#99 Taudhih Al-Hukmi :Hukum Orang Yang Solat Qasar Dan Jamak Tapi Tidak Berniat Qasar Dan Jamak
Tarikh: 5 Disember 2025
Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah
Pendahuluan
Seseorang yang bermusafir adalah diharuskan untuk menunaikan solat fardu secara qasar dan jamak. Namun begitu, masih terdapat sebahagian masyarakat yang kurang memahami tentang permasalahan niat qasar dan jamak. Situasi ini menimbulkan persoalan tentang status solat qasar dan jamak mereka jika terlupa atau sengaja tidak berniat qasar dan jamak.
Hukum Solat Secara Qasar Dan Jamak
Solat secara qasar dan jamak adalah dua perkara yang berbeza. Oleh itu, seseorang boleh melakukan solat secara qasar tanpa jamak dan begitu juga sebaliknya.
Qasar bermaksud memendekkan solat fardu yang empat rakaat kepada dua rakaat.[1] Jamak pula bermaksud menggabungkan dua solat fardu yang berbeza iaitu antara Zohor dengan Asar atau Maghrib dengan Isyak sama ada secara taqdim (melakukan kedua-dua solat pada waktu pertama) atau secara ta’khir (melakukan kedua-dua solat pada waktu kedua).
Para ulama bersepakat bahawa melaksanakan solat secara qasar adalah rukhsah (keringanan) bagi mereka yang bermusafir.[2] Hal ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ ayat 101:
وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِى ٱلْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا۟ مِنَ ٱلصَّلَوٰةِ إِنْ خِفْتُمْ أَن يَفْتِنَكُمُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ ۚ إِنَّ ٱلْكَٰفِرِينَ كَانُوا۟ لَكُمْ عَدُوًّا مُّبِينًا
Maksudnya: Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu.
Manakala solat jamak pula, para ulama berbeza pandangan tentang keharusan solat ini. Menurut jumhur ulama daripada kalangan mazhab al-Syafi’i, al-Maliki dan al-Hanbali, solat jamak diharuskan pada mana-mana permusafiran yang diharuskan. Mazhab Hanafi pula berpandangan, solat jamak hanya diharuskan ketika siang hari pada hari Arafah dan pada malam hari di Muzdalifah semasa musim haji.[3]
Syarat Qasar Dan Jamak
Syarat-syarat yang perlu dipenuhi untuk mendapatkan rukhsah ini:
1) Syarat-syarat qasar:[4]
i. Mestilah permusafiran tersebut tidak kurang daripada dua marhalah (81 kilometer). Walaupun begitu, digalakkan untuk melebihkan jarak perjalanan sehingga 3 marhalah (121.5 kilometer).[5]
ii. Mengetahui hala tuju perjalanan sejak daripada awal permusafiran.
iii. Mestilah permusafiran yang diharuskan syarak. (rujuk: Artikel Taudhih al-Hukmi #56: Solat Jamak dan Qasar Bagi Permusafiran Bertujuan Maksiat).[6]
iv. Tidak berimamkan kepada orang yang tidak diketahui sama ada dia musafir atau tidak dan juga kepada orang yang solat secara sempurna rakaat.
v. Berniat qasar ketika takbiratul ihram.
vi. Tidak melakukan perkara yang menafikan atau membatalkan niat qasar sepanjang solatnya. Contohnya seperti terniat solat secara sempurna di pertengahan solat maka perlu solat secara sempurna.
vii. Masih dalam keadaan bermusafir semasa solat.
viii. Mengetahui tentang keharusan qasar dan tatacaranya.
2) Syarat-syarat jamak taqdim:[7]
1. Mengikut tertib iaitu melakukan solat fardu yang pertama terlebih dahulu. Contohnya, wajib didahulukan solat Zohor sebelum melakukan solat Asar pada waktu solat Zohor.
2. Berniat jamak sebelum menyelesaikan solat yang pertama. Contohnya menjamakkan solat Zohor dengan Asar, maka niat boleh dihadirkan pada mana-mana bahagian dalam solat Zohor tersebut.
3. Berturutan iaitu tidak memisahkan antara dua solat yang dijamakkan dengan selang waktu yang lama.
4. Berkekalan musafir tersebut daripada permulaan solat yang pertama sehingga sempurna takbiratul ihram solat yang kedua.
3) Syarat-syarat jamak ta’khir:[8]
1. Berniat jamak ta’khir sebelum waktu pertama tamat. Contohnya hendak menjamakkan solat Zohor dengan Asar dalam waktu Asar, maka wajib berniat jamak ta’khir sebelum waktu Zohor tamat.
2. Masih dalam keadaan bermusafir sehingga selesai kedua-dua solat.
Status Solat Qasar Dan Jamak Tanpa Niat Qasar Dan Jamak
1) Tidak berniat qasar sama ada lupa atau sengaja.
