FATWA BERKAITAN AHLI SUNNAH WAL JAMAAH
FATWA BERKAITAN AHLI SUNNAH WAL JAMAAH
1. Ahli Sunnah Wal Jamaah merujuk kepada orang Islam yang berpegang
dengan fahaman dan amalan agama yang benar dan diwarisi daripada
Rasulullah SAW dan para sahabat RA melalui para ulama muktabar
daripada generasi salaf dan khalaf sehingga ke hari ini.
2. Ahli Sunnah Wal Jamaah merupakan jalan keselamatan dan perpaduan umat
Islam yang telah diwasiatkan oleh Rasulullah SAW untuk umat Islam berpegang
dengannya ketika berlaku fitnah perpecahan umat. Ia merupakan pegangan
majoriti ulama dan umat Islam berdasarkan perkataan “al-Jama’ah” dan
“al-Sawad al-A’zam” dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud
Ahli Sunnah Wal Jamaah.
3. Para ulama dan umara Ahli Sunnah Wal Jamaah telah memainkan peranan
penting dalam—
(a) pembangunan institusi pendidikan, pentadbiran Islam dan institusi
kehakiman;
(b) pelaksanaan jihad, amar makruf dan nahi mungkar; dan
(c) perkembangan ilmu dalam setiap bidang ilmu Islam merangkumi akidah,
fiqah, tasawuf, qiraat, tafsir, hadis, usul fiqh, ulum al-Quran, ulum
hadis, bahasa dan kesusasteraan Arab.
4. Para ulama dan umara Ahli Sunnah Wal Jamaah juga memberi sumbangan
yang besar bagi memelihara fahaman dan amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah
sejak zaman dahulu sehingga hari ini.
5. Ahli Sunnah Wal Jamaah merupakan pegangan dan amalan agama yang telah
diamalkan oleh para sultan, ulama, qadi dan rakyat jelata sejak kedatangan Islam
ke Tanah Melayu sehingga hari ini.
6. Di Negeri Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan dan ulama telah
berpegang, mengamalkan dan menyebarkan pegangan dan amalan Ahli Sunnah
Wal Jamaah serta menjadikannya sebagai syiar agama.
7. Tafsiran Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah berdasarkan perkara berikut:
(a) dari sudut akidah dan tauhid, mengikut manhaj Imam Abu al-Hasan
al-Ash’ari, Imam Abu Mansur al-Maturidi, ulama al-Asha’irah dan
al-Maturidiyyah;
(b) dari sudut syariah dan fiqah, mengikut mazhab Imam al-Shafi’i atau
dalam keadaan tertentu mengikut mana-mana satu Mazhab Hanafi,
Maliki atau Hanbali atau ijtihad hukum oleh Jawatankuasa Fatwa;
dan
(c) dari sudut akhlak dan tasawuf, mengikut manhaj Imam Junaid
al-Baghdadi, Imam al-Ghazali atau ulama sufi yang muktabar.
8. Mana-mana orang Islam dilarang untuk mengamalkan dan menyebarkan
sebarang fahaman dan amalan yang bertentangan dengan pegangan dan
amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Bertarikh 28 Mei 2025
[MAIS/BUU/600-6/1/53; P.U. Sel (ADV) PS.05/4/12]