#88 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Wuduk Bagi Pesakit Daimul Hadath

 

Tarikh: 3 Jun 2025

Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah


Pengenalan

Tuntutan ibadah seperti solat termasuklah berwuduk untuk menunaikan solat tidak akan gugur selagi seseorang itu mencukupi syarat-syarat wajib mengerjakannya. Begitu juga, bagi seseorang yang mengalami penyakit seperti kencing tidak lawas, istihadah, sentiasa keluar najis dan seumpamanya, mereka dikategorikan sebagai sentiasa berhadas (daimul hadath atau faqid al-Taharah). Hal ini menimbulkan kemusykilan dari sudut hukum solatnya kerana antara syarat sah solat ialah suci daripada hadas dan najis. Justeru, artikel ini akan membahaskan tentang hukum wuduk bagi golongan daimul hadath, pandangan fuqaha serta kaedah penyelesaiannya menurut perspektif fiqh Islam. 

 

Perkara-perkara yang membatalkan Wuduk

Menurut fiqh, apa sahaja yang keluar daripada qubul dan dubur sama ada kencing, tahi, darah, angin atau lain-lain akan membatalkan wuduk. Hal ini sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Nawawi di dalam kitab al-Majmu’:

 

أَمَّا حُكْمُ الْمَسْأَلَةِ فَالْخَارِجُ مِنْ قُبُلِ الرَّجُلِ أَوْ الْمَرْأَةِ أَوْ دُبُرِهِمَا يَنْقُضُ الْوُضُوءَ سَوَاءٌ كَانَ غَائِطًا أَوْ بَوْلًا أَوْ رِيحًا أَوْ دُودًا أَوْ قَيْحًا أَوْ دَمًا أَوْ حَصَاةً أَوْ غَيْرَ ذَلِكَ

 

Maksudnya: Adapun hukum dalam masalah ini, maka segala sesuatu yang keluar dari qubul (kemaluan) lelaki atau wanita, atau dubur mereka, membatalkan wuduk, sama ada ia berupa najis seperti tahi, air kencing, angin, cacing, nanah, darah, batu kecil, atau selainnya.[1]

 

Pengertian Daimul Hadath

Daimul hadath adalah merujuk kepada individu yang sentiasa berada dalam keadaan berhadas, seperti mereka yang mengalami masalah salis al-bawl (kencing tidak lawas), istihadah (pendarahan wanita di luar waktu haid dan nifas) atau penyakit lain yang menyebabkan keluar najis secara berterusan.

Keadaan ini menimbulkan cabaran dalam pelaksanaan ibadah seperti solat dan tawaf yang memerlukan kesucian anggota tubuh daripada hadas. Orang yang sentiasa berhadas akan sentiasa menanggung najis yang menyebabkan kesahan ibadahnya terjejas. Daimul hadath dinyatakan oleh para ulama bahawa ia disamakan hukumnya dengan wanita yang mengalami darah istihadah. Hal ini disebutkan oleh Imam al-Nawawi seperti berikut:

 

والاستحاضة حدث دائم كالسلس فلا تمنع الصوم والصلاة

Maksudnya: Dan istihadah adalah hadas yang berterusan seperti salisi (kencing tidak lawas), maka ia tidak menghalang puasa dan solat.[2]

 

Selain itu, Imam al-Ramli turut menyatakan perkara yang sama mengenai masalah ini, iaitu:

 

فَمَنْ بِهِ حَدَثٌ دَائِمٌ كَمُسْتَحَاضَةٍ وَسَلِسِ بَوْلٍ وَمَنْ بِهِ جِرَاحَةٌ نَضَّاخَةٌ بِالدَّمِ أَوْ كَانَ مُنْتَعِلًا بِنَعْلٍ بِهِ نَجَاسَةٌ رَطْبَةٌ وَخَشِيَ تَلْوِيثَ الْمَسْجِدِ بِشَيْءٍ مِنْ ذَلِكَ فَلَهُ حُكْمُهَا

Maksudnya: Maka sesiapa yang mengalami hadas berterusan seperti wanita yang mengalami istihadah, orang yang menghadapi masalah kencing tidak lawas, atau seseorang yang mengalami luka yang mengeluarkan darah secara berterusan, atau seseorang yang memakai kasut yang terdapat najis basah padanya, lalu dia bimbang akan mencemarkan masjid dengan perkara tersebut, maka ia mengambil hukumnya (iaitu diharamkan memasuki masjid jika dia bimbang akan mencemarkannya).[3]

 

Berdasarkan pandangan para fuqaha, orang yang mengalami daimul hadath ini adalah orang yang hadasnya berlaku secara berterusan seperti masalah kencing tidak lawas atau seseorang yang mengalami luka yang mengeluarkan darah secara berterusan, maka hukumnya seperti wanita yang sentiasa keluar darah istihadah.

