#107 Taudhih Al-Hukmi : Solat Sunat Hari Raya Antara Muwafiq, Masbuq dan Qada’

#107 Taudhih Al-Hukmi : Solat Sunat Hari Raya Antara Muwafiq, Masbuq dan Qada’

Tarikh: 18 Mac 2026

Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah

 

Pendahuluan

Solat sunat hari raya dilakukan sebanyak dua kali setahun. Pertama ialah solat sunat Eidulfitri yang dilakukan pada 1 Syawwal selepas berakhirnya puasa Ramadhan dan kedua ialah solat sunat Eiduladha yang dilakukan pada hari naḥr (korban), iaitu pada 1 Zulhijjah. Antara kaifiat yang membezakan solat sunat hari raya dengan yang lain adalah pada bilangan takbirnya sebelum membaca al-Fatihah pada setiap rakaat. Solat sunat hari raya juga sunat dilakukan secara berjemaah. Rentetan itu, timbul persoalan bagaimana jika makmum masbuq ketika solat sunat hari raya atau seseorang tidak dapat menunaikannya pada waktunya.   

 

Situasi ketika Solat Sunat Hari Raya

1.      Makmum Sempat Sebahagian Takbir Bersama Imam

 

Terdapat perbezaan pendapat bagi keadaan ini antara qawl jadīd dengan qawl qadīm Imam al-Shafi‘ī. Perbezaan sudut pandang dalam konteks ini berdasarkan kepada perbezaan penetapan maḥal (tempat) yang disunatkan untuk melaksanakan takbir tersebut. Mengikut qawl jadīd, tempatnya ialah selagi mana belum bermulanya bacaan al-Fatihah. Manakala mengikut qawl qadīm tempatnya adalah apabila berada dalam keadaan qiyām (berdiri) selagi belum rukuk.

 

Justeru, mengikut qawl jadīd, makmum tidak perlu melafazkan takbir yang telah luput dan hanya perlu mengikuti imam pada takbir yang berbaki jika sempat bersama imam pada sebahagian takbir. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abū Hurairah RA bahawasanya Nabi SAW bersabda:

 

‌إِنَّمَا ‌جُعِلَ ‌الإِمَامُ ‌لِيُؤْتَمَّ ‌بِهِ

 

Maksudnya: Sesungguhnya dijadikan imam untuk diikuti.[1]

(Riwayat al-Bukhārī dan Muslim)

 

Pandangan ini merangkumi makmum yang masbuq pada rakaat pertama mahupun kedua. Rentetan itu, jika tempat bagi takbir tersebut sudah berlalu, maka pelaksanaanya turut gugur bagi rakaat itu. Disebutkan dalam Hāshiyatā Qalyūbī wa ‘Amīrah:

(وَلَوْ نَسِيَهَا وَشَرَعَ فِي القِرَاءَةِ فَاتَتْ) لِفَوَاتِ مَحَلِّهَا

 

Maksudnya: Sekiranya seseorang terlupa takbir (solat sunat hari raya) dan sudah memulakan bacaan, maka takbir tersebut telah luput kerana tempatnya sudah berlalu.”[2]

 

Manakala mengikut qawl qadīm, makmum boleh melafazkan takbir yang telah luput walaupun imam sudah memulakan bacaan al-Fatihah kerana dia masih berada pada maḥal takbir tersebut, iaitu qiyām.

 

2.      Masbuq Rakaat

 

Makmum yang masbuq rakaat solat sunat hari raya mesti menyempurnakan rakaat yang tertinggal sama seperti solat yang lain. Sekiranya imam berada dalam keadaan rukuk, maka dia perlu rukuk bersama imam dan tidak perlu melafazkan takbir solat raya yang telah luput. Ini seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawī dalam Rawdhat al-Ṭālibīn:

 

وَلَوْ أَدْرَكَهُ رَاكِعًا، رَكَعَ مَعَهُ، وَلَا يُكَبِّرُ بِالِاتِّفَاقِ

 

Maksudnya: Jika makmum sempat menyertai imam dalam keadaan imam sedang rukuk, maka dia perlu rukuk bersama imam dan tidak perlu melakukan takbir (solat sunat hari raya) secara sepakat.[3]

 

Dalam keadaan ini dia dikira mendapat rakaat tersebut bersama imam dan tidak dikira jika imam sudah mula bangun dari rukuk. Oleh itu, dia perlu mencukupkan satu rakaat lagi dan bertakbir sebanyak lima kali tidak termasuk takbir intiqāl (perpindahan), iaitu ketika bangun dari tahiyat.

