#90 Taudhih Al-Hukmi :Hukum Berkaitan Jemputan Walimah
Tarikh: 28/7/2025
Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah (Husna, Hanani, Alifah)
Pendahuluan
Pernikahan atau perkahwinan merupakan salah satu bentuk ibadah yang disyariatkan dengan menyatukan dua insan dalam hubungan yang sah di sisi syarak serta permulaan untuk menyambung dan membina institusi kekeluargaan. Manakala walimatulurus pula merupakan suatu majlis untuk menghebahkan pernikahan kepada jiran dan kenalan. Islam turut menggalakkan umatnya untuk menghadiri jemputan walimah, namun adakah semua jemputan walimah wajib dihadiri? Artikel ini akan menjelaskan kategori jemputan walimah yang wajib dihadiri berdasarkan pertimbangan syarak supaya tanggungjawab sosial dapat dilaksanakan selari dengan tuntutan agama.
Pengertian Walimah Menurut Syarak dan Budaya
Ibn Manzur menjelaskan bahawa perkataan walimah berasal daripada kata dasar (و-ل-م) yang bermaksud berkumpul atau berhimpun. Walimah secara khusus merujuk kepada makanan yang disediakan untuk majlis perkahwinan, tetapi boleh juga digunakan untuk perayaan lain.[1] Manakala dalam al-Mu‘jam al-Wasit, walimah didefinisikan sebagai jamuan yang disediakan untuk perkahwinan yang merupakan makna paling khusus bagi penggunaan istilah ini.[2] Walimatulurus juga adalah sebagai tanda pengumuman (majlis) untuk pernikahan yang menghalalkan hubungan suami isteri.[3]
Di semenanjung negara Arab, sambutan majlis pernikahan lebih dikenali dengan haflat al-zifaf. Menurut Tahir Muhammad Matar al-Adinat, beliau menganalisis hukum berkaitan amalan dalam sambutan haflat al-zifaf di negara-negara Islam dari perspektif syarak dan hasil kajian mendapati bahawa sebahagian daripada amalan sambutan haflat al-zifaf adalah tidak bercanggah dengan ajaran Islam manakala sebahagiannya pula ialah amalan yang bercanggah dari ajaran Islam iaitu sekiranya mempunyai unsur maksiat. [4]
Hukum Memenuhi Jemputan Walimah
Terdapat beberapa pandangan ulama mengenai hukum memenuhi jemputan walimah sebagaimana berikut:
1) Fardu ain.
Ini adalah pandangan ulama Syafi’iyyah yang dinyatakan di dalam Fiqh al-Manhaji bahawa:
وإجابة دعوة وليمة العرس فرض عين على مَن دعي إليها[5]
Maksudnya: Menghadiri majlis walimah perkahwinan adalah fardu ain kepada sesiapa yang mendapat jemputan tersebut.
Hal ini berdasarkan hadis daripada Ibn Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ إِلَى الوليمة فليأتها[6]
Maksudnya: Apabila salah seorang kamu dijemput ke majlis perkahwinan (walimah), maka datangilah ia (memenuhi jemputan tersebut).
(Riwayat Muslim)
Hukum fardu ain tersebut diambil daripada perkataan Baginda SAW iaitu فَلْيَأْتِهَا yang bermaksud ‘maka datangilah ia (memenuhi jemputan itu). Penggunaan ayat tersebut mengandungi kata perintah yang membawa kepada hukum wajib. Imam Ahmad dalam Musnadnya menyatakan bahawa:
فليأتها أي: وجوباً عند كثير إذا لم يكن هناك مانع شرعي[7]
Maksudnya: ‘Maka datangilah ia’ iaitu wajib (hukumnya) di sisi kebanyakan (ulama) sekiranya tiada halangan di sisi syarak.
