#110 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Sujud Tilawah Tanpa Wuduk
Tarikh: 4 Mei 2026
Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah
Pendahuluan
Sujud Tilawah merupakan satu amalan sunat yang dituntut untuk dilakukan apabila seseorang membaca atau mendengar ayat-ayat Sajdah dalam al-Quran. Ia juga menjadi tanda pengagungan dan kepatuhan kepada Allah SWT ketika berinteraksi dengan ayat-ayat tertentu dalam al-Quran. Namun begitu, timbul persoalan dalam kalangan masyarakat ialah, adakah sujud Tilawah memerlukan wuduk seperti solat, atau ia boleh dilakukan tanpa wuduk?
Pengertian Sujud Tilawah
Sujud Tilawah ialah sujud yang dilakukan kerana membaca ayat-ayat tertentu dalam Al-Quran yang mengandungi perintah sujud.[1] Tuntutan melaksanakannya bukan sahaja terhad kepada orang yang membaca, bahkan turut dituntut ke atas mereka yang mendengar ayat Sajdah, sama ada di dalam atau di luar solat. Hal ini sebagaimana pernyataan Imam al-Nawawi di dalam kitab al-Majmu’:
أَمَّا حُكْمُ الْمَسْأَلَةِ فسجود التلاوة سنة للقارئ وَالْمُسْتَمِعِ بِلَا خِلَافٍ وَسَوَاءٌ كَانَ الْقَارِئُ فِي صَلَاةٍ أَمْ لَا
Maksudnya: Adapun hukum permasalahan ini, maka sujud Tilawah adalah sunat bagi orang yang membaca dan orang yang mendengar tanpa sebarang khilaf, sama ada pembaca itu berada dalam solat ataupun tidak.[2]
Hukum Sujud Tilawah
Hukum sujud Tilawah adalah sunat mengikut pandangan muktamad mazhab al-Shafi’i. (rujuk: Artikel Taudhih al-Hukmi #93: Bacaan Bagi Menggantikan Sujud Tilawah).[3]
Tuntutan amalan melakukan sujud Tilawah ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Saidina Ibn Umar RA yang berkata:
كَانَ يَقْرَأُ الْقُرْآنَ فَيَقْرَأُ سُورَةً فِيهَا سَجْدَةٌ، فَيَسْجُدُ وَنَسْجُدُ مَعَهُ حَتَّى مَا يَجِدُ بَعْضُنَا مَوْضِعًا لِمَكَانِ جَبْهَتِهِ
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW membaca al-Quran dan Baginda membaca surah yang terdapat padanya (ayat) Sajdah, maka Baginda bersujud dan kami turut bersujud bersamanya sehingga sebahagian daripada kami tidak mendapat tempat untuk meletakkan dahi (ketika bersujud)[4].
Menurut Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Minhaj Sharh ‘Ala Sahih Muslim menyatakan bahawa hadis ini menunjukkan Nabi SAW bersujud apabila membaca ayat Sajdah dan para sahabat turut bersujud bersama Baginda, sama ada di dalam atau di luar solat. Hal ini menjadi dalil bahawa sujud Tilawah disyariatkan dalam Islam. Menurut jumhur ulama dan juga di sisi kami, sujud Tilawah hukumnya sunat dan tidak wajib.[5]
Selain itu, dalam al-Quran terdapat 14 tempat ayat Sajdah yang disunatkan untuk mengerjakan sujud Tilawah. Perinciannya adalah seperti berikut:
|
Bil. |
Ayat Sajdah dalam al-Quran yang disunatkan sujud Tilawah |
Bil. |
Ayat Sajdah dalam al-Quran yang disunatkan sujud Tilawah |
|
1. |
Ayat 206, Surah al-A’raf
|
8. |
Ayat 60, Surah al-Furqan
|
|
2. |
Ayat 15, Surah al-Ra’d
|
9. |
Ayat 25-26, Surah al-Naml
|
|
3. |
Ayat 49-50, Surah al-Nahl
|
10. |
Ayat 15, Surah al-Sajdah
|
|
4. |
Ayat 109, Surah al-Isra’
|
11. |
Ayat 38, Surah Fussilat
|
|
5. |
Ayat 58, Surah Maryam
|
12. |
Ayat 62, Surah al-Najm
|
|
6. |
Ayat 18, Surah al-Hajj
|
13. |
Ayat 21, Surah al-Insyiqaq
|
|
7. |
Ayat 77, Surah al-Hajj
|
14. |
Ayat 19, Surah al-’Alaq
|
Kesemua 14 tempat dalam al-Quran di atas adalah disunatkan melakukan sujud Tilawah berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Saidina ‘Amr al-‘Ash RA, beliau berkata yang bermaksud;
Rasulullah SAW membacakan kepadaku lima belas sujud dalam al-Quran; tiga daripadanya terdapat dalam bahagian al-Mufassal dan dalam surah al-Hajj terdapat dua sujud.
