Hukum Menderma Darah Ketika Puasa
Tarikh: 19 Februari 2026
Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah
Pendahuluan
Menjadi kewajipan setiap umat Islam untuk memahami hukum-hakam berkaitan ibadah yang dilaksanakan bagi memastikan ibadahnya sah serta diterima di sisi Allah SWT. Setiap ibadah mempunyai perbahasan fiqh yang merangkumi rukun, syarat sah, syarat wajib serta perkara yang membatalkannya. Ibadah puasa merupakan salah satu rukun Islam yang diwajibkan ke atas setiap mukallaf yang memenuhi syarat-syaratnya serta mempunyai hukum-hakam yang perlu diketahui dan difahami dengan jelas.
Pensyariatan puasa bukan sekadar menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa, bahkan turut bertujuan mendidik jiwa agar mampu mengawal hawa nafsu serta memperkukuh ketakwaan kepada Allah SWT. Sehubungan itu, pengetahuan berkaitan perkara yang boleh membatalkan puasa amat penting bagi memastikan pelaksanaannya berada dalam kerangka syarak yang betul. Dalam konteks ini, timbul persoalan mengenai hukum menderma darah ketika berpuasa dan kesannya terhadap keabsahan puasa seseorang. Oleh itu, artikel ini akan memfokuskan perbahasan berkenaan hukum menderma darah ketika berpuasa. Adakah ia membatalkan puasa atau tidak?
Menderma Darah Ketika Puasa
Isu menderma darah ketika berpuasa khususnya pada bulan Ramadan, telah mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat sama ada ia membatalkan puasa atau tidak. Isu ini tidak dibincangkan secara khusus dalam kitab-kitab fiqh. Oleh itu, para fuqaha mu’assirin (kontemporari) mengqiyaskannya dengan perbuatan berbekam ketika berpuasa. Bagi permasalahan berbekam ketika puasa, terdapat dua pandangan:
- Membatalkan puasa
Imam Ahmad bin Hanbal berpandangan bahawa perbuatan berbekam membatalkan puasa berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:
أَفْطَرَ الْحَاجِمُ وَالْمَحْجُومُ
Maksudnya: Terbatal (puasa) sama ada tukang bekam atau yang berbekam.[1]
(Riwayat Ahmad).
Berdasarkan hadis ini, berbekam tidak membatalkan puasa, sama ada yang berbekam atau tukang bekam. Maka menurut pendapat ini, seseorang yang menderma darah turut terbatal puasanya.
2. Tidak membatalkan puasa
Jumhur ulama iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam al-Shafi’i dan selainnya menyebutkan bahawa berbekam tidak membatalkan puasa namun meninggalkannya lebih utama.[2] Pandangan ini berasaskan kepada sebuah hadis Nabi SAW. Diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas RA, beliau berkata:
احْتَجَمَ النَّبِيُّ ﷺ وَهُوَ صَائِمٌ
Maksudnya: Rasulullah SAW pernah berbekam ketika Baginda berpuasa.[3]
(Riwayat al-Bukhari).
Tarjih
Secara zahirnya terdapat percanggahan antara kedua-dua hadis tersebut. Ulama yang berpandangan berbekam tidak membatalkan puasa menyatakan bahawa hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah telah dimansuhkan. Berdasarkan daripada sebuah hadis, Abi Sa’id al-Khudri RA berkata:
أَرْخَص النّبيّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الحِجَامَةِ لِلصَّائِمِ
Maksudnya: Nabi SAW memberikan rukhsah bagi orang yang berpuasa untuk berbekam.[4]
Ibnu Hazim daripada ulama mazhab Shafi’i menambah hujjah daripada hadis di atas dengan menyatakan yang bermaksud:
Maksudnya: Hadis “terbatal puasa sama ada tukang bekam atau yang berbekam” adalah sahih tanpa sebarang keraguan. Namun, kami mendapati hadis daripada Abi Sa‘id yang menyatakan: “Nabi SAW telah memberikan rukhsah untuk berbekam bagi orang yang berpuasa,” sanadnya juga sahih. Maka, wajib berpegang dengannya, kerana rukhsah hanya diberikan selepas adanya ketetapan asal (ʿazīmah). Maka ini menunjukkan kepada mansukhnya hukum terbatal puasa sama ada bagi tukang bekam atau yang berbekam.[5]
Selain itu, ulama dalam mazhab Shafi’i juga bersepakat bahawa berbekam tidak membatalkan puasa sebagaimana pernyataan Imam Nawawi dalam al-Majmu’:
أن مذهبنا أنه لا يفطر بها لا الحاجم ولا لمحجوم
Maksudnya: Sesungguhnya mazhab kami (Shafi’i) berbekam tidak membatalkan puasa, sama ada tukang bekam atau yang berbekam.[6]
Berdasarkan penjelasan di atas, jumhur ulama berpandangan bahawa berbekam tidak membatalkan puasa berikutan adanya rukhsah daripada Nabi SAW yang datang kemudian selepas daripada hadis yang menyebutkan batal puasa kerana berbekam.
Kesimpulan
Kesimpulannya, menderma darah tidak membatalkan puasa berdasarkan pandangan ulama yang mengqiaskannya dengan perbuatan berbekam. Ia tidak membatalkan puasa selagi mana tidak melemahkan tubuh badan seseorang sehingga mendorong untuk berbuka puasa. Sekiranya pendermaan darah dilakukan dalam keadaan tubuh badan lemah atau dibimbangi memudaratkan kesihatan, maka menangguhkannya ke waktu berbuka adalah lebih utama bagi memelihara kesempurnaan ibadah puasa. Pemeliharaan ibadah dan sifat ihsan terhadap sesama manusia hendaklah berjalan seiring dalam kerangka syariat Islam yang betul.
[1] Aḥmad bin Ḥanbal, Musnad al-Imām Aḥmad bin Ḥanbal, (Muassasah al-Risālah, 1431), No hadis 8768, jil. 14, ms. 373.
[2] Abū Zakariyyā Muhyī al-Dīn bin Syaraf al-Nawawī. Al-Majmū’ Syarḥ al-Muhadzab. (Kaherah: Idārah al-Tabā’ah al-Munīriyah, 1431), 6/349.
[3] Al-Bukhārī, Muḥammad bin Ismāʿīl. Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. (Mesir: Sulṭāniyah, 1893), 3/33, No hadis. 1939.
[4] Aḥmad bin Ḥanbal. Musnad al-Imām Aḥmad bin Ḥanbal. (Muassasah al-Risālah, 1431), 14/376.
[5] Abū ‘Abdullah Muḥammad bin Yazīd bin Mājah al-Qazwīnī. Sunan Ibnu Mājah. (Dār al-Risālah al-‘Ālamiyyah, 1434), 2/584.
[6] Abū Zakariyyā Muhyī al-Dīn Bin Syaraf al-Nawawī. Al-Majmū’ Syarh al-Muhadzab. (Kaherah: Idārah al-Tabā’ah al-Munīriyah, 1431), 6/349.