 

Wuduk Bagi Daimul Hadath

Memandangkan daimul hadath adalah keadaan seseorang sentiasa berhadas, maka terdapat beberapa perkara yang wajib diketahui ketika mengambil wuduk untuk melaksanakan solat. Antara perkara yang perlu diambil berat adalah seperti berikut;

 

  1. Tatacara yang perlu dijaga sebelum dan ketika mengambil wuduk

Sebelum mengambil wuduk, orang yang sentiasa dalam hadas disyaratkan supaya beristinjak (membersihkan kemaluan) terlebih dahulu kemudian bersegera menampal tempat keluar najis dengan sesuatu yang dapat menghalang najis daripada mengotori pakaian. Hal ini sebagaimana disebutkan dalam kitab I’anah al-Talibin bahawa terdapat beberapa perkara yang mesti dipatuhi dan diikuti bagi seseorang yang daimul hadas sebelum berwuduk agar wuduk dan solat yang dilaksanakan itu sah dan tidak perlu diulang semula, iaitu;

 

وحاصل ما يجب عليه – سواء كان مستحاضة أو سلسا – أن يغسل فرجه أولا عما فيه من النجاسة، ثم يحشوه بنحو قطنة – إلا إذا تأذى به أو كان صائما – وأن يعصبه بعد الحشو بخرقة إن لم يكفه الحشو لكثرة الدم، ثم يتوضأ أو يتيمم، ويبادر بعده إلى الصلاة، ويفعل هكذا لكل فرض وإن لم تزل العصابة عن محلها

 

Maksudnya: Kesimpulannya, apa yang wajib dilakukan oleh seseorang yang mengalami istihadah atau masalah hadas berterusan seperti salis (kencing tidak lawas) adalah membasuh kemaluannya terlebih dahulu untuk menghilangkan najis yang ada. Menyumbatnya dengan sesuatu seperti kapas, kecuali jika ia mendatangkan mudarat atau jika dia sedang berpuasa. Jika sumbatan itu tidak mencukupi kerana terlalu banyak darah, maka hendaklah membalutnya dengan kain. Kemudian, dia perlu berwuduk atau bertayammum. Segera menunaikan solat selepas itu. Perkara ini perlu dilakukan untuk setiap solat fardu, walaupun balutan tersebut tidak berganjak dari tempatnya.[4]

 

Di samping itu, di dalam kitab I’anah al-Talibin juga menjelaskan bagaimana keadaan yang dimaksudkan dengan wajib ditukar pembalut walaupun ia tidak bergerak dari tempatnya, seperti berikut: 

 

وإن لم تزل عن موضعها أي يجب تجديدها، وإن لم تنتقل عن موضعها، وإن لم يظهر الدم مثلا من جوانبها

Maksudnya: Dan jika pembalut itu tidak berganjak dari tempatnya, maka tetap wajib diperbaharui wuduk walaupun ia tidak berpindah dari kedudukannya dan tidak kelihatan darah keluar sekelilingnya.[5]

 

Seterusnya, hendaklah orang tersebut bersegera mengambil wuduk sesudah masuk waktu solat, bahkan wuduknya tidak sah sekiranya dia berwuduk sebelum masuknya waktu solat. Perkara ini telah dinyatakan oleh fuqaha shafi’iyyah seperti di dalam kitab Fath Mu’in menyatakan bahawa:

 

وشمل سلس البول وسلس الريح، فلو توضأ قبل دخول الوقت لم يصح لأنه طهارة ضرورة، ولا ضرورة قبل الوقت

