LAWATAN KERJA RASMI KE JABATAN MUFTI PERAK DAN PULAU PINANG PERKASA PEMBANGUNAN SISTEM FATWA

LAWATAN KERJA RASMI KE JABATAN MUFTI PERAK DAN PULAU PINANG PERKASA PEMBANGUNAN SISTEM FATWA

 

IPOH dan GEORGE TOWN, — Jabatan Mufti Negeri Selangor telah mengadakan  lawatan kerja rasmi selama dua hari pada 6-7 April 2026  ke Jabatan Mufti Negeri Perak dan Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang. Lawatan ini bertujuan untuk mengetahui dan mempelajari sistem pengurusan fatwa yang telah dibangunkan oleh kedua-dua negeri tersebut.

 

Delegasi yang diketuai oleh Ustaz Mohamad Shukry bin Sulaiman, Ketua Penolong Mufti Jabatan Mufti Negeri Selangor itu disambut mesra oleh pihak pengurusan kedua-dua jabatan mufti berkenaan. Sepanjang lawatan, pelbagai sesi taklimat, perbincangan teknikal serta demonstrasi sistem telah diadakan bagi memberi pendedahan menyeluruh berkaitan pembangunan, pelaksanaan serta keberkesanan sistem fatwa sedia ada.

 

Fokus utama lawatan ini adalah untuk memahami struktur sistem, aliran kerja pengeluaran fatwa, pengurusan pangkalan data, serta kaedah penyampaian maklumat kepada masyarakat umum. Selain itu, aspek kebolehgunaan, mesra pengguna, capaian maklumat yang mudah serta integrasi teknologi semasa turut diberi perhatian.

 

Lawatan ini amat penting sebagai langkah penanda aras dalam usaha membangunkan sistem fatwa yang lebih sistematik, efisien dan mesra pengguna. Inisiatif ini diharap dapat meningkatkan mutu penyampaian fatwa serta memperkukuh peranan institusi mufti dalam memberi panduan kepada masyarakat.

 

Lawatan kerja ini juga membuka ruang kerjasama strategik antara jabatan mufti negeri dalam usaha memperkasa pengurusan fatwa di Malaysia secara keseluruhan.

 

Unit Komunikasi Korporat

Jabatan Mufti Negeri Selangor

Accessibility Toolbar