#128 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Membuat Content Dalam Kawasan Masjid

#128 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Membuat Content Dalam Kawasan Masjid

Tarikh: 13 Oktober 2026

Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah

 

Pendahuluan

Perkembangan teknologi digital dan media sosial telah mengubah cara masyarakat termasuk umat Islam di Malaysia berinteraksi di antara satu sama lain. Pada hari ini, mereka membuat dan menyebarkan content (kandungan) secara terbuka dan pantas. Perkembangan ini turut mendorong aktiviti mengambil gambar, merakam video dan mengadakan live (siaran langsung) dalam kawasan masjid bagi pelbagai tujuan. Sehubungan dengan itu, hukum serta perkara-perkara yang perlu diperhatikan ketika menjadikan kawasan dan ruang masjid sebagai lokasi pembuatan content media sosial wajar diperincikan agar kehormatan dan kesucian masjid sentiasa terpelihara.

Definisi Content Creator dan Kandungannya

Pencipta kandungan atau istilah yang lebih dikenali pada zaman ini iaitu content creator merupakan individu yang membuat content seperti video, blog atau catatan media sosial terutamanya dalam media digital untuk pengguna secara dalam talian[1] sama ada dijadikan sebagai perkongsian maklumat, promosi, hiburan semata-mata mahupun dokumentasi peribadi. Manakala perkataan content (kandungan) merujuk kepada tayangan video yang dipaparkan di platform media sosial, yang mengandungi unsur maklumat, pendidikan atau hiburan bagi memenuhi keperluan penontonnya.

Istilah content creator ini tidak asing lagi dalam masyarakat masa kini kerana perkembangan media sosial telah menjadikan pembuatan dan penyebaran kandungan digital sebagai sebahagian daripada budaya komunikasi dan interaksi masyarakat. Malah, kewujudan pelbagai platform seperti TikTok, Instagram, Facebook dan YouTube telah membuka ruang yang luas kepada para content creator untuk berkongsi idea, maklumat dan pengaruh kepada masyarakat secara pantas dan terbuka.

Keharusan Beraktiviti di dalam Masjid Berdasarkan Hadis Nabi SAW

Terdapat riwayat sahih yang menunjukkan bahawa aktiviti permainan dan hiburan tertentu pernah dilaksanakan di dalam masjid pada zaman Nabi SAW. Aktiviti dan hiburan tersebut bukanlah perkara yang tercela kerana ia diharuskan oleh syarak. Antara riwayat yang paling masyhur ialah hadis berkaitan orang-orang Habsyah bermain tombak di dalam masjid ketika perayaan. Diriwayatkan daripada Aishah RA, beliau menyatakan bahawa:

أَنَّ أَبَا بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ دَخَلَ عَلَيْهَا وَعِنْدَهَا جَارِيَتَانِ فِي أَيَّامِ مِنًى تُدَفِّفَانِ وَتَضْرِبَانِ وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُتَغَشٍّ بِثَوْبِهِ فَانْتَهَرَهُمَا أَبُو بَكْرٍ فَكَشَفَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ وَجْهِهِ فَقَالَ: دَعْهُمَا يَا أَبَا بَكْرٍ فَإِنَّهَا أَيَّامُ عِيدٍ وَتِلْكَ الْأَيَّامُ أَيَّامُ مِنًى وَقَالَتْ عَائِشَةُ: رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْتُرُنِي وَأَنَا أَنْظُرُ إِلَى الْحَبَشَةِ وَهُمْ يَلْعَبُونَ فِي الْمَسْجِدِ فَزَجَرَهُمْ عُمَرُ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: دَعْهُمْ أَمْنًا بَنِي أَرْفِدَةَ يَعْنِي مِنَ الْأَمْنِ[2]

Maksudnya: Abu Bakar RA datang menemui Aishah RA yang mana ketika itu terdapat dua orang pembantu wanita sedang memainkan dan memukul gendang pada hari-hari Mina (hari raya korban dan hari-hari Tasyriq). Sementara itu, Nabi SAW menyelubungi dirinya dengan pakaiannya. Sejurus itu, Abu Bakar RA menegur kedua-dua mereka (pembantu wanita tadi). Namun, Nabi SAW menyingkap wajahnya (daripada pakaian tadi) seraya bersabda: Biarkan mereka wahai Abu Bakar kerana sesungguhnya hari ini ialah hari raya. Dan hari-hari tersebut adalah hari-hari Mina. Aishah RA berkata lagi: Aku melihat Nabi SAW menutupiku (dengan pakaian) sedangkan (pada masa yang sama) aku melihat orang-orang Habsyah sedang bermain di dalam masjid. Lalu Umar RA menegur mereka. Maka Nabi SAW bersabda: Biarkan mereka, wahai Bani Arfidah (gelaran kepada orang Habsyah), kamu berada dalam keadaan aman.