Maksudnya: Begitu juga termasuk bagi orang yang mengalami masalah kencing tidak lawas (salis al-bawl) serta masalah kentut tidak terkawal (salis al-rih). Oleh itu, jika dia berwuduk sebelum masuk waktu solat, wuduknya tidak sah kerana ini adalah taharah darurat, sedangkan keadaan darurat tidak berlaku sebelum masuk waktunya.[6]

 

Tambahan daripada itu, penentuan masuk waktu solat tersebut sama ada secara yakin ataupun dzhan (sangkaan) yang ditentukan oleh pesakit melalui ijtihadnya sendiri. Hal ini telah dinyatakan seperti berikut;

 

الأنسب والأخصر أن يقول بعد قوله دخول وقت لدائم الحدث ولو ظنا، أي سواء كان دخوله يقينا أو كان ظنا، فيما إذا اشتبه عليه الوقت أدخل أم لا، فاجتهد فأداه اجتهاده إلى دخوله

Maksudnya: Yang lebih sesuai dan ringkas ialah dengan mengatakan selepas ucapan “masuk waktu bagi orang yang sentiasa berhadas walaupun dengan sangkaan”, iaitu sama ada masuknya itu dengan yakin atau dengan sangkaan, dalam keadaan apabila seseorang itu ragu-ragu sama ada waktu telah masuk atau belum, lalu dia berijtihad dan ijtihadnya membawa kepada sangkaan bahawa waktu telah masuk.[7]

 

Lanjutan daripada itu, antara keadaan yang membenarkan seseorang yang mengalami daimul hadath melewatkan solat setelah berwuduk adalah apabila terdapat maslahat yang berkaitan dengan solat. Hal ini dinyatakan Imam al-Nawawi di dalam kitab al-Majmu’ mengenai sebab-sebab yang mengharuskan seperti:

 

من أسباب الصلاة كستر العورة والأذان والإقامة والاجتهاد في القبلة والذهاب إلى المسجد الأعظم والسعي في تحصيل سترة تصلي إليها وانتظار الجماعة ونحو ذلك جاز وإن أخرت بلا عذر بطلت طهارتها لتفريطها

Maksudnya: Antara sebab-sebab yang berkaitan dengan solat ialah menutup aurat, azan, iqamah, berijtihad menentukan arah kiblat, pergi ke masjid yang lebih besar, berusaha mendapatkan sutrah (penghalang) untuk solat menghadapnya, menunggu jemaah dan seumpamanya. Semua ini dibolehkan setelah berwuduk. Namun, jika seseorang melewatkan solat tanpa uzur, maka wuduknya terbatal kerana kecuaiannya.[8]

 

Justeru, dalam hal yang dinyatakan sebelum ini terdapat beberapa perkara dan tatacara pengambilan wuduk yang perlu diambil berat bagi seseorang yang mengalami daimul hadath dengan mengikut turutan seperti berikut;

  1. Memastikan masuk waktu solat.
  2. Menyucikan, menyumbat serta membalut tempat keluar najis sekadar termampu.
  3. Segera berwuduk.
  4. Segera menunaikan solat.
  5. Satu wuduk hanya dibolehkan untuk satu solat fardu sahaja dan beberapa ibadah sunat yang lain.

  1. Niat semasa wuduk

Orang yang sentiasa dalam hadas, hendaklah berniat dengan wuduk tersebut untuk mengharuskan solat. Maka, tidak memadai wuduknya jika ia diniatkan bagi mengangkat hadas semata-mata kerana pada hakikatnya hadas tersebut tidak terangkat. Contoh lafaz niat wuduk bagi mengharuskan solat fardu dan sunat adalah seperti berikut:

 

نويت الوضوء لاستباحة الصلاة لله تعالى

Maksudnya: Sahaja aku berwuduk bagi mengharuskan solat kerana Allah Ta‘ala.

