#108 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Buli Menurut Perspektif Syariah Dan Undang-undang

#108 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Buli Menurut Perspektif Syariah dan Undang-Undang

Tarikh: 6 April 2026

Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah

Pendahuluan

Jenayah buli semakin membimbangkan dalam kalangan masyarakat sama ada di sekolah, tempat kerja atau ruang siber yang melibatkan pelbagai peringkat usia. Hakikat fenomena ini menjadi lebih serius apabila terdapat kes buli yang berakhir dengan kematian. Secara umum, kesan buli sering bermula dengan tekanan emosi yang menggugat kesejahteraan mental sebelum berlanjutan kepada kecederaan fizikal. Perbuatan ini kian dianggap sebagai budaya dalam sesetengah komuniti dengan alasan untuk beramah mesra, bergurau senda atau mengenali antara satu sama lain. Namun begitu, hakikat sebenar perbuatan tersebut cenderung ke arah penderaan dan pembulian. Sehubungan dengan itu, apakah hukum buli menurut perspektif syariah dan undang-undang negara?

Definisi Buli

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, buli adalah perbuatan mendera dan mempermainkan seseorang. Buli juga adalah perbuatan mempermain-mainkan orang, biasanya orang yang lemah dengan tujuan untuk menggertak, mencederakan, menakutkan dan sebagainya.[1] Oleh itu, buli adalah satu perbuatan tidak bermoral terhadap individu tertentu yang dapat memberikan kesan negatif sama ada pada fizikal mahupun mental.

Dalam perspektif Islam, buli boleh dikaitkan dengan al-iza’ (الإيذاء) iaitu memudaratkan dan menyakiti seseorang.[2] Begitu juga al-tahqir (التحقير) iaitu merendah-rendahkan atau menghina seseorang[3] dan al-taskhir (التسخير) iaitu mencemuh seseorang.[4] Kesemua ini menunjukkan perbuatan buli sama ada ia berbentuk penderaan fizikal mahupun penderaan mental atau emosi dapat memberi kesan mendalam terhadap kesejahteraan jiwa serta menimbulkan tekanan perasaan yang boleh menjejaskan perkembangan perilaku dan kehidupan seseorang.

Hukum Buli Menurut Perspektif Syariah

Berdasarkan kepada definisi buli di atas, jelaslah bahawa buli termasuk satu perbuatan yang zalim. Islam telah melarang umatnya daripada melakukan sebarang bentuk kezaliman. Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Zar RA, bahawa Nabi SAW bersabda, Allah SWT berfirman:

‌يَا ‌عِبَادِي إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا فَلَا تَظَالَمُوا

Maksudnya: Wahai hamba-Ku, sesungguhnya aku telah mengharamkan kezaliman ke atas diri-Ku. Dan aku menjadikannya juga haram antara kamu maka janganlah kamu semua berlaku zalim.[5]

(Riwayat Muslim)

Islam melarang perbuatan buli kerana ia dapat memudaratkan orang lain. Hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA, sabda Nabi SAW:

‌لَا ‌ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Maksudnya: Tidak boleh melakukan mudarat dan tidak boleh membalas kemudaratan itu.[6]

(Riwayat Ahmad)

Selain itu, buli turut dilarang kerana ia terkait dengan perbuatan menghina dan mencemuh orang lain. Larangan ini bertepatan dengan Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 11:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰٓ أَن يَكُونُوا۟ خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَآءٌ مِّن نِّسَآءٍ عَسَىٰٓ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ ۖ وَلَا تَلْمِزُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا۟ بِٱلْأَلْقَٰبِ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk.

Begitu juga dengan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, sabda Nabi SAW:

لَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَنَاجَشُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَلَا يَبِعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَيْعِ بَعْضٍ، وَكُونُوا عِبَادَ اللهِ إِخْوَانًا ‌الْمُسْلِمُ ‌أَخُو ‌الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يَخْذُلُهُ وَلَا يَحْقِرُهُ التَّقْوَى هَاهُنَا وَيُشِيرُ إِلَى صَدْرِهِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ بِحَسْبِ امْرِئٍ مِنَ الشَّرِّ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ دَمُهُ وَمَالُهُ وَعِرْضُهُ

Maksudnya: Janganlah kamu saling dengki-mendengki, janganlah kamu saling menipu (dengan cara menaikkan harga secara palsu), janganlah kamu saling bermusuhan, janganlah kamu saling membelakangi, dan janganlah sebahagian kamu menjual atas jualan saudaranya. Jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Orang Islam itu adalah saudara kepada orang Islam yang lain; dia tidak menzaliminya, tidak mengecewakannya, dan tidak merendahkannya. Takwa itu di sini (sambil Baginda menunjuk ke dadanya tiga kali). Cukuplah seseorang itu dianggap melakukan kejahatan apabila dia merendahkan saudaranya yang Muslim. Setiap Muslim itu haram (dilarang mencemarkan) darahnya, hartanya dan maruahnya terhadap Muslim yang lain.[7]

(Riwayat Muslim)

Islam sangat mementingkan aspek keselamatan nyawa, harta dan mental seseorang individu. Hal ini bertepatan dengan maqasid al-Syariah yang menekankan aspek penjagaan nyawa, harta dan juga akal seseorang. Kata Imam al-Syatibi dalam al-Muwafaqat:

ومجموع الضروريات خمسة، وهي: حفظ الدين والنفس والنسل والمال والعقل وقد قالوا: إنها مراعاة في كل ملة

Maksudnya: Dan keseluruhan perkara dharuri itu ada lima iaitu menjaga agama, menjaga nyawa, menjaga keturunan, menjaga harta dan menjaga akal. Dan telah mereka sebutkan bahawa ia perkara yang dijaga dalam setiap agama.[8]

Oleh itu, perbuatan buli adalah haram kerana ia adalah perbuatan zalim yang mendatangkan kesan negatif kepada seseorang individu sama ada fizikal, mental mahupun emosi. Di samping itu, kesan perbuatan buli ini juga berkait dengan perundangan jenayah Islam.