Manakala Abu Yahya Zakaria al-Ansari menerangkan hadis yang sama seperti berikut:
[8] وفيه طلب الدعوة للوليمة وهو سنة وطلب الإِجابة لها وهو واجب لوليمة العرس سنة في غيرها
Maksudnya: Padanya (hadis tersebut) terdapat anjuran untuk membuat jemputan ke majlis walimah dan ia adalah sunnah. Dan terdapat juga anjuran untuk memenuhi jemputan tersebut yang mana hukumnya adalah wajib bagi walimah perkahwinan manakala sunat bagi jemputan yang lain..
Dinyatakan dalam Fiqh al-Manhaji, bahawa para ulama telah menetapkan beberapa syarat bagi kewajipan menghadiri jemputan walimah, antaranya[9]:
- Tuan rumah tidak mengkhususkan jemputannya hanya kepada orang-orang kaya sahaja. Jika dia mengkhususkan mereka sahaja, maka tidak wajib menghadiri jemputan tersebut.
- Tuan rumah seorang Muslim dan orang yang dijemput juga seorang Muslim. Jika selain daripada itu, maka tidak wajib menghadiri jemputan tersebut.
- Tuan rumah menjemput pada hari pertama (walimah), jika dia mengadakan walimah lebih dari satu hari. Jika dia menjemput pada hari kedua, maka sunat menghadirinya. Manakala jika pada hari ketiga, maka makruh untuk menghadiri jemputan tersebut.
- Tuan rumah menjemput kerana ingin berkasih sayang dan menjalin hubungan baik. Jika dia menjemput kerana khuatir atau mengharapkan kedudukan seseorang, maka tidak wajib menghadiri jemputan tersebut.
- Tuan rumah bukan seorang yang zalim, jahat atau pemilik harta yang haram. Jika dia termasuk dalam golongan tersebut, maka tidak wajib menghadiri jemputan tersebut.
- Tidak ada kemungkaran dalam majlis tersebut seperti arak, percampuran bebas antara lelaki dan perempuan atau gambar manusia dan haiwan yang digantung di dinding.
2) Fardu kifayah.
Menurut pandangan Imam al-Nawawi yang dinyatakan dalam al-Majmu‘ Syarh al-Muhadhdhab, terdapat juga pendapat dalam kalangan ulama Syafi‘iyyah yang menyatakan bahawa hukum menghadiri majlis walimah perkahwinan adalah fardu kifayah. Hal ini demikian kerana tujuan walimah adalah untuk menghebahkan perkahwinan, maka memadai jika hanya sebahagian anggota komuniti yang hadir.[10] Pandangan tersebut adalah seperti berikut:
ومن أصحابنا من قال هي فرض على الكفاية، لان القصد إظهارها وذلك يحصل بحضور البعض[11]
Maksudnya: Sebahagian daripada Ashab kami berpendapat bahawa ia adalah fardu kifayah (wajib ke atas komuniti secara keseluruhan, jika ada yang melaksanakannya, maka gugurlah kewajipan bagi yang lain) kerana tujuan utama walimah adalah untuk mengumumkan perkahwinan kepada masyarakat.
3) Sunat.
Ini merupakan pandangan ulama Mazhab Hanafi yang menyatakan bahawa menghadiri majlis walimah perkahwinan adalah sunat. Pandangan tersebut dinyatakan di dalam kitab Hasyiah Ibn Abidin seperti berikut:
وَقَالَ الْعَامَّةُ: هِيَ سُنَّةٌ وَالْأَفْضَلُ أَنْ يُجِيبَ إذَا كَانَتْ وَلِيمَةً وَإِلَّا فَهُوَ مُخَيَّرٌ وَالْإِجَابَةُ أَفْضَلُ لِأَنَّ فِيهَا إدْخَالَ السُّرُورِ فِي قَلْبِ الْمُؤْمِنِ[12]
Maksudnya: Jumhur menyatakan bahawa: Memenuhi jemputan adalah sunat lebih-lebih lagi jika jemputan tersebut adalah majlis perkahwinan. Jika bukan (majlis perkahwinan), maka boleh memilih. Namun, adalah lebih baik untuk memenuhi jemputan seseorang kerana perkara tersebut membawa kegembiraan ke dalam hati orang yang beriman.
