#15 Taudhih al-Falak : Fajar Sadiq dalam Menentukan Permulaan Waktu Solat Subuh
Tarikh: 3 Julai 2025
Disediakan oleh: Nabeela Akrasha binti Surtahman
Pendahuluan
Permulaan waktu Subuh telah dirakamkan di dalam al-Quran sebagai kemunculan benang putih iaitu cahaya fajar. Apakah cahaya fajar tersebut dan bagaimana penentuan waktu Subuh berkaitan dengannya?
Definisi Fajar dan Pembahagiannya
Fajar dari sudut bahasa membawa maksud permulaan atau terpancar iaitu pancaran serakan cahaya matahari yang berada di bawah ufuk[1]. Ibnu Faris[2] mendefinisikan fajar,
(فَجَرَ) الْفَاءُ وَالْجيمُ وَالرَّاءُ أَصْلٌ وَاحِدٌ، وَهُوَ التَّفَتُحُ فِي الشَّيْء مِنْ ذَلِكَ الْفَجْرُ: الْفِجَارُ الظُّلْمَةِ عَنِ الصُّبْحِ
Maksudnya: fajara, fa’-jim-ra’ merupakan satu kesatuan iaitu terbukanya sesuatu. Dari makna ini, fajar bererti terpancarnya (terbukanya) kegelapan oleh subuh.
Fajar terbahagi kepada dua iaitu fajar kazib dan fajar sadiq. Fajar kazib atau fajar palsu (false dawn) adalah fajar yang terbit menjelang pagi yang cahayanya agak terang yang memanjang dan mengarah ke atas (vertical). Cahaya ini memanjang ke atas seperti ekor serigala (Zanab al-Sarhan). Manakala fajar sadiq atau fajar benar (true dawn) adalah fajar menjelang pagi yang cahayanya berupa cahaya putih terang yang menyebar secara melintang (horizontal) di ufuk timur.
Daripada Ibn Jabir RA, Rasulullah SAW bersabda;
الْفَجْرُ فَجْرَانِ: فَأَمَّا الْفَجْرُ الَّذِي يَكُونُ كَذَنَبِ السَّرْحَانِ فَلَا تَحِلُّ الصَّلَاةُ فِيهِ وَلَا يَحْرُمُ الطَّعَامُ، وَأَمَّا الَّذِي يَذْهَبُ مُسْتَطِيلًا فِي الْأُفُقِ فَإِنَّهُ يُحِلُّ الصَّلَاةَ، وَيُحَرِّمُ الطَّعَامَ[3]
Maksudnya: Terdapat dua jenis fajar: Adapun fajar yang bentuknya seperti ekor serigala, maka tidak dihalalkan solat padanya dan tidak diharamkan makan. Manakala fajar yang menjulur (melintang) di ufuk, maka menghalalkan solat padanya dan mengharamkan makan.
(Riwayat al-Hakim)
Dalam hadis tersebut disebutkan fajar sadiq iaitu cahayanya berserak di sepanjang ufuk dan menjadi tanda bagi orang yang berpuasa serta tanda masuknya waktu solat Subuh. Petunjuk bagi fajar sadiq ini dirakamkan di dalam surat al-Baqarah, ayat 187;
وَكُلُوا۟ وَٱشْرَبُوا۟ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ ٱلْخَيْطُ ٱلْأَبْيَضُ مِنَ ٱلْخَيْطِ ٱلْأَسْوَدِ مِنَ ٱلْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا۟ ٱلصِّيَامَ إِلَى ٱلَّيْلِ ۚ
Maksudnya: Dan makan dan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, iaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga tibanya malam.
Di dalam ayat ini, fajar yang menentukan waktu subuh itu adalah seperti benang putih dari benang hitam iaitu garisan cahaya awal yang melintang dan berserakan pada ufuk timur.
Rajah 1: Perbezaan fajar sadiq (kiri) dan fajar kazib (kanan).
Sumber: Hardi[4]; Abdulkader M. Abed[5]
Fajar Sadiq Menurut Falak dalam Menentukan Permulaan Waktu Solat Subuh
Fajar kazib merupakan fenomena luar bumi iaitu cahaya zodiak yang terlihat disebabkan cahaya pantulan dari debu yang bertaburan dalam ruang di antara planet[6]. Manakala fajar sadiq pula merupakan fenomena atmosfera bumi iaitu apabila berhamburan cahaya matahari oleh partikel-partikel di udara menghasilkan cahaya putih yang melintang di ufuk timur, menandakan peralihan dari gelap malam ke terang cahaya pagi. Pada dasarnya, cahaya fajar pada saat awal kemunculan fajar sadiq berwarna putih kebiruan yang redup. Seterusnya, ketika matahari semakin mendekati ufuk, cahaya tersebut akan semakin menguning kemudiannya berwarna merah yang akan menerangi kawasan. Susunan cahayanya dari ufuk adalah putih kebiruan, kuning kemudian merah.