 

Oleh itu, hal ini telah disebutkan oleh Imam Shihabuddin al-Ramli mengenai niat yang perlu dilafazkan bagi seseorang yang mengalami daimul hadath seperti berikut:

 

(ومن دام حدثه كمستحاضة) وسلس بول أو نحوه (كفاه نية ‌الاستباحة) المارة (دون) نية (الرفع) المتقدم لعدم ارتفاع حدثه (على الصحيح فيهما) أما الاكتفاء بنية ‌الاستباحة فبالقياس على التيمم

Maksudnya: (Sesiapa yang mengalami hadas berterusan, seperti wanita yang mengalami istihadhah) atau seseorang yang mengalami masalah kencing tidak lawas –salis al-bawl– dan seumpamanya, (maka memadai baginya dengan niat istibahah) -mengharuskan solat- sebagaimana yang telah disebutkan, (tanpa) perlu berniat mengangkat hadas. Hal ini kerana hadasnya tidak terangkat (tetap berterusan), menurut pendapat yang sahih dalam kedua-dua perkara ini. Adapun kecukupan dengan hanya niat istibahah, ia diqiyaskan kepada tayammum.[9]

 

Justeru, niat wuduk bagi seseorang yang mengalami daimul hadath mempunyai kaifiat khusus yang perlu diambil berat tentangnya seperti berniat untuk mengharuskan solat dan tidak berniat mengangkat hadas kerana pada asalnya hadasnya tidak terangkat.

 

  1. Hukum yang berkaitan dengan wuduk Daimul Hadath

       Satu wuduk untuk satu ibadah fardu

 

Bagi orang yang sentiasa dalam keadaan berhadas, satu wuduk hanya sah untuk mendirikan satu ibadah fardu sahaja. Maka tidak sah bagi orang tersebut mendirikan ibadah fardu yang lain jika dia telah pun mengerjakan satu solat fardu dengan wuduknya itu tadi. Justeru, jika dia hendak mengerjakan ibadah fardu yang lain selepas itu, maka wajib ke atasnya untuk berwuduk sekali lagi dengan mengikut tatacara berwuduk bagi daimul hadath. Menurut kenyataan Imam al-Dimyati al-Shafi’i bahawa:

 

(قوله: ويجب عليه الوضوء الخ) أي ‌ويجب ‌على ‌دائم ‌الحدث الوضوء لكل فرض ولو منذورا، فلا يجوز أن يجمع بوضوء واحد بين فرضين، كما أنه لا يجوز أن يجمع بتيمم واحد بينهما

Maksudnya: (Dan bagi perkataan: “Dan wajib ke atasnya berwuduk…”) iaitu, wajib bagi orang yang mengalami hadas berterusan untuk berwuduk bagi setiap ibadah fardu, termasuk solat yang dinazarkan. Maka, tidak dibolehkan untuk menghimpunkan dua ibadah fardu dengan satu wuduk, sebagaimana juga tidak dibolehkan menghimpunkan keduanya (ibadah fardu) dengan satu tayammum.[10]

 

 

·         Solat jamak bagi pesakit daimul hadath

 

Sebagaimana disebutkan yang lalu, wuduk bagi orang yang sentiasa berhadas hanya sah untuk satu solat fardu sahaja dan seberapa banyak solat sunat. Justeru, solat yang pertama adalah dari wuduk yang pertama dan perlu berwuduk yang baru bagi solat yang kedua. Hal ini diqiaskan bagi pesakit daimul hadath dengan orang yang bertayamum iaitu perlu bersuci untuk setiap kali solat fardu, setelah masuk waktunya. Sheikh Sulayman al-Jamal menyebutkan;

 

أَنَّ الْمُسْتَحَاضَةَ قِيسَتْ عَلَى الْمُتَيَمِّمِ فِي أَنَّ طُهْرَهَا لَا بُدَّ أَنْ يَكُونَ لِكُلِّ فَرْضٍ وَفِي الْوَقْتِ فَلَا يَصِحُّ قَبْلَهُ وَقِيسَتْ عَلَى مَنْ بِهِ حَدَثٌ دَائِمٌ فِي الْغَسْلِ وَالْعَصْبِ وَالْحَشْوِ وَالْمُبَادَرَةِ بِالْفَرْضِ، وَالْجَامِعُ بَيْنَهُمَا أَنَّ كُلًّا مِنْ الْمُتَيَمِّمِ وَدَائِمِ الْحَدَثِ طُهْرُهُ مُبِيحٌ لَا رَافِعٌ

Maksudnya: Sesungguhnya perempuan yang beristihadah diqiaskan dengan orang yang bertayammum iaitu hendaklah dia bersuci untuk setiap kali solat fardu, setelah masuk waktunya iaitu tidak sah sebelumnya, dan diqiaskan (perempuan istihadah) dengan orang yang sentiasa berhadas dalam bab mandi, menyumbat (dengan kapas) dan membalutnya (tempat keluar najis) dan segera melaksanakan solat fardu, dan persamaan antara keduanya ialah orang yang bertayammum dan orang yang sentiasa berhadas ialah taharahnya hanya untuk mengharuskan (ibadah) dan bukannya untuk mengangkat (hadas).[11]

