#56 Taudhih Al-Hukmi : Solat Jamak Qasar Bagi Permusafiran Bertujuan Maksiat


Disediakan oleh: Ahmad Amiruddin bin Ahmad Shukri

Tarikh: 21 Mei 2024

 

Pendahuluan

Jamak dan qasar merupakan bentuk keringanan (rukhsah) yang telah diberikan oleh Allah SWT kepada umat Islam ketika mengerjakan ibadah solat khususnya sewaktu permusafiran. Keringanan ini disebut sebagai rukhsah di dalam agama kerana terdapat keuzuran atau halangan yang sedang dihadapi. Tujuannya adalah sebagai keringanan kepada umat Islam agar tetap mengerjakan ibadah solat yang difardukan ke atas setiap umat Islam. Namun begitu, adakah keharusan rukhsah ini diberikan bagi setiap jenis permusafiran? Justeru itu, artikel ini akan membincangkan berkenaan status solat jamak dan qasar bagi permusafiran bertujuan maksiat.

 

Keharusan Jamak dan Qasar

Secara umumnya, ibadah solat secara jamak dan qasar diharuskan bagi tujuan permusafiran. Perihal ini adalah berdasarkan hadis daripada Ibn Abbas RA beliau berkata:

 

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى الله عليه وَسَلَّمَ جَمَعَ بَيْنَ الصَّلاَةِ فِى سَفْرَةٍ سَافَرَهَا فِى غَزْوَةِ تَبُوكَ فَجَمَعَ بَيْنَ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ وَالْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ قَالَ سَعِيدٌ: فَقُلْتُ لاِبْنِ عَبَّاسٍ: مَا حَمَلَهُ عَلَى ذَلِكَ؟ قَالَ: أَرَادَ أَنْ لاَ يُحْرِجَ أُمَّتَهُ[1]

 

Maksudnya: Nabi SAW menjamakkan solat dalam perjalanan yang kami lakukan ketika peperangan Tabuk. Baginda menjamakkan solat Zuhur dengan solat Asar dan solat Maghrib dengan Isyak. Said berkata: Aku bertanya kepada Ibn Abbas: Apakah yang mendorong Baginda berbuat begitu? Jawabnya: Baginda tidak mahu menyusahkan umatnya.

 

(Riwayat Muslim)

 

Berdasarkan hadis di atas, Nabi SAW juga telah mengerjakan solat secara jamak dan qasar sewaktu berlaku peperangan di Tabuk. Perbuatan Baginda juga menandakan bahawasanya rukhsah tersebut adalah merupakan bentuk keringanan yang dikurniakan kepada umat Baginda dalam mengerjakan kefarduan solat. Justeru itu, setiap permusafiran yang dikerjakan atas tujuan yang diharuskan syarak maka permusafiran tersebut mendapat rukhsah dalam mengerjakan ibadah solat secara jamak dan qasar.

 

Status Jamak dan Qasar bagi permusafiran bertujuan maksiat

Walau bagaimanapun, keharusan menunaikan solat secara jamak dan qasar ini terbatal sekiranya permusafiran tersebut adalah berdasarkan tujuan maksiat. Hal ini kerana, antara syarat harus  mengerjakan solat secara jamak dan qasar adalah perlu dipastikan bahawa perjalanannya atas tujuan yang diharuskan oleh syarak dan bukan kerana tujuan maksiat. Hal ini sebagaimana dijelaskan oleh Imam Nawawi dalam Rawdhah al-Talibin ketika menghuraikan tentang rukhsah qasar, katanya:

 

 

وأَمَّا كَوْنُ السَّفَرِ مُبَاحًا فَمَعْنَاهُ أَنَّهُ لَيْسَ بِمَعْصِيَةٍ، سَوَاءً كَانَ طَاعَةً أَوْ تِجَارَةً، وَلَا يَتَرَخَّصُ فِي سَفَرِ الْمَعْصِيَةِ، كَهَرَبِ الْعَبْدِ مِنْ مَوْلَاهُ،…[2]

 

Maksudnya: Maksud sesuatu pemusafiran itu mestilah musafir yang diharuskan pada syarak bukan kerana (tujuan) maksiat, sama ada permusafiran dalam perkara ketaatan atau perniagaan. Bagi permusafiran bertujuan maksiat pula, tidak mendapat rukhsah (mengerjakan qasar) seperti seorang hamba melarikan diri daripada tuannya…

 

Namun begitu, terdapat pembahagian dalam menentukan sesuatu perjalanan itu diambil kira sama ada ia adalah permusafiran yang bermaksiat atau sebaliknya. Perkara ini sebagaimana dijelaskan dalam al-Taqrirat al-Sadidah:[3]

 

Terdapat tiga keadaan bagi pelaku maksiat daripada segi keharusan mendapatkan  (rukhsah) untuk mengerjakan jamak dan qasar:

 

            1)        Permusafiran yang dimulakan dengan tujuan maksiat.
2)       Permusafiran yang dimulakan dengan tujuan yang diharuskan namun

                   berlaku maksiat ketika perjalanan tersebut berlangsung.
3)       Permusafiran yang dimulakan dengan tujuan yang diharuskan

                    kemudian diubah tujuan asalnya kepada tujuan maksiat.