(Riwayat al-Bukhari)

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan dalam Fath al-Bari[3] bahawa Ibn al-Munayyir menjelaskan dalam hasyiah beliau bahawa hadis tersebut bertujuan menunjukkan keharusan bentuk-bentuk hiburan yang dibenarkan syarak pada hari raya sebagai tanda kegembiraan dan syiar perayaan umat Islam. Di samping itu, permainan tombak yang dipersembahkan oleh orang-orang Habsyah di masjid tidak berlaku ketika berlangsungnya solat sunat hari raya, bahkan dilaksanakan selepas Nabi SAW selesai menunaikan solat dan pulang dari tempat solat. Perkara ini menunjukkan bahawa aktiviti tersebut dilakukan pada waktu yang sesuai serta tidak menjejaskan pelaksanaan ibadah dan fungsi utama masjid sebagai pusat ibadah dan pengabdian kepada Allah SWT.

Manakala dalam lafaz lain, Aishah RA berkata:

وَاللهِ لَقَدْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُومُ عَلَى بَابِ ‌حُجْرَتِي ‌وَالْحَبَشَةُ ‌يَلْعَبُونَ ‌بِحِرَابِهِمْ فِي مَسْجِدِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْتُرُنِي بِرِدَائِهِ لِكَيْ أَنْظُرَ إِلَى لَعِبِهِمْ ثُمَّ يَقُومُ مِنْ أَجْلِي حَتَّى أَكُونَ أَنَا الَّتِي أَنْصَرِفُ فَاقْدُرُوا قَدْرَ الْجَارِيَةِ الْحَدِيثَةِ السِّنِّ حَرِيصَةً عَلَى اللهْوِ[4]

Maksudnya: Demi Allah, aku telah melihat Rasulullah SAW berdiri di pintu bilikku. Ketika itu orang-orang Habsyah sedang bermain dengan tombak-tombak mereka di dalam masjid Rasulullah SAW. Nabi SAW menutupiku dengan rida’nya (kain selendang yang diletakkan pada bahu) agar aku dapat melihat orang-orang Hasbyah tadi bermain. Kemudian Nabi SAW terus berdiri (menunggu Aishah RA melihat permainan tersebut) sehingga akulah yang akhirnya beredar (daripada melihat permainan tersebut). Maka, kalian hendaklah memahami keadaan seorang gadis yang masih muda dan sangat cenderung kepada hiburan.

(Riwayat Muslim)

Al-Muhallab ketika menjelaskan hadis ini menyatakan bahawa:

الْمَسْجِدُ مَوْضُوعٌ لِأَمْرِ جَمَاعَةِ الْمُسْلِمِينَ وَكُلُّ مَا كَانَ مِنَ الْأَعْمَالِ الَّتِي تَجْمَعُ مَنْفَعَةَ الدِّينِ وَأَهْلِهِ وَاللَّعِبُ بِالْحِرَابِ مِنْ تَدْرِيبِ الْجَوَارِحِ عَلَى مَعَانِي الْحُرُوبِ فَهُوَ جَائِزٌ فِي الْمَسْجِدِ وَغَيْرِهِ[5]

Maksudnya: Masjid itu dibina untuk urusan jemaah muslimin. Setiap perkara atau amalan yang membawa manfaat kepada agama dan umatnya termasuk bermain tombak yang merupakan sebahagian daripada latihan mendidik anggota tubuh atas tujuan peperangan, maka ia adalah harus dilakukan di dalam masjid dan juga di tempat-tempat lain.

