#23 Taudhih Al-Falak : Perbezaan Matla’ bagi Musafir ke Negara Lain

#23 Taudhih Al-Falak : Perbezaan Matla’ bagi Musafir ke Negara Lain

 

Tarikh: 28 September 2026

Disediakan oleh: Nabeela Akrasha binti Surtahman

 

Pendahuluan

Penentuan awal bulan hijri merupakan asas penting dalam pelaksanaan ibadah seperti puasa Ramadhan dan Hari Raya. Dalam fiqh, perbahasan mengenai matla’ (kawasan kenampakan anak bulan) meliputi konteks pemusafiran apabila seseorang bermusafir dari satu negara ke negara lain yang mempunyai matla’ berbeza.

Artikel ini membahaskan hukum fiqh terhadap ibadah puasa seseorang apabila berlaku perbezaan matla’ antara negara asal dan negara yang dituju.

 

Konsep Matla’

Matla’ merujuk kepada batas daerah berdasarkan jangkauan kenampakan anak bulan atau dalam erti kata lain, sempadan geografi berlakunya cerapan atau rukyah.

Secara umumnya, matla’ berkait rapat dengan peredaran bumi dan bulan. Putaran bumi yang bergerak dari arah barat ke timur menyebabkan waktu terbit bulan atau matahari tidak sama di setiap tempat. Hal ini yang disebut sebagai perbezaan matla’ antara kawasan yang jauh jaraknya. Apabila sudut pandang terhadap anak bulan berbeza mengikut lokasi, maka anak bulan akan kelihatan di sebahagian kawasan, namun tidak kelihatan di kawasan yang lain.

Majoriti ulama, termasuk mazhab Shafi‘i, mengambil kira perbezaan matla’ berdasarkan athar daripada Kuraib yang menjelaskan bahawa penduduk Syam dan Madinah tidak berkongsi matla’ kerana perbezaan kawasan. Kuraib mengatakan bahawa beliau melihat anak bulan di Syam pada malam Jumaat, kemudian pulang ke Madinah. Lalu Ibn Abbas RA berkata:

لَكِنَّا رَأَيْنَاهُ لَيْلَةَ السَّبْتِ فَلَا نَزَالُ نَصُومُ حَتَّى نُكْمِلَ ثَلَاثِينَ أَوْ نَرَاهُ[1]

Maksudnya: Tetapi kami melihatnya pada malam Sabtu. Maka kami tetap berpuasa sehingga kami menyempurnakan 30 hari, atau sehingga kami melihat anak bulan.

(Riwayat Muslim)

 

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menjelaskan bahawa jika dua kawasan berjauhan, maka tidak wajib bagi satu kawasan mengikuti hasil rukyah kawasan yang lain[2]. Begitu juga yang dinyatakan oleh Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili bahawa penentuan masuknya bulan Ramadhan atau bulan Syawwal adalah berdasarkan anak bulan yang kelihatan di negara yang mempunyai matla’ yang sama.[3]

Oleh hal yang demikian, perbezaan matla’ diambil kira dalam menentukan awal bulan berdasarkan negara atau had sempadan sesuatu tempat untuk melihat anak bulan, tanpa perlu mengikuti negara lain yang berbeza matla’. Prinsip ini menjadi asas dalam menentukan permulaan Ramadhan dan Syawwal mengikut ketetapan kawasan masing-masing.

Berpandukan asas tersebut, timbul pula persoalan yang lebih penting, iaitu bagaimanakah pelaksanaan puasa seseorang apabila dia bermusafir ke negara lain yang berbeza matla’?

 

Musafir ke Negara Berbeza Matla’

Dalam kalendar Hijri, setiap bulan mempunyai 29 atau 30 hari bergantung kepada ijtimak dan kenampakan anak bulan.

Hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Umar RA, Rasulullah SAW bersabda;

إِنَّا أُمَّةٌ أُمِّيَّةٌ، لاَ نَكْتُبُ وَلاَ نَحْسُبُ الشَّهْرُ هَكَذَا وَهَكَذَا.‏ يَعْنِي مَرَّةً تِسْعَةً وَعِشْرِينَ، وَمَرَّةً ثَلاَثِينَ[4]

Maksudnya: Sesungguhnya kami adalah umat yang ummi, kami tidak menulis dan tidak menghitung. Bulan itu begini dan begini, iaitu kadangkala 29 hari dan kadangkala 30 hari.

Pemusafiran ke negara lain yang jelas mempunyai matla’ yang berbeza dengan negara asal menimbulkan kesan kepada jumlah bilangan hari berpuasa seseorang. Hal ini boleh dijelaskan melalui beberapa perkara:

1.   Asasnya, setiap negara mempunyai hukum rukyahnya sendiri, maka menurut pandangan asoh, seorang musafir hendaklah mengikut hukum negara tempat dia berada.