 

 

Berdasarkan kenyataan di atas, maka disimpulkan bahawa bagi keadaan pertama adalah tidak diharuskan mengerjakan solat secara jamak dan qasar kecuali si pelaku bertaubat dan membatalkan niat maksiatnya serta masih mempunyai baki perjalanan yang melebihi kadar dua marhalah. Bagi keadaan kedua pula, harus baginya untuk mengerjakan solat secara jamak dan qasar kerana tujuan asal permusafiran tersebut adalah tujuan yang diharuskan syarak. Bagi keadaan ketiga pula, tidak harus baginya mengerjakan solat secara jamak dan qasar kecuali si pelaku bertaubat dan kembali kepada tujuan asal yang diharuskan sama ada dia masih memiliki baki perjalanan yang melebihi kadar dua marhalah atau kurang.

 

Di samping itu juga, perkara ini turut dikukuhkan berdasarkan kenyataan Imam Nawawi dalam Rawdhah al-Talibin, katanya:

 

وَأَمَّا ‌الْعَاصِي ‌فِي ‌سَفَرِهِ، وَهُوَ أَنْ يَكُونَ السَّفَرُ مُبَاحًا وَيَرْتَكِبُ الْمَعَاصِيَ فِي طَرِيقِهِ فَلَهُ التَّرَخُّصُ. وَلَوْ أَنْشَأَ سَفَرًا مُبَاحًا ثُمَّ جَعَلَهُ مَعْصِيَةً فَالْأَصَحُّ أَنَّهُ لَا يَتَرَخَّصُ. وَلَوْ أَنْشَأَ سَفَرَ مَعْصِيَةٍ ثُمَّ تَابَ وَغَيَّرَ قَصْدَهُ مِنْ غَيْرِ تَغْيِيرِ صَوْبِ السَّفَرِ، قَالَ الْأَكْثَرُونَ: ابْتِدَاءُ سَفَرِهِ مِنْ ذَلِكَ الْمَوْضِعِ. إِنْ كَانَ مِنْهُ إِلَى مَقْصِدِهِ مَسَافَةُ الْقَصْرِ – تَرَخَّصَ، وَإِلَّا فَلَا.[4]

 

Maksudnya: Adapun bagi seseorang yang bermaksiat dalam perjalanannya, iaitu perjalanan dengan tujuan yang harus namun terjerumus dengan maksiat sewaktu perjalanannya, maka dia mendapat rukhsah. Sekiranya dimulakan perjalanan dengan tujuan yang harus kemudian ditukarkan kepada perjalanan bagi tujuan maksiat, maka menurut pandangan yang asoh ialah tiada rukhsah. Sekiranya dimulakan perjalanan dengan tujuan maksiat kemudian dia bertaubat dan menukar tujuan asalnya tanpa mengubah arah tuju perjalanannya, maka menurut pandangan majoriti: Perjalanannya dikira bermula daripada tempat tersebut. Jika jarak di antara tempat semasanya dengan tempat yang dituju mengambil kadar jarak yang diharuskan qasar maka dia mendapat rukhsah, adapun jika sebaliknya maka dia tidak mendapat rukhsah.

 

Justeru, berdasarkan kenyataan-kenyataan di atas jelas menerangkan bahawa keharusan solat secara jamak dan qasar hanya berlaku bagi permusafiran berbentuk harus seperti ziarah sanak saudara, urusan pekerjaan, percutian yang tiada unsur maksiat dan sebagainya. Manakala permusafiran bagi tujuan maksiat seperti mencuri, berzina, pergi ke konsert yang melalaikan tanpa menjaga batas pergaulan dan apa jua bentuk yang disebut sebagai perbuatan maksiat maka seseorang itu tidak berhak mendapat rukhsah untuk mengerjakan solat secara jamak dan qasar.

 

Kesimpulan

Solat jamak dan qasar ialah rukhsah (keringanan) yang diberikan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya. Pelaksanaan solat secara jamak dan qasar ini hanya dibenarkan bagi permusafiran yang diharuskan. Adapun permusafiran bagi tujuan maksiat tidak layak mendapatkan rukhsah jamak dan qasar kerana kerana rukhsah adalah suatu keringanan yang hanya diberikan kepada perkara bukan bersifat maksiat.

 



[1] Muslim, Muslim bin al-Hajjaj. (1955). Ṣaḥīḥ Muslim. Beirut: Dar Iḥyā’ al-Turāth al-‘Arabī. Jil. 1. Ms. 490. No. Hadith. 705.

[2] Al-Nawawī. Abū Zakariyyā Muḥyī al-Dīn al-Syaraf. (1991). Rawḍhah al-Ṭālibin wa ‘Umdah al-Muftīn. Beirut: Maktabah al-Islamiyy. Jil. 1, ms. 388.

[3] Ḥassan bin Ahmad al-Kāff, al-Taqrīrāt al-Sadīdah fi al-Masāil al-Mufīdah, (Yaman, Hadramawt: Dar al-Miras an-Nabawiyyah), ms. 314.

[4] Al-Nawawī. Abū Zakariyyā Muḥyī al-Dīn al-Syaraf. (1991). Rawḍhah al-Ṭālibin wa ‘Umdah al-Muftīn. Beirut: Maktabah al-Islamiyy. Jil. 1, ms. 388.

Accessibility Toolbar

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com