Adapun sujud yang ke-15 dalam surah Sad adalah dikira sebagai sujud Syukur dan tidak termasuk sujud Tilawah. Firman Allah SWT dalam surah Sad ayat 24:
وَخَرَّ رَاكِعًا وَأَنَابَ ۩
Maksudnya: sambil merebahkan dirinya sujud, serta ia rujuk kembali (bertaubat).
Justeru, sekiranya seseorang melakukan sujud tersebut dalam solat, maka batal solatnya kecuali jika dia terlupa, jahil (tidak mengetahui hukum) atau beriktikad bahawa ia adalah sujud yang disyariatkan (sujud ‘azimah[6]). Sekiranya solat secara berjemaah, maka makmum yang mengetahui hukumnya tidak boleh mengikuti Imam tersebut, bahkan dibolehkan mufaraqah (berpisah dengan Imam) atau berdiri menunggu Imam (sehingga Imam selesai). Namun begitu, jika dilakukan sujud tersebut kerana terlupa, maka solatnya tidak batal disebabkan keuzuran tersebut. Akan tetapi hendaklah melakukan sujud Sahwi.[7]
Syarat Sah dan Tatacara Melaksanakan Sujud Tilawah di Luar Solat
Hukum sujud Tilawah adalah sunat dikerjakan bagi sesiapa yang membaca atau mendengar ayat-ayat Sajdah seperti telah dijelaskan sebelum ini. Namun begitu, menurut mazhab al-Shafi’i terdapat syarat yang perlu dipatuhi bagi menjadikan sujud Tilawah yang dikerjakan itu sah di sisi syarak. Hal ini sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam karyanya Rawdah al-Talibin bahawa;
أَمَّا شُرُوطُهُ، فَيَفْتَقِرُ إِلَى شُرُوطِ الصَّلَاةِ، كَطَهَارَةِ الْحَدَثِ، وَالنَّجَسِ، وَسَتْرِ الْعَوْرَةِ، وَاسْتِقْبَالِ الْقِبْلَةِ، وَغَيْرِهَا بِلَا خِلَافٍ
Maksudnya: Adapun syarat-syarat bagi sujud Tilawah, maka ia memerlukan sebagaimana syarat-syarat solat, seperti bersuci daripada hadas dan najis, menutup aurat, menghadap kiblat serta selainnya tanpa ada sebarang khilaf.[8]
Walaupun sujud Tilawah dikerjakan di luar solat, pelaksanaannya tetap tertakluk kepada syarat-syarat sah solat seperti bersuci, menutup aurat dan menghadap kiblat. Ia sekali gus menunjukkan kedudukannya sebagai ibadah yang perlu dilakukan dengan penuh adab dan kepatuhan kepada syariat.
Oleh itu, bagi mereka yang berhadas tidak boleh melakukan sujud Sajdah bahkan hukumnya adalah haram. Hal ini sebagaimana imam al-Nawawi menyatakan bahawa hukum mengerjakan sujud Tilawah dan sujud Syukur bagi perempuan yang sedang haid dan nifas adalah haram, sebagaimana diharamkan dalam solat jenazah kerana bersuci merupakan syarat sah.[9]
Selain itu, terdapat juga tambahan syarat sah dalam mengerjakan sujud Tilawah iaitu apabila seseorang telah sempurna membaca atau mendengar keseluruhan ayat Sajdah, kerana waktu pelaksanaannya bermula dengan sempurnanya ayat tersebut; maka sebarang sujud yang dilakukan sebelum itu adalah tidak sah, sebagaimana solat yang dikerjakan sebelum masuk waktunya.[10]
Dalam konteks tatacara mengerjakan sujud Tilawah di luar solat terdapat penjelasan yang telah diterangkan oleh para fuqaha dalam mazhab al-Shafi’i. Sebagaimana yang dinyatakan di dalam kitab al-Muktamad Fi al-Fiqh al-Shafi’i karya Prof. Dr. Muhammad al-Zuhailiy seperti berikut[11]:
1) Niat.