 

Sekiranya dia mendapati penduduk negara itu berpuasa, maka dia hendaklah berpuasa. Manakala sekiranya dia mendapati penduduk negara itu berhari raya, dia hendaklah berhari raya.

Hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

الصَّوْمُ يَوْمَ تَصُومُونَ وَالْفِطْرُ يَوْمَ تُفْطِرُونَ وَالأَضْحَى يَوْمَ تُضَحُّونَ[5].

Maksudnya: Puasa ialah pada hari kamu semua berpuasa, berbuka puasa (Eidul Fitri) ialah pada hari kamu semua berbuka, dan Eidul Adha ialah pada hari kamu semua menyembelih korban.

(Riwayat al-Tirmizi)

 

Imam al-Tirmizi kemudiannya menukilkan bahawa maksud bagi hadis ini ialah pelaksanaan puasa dan berbuka hendaklah dilakukan bersama jemaah dan majoriti umat Islam.

Imam al-Nawawi juga membahaskan,

لَوْ شرع في الصوم في بلد ثُمَّ سَافَرَ إلَى بَلَدٍ بَعِيدٍ ‌لَمْ ‌يَرَوْا ‌فِيهِ ‌الْهِلَالَ حِينَ رَآهُ أَهْلُ الْبَلَدِ الْأَوَّلِ فَاسْتَكْمَلَ ثَلَاثِينَ مِنْ حِينِ صَامَ (فَإِنْ قُلْنَا) لِكُلِّ بَلَدٍ حُكْمُ نَفْسِهِ فَوَجْهَانِ (أَصَحُّهُمَا) يَلْزَمُهُ الصَّوْمُ مَعَهُمْ لِأَنَّهُ صَارَ مِنْهُمْ[6].

Maksudnya: Jika seseorang memulakan puasa di suatu negeri, kemudian dia bermusafir ke negeri yang jauh yang penduduknya tidak melihat anak bulan ketika penduduk negeri pertama melihatnya, lalu dia telah menyempurnakan 30 hari sejak mula berpuasa; maka jika kita berpendapat bahawa setiap negeri mempunyai hukum rukyahnya sendiri, terdapat dua pandangan:

Pandangan asoh ialah dia wajib terus berpuasa bersama mereka kerana dia telah menjadi sebahagian daripada mereka.

 

2.   Jika keadaan musafir menyebabkan seseorang hanya berpuasa 28 hari, dia wajib menggantikan (qada’) sehari selepas Ramadhan.

Imam al-Khatib al-Syirbini menjelaskan:

(ومن سافر من البلد الآخر) أي الذي لم ير فيه (إلى بلد الرؤية عيد معهم) وجوبا لما مر سواء أصام ثمانية وعشرين بأن كان رمضان أيضا عندهم ناقصا فوقع عيده معهم في التاسع والعشرين من صومه أم تسعة وعشرين بأن كان رمضان تاما عندهم (وقضى يوما) إن صام ثمانية وعشرين لأن الشهر لا يكون كذلك بخلاف ما إذا صام تسعة وعشرين لا قضاء عليه لأن الشهر يكون كذلك .[7]

Maksudnya: Sesiapa yang bermusafir dari negara yang tidak melihat anak bulan ke negara yang telah melihat anak bulan, maka hendaklah dia berhari raya bersama mereka secara wajib. Sama ada ketika itu dia baru berpuasa 28 (iaitu apabila Ramadhan di negara tersebut berjumlah 29), ataupun dia telah berpuasa 29 hari (iaitu apabila Ramadhan di negara tersebut berjumlah 30).

Jika dia hanya berpuasa 28 hari, maka wajib ke atasnya menggantikan (qada’) satu hari kerana satu bulan tidak mungkin berjumlah 28 hari. Namun jika dia telah berpuasa 29 hari, maka tiada qada’ ke atasnya kerana satu bulan boleh berjumlah 29 hari.

 

3.   Sekiranya seseorang musafir itu telah menyempurnakan 30 hari sejak mula berpuasa namun negara tempat dia berada pada ketika itu masih belum berhari raya. Maka, menurut pandangan asoh, dia wajib terus berpuasa bersama mereka kerana dia telah menjadi sebahagian daripada mereka. 