Imam al-Nawawi pula menyatakan bahawa

جَوَازُ ‌اللَّعِبِ ‌بِالسِّلَاحِ وَنَحْوِهِ مِنْ آلَاتِ الْحَرْبِ فِي الْمَسْجِدِ ويلتحق به ما في مَعْنَاهُ مِنَ الْأَسْبَابِ الْمُعِينَةِ عَلَى الْجِهَادِ وَأَنْوَاعِ الْبِرّ[6]

Maksudnya: Harus bermain dengan senjata dan seumpamanya daripada peralatan peperangan di dalam masjid. Turut termasuk dalam perkara tersebut ialah segala sesuatu yang mempunyai makna yang sama iaitu perkara-perkara yang membantu kepada jihad dan pelbagai bentuk kebaikan.

Beliau juga menyatakan bahawa:

وَفِيهِ جَوَازُ نَظَرِ النِّسَاءِ إِلَى لَعِبِ الرِّجَالِ مِنْ غَيْرِ نَظَرٍ إِلَى نَفْسِ الْبَدَنِ[7]

Maksudnya: Terdapat keharusan bagi wanita melihat permainan kaum lelaki tanpa melihat (memerhati dan meneliti) kepada tubuh badan mereka (sekadar bertujuan melihat permainan yang dimainkan).

Para ulama menjelaskan bahawa permainan orang Habsyah di dalam masjid berlaku bersempena hari raya bagi tujuan menzahirkan kegembiraan di samping berfungsi sebagai latihan dan demonstrasi kemahiran peperangan. Justeru, permainan tersebut bukanlah hiburan yang sia-sia dan melalaikan. Oleh sebab itu, Nabi SAW tidak melarang perbuatan orang-orang Habsyah berkenaan, bahkan mengizinkannya kerana mempunyai maslahat tertentu dan pada masa-masa yang tertentu.

Hukum Membuat Content Dalam Kawasan Masjid

Secara asasnya, hukum membuat content dalam kawasan masjid adalah diharuskan dengan syarat yang telah ditetapkan oleh syarak. Perkara ini bertepatan dengan kaedah berikut:

الأصل في الأشياء ‌الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم[8]

Maksudnya: Asal kepada sesuatu perkara adalah harus sehinggalah dibuktikan dengan dalil yang menunjukkan ia haram.

Kaedah ini menjelaskan bahawa mana-mana perkara yang tidak dinyatakan dengan jelas sebagai haram oleh syarak, maka ia berkekalan harus sehinggalah ada dalil yang menunjukkan ia haram. Membuat content dalam kawasan masjid termasuk salah satu perkara baharu dan tidak ada dalil khusus yang qat’i daripada syarak yang menunjukkan bahawa ia haram dilakukan.

Namun, pembuatan content dalam kawasan masjid juga tertakluk kepada adab dan kehormatan masjid. Begitu juga, kandungan yang dihasilkan mestilah bersifat bermanfaat serta tidak mencemarkan kesucian dan fungsi masjid yang utama iaitu sebagai tempat ibadah.

Parameter Menjadikan Masjid Sebagai Lokasi Content

Menjadikan masjid sebagai lokasi membuat content adalah diharuskan, khususnya jika content tersebut memberikan manfaat dan tidak bercanggah dengan syarak. Oleh itu, bagi memastikan perbuatan tersebut selaras dengan kehormatan dan fungsi masjid, ia mestilah memenuhi parameter berikut:

1.    Berkaitan dengan ibadah

Antara content yang sesuai dihasilkan dalam kawasan masjid ialah content yang berkaitan khusus dengan pelaksanaan ibadah seperti solat, bacaan al-Quran, zikir, doa, iktikaf dan seumpamanya. Content tersebut hendaklah memperlihatkan pelaksanaan ibadah secara tertib serta menepati hukum dan adab yang ditetapkan oleh syarak. Firman Allah SWT dalam surah al-Nur ayat 36:

فِي بُيُوتٍ أَذِنَ اللَّهُ أَنْ تُرْفَعَ وَيُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ

Maksudnya: (Nur petunjuk Allah itu bersinar dengan nyata terutama) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya[9] dan disebut nama Allah padanya.