2) Takbiratul ihram.
3) Disunatkan mengangkat kedua-dua tangan ketika takbiratul ihram.
4) Disunatkan bertakbir ketika turun untuk sujud tanpa mengangkat tangan.
5) Sujud satu kali, seperti sujud dalam solat dari segi rukun, syarat dan sunat.
6) Disunatkan bertakbir ketika bangun dari sujud tanpa mengangkat tangan.
7) Memberi salam selepas duduk.
8) Tidak disyaratkan dan tidak disunatkan tasyahud.
9) Tidak disunatkan berdiri jika dilakukan dalam keadaan duduk.
10) Disunatkan duduk iftirasy selepas sujud.
Rukun Sujud Tilawah
1) Niat
2) Takbiratul ihram
3) Sujud
4) Salam.
Selain itu, berkaitan zikir atau bacaan yang sunat dibacakan ketika sujud Tilawah adalah seperti berikut:
سَجَدَ وَجْهِي لِلَّذِي خَلَقَهُ وَصَوَّرَهُ وَشَقَّ سَمْعَهُ وَبَصَرَهُ بِحَوْلِهِ وَقُوَّتِهِ تَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ وَيَقُولُ
Maksudnya: Telah sujud wajahku kepada (Allah) yang Menciptakannya, yang Membentuknya dan yang Membuka pendengarannya serta penglihatannya dengan daya dan kekuatan-Nya, maka Maha Berkat (serta Maha Tinggilah Kelebihan) Allah, sebaik-baik Pencipta.
Kemudian disunatkan juga menyambung:
اللَّهُمَّ اُكْتُبْ لِي بِهَا عِنْدَك أَجْرًا وَاجْعَلْهَا لِي عِنْدَك ذُخْرًا وَضَعْ عَنِّي بِهَا وِزْرًا وَاقْبَلْهَا مِنِّي كَمَا قَبِلْتهَا مِنْ عَبْدِك دَاوُد
Maksudnya: Ya Allah, tuliskan bagiku dengan sujud ini pahala dan jadikanlah sujud ini berharga (di sisi-Mu) dan hindarkanlah daripadaku dosa dengannya dan terimalah ia daripadaku sepertimana Engkau menerima sujud hamba-Mu Daud.[12]
Kesimpulan
Hukum sujud Tilawah adalah sunat bagi sesiapa yang membaca atau mendengar ayat Sajdah yang terdapat dalam al-Quran. Justeru, suci daripada hadas menjadi syarat sah dalam melaksanakan sujud tilawah dalam mazhab al-Shafi’i. Hal ini kerana pelaksanaan sujud Tilawah tertakluk kepada syarat-syarat sah solat seperti bersuci, menutup aurat dan menghadap kiblat.
[1] Muḥāmmad al-Zuḥailī, al-Mu’tamad Fī al-Fiqh al-Shāfi’ī, (Dimashq: Dār al-Qalam, 2007), jil. 1, ms. 353. Teks arab: أي السجود الذي سببه التلاوة، من إضافة الحكم إلى سببه، والمراد من التلاوة تلاوة الآيات الكريمة، التي ورد فيها السجود في القرآن الكريم
[2] Al-Nawawī, Yaḥyā ibn Sharaf, al-Majmū‘ Sharḥ al-Muhadhdhab, (Kaherah: al-Maṭba‘ah al-Munīriyyah, t.t.). jil. 4, ms. 58.
[3] Jabatan Mufti Negeri Selangor. Diakses daripada: https://www.muftiselangor.gov.my/2025/08/29/93-taudhih-al-hukmi-bacaan-bagi-menggantikan-sujud-Tilawah/
[4] Abū Husayn Muslim Bin Al-Hajjāj bin Muslim Al-Qushayrī Al-Nisāburī, Ṣahīh Muslim, (Turki: Dar Al-Tibā’ah Al-‘Amārah, 1915), jil. 2, ms. 88. Hadis no. 575.
[5] Abū Zakariyyā Muhyi al-Dīn Yahya bin Sharaf al-Nawawī, al-Minhāj Sharh Sahīh Muslim bin Hajjāj. (Dar Ihyā’ al-Turāth al-‘Arabī: Beirut, Lubnan, 1972), jil. 5, ms. 74.