Berdasarkan takhrij dan analisis terhadap hadis serta pandangan para fuqaha dan muhaddis muktabar, kami cenderung untuk memilih bahawa hukum menghadiri jemputan walimah adalah wajib (fardu ain) jika seseorang itu tidak mempunyai sebarang keuzuran syarie. Pandangan ini juga adalah selaras dengan pendapat para fuqaha’ Syafi‘iyyah dan tafsiran literal hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Walau bagaimanapun, kewajipan ini tertakluk kepada beberapa syarat yang ditetapkan oleh para ulama, antaranya tidak berlaku kemungkaran dan unsur kemaksiatan dalam majlis.
Hukum Tidak Memenuhi Jemputan Walimah Kerana Keuzuran
Imam al-Nawawi menjelaskan beberapa sebab yang membolehkan seseorang tidak memenuhi jemputan walimah kerana keuzuran seperti berikut:
والاعذار التى يسقط معها فرض الاجابة أن يكون مريضا أو قيما بمريض أو بميت وبإطفاء حريق أو يخاف ضياع ماله أو له في طريقه من يؤذيه لان هذه الاسباب أعذار في حضور الجماعة وفى صلاة الجمعة ففى هذا أولى[13]
Maksudnya: Antara keuzuran yang menggugurkan kewajipan untuk menghadiri jemputan walimah adalah apabila seseorang itu sedang sakit, menjaga orang yang sakit, menguruskan jenazah, sedang memadamkan kebakaran, bimbang hartanya akan hilang atau terdapat orang yang boleh menyakitinya dalam perjalanan. Perkara ini juga merupakan keuzuran daripada menghadiri solat berjemaah dan solat Jumaat, maka dalam hal ini (memenuhi jemputan walimah), perkara-perkara tersebut lebih utama untuk dianggap sebagai keuzuran.
Selain itu, Dr. Wahbah Al-Zuhaili menukilkan dalam kitabnya berkenaan beberapa keuzuran yang membolehkan seseorang untuk tidak memenuhi jemputan walimah seperti berikut:
ومن الأعذار المسقطة لوجوب الإجابة: كثرة زحام، أو إغلاق باب دونه إذا قدم، وإن لمشاورة.
Maksudnya: Antara keuzuran yang menggugurkan kewajipan untuk memenuhi jemputan walimah ialah: Kesesakan orang ramai yang terlalu padat, kedatangan tidak dialukan atau sedang menghadiri mesyuarat.
Berdasarkan keuzuran-keuzuran yang dinyatakan oleh para ulama tersebut, kami beranggapan bahawa antara keadaan dan situasi semasa yang boleh dikategorikan sebagai suatu keuzuran bagi seseorang untuk tidak memenuhi jemputan walimah adalah seperti berikut:
1) Faktor Kesihatan: Contohnya apabila seseorang diuji dengan penyakit berjangkit seperti influenza B, Covid 19 dan sebagainya yang boleh memudaratkan diri sendiri dan orang lain jika memenuhi jemputan walimah khususnya pada zaman pandemik atau wabak penyakit. Begitu juga sakit melibatkan psikologi atau emosi seperti kemurungan, kegelisahan atau tekanan perasaan yang menyebabkannya tidak sesuai untuk memenuhi jemputan walimah.
2) Jarak jauh dan kesukaran pengangkutan: Lokasi jemputan walimah yang diterima sangat jauh yang memerlukan kepada perjalanan yang panjang dan kos yang tinggi serta pengangkutan yang sesuai untuk sampai ke lokasi walimah.
3) Undangan walimah yang banyak dalam satu masa: Menerima jemputan walimah yang banyak pada hari yang sama serta jarak yang jauh.
4) Mempunyai tanggungjawab atau tugasan penting yang lain: Perkara ini dikhususkan kepada seseorang yang mempunyai komitmen kerja rasmi yang penting seperti mesyuarat[14], kerja syif atau tugasan yang tidak boleh ditangguhkan.