Masjid merupakan tempat yang dikhususkan untuk mengingati Allah SWT dan beribadah kepada-Nya. Oleh itu, content yang berkaitan dengan ibadah hendaklah dihasilkan dengan penuh tertib dan rasa hormat. Amalan ibadah tidak seharusnya dijadikan sekadar lakonan atau bahan hiburan untuk meraih perhatian sehingga menjejaskan kesungguhan dan kehormatannya.

2.    Berkaitan dengan dakwah

Content yang dihasilkan dalam kawasan masjid hendaklah mempunyai nilai dakwah sama ada melalui penyampaian ilmu agama, seruan kepada kebaikan, pencegahan kemungkaran atau penerapan nilai-nilai Islam dalam kehidupan masyarakat. Penghasilan content sedemikian dapat memperluas peranan masjid sebagai pusat penyebaran Islam dengan memanfaatkan medium digital. Firman Allah SWT dalam surah al-Jinn ayat 18:

وَأَنَّ الْمَسَاجِدَ لِلَّهِ فَلَا تَدْعُوا مَعَ اللَّهِ أَحَدًا

Maksudnya: Dan sesungguhnya masjid ialah tempat (beribadah kepada) Allah. Maka janganlah kamu menyembah sesiapa pun di dalamnya selain Allah.

 

Ayat al-Quran tersebut menyatakan bahawa masjid merupakan tempat yang dikhususkan untuk beribadah kepada Allah SWT dan menegakkan syiar-Nya. Oleh itu, content yang dihasilkan dalam kawasan masjid hendaklah membawa mesej yang menyeru manusia kepada Allah SWT, menyebarkan kefahaman Islam yang benar dan membimbing masyarakat ke arah kebaikan. Content tersebut juga mestilah berasaskan maklumat yang sahih serta tidak mengandungi perkara-perkara yang bercanggah dengan akidah, hukum dan nilai-nilai Islam.

 

3.    Berkaitan dengan pengimarahan masjid

Antara content yang sesuai dihasilkan juga ialah content yang mengetengahkan usaha pengimarahan masjid dari sudut fizikal dan sosial. Content tersebut boleh memaparkan kegiatan seperti gotong-royong, penjagaan kebersihan, penyelenggaraan kemudahan, aktiviti kemasyarakatan, kebajikan dan kesukarelawanan. Usaha ini dapat menggalakkan masyarakat untuk bersama-sama memastikan masjid sentiasa terpelihara, aktif dan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 18:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَٰئِكَ أَنْ يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: Sesungguhnya yang layak memakmurkan masjid-masjid Allah itu ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat serta tidak takut melainkan kepada Allah. Maka mudah-mudahan mereka termasuk dalam kalangan orang yang mendapat petunjuk.

Pengimarahan masjid mempunyai kedudukan penting dalam Islam. Oleh itu, content yang dihasilkan hendaklah mengetengahkan pelbagai inisiatif untuk memelihara, mengurus dan menjadikan masjid sebagai pusat sosial yang aktif serta meningkatkan penyertaan masyarakat dalam kegiatan yang diadakan. Content yang dihasilkan tersebut hendaklah menggambarkan usaha pengimarahan secara positif dan tidak menjadikan masjid sekadar latar bagi tujuan publisiti semata-mata.

4.    Tidak mempromosikan jual beli

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا رَأَيْتُمْ مَنْ يَبِيعُ أَوْ يَبْتَاعُ فِي الْمَسْجِدِ فَقُولُوا: لَا أَرْبَحَ اللَّهُ تِجَارَتَكَ[10]

Maksudnya: Sekiranya kamu melihat seseorang yang menjual dan membeli di dalam masjid, maka katakanlah kepadanya: Semoga Allah tidak menguntungkan perniagaan kamu.

(Riwayat al-Tirmizi)

Para ulama menyatakan bahawa jual beli di dalam masjid merupakan urusan keduniaan yang tidak wajar dicampuradukkan dengan fungsi utama masjid sebagai tempat ibadah. Oleh itu, aktiviti tersebut tidak dibenarkan di ruang masjid. Walau bagaimanapun, pihak pengurusan masjid, penjual dan pembeli perlu mengetahui sempadan masjid serta kawasan yang dibenarkan atau tidak dibenarkan untuk menghasilkan content.