Ulama-ulama falak Islam terdahulu telah melakukan kajian tentang kemunculan fajar sadiq. Antaranya, Abu Raihan al-Biruni menggunakan parameter kedudukan matahari di bawah ufuk pada sudut 18° untuk waktu Subuh. Beberapa tokoh falak lain seperti al-Battani, al-Tusi, al-Zarqali, Ibn al-Haitam juga menggunakan nilai -18°, manakala Ibn al-Syathir dan Ibn Yunus menetapkan nilai -19° dan al-Marrakushi pula pada -20°[7]. Nilai-nilai ini bertepatan dengan salah satu dari pembahagian fajar dari segi astronomi iaitu fajar astronomi (astronomical twilight) iaitu ketika matahari berada pada kedudukan 18° di bawah ufuk. Fajar astronomi digambarkan sebagai akhir malam, ketika suasana masih gelap dan bintang masih kelihatan sebelum cahaya matahari mula memancar. Namun, pada waktu ini, suasana dan keadaan belum nampak lebih jelas disebabkan oleh hamburan cahaya matahari oleh partikel di udara di ufuk sebelah timur masih seperti benang putih[8]. Rajah 2 menunjukkan pembahagian fajar dari segi astronomi berdasarkan nilai kedudukan matahari di bawah ufuk.
Rajah 2: Pembahagian fajar dari segi astronomi berdasarkan nilai kedudukan matahari di bawah ufuk
Keadaan ini sama seperti keadaan yang digambarkan di dalam hadis ketika Rasulullah SAW menunaikan solat Subuh. Daripada Aishah RA,
إِنْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيُصَلِّي الصُّبْحَ، فَيَنْصَرِفُ النِّسَاءُ مُتَلَفِّعَاتٍ بِمُرُوطِهِنَّ، ما يعرفن من الغلس[9]
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW menunaikan solat Subuh, lalu para wanita pun beredar dalam keadaan menyelubungi diri mereka dengan kain masing-masing, sehingga mereka tidak dikenali kerana masih waktu ghalas (gelap).
(Riwayat Bukhari)
Hadis ini memerihalkan wanita-wanita yang solat Subuh berjemaah bersama Rasulullah SAW tidak dikenali oleh orang lain kerana gelapnya pagi, menandakan waktu Subuh yang masih dalam keadaan ghalas seperti yang diibaratkan di dalam hadis.
Hadis lain berkenaan dengan keadaan waktu Subuh ketika ghalas ini juga telah diriwayatkan oleh Abu Mas’ud al-Ansari;
وصلَّى الصّبحَ مَرّة بغَلَسٍ، ثمَّ صلّى مرّة أُخرى فأسفرَ بها، ثمَّ كانت صلاتُه بعدَ ذلك التَّغليسَ حتَّى مات، لم يَعُد إلى أن يُسفِرَ[10]
Maksudnya: Baginda (Rasulullah SAW) pernah menunaikan solat Subuh sekali dalam keadaan gelap (ghalas), kemudian Baginda solat sekali lagi ketika sudah mulai terang (isfar). Setelah itu, Baginda terus menunaikan solat Subuh pada waktu gelap sehingga Baginda wafat, dan tidak kembali lagi menunaikannya pada waktu yang terang.
(Riwayat Abu Daud)
Hadis ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW solat Subuh pada waktu ghalas dan berterusan melakukannya hingga akhir hayat Baginda. Menurut Ibn al-Atsir, ghalas adalah kegelapan akhir malam sebelum terbit fajar, dan permulaan terbitnya fajar.[11] Hal ini menunjukkan bahawa fajar sadiq bukanlah fajar awam mahupun fajar nautika yang cukup terang, melainkan fajar astronomi yang muncul sejurus selepas berakhirnya malam.
Dalam konteks kajian di Malaysia, permulaan waktu solat Subuh di Malaysia sebelum ini adalah menggunakan parameter altitud matahari pada 20° di bawah ufuk. Syeikh Tahir Jalaluddin di dalam bukunya Pati Kiraan Pada Menentukan Waktu yang Lima dan Hala Kiblat dengan Logaritma mengatakan:
“Dan adapun pencukup irtifa’ bagi waktu Isyak dan fajar hendaklah ditambahkan kepada 90 darjah. 18 darjah bagi waktu Isyak dan 20 darjah bagi waktu fajar. Maka hasil yang dapat itu ialah pencukup irtifa’ yang dikehendaki[12]”.