Antara syarat qasar adalah berniat qasar ketika takbiratul ihram. Ini bermakna niat qasar hanyalah sepanjang takbiratul ihram sahaja. Bagi sesiapa yang tidak berniat qasar sama ada secara sengaja atau terlupa ketika takbiratul ihram, maka wajib menyempurnakan solatnya empat rakaat. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Syubramallisi:
لو لم ينو القصر في النية فيرجع إلى الإتمام؛ لأنه الأصل
Maksudnya: Sekiranya tidak berniat qasar ketika berniat maka hendaklah dia sempurnakan solatnya kerana asalnya adalah solat secara sempurna.[9]
Imam Ibn Hajar dalam al-Minhaj al-Qawim menjelaskan:
والثالث: أن ينوي القصر في الإحرام أي عنده بأن يقرنها به يقينًا ويستديم الجزم بها لأن لا يأتي بما ينافيها إلى السلام لأن الأصل الإتمام فاحتيج في الخروج منه إلى قصد جازم، فإن لم يجزم بها أو عرض ما ينافيها كأن تردد هل يقطعها أو شك هل نوى القصر أو لا؟ أتم وإن تذكر حالا لأنه الأصل
Maksudnya: Dan syarat ketiga hendaklah berniat qasar ketika takbiratul ihram iaitu dia perlu menghadirkan niat qasar secara yakin dan berterusan sepanjang solat dengan tidak melakukan perkara yang menafikan niat qasar sehingga selesai salam kerana asalnya adalah solat secara sempurna. Maka perlu untuk keluar daripada niat sempurna kepada niat yang pasti secara qasar. Jika tidak pasti dengan niat qasar tersebut atau melakukan perkara yang menafikan niat qasar seperti ragu-ragu adakah telah berniat qasar atau tidak? Maka perlu solat secara sempurna walaupun kemudian itu telah ingat kerana ia adalah asal.[10]
2) Tidak berniat jamak taqdim sama ada lupa atau sengaja.
Disyaratkan untuk berniat jamak taqdim pada mana-mana bahagian dalam solat yang pertama. Walaupun begitu, paling afdal adalah berniat jamak ketika takbiratul ihram. Bagi sesiapa yang tidak berniat jamak pada mana-mana bahagian dalam solat pertama sehinggalah selesai solat, maka solat kedua yang dijamakkan itu tidak sah sebagai solat fardu bahkan dikira sebagai solat sunat mutlak. Disebutkan dalam Nihayah al-Muhtaj:
وكذا لو بان فساد الأولى .. وقعت له الثانية نفلاً مطلقاً
Maksudnya: Dan begitu juga sekiranya telah nyata rosak solat yang pertama … menjadilah baginya solat kedua itu sebagai solat sunat mutlak.[11]
3) Tidak berniat jamak ta’khir sama ada lupa atau sengaja.
Niat jamak ta’khir mesti dilakukan dalam waktu yang pertama. Jika tidak berniat pada waktu yang pertama, lalu melakukan solat secara jamak pada waktu kedua, maka solat waktu pertama yang dilakukan secara jamak pada waktu kedua dikira sebagai qada’. Bukan itu sahaja, tidak berniat jamak pada waktu pertama mengakibatkan seseorang itu dikira sebagai melakukan maksiat kerana melewatkan solat yang pertama sehingga tamat waktu solat pertama, sedangkan dia mampu untuk berniat jamak sepanjang waktu solat pertama. Disebutkan dalam Nihayah al-Muhtaj:
وإن أخر من غير نية الجمع أو بنيته في زمن لا يسع جميعها (فيعصي وتكون قضاء) أما عصيانه فلأن التأخير عن أول الوقت
Maksudnya: Dan jika dia telah terlepas waktu pertama tanpa berniat jamak atau berniat jamak pada waktu yang tidak boleh untuk dijamakkan solat tersebut, (maka dia dikira melakukan maksiat dan solatnya menjadi qada’). Adapun maksiatnya itu adalah kerana melewatkan solat daripada waktu yang pertama.[12]
Rumusan Status Solat
Bagi solat qasar, sesiapa yang tidak berniat qasar ketika takbiratul ihram sama ada secara sengaja atau terlupa, maka perlulah menyempurnakan solatnya dengan empat rakaat. Jika diqasarkan juga, solatnya tidak sah kerana tidak menepati syarat qasar.