 

Hukum Buli Menurut Perspektif Undang-Undang

Buli boleh dianggap sebagai satu perbuatan yang menyalahi tatasusila dan memberi kesan mendalam kepada mangsa, sama ada dari sudut fizikal, emosi mahupun sosial. Dalam kerangka perundangan Malaysia, perbuatan membuli tidak dipandang ringan kerana ia termasuk dalam kategori kesalahan jenayah. Beberapa peruntukan dalam Kanun Keseksaan boleh dikuatkuasakan dan digunakan untuk mengambil tindakan terhadap pelaku buli mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. Contohnya, Seksyen 323 memperuntukkan hukuman terhadap mereka yang dengan sengaja menyebabkan kecederaan.[9] Seksyen 506 pula melibatkan perbuatan ugutan jenayah yang menimbulkan rasa takut terhadap keselamatan seseorang, manakala Seksyen 509 berkaitan dengan perbuatan mengaibkan kehormatan seseorang melalui kata-kata atau tingkah laku tertentu.[10]

Bagi kes melibatkan kanak-kanak, perlindungan tambahan disediakan melalui Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).[11] Akta ini bertujuan menjaga kebajikan golongan kanak-kanak daripada sebarang bentuk penderaan, pengabaian mahupun buli. Malah, ia memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan segera terhadap pelaku serta memastikan mangsa menerima bantuan sewajarnya.

Secara keseluruhannya, jelas bahawa buli bukan sekadar salah dari sudut syarak, bahkan juga menyalahi undang-undang negara. Oleh itu, penguatkuasaan yang tegas perlu dilaksanakan agar masyarakat dilindungi, hak setiap individu dihormati dan suasana hidup bersama dapat dibentuk dengan lebih selamat.

Kesimpulan

Buli merupakan perbuatan zalim yang bercanggah dengan syariat Islam. Ia bertentangan dengan ajaran Islam yang amat menekankan nilai kasih sayang, keadilan dan ihsan sesama manusia. Atas apa sahaja alasan atau tujuan, budaya buli adalah tidak dibenarkan di dalam Islam. Di samping itu, budaya buli ini juga turut dikategorikan sebagai kesalahan jenayah menurut undang-undang negara. Oleh hal demikian, diseru agar semua masyarakat menolak budaya buli sepenuhnya kerana ia bukan sahaja merosakkan maruah dan kesejahteraan individu, malah mengancam keharmonian sosial serta masa depan negara.

[1]Frasa “buli”, Dewan Bahasa dan Pustaka, Diakses pada (1/10/2025) https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=buli&d=175768&

[2] Ibrāhīm Mustafā, Aḥmad al-Ziyāt, Ḥāmid Abdul Qādir, Muḥammad al-Najār, Al-Mu’jam al-Wasīt. (Dār al-Dakwah, 1431).1:12.

[3] Ibrāhīm Mustafā, Aḥmad al-Ziyāt, Hāmid Abdul Qādir, Muḥammad al-Najār. Al-Mu’jam al-Wasīt. (Dār al-Dakwah, 1431). 1:187.

[4] Abū al-Qāsim al-Ḥusayn Bin Muḥammad al-Makrūf, Al-Mufradāt fi Gharīb al-Qurān. (Beirut: Dār al-Qalam, 1431), 402.

[5] Muslim, Abū al-Ḥusayn Muslim Bin al-Hajjāj Bin Muslim al-Qusyairī, Al-Jamī’ al-Sahīh, Sahīh Muslim. (Turki: Dār al-Taba’ah al-‘Āmirah, 1443). 8:16, Hadis No, 2577.

[6] Aḥmad bin Ḥanbal, Musnad Imām Amad, (Beirut: Muassasah al-Risalah, 2001). 5:55, Hadis No, 2865.

[7] Muslim, Abū al-Ḥusayn Muslim Bin al-Ḥajjāj Bin Muslim al-Qusyairī. Al-Jamī’ al-ahīh, Saḥīḥ Muslim, (Turki: Dār al-Taba’ah al-‘Āmirah, 1443). 8:10, Hadis No, 2564.

[8] Abū Ishāq Ibrāhim Bin Mūsā. Al-Muwāfaqāt. (Dār Ibnu ‘Affān, 1431). 2:20.

[9] Seksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera, Kanun Keseksaan 574, 1/10/2025, https://www.sprm.gov.my/admin/files/sprm/assets/pdf/penguatkuasaan/kanun-keseksaan-bm.pdf

[10] Seksaan bagi kesalahan menakutkan secara jenayah, Kanun Keseksaan 574, 1/10/2025, https://www.sprm.gov.my/admin/files/sprm/assets/pdf/penguatkuasaan/kanun-keseksaan-bm.pdf

[11] Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), 1/10/2025, https://www.kpwkm.gov.my/uploads/content-downloads/file_20250425123603.pdf

Accessibility Toolbar