 

Di dalam kitab Hashiyah I’anah al-Talibin, Sheikh Uthman Shata al-Bakri menyatakan bahawa;

 

ويجب على ‌دائم ‌الحدث الوضوء لكل فرض ولو منذورا، فلا يجوز أن يجمع بوضوء واحد بين فرضين، كما أنه لا يجوز أن يجمع بتيمم واحد بينهما

Maksudnya: Wajib ke atas orang yang sentiasa berhadas untuk berwuduk bagi setiap solat fardu, walaupun solat nazar. Maka tidak dibolehkan baginya untuk menghimpunkan dua solat fardu dengan satu wuduk, sebagaimana tidak dibolehkan juga untuk menghimpunkan dua solat fardu dengan satu tayammum.[12]

 

Oleh itu, bagi orang yang sentiasa berhadas menjamakkan solat adalah harus kerana ia diqiaskan dengan masalah tayammum dengan syarat mengambil wuduk sebanyak dua kali. Sebagai contoh, wuduk yang pertama bagi solat Zohor dan wuduk yang kedua antara selang masa sebelum solat Asar secara berturutan. Adapun senggang masa antara dua solat tersebut tidak memudaratkan kerana ia dikira sebagai maslahat solat dan diringankan dalam perkara tersebut. Hal ini dinyatakan oleh Imam al-Nawawi seperti;

 

وَلِهَذَا قَالَ جُمْهُورُ الْأَصْحَابِ يَجُوزُ الْجَمْعُ بَيْنَ الصَّلَاتَيْنِ بِالتَّيَمُّمِ وَقَالُوا لَا يَضُرُّ الْفَصْلُ

بَيْنَهُمَا بِالطَّلَبِ

Maksudnya: Majoriti ashab (Shafi’iyyah) ini berpendapat bahawa harus menghimpunkan dua solat dengan satu tayammum. Mereka juga berkata: Tidak mengapa adanya senggang masa antara kedua-dua solat tersebut disebabkan oleh usaha mencari air dan melakukan tayammum.[13]

   

       Wuduk untuk ibadah sunat yang lain

 

Adapun untuk ibadah sunat pula, orang tersebut diharuskan mengerjakan solat sunat dengan wuduknya itu sebanyak mana yang dikehendakinya tanpa perlu berwuduk kembali walaupun setelah mengerjakan ibadah fardu. Hal ini sebagaimana disebutkan oleh para fuqaha Shafi’iyyah mengenai perkara tersebut seperti di dalam kitab ‘Ianah al-Talibin menyatakan:

 

واعلم أن دائم الحدث – كالمتيمم – يستباح له بوضوئه للفرض أن يصلي الفرض

وما شاء من النوافل

Maksudnya: Ketahuilah bahawa seseorang yang mengalami hadas berterusan -sama seperti orang yang bertayammum- boleh dengan wuduknya untuk solat fardu menunaikan satu solat fardu serta sebanyak mana solat sunat yang diinginkannya.[14]

 

·         Wuduk Daimul Hadath bagi Jemaah Haji

 

Berdasarkan keputusan muzakarah haji peringkat kebangsaan kali ke-39 bersamaan 1444H/2022M menyatakan bahawa;

 

Jemaah haji yang mengalami daimul hadath boleh mengambil pandangan mazhab Maliki iaitu:

 

       I.            Membersihkan najis dan boleh mengambil wuduk sebelum masuk waktu solat.

    II.            Meneruskan solat dengan wuduk yang sama selagi ia tidak terbatal oleh lain-lain perkara yang membatalkan wuduk.