قَوْلُهُ إِنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ يَقْرَأُ الْقُرْآنَ فَيَقْرَأُ سُورَةً فِيهَا سَجْدَةٌ فَيَسْجُدُ وَنَسْجُدُ مَعَهُ حَتَّى مَا يَجِدُ بَعْضُنَا مَوْضِعًا لِمَكَانِ جَبْهَتِهِ وَفِي رِوَايَةٍ فَيَمُرُّ بِالسَّجْدَةِ فَيَسْجُدُ بِنَا فِي غَيْرِ صَلَاةٍ فِيهِ إِثْبَاتُ سُجُودِ التِّلَاوَةِ وَقَدْ أَجْمَعَ الْعُلَمَاءُ عَلَيْهِ وَهُوَ عِنْدَنَا وَعِنْدَ الْجُمْهُورِ سُنَّةٌ لَيْسَ بِوَاجِبٍ وَعِنْدَ أَبِي حَنِيفَةَ رضي الله عنه وَاجِبٌ لَيْسَ بِفَرْضٍ عَلَى اصْطِلَاحِهِ فِي الْفَرْقِ بَيْنَ الْوَاجِبِ وَالْفَرْضِ وَهُوَ سُنَّةٌ لِلْقَارِئِ وَالْمُسْتَمِعِ لَهُ
[6] ‘Azimah dari sudut syarak: Ia merupakan hukum asal yang ditetapkan oleh syarak, dan tidak berubah daripada keadaan tersebut disebabkan oleh sebarang faktor mendatang. (Rujukan: Ṣafiyuddīn Muḥammad bin Abdurraḥīm al-Armawī al-Hindī, Nihāyah al-Wuṣūl fī Dirāyah al-Uṣūl, (Mekah: al-Maktabah al-Tijāriyyah, 1996), jil. 2, ms. 682).
وفي الشرع: عبارة عن الحكم الأصلي الذي شرعه الشارع ولم يتغير عن ذلك الوضع بعارض
[7] Muḥāmmad al-Zuḥailī, al-Mu’tamad Fī al-Fiqh al-Shāfi’ī, jil. 1, ms. 354-355.
[8] Muḥy al-Dīn Al-Nawawī, Yaḥyā bin Sharf, Rawḍat al-Ṭālibīn wa ‘Umdat al-Muftīn, (Beirut: al-Maktab al-’Islāmī), jil. 1, ms. 321.
[9] Al-Nawawī, Yaḥyā ibn Sharaf, al-Majmū‘ Sharḥ al-Muhadhdhab, jil. 2, ms. 353.
قَالَ أَصْحَابُنَا وَفِي مَعْنَى الصَّلَاةِ سُجُودُ التِّلَاوَةِ وَالشُّكْرِ فَيَحْرُمَانِ عَلَى الْحَائِضِ والنفساء كما تحرم صلاة الجنازة لان الطَّهَارَةَ شَرْطٌ
[10] Wizārah al-Awqāf wa- al-Shu’un al-Islāmiyyah, Al-Mawsū’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytīyyah, Jil. 24, ms. 215.
يُشْتَرَطُ لِصِحَّةِ سُجُودِ التِّلَاوَةِ دُخُول وَقْتِ السُّجُودِ، وَيَحْصُل ذَلِكَ عِنْدَ جُمْهُورِ الْفُقَهَاءِ بِقِرَاءَةِ جَمِيعِ آيَةِ السَّجْدَةِ أَوْ سَمَاعِهَا، فَلَوْ سَجَدَ قَبْل الاِنْتِهَاءِ إِلَى آخِرِ الآْيَةِ وَلَوْ بِحَرْفٍ وَاحِدٍ لَمْ يَصِحَّ السُّجُودُ؛ لأَِنَّهُ يَكُونُ قَدْ سَجَدَ قَبْل دُخُول وَقْتِ السُّجُودِ فَلَا يَصِحُّ، كَمَا لَا تَصِحُّ الصَّلَاةُ قَبْل دُخُول وَقْتِهَا.
[11] Muḥāmmad al-Zuḥailī, al-Mu’tamad Fī al-Fiqh al-Shāfi’ī, jil. 1, ms. 358.
[12] Abū Yaḥyā Zakariyā al-Anṣārī al-Shāfi’ī. Asnā al-Maṭālib Fī Sharḥ Rawḍ al-Ṭālib. (t.t.p: al-Maṭba’ah al-Maimaniyyah, t.t.), jil. 1, ms. 197-198.

