“Itqan Memacu Wibawa” Teras Perutusan Mufti Selangor 2026
Shah Alam, 16 Januari 2026 – Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMNS) melangkah ke tahun 2026 dengan membawa tema “Itqan Memacu Wibawa” sebagai asas pengukuhan peranan institusi ini sebagai rujukan autoritatif Islam di negeri Selangor.
Dato’ Setia Mufti Selangor menegaskan bahawa Jabatan Mufti bukan sekadar sebuah institusi pentadbiran, bahkan merupakan penjaga agama, rujukan ummah dan suara Islam yang berwibawa. Justeru, setiap meja kerja, setiap kertas, setiap kandungan media dan setiap keputusan yang dihasilkan adalah satu amanah yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT, sebagaimana peringatan Allah dalam Surah al-Ahzab ayat 72 tentang beban amanah yang dipikul oleh manusia.
Beliau turut mengajak seluruh warga jabatan melakukan muhasabah terhadap pencapaian tahun 2025, selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Hasyr ayat 18 yang menyeru setiap orang beriman menilai apa yang telah disediakan untuk hari esok. Dalam hal ini, Dato’ Setia Mufti Selangor mengingatkan bahawa muhasabah bukan tanda kelemahan, tetapi lambang kematangan dan kejujuran terhadap amanah.
Dalam menghadapi cabaran era digital, Dato’ Setia Mufti Selangor menegaskan keperluan menyampaikan mesej Islam secara meluas melalui platform seperti TikTok, Instagram, Facebook, YouTube, podcast dan infografik.
Tema “Itqan Memacu Wibawa” turut menuntut budaya kerja yang berpaksikan kualiti, ketelitian dan kepantasan, berlandaskan hadis Nabi SAW yang menyatakan bahawa Allah mencintai seseorang yang melakukan kerja dengan itqan.
Di samping itu, warga JMNS digesa terus meningkatkan ilmu dan kemahiran, selaras dengan tuntutan Islam bahawa menuntut ilmu itu wajib. Prinsip kerja berpasukan dan syura turut ditekankan berdasarkan firman Allah dalam Surah as-Syura ayat 38, agar setiap keputusan dibuat secara kolektif dan berkat.
Perutusan ini diakhiri dengan seruan agar seluruh warga Jabatan Mufti Negeri Selangor bergerak sebagai satu pasukan, satu fikrah dan satu hadaf, demi memacu wibawa institusi dan memberi manfaat terbaik kepada agama dan ummah.
Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Mufti Negeri Selangor