 III.            Memperbaharui wuduk itu adalah sunat sahaja.

 

Kesimpulan

 

Golongan yang menghadapi daimul hadath seperti wanita yang mengalami istihadah, kencing tidak lawas (salisi al-Bawl) dan seumpamanya dikira sebagai golongan yang ‘uzur’ serta terdapat hukum yang khusus buat golongan ini dalam bab taharah. Justeru, setelah diteliti perbahasan yang lalu dapat disimpulkan beberapa perkara:

 

       Daimul hadath adalah orang yang sentiasa berhadas menyebabkan wuduk dan solatnya terbatal. Justeru, terdapat panduan dari para fuqaha dalam masalah ini yang perlu diambil berat terhadapnya iaitu seseorang perlu mengambil wuduk setiap kali hendak mengerjakan solat dan membalut tempat keluarnya najis tersebut. Maka, solatnya dikira sah dan tidak perlu mengulanginya sekalipun dia masih berhadas ketika mengerjakan solat.

       Niat wuduk bagi daimul hadath adalah berniat untuk mengharuskan solat bukannya untuk mengangkat hadas.

       Satu wuduk hanya dibolehkan untuk menunaikan satu ibadah fardu sahaja namun diharuskan untuk mengerjakan seberapa banyak ibadah sunat yang diinginkannnya. 



[1] Abū Zakariyyā al-Nawawī. al-Majmū’ Syarḥ al-Muhadhdhab. (Kaherah: Idarah al-Taba’ah al-Munīriyah, t.t), 2:4.

[2] Abū Zakariyyā Muhyi al-Dīn Yahya bin Sharaf al-Nawawī. Minhāj al-Ṭālibīn wa ‘Umdah al-Muftīn. (t.t.p: Dār al-Fikr, 2005), 19.

[3] Syams al-Dīn al-Ramlī. Nihāyat al-Muhtāj ila Sharh al-Minhāj. (Beirut: Dar al-Fikr, t.t), 1:328.

[4] Abū Bakr Uthmān bin Muhammad Shaṭā al-Dimyātī al-Shāfi’ī. I’ānah al-Ṭālibīn ‘alā Ḥilli Alfāẓ Fatḥ al-Mu’īn. (t.t.p: Dār al-Fikr li Ṭibā’ah wa al-Nashr wa al-Tawzī’, 1997), 1:47.

[5] Abū Bakr Uthmān bin Muhammad Shaṭā al-Dimyātī al-Shāfi’ī. I’ānah al-Ṭālibīn ‘alā Ḥilli Alfāẓ Fatḥ al-Mu’īn. 1:47.

[6] Abū Bakr Uthmān bin Muhammad Shaṭā al-Dimyātī al-Shāfi’ī. I’ānah al-Ṭālibīn ‘alā Ḥilli Alfāẓ Fatḥ al-Mu’īn. 1:47.

[7] Abū Bakr Uthmān bin Muhammad Shaṭā al-Dimyātī al-Shāfi’ī. I’ānah al-Ṭālibīn ‘alā Ḥilli Alfāẓ Fatḥ al-Mu’īn. 1:47.

[8]Abū Zakariyyā al-Nawawī. al-Majmū’ Syarḥ al-Muhadhdhab. (Kaherah: Idarah al-Taba’ah al-Munīriyah, t.t), 2:537.

[9] Shamsuddīn Muḥammad bin Abī al-‘Abbās Aḥmad bin Ḥamzah al-Ramlī. Nihāyah al-Muḥtāj ilā Syarḥ al-Minhāj. 1:161.

[10] Abū Bakr Uthmān bin Muhammad Shaṭā al-Dimyātī al-Shāfi’ī. I’ānah al-Ṭālibīn ‘alā Ḥilli Alfāẓ Fatḥ al-Mu’īn. 1:47.

[11] Sulaiman bin Umar. Hāsyiah Jamal Alā Syarh al-Manhaj al-Ṭullāb. (Beirut: Dār al-Fikr, t.t.), 1/244.

[12]Abū Bakr Uthmān bin Muhammad Shaṭā al-Dimyātī al-Shāfi’ī. I’ānah al-Ṭālibīn ‘alā Ḥilli Alfāẓ Fatḥ al-Mu’īn. 1:47.

[13]Abū Zakariyyā al-Nawawī. al-Majmū’ Syarḥ al-Muhadhdhab. 4/375.

[14] Abū Bakr Uthmān bin Muhammad Shaṭā al-Dimyātī al-Shāfi’ī. I’ānah al-Ṭālibīn ‘alā Ḥilli Alfāẓ Fatḥ al-Mu’īn. 1:47.

 

Accessibility Toolbar