Keuzuran-keuzuran ini merupakan perkara yang tidak disengajakan. Adapun begitu, kami berpandangan bahawa sebaiknya ketidakhadiran tersebut dimaklumkan kepada tuan rumah dan memohon maaf kerana tidak dapat memenuhi jemputan tersebut. Di samping itu, dibolehkan juga menghantar wakil untuk memenuhi jemputan atau memberi hadiah sebagai tanda ingatan dan mengeratkan silaturrahim.
Hukum Menghadiri Walimah Yang Dijemput Melalui Whatsapp Group Atau Facebook Post Secara Umum
Perkembangan teknologi masa kini telah membawa kepada perubahan dalam gaya hidup manusia, termasuk cara menjemput saudara-mara dan sahabat handai ke majlis perkahwinan melalui media sosial seperti siaran Facebook, WhatsApp Group atau aplikasi lain secara umum.
Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa hukum memenuhi jemputan walimah itu sendiri adalah bergantung kepada beberapa syarat sebagaimana yang dinyatakan dalam Rawdhah al-Talibin:
وَمِنْهَا: أَنْ يَخُصَّهُ بِالدَّعْوَةِ بِنَفْسِهِ، أَوْ يَبْعَثَ إِلَيْهِ شَخْصًا. فَأَمَّا إِذَا فَتَحَ بَابَ دَارِهِ وَقَالَ: لِيَحْضُرْ مَنْ أَرَادَ، أَوْ بَعَثَ شَخْصًا لِيُحْضِرَ مَنْ شَاءَ، أَوْ قَالَ لِشَخْصٍ: احْضَرْ وَأَحْضِرْ مَعَكَ مَنْ شِئْتَ، فَقَالَ لِغَيْرِهِ: احْضَرْ، فَلَا تَجِبُ الْإِجَابَةُ وَلَا تُسْتَحَبُّ
Maksudnya: Antara (syarat wajib menghadiri jemputan) ialah apabila seseorang itu dijemput secara khusus sama ada dengan diajak secara langsung oleh tuan rumah ataupun melalui wakil yang dihantar kepadanya. Jika tuan rumah menyatakan jemputan: ‘Sesiapa yang mahu, bolehlah hadir’ atau tuan rumah mengutus seseorang untuk menjemput sesiapa sahaja yang dikehendaki atau wakil tersebut memberitahu kepada seseorang: ‘Hadir dan bawalah sesiapa sahaja yang engkau mahu’ lalu orang tersebut pula berkata kepada orang lain: ‘Hadirlah’, maka dalam keadaan seperti demikian, tidak wajib dan tidak juga disunatkan untuk memenuhi jemputan tersebut.
Jemputan dengan cara yang disebutkan boleh disamakan dengan situasi jemputan walimah melalui media sosial secara umum tanpa mengkhususkan kepada sesiapa. Maka kami cenderung menyatakan bahawa jemputan secara umum tidak menjadi tuntutan (kewajipan) untuk dipenuhi melainkan dinyatakan dengan khusus dan jelas ditujukan secara khas seperti dimaklumkan secara peribadi di dalam group-group tertentu atau melalui medium-medium lain seperti jemputan secara berhadapan, kad jemputan dan selainnya mengikut kepada pertimbangan dan syarat-syarat yang telah dinyatakan.
Kesimpulan
Memenuhi jemputan ke majlis walimah (perkahwinan) adalah wajib selagi mana tiada keuzuran dan memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syarak. Jika jemputan ke majlis walimah tidak dapat dipenuhi atas keuzuran yang telah dinyatakan, maka ia dimaafkan. Sebaiknya sampaikanlah permohonan maaf kepada tuan rumah serta perbanyakkanlah berdoa untuk pasangan yang melangsungkan perkahwinan agar mendapat keberkatan dari Allah SWT. Manakala jemputan secara umum melalui WhatsApp Group atau Facebook Post tanpa pengkhususan kepada individu tertentu tidak dianggap sebagai satu tuntutan untuk dipenuhi kerana tidak ditujukan secara khusus.
