
PROGRAM CERAPAN GERHANA BULAN PENUH DI MASJID ALAM IMPIAN, SHAH ALAM
SHAH ALAM, 8 September 2025 – Program cerapan Gerhana Bulan Penuh telah diadakan di Masjid Alam Impian, Shah Alam pada 7 hingga 8 September 2025. Program ini berjaya menarik kehadiran masyarakat setempat untuk hadir menyaksikan fenomena kebesaran Allah SWT ini.
Program bermula pada jam 11.00 malam dengan sesi bual bicara falak bersama Encik Hardi bin Mohamad Sadali, Ketua Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMNS). Cerapan Gerhana Bulan Penuh dijalankan sehingga jam 4.00 pagi. Pada jam 3.15 pagi, solat sunat gerhana dan khutbah telah dilaksanakan dengan dipimpin oleh Pengurus Masjid Alam Impian.
Turut hadir menyertai program ini ialah Y.A.D. Dato’ Setia Dr. Hj. Anhar bin Hj. Opir, Sahibus Samahah Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor bagi memberikan sokongan terhadap pelaksanaan program. Kehadiran masyarakat terdiri daripada pelbagai lapisan umur termasuk keluarga, belia dan kanak-kanak, malah turut disertai oleh orang awam daripada pelbagai bangsa serta kumpulan jurufoto astronomi yang hadir untuk merakam fenomena bersejarah ini.
Selain itu, Jabatan Mufti Negeri Selangor turut menyertai secara maya melalui platform yang disediakan oleh pihak Agensi Angkasa Malaysia (MySA), bersama Planetarium Negara serta beberapa agensi berkaitan, bagi memaklumkan perkembangan cerapan Gerhana Bulan Penuh di negeri Selangor. Program ini juga disiarkan secara langsung melalui Facebook rasmi Jabatan Mufti Negeri Selangor dalam bentuk podcast bagi membolehkan masyarakat umum mengikuti perkembangan cerapan secara dalam talian.
Penganjuran ini merupakan sebahagian daripada pengisian Konvensyen Falak Selangor 2025, yang bertujuan memperkukuh kefahaman ilmu falak dalam kalangan masyarakat serta meningkatkan penghayatan umat Islam terhadap fenomena alam yang merupakan di antara tanda kekuasaan dan kebesaran Allah SWT.
Jabatan Mufti Negeri Selangor berharap program sebegini dapat diteruskan dari semasa ke semasa, bukan sahaja sebagai platform ilmu falak, tetapi juga sebagai wasilah pendidikan dan dakwah yang menghubungkan fenomena alam dengan ibadah dan keimanan.