Bagi solat jamak taqdim, sesiapa yang tidak berniat jamak pada mana-mana bahagian dalam solat pertama sehinggalah selesai solat, maka solat kedua yang dijamakkan itu tidak sah sebagai solat fardu bahkan dikira sebagai solat sunat mutlak. Solusi yang boleh dilakukan untuk melakukan solat jamak taqdim bagi mereka yang terlupa untuk berniat ketika solat pertama ditunaikan adalah dengan melakukan i’adah solat iaitu mengulang semula solat yang pertama disertai dengan niat.[13]
Bagi solat jamak ta’khir, sesiapa yang tidak berniat jamak ta’khir dalam waktu solat pertama, lalu melakukan solat pertama secara jamak pada waktu solat kedua, maka solat pertama yang dilakukan secara jamak pada waktu solat kedua dikira sebagai qada’. Tidak berniat jamak pada waktu solat pertama mengakibatkan seseorang itu dikira sebagai melakukan maksiat kerana melewatkan solat yang pertama sehingga tamat waktu solat pertama.
Kesimpulan
Solat secara qasar dan solat secara jamak adalah dua perkara berbeza. Qasar bermaksud memendekkan solat fardu yang empat rakaat kepada dua rakaat. Jamak pula bermaksud menggabungkan dua solat fardu yang berbeza iaitu antara Zohor dengan Asar atau Maghrib dengan Isyak sama ada secara taqdim atau secara ta’khir. Seseorang perlu solat dengan sempurna empat rakaat jika meninggalkan niat qasar semasa takbiratul ihram. Sesiapa yang meninggalkan niat jamak taqdim pada solat yang pertama, maka dia tidak boleh menjamakkan dengan solat yang kedua. Sesiapa yang meninggalkan niat jamak ta’khir setelah berlalu waktu solat yang pertama, maka solat waktu pertama yang dijamakkan pada waktu kedua dikira sebagai qada’.
[1] Ibn Qāsim al-Ghazī, Muḥammad bin Qāsim. Fatḥ al-Qarīb. (Beirut: Dār Ibn Ḥazm, 2005)
94. Kata Ibn Qasim:
(قصرُ الصلاة الرباعية) لا غيرها، من ثنائية وثلاثية
[2] Al-Zuhaylī, Wahbah al- Zuhaylī. Al-Fiqh al-Islāmī Wa Adillatuhu. (Syria: Dār al-Fikr, 1985). 2/1337 & 2/1372.
[3] Al-Nawawī, Muḥy al-Dīn bin Sharf. Minhāj al-Ṭālibīn Wa ʿUmdah al-Muftīn Fī al-Fiqh. (Syria: Dār al-Fikr, 2005) 45. Kata al-Nawawi:
يجوز الجمع بين الظهر والعصر تقديما وتأخيرا والمغرب والعشاء كذلك
[4] Al-Khaṭīb al-Shirbīnī, Muḥammad bin Muḥammad. Mughnī al-Muḥtāj. (Beirut: Dār al-Kutub al-ʿIlmiyyah, 1994) 1/521-528.
[5] Ḥasan bin Muḥammad al-Kāf. Al-Taqrīrāt al-Sadīdah. (Yaman: Dār al-Mīrāth al-Nubuwwah, t.t). 313.
[6] Jabatan Mufti Negeri Selangor. Diakses daripada: https://www.muftiselangor.gov.my/2024/05/21/56-taudhih-al-hukmi-solat-jamak-qasar-bagi-permusafiran-bertujuan-maksiat/
[7] Al-Khaṭīb al-Shirbīnī, Muḥammad bin Muḥammad. Mughnī al-Muḥtāj. 1/530-532.
[8] Al-Khaṭīb al-Shirbīnī, Muḥammad bin Muḥammad. Mughnī al-Muḥtāj. 1/530-532.
[9] Al-Ramlī, Muḥammad bin Abī al-ʿAbbās. Nihāyat al-Muḥtāj. (Beirut: Dār al-Fikr, 1984) 2/269.
[10] Al-Haytamī, Aḥmad bin Muḥammad. Al-Minhāj al-Qawīm. (Beirut: Dār al-Kutub al-ʿIlmiyyah, 2000) 170.
[11] Saʿīd bin Muḥammad Bā ʿAlī Bā ʿIshīn. Bushrā al-Karīm Bisharḥ Masā’il al-Taʿlīm. (Saudi: Dar al-Minhāj, 2004). 377.
[12] Al-Ramlī, Muḥammad bin Abī al-ʿAbbās. Nihāyat al-Muḥtāj. 2/279.
[13] Al-Ramlī, Muḥammad bin Abī al-ʿAbbās. Nihāyat al-Muḥtāj. 2/278.
(ولو) (جهل) فلم يدر من أيتهما هو (أعادهما لوقتيهما) لاحتمال كونه من الأولى وامتنع جمع التقديم لاحتمال كونه من الثانية فيطول الفصل بها وبالأولى المعادة بعدها، أما جمعهما تأخيرا فجائز إذ لا مانع منه على كل تقدير