[1] Muḥammad bin Mukram bin ‘Alī, Abū al-Fadl, Jamāl al-Dīn Ibn Manẓūr al-Anṣārī al-Ruwaya’fī al-Ifriqī, Lisān al-‘Arab, (Beirut: Dār al-Ṣādīr, 1994), jil. 12, ms. 643.
[2] Ibrāhīm Muṣṭafā, Ahmad al-Zayyāt, Ḥāmid ‘Abd al-Qādir, Muḥammad al-Najjār, Al-Mu’jam al-Wasīṭ, (Dār al-Da’wah: Iskandariah, t.t), jil. 2, ms. 1057.
[3] Faza, M. Dzikrullah. 2022. “Tinjauan Fiqih Empat Mazhab Terhadap Acara Walimah.” Al Fuadiy: Jurnal Hukum Keluarga Islam 4 (2): 17–25. https://ejurnalqarnain.stisnq.ac.id/index.php/AF/article/view/51
[4] Tahir Muhammad Matar al-Adinat “Mazahir al-Zifaf al-Mu’asir min Manzur Islami” (Tesis Sarjana, Universiti Mu’tah, 2006).
[5] Muṣṭafā al-Khin, Muṣṭafā al-Bughā, ‘Alī al-Syabajī, Al-Fiqh al-Manhajī ‘alā Mazhab al-Imām al-Syāfi’ī, (Damsyik: Dār al-Qalam li al-Ṭibā’ah wa al-Nasyr wa al-Tauzī’, 1413H/1992M), jil. 4, ms. 97.
[6] Abū al-Ḥusayn Muslim Bin Al-Hajjāj bin Muslim Al-Qushayrī Al-Nisāburī, Ṣaḥīḥ Muslim, (Kaherah: Matba’ah Īsa al-Bābī al-Ḥalbī wā Syarkahu, 1955), no. hadis 1429, jil. 2. ms. 1052.
[7] Abū Abdullah Aḥmad bin Muḥammad bin Ḥanbal bin Hilal bin Asad Asy-Syaibanī, Musnad Al-Imam Ahmad Ibn Hanbal, (2001), jil. 8, hlm. 334.
[8] Abū Zakariyā al-Anṣārī al-Syāfi’ī al-Khazrajī, Fatḥ al-‘Alām bi Syarḥi al-I’lām bi Ahādith al-Aḥkām, (Beirut: Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 2000), ms. 543.
[9] Muṣṭafā al-Khin, Muṣṭafā al-Bughā, ‘Alī al-Syarbajī, Al-Fiqh al-Manhajī ‘alā Mazhab al-Imām al-Syāfi’ī, (Damsyik: Dār al-Qalam li al-Ṭibā’ah wa al-Nasyr wa al-Tauzī’, 1413H/1992M), jil. 4, ms. 97.
[10] Aḥmad bin Muḥammad bin ‘Alī bin Ḥajar al-Haytamī, Tuḥfah al-Muḥtāj fī Syarḥ al-Minhāj, (Mesir: al-Maktabah al-Tijāriah al-Kubrā, 1983), jil. 7, ms. 426.
[11] Al-Nawawī, Abū Zakariyyā Muḥyī al-Dīn bin Sharaf, al-Majmū’ Sharḥ al-Muhadhdhab. (Kaherah: Idārah al-Ṭibā’ah al-Munīriah, 1929), jil. 16. ms. 397.
[12] Muhammad Amin Ash-Shahir bi Ibn Abidin, Hāshiah Rad Al-Mukhtār ‘alā Al-Dar Al-Mukhtar Sharḥ Tanwīr Al-Absār, (Beirut: Dār Al-Fikr, 1966), jil. 6. ms. 347.
[13] Al-Nawawī, Abū Zakariyyā Muḥyī al-Dīn bin Sharaf, al-Majmū’ Sharḥ al-Muhadhdhab. (Kaherah: Idārah al-Ṭibā’ah al-Munīriah, 1929), jil. 16. ms. 399.
[14] Wahbah bin Muṣṭafā Al-Zuḥailī, Al-Fiqh Al-Islāmi wā Adillatuh. (Damsyik: Dār Al-Fikr, t.t), jil. 9, ms. 6622.