 

Adapun jika tidak sempat bersama imam pada kedua-dua rakaat, maka dia perlu mencukupkan dua rakaat dan melakukan takbir sebanyak tujuh kali pada rakaat pertama, dan lima kali pada rakaat kedua tanpa mengambil kira takbir intiqāl. Selain itu, makmum yang tidak sempat menunaikan solat sunat hari raya secara berjemaah boleh menunaikannya seorang diri di masjid atau di mana-mana sekalipun. Ini bersandarkan kepada pandangan muktamad mazhab Shafi‘ī yang mengatakan bahawa solat sunat hari raya boleh ditunaikan secara bersendirian seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawī:

 

الْمَذْهَبُ وَالْمَنْصُوصُ فِي الْكُتُبِ الْجَدِيدَةِ كُلِّهَا، أَنَّ صَلَاةَ الْعِيدِ تُشْرَعُ لِلْمُنْفَرِدِ فِي بَيْتِهِ أَوْ غَيْرِهِ

 

Maksudnya: Pendapat mazhab dan yang dinaskan dalam semua kitab jadīd ialah solat sunat hari raya disyariatkan bagi individu di rumahnya atau di tempat lain.[4]

 

3.      Imam Terlupa Takbir Solat Sunat Raya

 

Imam yang terlupa takbir solat sunat hari raya keadaannya sama seperti situasi makmum yang sempat sebahagian takbir bersama imam. Ringkasnya, jika imam terlupa untuk melakukan takbir solat sunat hari raya, lalu teringat selepas memulakan bacaan al-Fatihah, maka dia tidak perlu melafazkan takbir tersebut kerana maḥalnya sudah berlalu mengikut qawl jadīd, iaitu sebelum memulakan bacaan al-Fatihah. Adapun mengikut qawl qadīm, imam boleh melafazkan takbir solat sunat hari raya jika terlupa dan kemudian teringat ketika masih belum rukuk, sama ada semasa atau selepas membaca al-Fatihah.

Justeru, sesiapa yang menunaikan solat sunat hari raya, lalu dia terlupa melafazkan takbir solat sunat hari raya dan kemudian teringat apabila sudah rukuk atau selepas daripada itu, maka dia tidak boleh kembali berdiri dengan tujuan untuk melafazkan takbir tersebut kerana maḥalnya sudah berlalu mengikut kedua-dua pandangan. Sekiranya dilakukan dengan sengaja dan dalam keadaan dia mengetahui bahawa perbuatan tersebut dilarang, maka solatnya terbatal. Al-Khāṭīb al-Sharbīnī berkata:

 

لَوْ تَذَكَّرَهَا فِي الرُّكُوعِ أَوْ بَعْدَهُ وَعَادَ إلَى الْقِيَامِ لِيُكَبِّرَ، فَإِنَّ صَلَاتَهُ تَبْطُلُ إنْ كَانَ عَالِمًا مُتَعَمِّدًا

 

Maksudnya: Sekiranya seseorang teringat takbir solat sunat hari raya yang sudah luput ketika rukuk atau selepas daripada itu dan dia kembali berdiri untuk melakukan takbir tersebut, maka solatnya terbatal jika dia melakukannya dalam keadaan dia mengetahui (hukumnya) dan dengan sengaja.[5]

 

Qada’ Solat Sunat Hari Raya

Di sisi mazhab Shafi‘ī, waktu bagi solat sunat hari raya bermula daripada matahari terbit hingga tergelincir, iaitu hingga tiba waktu Zohor. Akan tetapi, disunatkan untuk melewatkannya hingga matahari naik sepenggalah.[6] Oleh itu, seseorang yang tidak sempat menunaikannya pada waktu yang ditetapkan, maka dia boleh menqadanya pada waktu lain. Pandangan ini berasaskan ḍābiṭ fiqhī bahawa solat sunat mu’aqqat (yang terikat dengan waktu) boleh diqada’ pada waktu lain, berbeza dengan solat sunat yang terikat dengan sesuatu sebab seperti solat tahiyatul masjid. Ketika membahaskan perkara ini, Imam al-Ramlī mengatakan:

 

(‌وَلَوْ) (‌فَاتَ ‌النَّفَلُ ‌الـمُؤَقَّتُ) كَصَلَاةِ العِيدِ وَالضُّحَى وَالرَّوَاتِبِ (نُدِبَ قَضَاؤُهُ) أَبَدًا (فِي الأَظْهَرِ)

 

Maksudnya: Jika luput mana-mana solat sunat mu’aqqat seperti solat sunat hari raya, duha dan rawātib, maka sunat untuk menqada’nya pada bila-bila masa mengikut pandangan al-’aẓhar (iaitu pandangan Imam al-Shāfi‘ī yang paling kuat).[7]

 

Ini bersandarkan kepada beberapa riwayat Sahabat RA berkenaan perbuatan dan suruhan Nabi SAW untuk mengqada’ sebahagian solat sunat mu’aqqat, antaranya riwayat Ummu Salamah ra apabila beliau bertanya kepada Rasulullah SAW tentang dua rakaat yang Baginda SAW lakukan selepas menunaikan solat Asar, lalu Baginda SAW menjawab:

 