Parameter altitud matahari pada 20° di bawah ufuk telah digunakan di Malaysia bagi menetapkan permulaan waktu solat Subuh sehingga pada tahun 2019, kemudian nilai ini berubah kepada 18°. Perubahan ini menyebabkan waktu solat Subuh menjadi lebih lewat secara puratanya sebanyak 8 minit.
Rajah 3: Perubahan nilai altitud matahari bagi waktu Subuh dari 20° kepada 18°.
Perubahan ini adalah berdasarkan penemuan kajian yang dijalankan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), yang diketuai oleh Universiti Malaya (UM) dan dianggotai oleh beberapa universiti dan agensi kerajaan yang lain. Kajian ini telah dibahas dan dipersetujui dalam Muzakarah Falak Peringkat Kebangsaan Tahun 2019 yang telah diadakan pada 17-19 September 2019 untuk mengubah altitud matahari di bawah ufuk bagi penentuan awal waktu solat Subuh di Malaysia sedia ada iaitu 20° (Kelantan 19°) kepada 18°. Perkara ini telah diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, Sultan Selangor pada 29 November 2019 sebagai panduan rasmi dalam menetapkan waktu permulaan solat Subuh di negeri Selangor. Dengan kajian ini, meskipun penentuan waktu solat adalah sabit secara qatie, namun perinciannya masih tertakluk kepada ijtihad dan penyelidikan semasa.
Kesimpulan
Fenomena fajar terbahagi kepada dua bahagian iaitu fajar sadiq dan fajar kazib. Fajar sadiq iaitu fajar yang cahayanya putih terang yang menyebar di ufuk timur secara melintang (horizontal) merupakan tanda masuknya waktu Subuh. Hadis-hadis menunjukkan bahawa waktu Subuh bermula ketika suasana masih gelap (ghalas) menyamai dengan sifat fajar astronomi. Parameter waktu Subuh yang digunakan kini adalah ketika matahari berada pada kedudukan 18° di bawah ufuk menepati ketetapan syarak dan kajian ilmiah.
[1] Mohd Faizal. 2022. Mukhtasar Ilmu Falak. Pulau Pinang: Baytul Hikma. Ms. 78.
[2] Al-Lughawi, Ahmad bin Fāris bin Zakariyā bin Muhammad bin Hubaib. 2008. Maqāyis al-Lughah. Mesir: Dār al-Hadīs. Jil.4. Ms. 475
[3] Al-Hākim, Abū Abdillāh Muhammad bin Abdullah al-Hākim al-Naisābūri. Tt. al-Mustadrak alā Sahihain. Beirūt: Dār al-Kutub al-Ilmiyyah. Jil. 2, ms. 78.
[4] Hardi, “Kajian Penetapan Takwim Solat Pulau Pinang Menurut Ilmu Falak”, Disertasi Sarjana, Universiti Malaysia, 2011, 260.
[5] Abdulkader M. Abed. 2015. “Tahdīd maw’īd hulūl al-fajr al-sādiq fi al-urdun bi al-rasdi al-falaki al-mubāshir bil-‘ayn al-mujarradah.” Jordan Journal for Islamic Studies. Vol. 11, no. 2, ms. 6.
[6] Abdul Halim et al. 2018. “Kajian bermulanya waktu fajar”. Jurnal Falak, no. 4. Ms. 7.
[7] Raihana Abd. Wahab, “Astronomi dalam ibadah”, dibentangkan dalam Sesi Sembang Angkasa sempena Minggu Sains Negara. Universiti Malaya. 3 April 2021.
[8] Qomarus Zaman. 2018. “Terbit fajar dan waktu subuh”. Mahakim. Vol. 2, no. 1, ms. 38.
[9]Al-Bukhārī, Abū Abdullah Muhammad bin Isma’il al-Bukhārī al-Ja’fi. 1993. Ṣahīh al-Bukhārī. Damsyik, Syria: Dār Ibn Katsīr. Hadis no. 829. Jil. 1. Ms. 296
[10] Abū Dāwūd (Dā’ūd), Sulaymān ibn al-Ash’ath al-Azdī al-Sijistānī. 2009. Sunan Abi Dāwūd. Beirut: Dār al-Risalah al-Ᾱlamiah. Hadis no. 384. Jil. 1, ms 294.
[11] Ibn al-Atsīr, Al-Mubārak bin Muhammad bin Muhammad bin Abdul Karīm bin Abdul Wahīd al-Syaibānī al-Jazarīy. Jami’ al-Usūl fi ahādīs al-Rasūl. Maktabah Dār al-Bayān. Jil. 5. Ms. 220.
[12] dlm. Baharrudin bin Zainal. 2016. Pentahkikan Naskhah Falak Alam Melayu. Jabatan Mufti Negeri Selangor. Ms. 50.