Etika Menjadikan Masjid Sebagai Lokasi Content

Berdasarkan parameter menjadikan masjid sebagai lokasi content yang telah dinyatakan, maka keharusan perbuatan tersebut adalah tertakluk kepada adab dan etika berikut:

1.    Memelihara suasana ibadah dan ketenteraman jemaah.

2.    Memilih waktu yang sesuai.

3.    Selaras dengan objektif dakwah Islam.

4.    Tidak menyalahgunakan kemudahan masjid.

5.    Tiada unsur hiburan atau gurauan yang bercanggah dengan syarak.

6.    Membina kefahaman yang betul serta memelihara imej Islam dan kehormatan masjid.

7.    Berasaskan kefahaman agama yang sahih.

Justeru, berdasarkan etika tersebut, jika seseorang content creator mematuhi etika ketika membuat content dalam kawasan masjid dan content tersebut menepati tujuan yang diharuskan oleh syarak serta memberikan manfaat kepada masyarakat, maka perbuatan tersebut adalah diharuskan.

Kesimpulan

Masjid secara khususnya ialah tempat umat Islam beribadah. Selain berfungsi sebagai tempat ibadah, masjid sejak sekian lama telah menjadi medan penyatuan umat dengan pelaksanaan pelbagai kegiatan dakwah, pendidikan dan kemasyarakatan. Membuat content dalam kawasan masjid adalah diharuskan jika dilakukan dengan adab dan etika berdasarkan parameter yang ditetapkan. Etika dan adab yang ditetapkan bertujuan memastikan kemuliaan masjid sentiasa terpelihara dan fungsi asalnya sebagai tempat beribadah kepada Allah SWT sentiasa terjaga.



[1] Frasa ‘pencipta kandungan’ atau content creator diambil daripada Dewan Bahasa dan Pustaka.

[2] Al-Bukhārī, Abū ‘Abdillāh Muḥammad bin Ismā‘īl al-Bukhārī al-Ja‘fī, Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, (Damsyik: Dār Ibn Kathīr, Dār al-Yamāmah, 1414H/1993M), no. ḥadīth 944, jil. 1, ms. 335.

[3] Ibn Ḥajar al-‘Asqalānī, Aḥmad bin ‘Alī bin Ḥajar al-‘Asqalānī, Fatḥ al-Bārī bi Sharḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, (Beirūt: Dār al-Ma‘rifah, 1379H), jil. 2, ms. 440.

[4] Muslim, Muslim bin al-Ḥajjāj al-Qushayrī al-Naysābūrī, Al-Jāmi‘ al-Ṣaḥīḥ, (Turki: Dār al-Ṭibā‘ah al-‘Āmirah, 1334H), no. hadis 892, jil. 3, ms. 22.

[5] Badr al-Dīn Abū Muḥammad Maḥmūd bin Aḥmad al-‘Aynī, ‘Umdat al-Qārī Sharḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, (Beirūt: Dār Iḥyā’ al-Turāth al-‘Arabī dan Dār al-Fikr, 1431H), jil. 4, ms. 220.

[6] Al-Nawawī, Yaḥyā bin Sharaf, al-Minhāj Sharḥ Ṣaḥīḥ Muslim ibn al-Ḥajjāj, (Beirūt: Dār Iḥyā’ al-Turāth al-‘Arabī), jil. 6, ms. 184.

[7] Al-Nawawī, al-Minhāj Sharḥ Ṣaḥīḥ Muslim ibn al-Ḥajjāj, jil. 6, ms. 184.

[8] Al-Suyūṭī, ʿAbd al-Raḥmān ibn Abī Bakr, al-Ashbāh wa al-Naẓāʾir (Beirut: Dār al-Kutub al-ʿIlmiyyah, 1996), ms. 60.

[9] Seperti di masjid atau di surau dan sebagainya iaitu tempat-tempat yang suci yang wajib dijaga kehormatannya daripada sebarang perkara yang mencemarkannya.

[10] Al-Tirmiẓī, Muḥammad bin Īsā bin Sawrah bin Mūsā bin al-Dahāk al-Tirmiẓī, Abu Isa, (1975), Sunan al-Tirmiẓī, (Mesir: Syarikah Maktabah wa Maṭba’ah Muṣṭafā al-Bābī al-Ḥalabī), Hadis no. 1321, Jil. 3, ms. 602.

Accessibility Toolbar