يَا بِنْتَ أَبِي أُمَيَّةَ، سَأَلْتِ عَنِ الرَّكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعَصْرِ، إِنَّهُ أَتَانِي أُنَاسٌ مِنْ عَبْدِ الْقَيْسِ بِالْإِسْلَامِ مِنْ قَوْمِهِمْ، ‌فَشَغَلُونِي ‌عَنِ ‌الرَّكْعَتَيْنِ ‌اللَّتَيْنِ ‌بَعْدَ ‌الظُّهْرِ، فَهُمَا هَاتَانِ

 

Maksudnya: Wahai puteri Abu Umayyah, kamu bertanya tentang dua rakaat selepas Asar. Sesungguhnya beberapa orang daripada (kabilah) ‘Abd al-Qays datang bertemu saya ingin mengisytiharkan Islam, lalu mereka menyibukkan saya daripada dua rakaat yang biasa saya lakukan selepas Zohor. Maka, dua rakaat ini (yang ditunaikan selepas solat Asar) adalah bagi menggantikan dua rakaat tersebut.[8]

(Riwayat al-Bukhārī)

 

Penghujahan dalam hadis ini adalah pada perbuatan Nabi SAW menqada’ solat sunat Zohor selepas daripada menunaikan fardu Asar, iaitu selepas dari waktunya. Ini secara tidak langsung menunjukkan kepada saranan untuk mengqada’ solat sunat mu’aqqat.[9]

 

Kesimpulan

Ringkasnya, makmum yang sempat pada sebahagian takbir solat sunat hari raya, dia hanya perlu mengikuti imam tanpa perlu melafazkan takbir yang sudah luput berdasarkan qawl jadīd Imam al-Shafi‘ī. Begitu juga imam yang terlupa untuk melafazkan takbir solat sunat hari raya dan kemudian teringat apabila sudah memulakan bacaan al-Fatihah. Sekiranya makmum masbuq pada rakaat kedua, maka rakaat yang sempat dilakukan bersama imam akan dikira sebagai rakaat pertama baginya. Oleh itu, selepas imam memberi salam, makmum perlu mencukupkan satu rakaat lagi serta bertakbir sebanyak lima kali sebelum membaca al-Fatihah. Selain itu, solat sunat hari raya yang tidak sempat dilakukan pada waktunya boleh diqada’ pada waktu yang lain kerana solat tersebut termasuk dalam kategori solat sunat mu’aqqat.

 

 



[1] Al-Bukhārī, Muhammad bin Isma‘īl. Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. (Damsyik: Dār Ibn Kathīr & Dār al-Yamāmah), hadis no. 371, 1/149; Abū al-Hussain Muslim bin Ḥajjāj. Ṣaḥīḥ Muslim. (Turki: Dar al-Ṭibā‘ah al-‘Āmirah), hadis no. 417; 2/20.

[2] Al-Qalyūbī, Amad Salamah & ‘Amīrah, Ahmad al-Burullusī. Hāshiyatā Qalyubi wa ‘Amīrah. (Beirut, Dār al-Fikr), 1/354.

[3] Al-Nawawī, Muyi al-Dīn bin Sharf. Rawḍat al-Ṭālibīn. (Beirut, Damsyik, Amman: al-Maktab al-Islāmī), 2/73.

[4] Al-Nawawī, Muḥy al-Dīn bin Sharf. Rawḍat al-Ṭālibīn. (Beirut, Damsyik, Amman: al-Maktab al-Islāmī), 2/70.

[5] Al-Khaṭīb al-Shirbīnī, Shams al-Dīn Muḥammad bin Muḥammad. Mughnī al-Muḥtāj ’ilā Ma‘rifat Ma‘ānī ’Alfāẓ al-Minhāj. (Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah), 1/589

[6] Al-Nawawī, Muy al-Dīn bin Sharf. Rawḍat al-Ṭālibīn. (Beirut, Damsyik, Amman: al-Maktab al-Islāmī), 2/70.

[7] Al-Ramlī, Shams al-Dīn Muḥammad bin Abī al-‘Abbās. Nihāyāt al-Muḥtāj ’ilā Sharḥ al-Minhāj. (Beirut: Dār al-Fikr), 2/121.

[8] Al-Bukhārī, Muhammad bin ‘Isma’il. Sahih al-Bukhari. (Dār Ibn Kathīr, Dar al-Yamāmah), hadis no. 1176, 1/414.

[9] Al-Damīrī, Muḥammad bin Mūsā. Al-Najm al-Wahhāj fī Sharḥ al-Minhāj. (Jedah: Dār al-Minhāj), 2/305. Beliau berkata:

)ولو ‌فات ‌النقل ‌المؤقت) كالعيد والرواتب والضحى والتراويح (… ندب قضاؤه في الأظهر)؛ لأنه ﷺ صلى ركعتين بعد العصر عن الركعتين اللتين بعد الظهر، كما تقدم، و(قضي ركعتي الفجر لما نام في الوادي).

Accessibility Toolbar