjemaah
secara jahar hendaklah dilakukan secara sederhana, terkawal dan
tidak melampau sehingga menimbulkan gangguan
terhadap jemaah lain yang sedang solat. Sekiranya zikir dikuatkan
sehingga menimbulkan gangguan, maka perbuatan tersebut hendaklah dielakkan.
[1] Al-Nawawī, Abū
Zakariyyā Muḥyī al-Dīn Yaḥyā ibn Sharaf al-Nawawī, al-Adhkār, (Beirūt: Dār
al-Fikr li al-Ṭibāʿah wa al-Nashr wa al-Tawzīʿ, 1994), ms. 70.
[2] Al-Bukhārī, Abū ʿAbd Allāh Muḥammad ibn Ismāʿīl
al-Bukhārī al-Juʿfī, Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, (Damsyik: Dār Ibn
Kathīr wa Dār al-Yamāmah, 1993), no. hadis 805, jil. 1, ms. 288; Muslim,
Abū al-Ḥusayn Muslim ibn al-Ḥajjāj al-Qushayrī al-Naysābūrī, Ṣaḥīḥ
Muslim, (Kaherah: Maṭbaʿat ʿĪsā al-Bābī al-Ḥalabī wa Shurakāh,
1955), no. hadis 583, jil. 1, ms. 410.
[3] Al-Nawawi, Abū Zakariyyā
Muḥy al-Dīn Yaḥyā ibn Sharf al-Nawawī, Sharḥ al-Nawawī ʿalā Muslim,
(Beirut: Dār Iḥyāʾ al-Turāth al-ʿArabī, 1392H), jil. 5, ms. 84.
[4] Ibn Hajar al-Asqalani, Aḥmad ibn ‘Alī ibn Ḥajar al-‘Asqalānī, Fath
al-Bari bi Sharh Sahih al-Bukhari, (Beirut: Dar al-Ma‘rifah, 1379
H), jil. 2, ms. 325.
[5] Al-Khatib al-Shirbini, Shams al-Dīn Muḥammad ibn Muḥammad al-Khaṭīb
al-Shirbīnī, Mughnī al-Muḥtāj ilā Maʿrifat Maʿānī Alfāẓ
al-Minhāj, (Dār al-Kutub al-ʿIlmiyyah, 1994M), jil. 1, ms. 393.
[6] Al-Haytami, Ibn Hajar al-Haytami, al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah,
(Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1997), jil. 1, ms. 158.
[7] Al-Haytami, Ibn
Hajar al-Haytami, al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah, (Beirut:
Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1997), jil. 1, ms. 158.
[8] Zayn al-Dīn Aḥmad ibn ʿAbd al-ʿAzīz al-Malībārī, Fatḥ
al-Muʿīn bi Sharḥ Qurrat al-ʿAyn bi Muhimmāt al-Dīn, (Beirūt: Dār
Ibn Ḥazm, t.t.), ms. 128.