Hal ini disebut oleh Imam al-Nawawi pada perkara 1[8]. Imam al-Khatib al-Syirbini juga mendukung pandangan pertama yang mewajibkan berpuasa:

(فِي الصَّوْمِ آخِرًا) وَإِنْ كَانَ قَدْ أَتَمَّ ثَلَاثِينَ؛ لِأَنَّهُ بِالِانْتِقَالِ إلَى بَلَدِهِمْ صَارَ وَاحِدًا مِنْهُمْ فَيَلْزَمُهُ حُكْمُهُمْ[9].

Maksudnya: (Pada hari terakhir) walaupun sudah lengkap (puasanya) 30 hari, kerana ia telah berpindah ke negara mereka, maka dia telah menjadi sebahagian daripada mereka. Oleh itu hendaklah dia mengikuti hukum mereka.

 

4.   Sekiranya seseorang itu telah berhari raya di negara asal, kemudian bergerak musafir pada pagi raya dan tiba di negara dituju yang masih berpuasa.

 

Maka, dia wajib imsak[10] pada baki hari tersebut dan ini pandangan asoh. Imam al-Nawawi menerangkan:

وَمَنْ أَصْبَحَ مُعَيِّداً فَسَارَتْ سَفِينَتُهُ إِلَى بَلْدَةٍ بَعِيدَةٍ أَهْلُهَا صِيَامٌ .. فَالْأَصَحُ: أَنَّهُ يُمْسِكُ بَقِيَّةَ الْيَوْمِ.[11]

Maksudnya: Dan sesiapa yang pada paginya telah berhari raya, kemudian kapalnya berlayar menuju ke sebuah negeri yang jauh sedangkan penduduk negeri itu masih berpuasa, maka menurut pendapat asoh dia hendaklah menahan diri (daripada makan dan minum) sepanjang baki hari tersebut.

 

Kesimpulan

Perbezaan matla’ memberi kesan kepada pelaksanaan ibadah puasa, khususnya bagi orang yang bermusafir ke negara lain. Secara umumnya, seseorang yang bermusafir ke negara lain hendaklah mengikut hukum rukyah di negara yang dia berada. Sekiranya negara tersebut berpuasa, maka dia turut berpuasa, dan sekiranya negara tersebut berhari raya, maka dia turut berhari raya.

 

 

 



[1] Muslim bin al-Ḥajjāj, Ṣaḥīḥ Muslim, (Turki: Dār al-Ṭabā‘ah al-‘Āmirah, 1998), hadis no. 1087, jil. 3, ms. 126.

[2] Al-Nawawī, Abū Zakariyyā Muḥyī al-Dīn bin Sharaf, al-Majmū‘ Sharḥ al-Muhadhdhab, (Kaherah: Idārah al-Ṭabā‘ah al-Munīriyyah, 1928), jil. 6, ms. 271.

[3] Wahbah bin Muṣṭafā al-Zuḥaylī, al-Mu‘tamad fī al-Fiqh al-Shāfi‘ī, (Damsyik: Dār al-Qalam, t.t), jil. 2, ms. 161.

[4] Al-Bukhāri, Abū Abdullah Muhammad bin Isma’il al-Bukhārī al-Ja’fi, Sahih al-Bukhari, (Damsyik, Syria: Dar Ibn Katsir, 1993), Hadis no. 1814. Jil. 2. Ms. 675.

[5] Al-Tirmiẓī, Abū ‘Īsā Muḥammad bin ‘Īsā bin Saurah al-Tirmiẓī, Sunan al-Tirmiẓī, (Beirut, Lubnan: Dār Iḥyā’ al-Turāth al-‘Arabī, t.t.), Hadis no. 697. Jil. 3. Ms. 71

[6] al-Nawawī, Yaḥyā bin Sharaf, al-Majmū‘ Sharḥ al-Muhadhdhab, jil. 6, ms. 274.

[7] al-Syirbīnī, Shams al-Dīn Muḥammad bin Aḥmad al-Khaṭīb, Mughni al-Muḥtāj ilā Ma‘rifah Ma‘ānī Alfāẓ al-Minhāj, (Beirut: Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1415H), jil. 2, ms. 145.

[8] al-Nawawī, Yaḥyā bin Sharaf, al-Majmū‘ Sharḥ al-Muhadhdhab, jil. 6, ms. 274.

[9] al-Syirbīnī, Shams al-Dīn Muḥammad bin Aḥmad al-Khaṭīb, Mughni al-Muḥtāj ilā Ma‘rifah Ma‘ānī Alfāẓ al-Minhāj, jil. 2, ms. 145.

[10] Menahan dirinya daripada makan minum dan melakukan perkara yang membatalkan puasa

[11] al-Nawawī, Yaḥyā bin Sharaf, Minhāj al-Ṭālibīn, ms. 74. 

Accessibility Toolbar