#125 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Membawa Individu ke Suatu Majlis yang Tidak dijemput

#125 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Membawa Individu ke Suatu Majlis yang Tidak Dijemput

Tarikh: 7 September 2026

Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah

 

Pendahuluan

Secara asasnya, hukum memenuhi jemputan ke majlis walimah (perkahwinan) adalah wajib selagi mana tiada keuzuran dan memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syarak. Jika jemputan ke majlis walimah tidak dapat dipenuhi atas keuzuran tertentu, maka ia dimaafkan[1]. Namun demikian, terdapat situasi apabila seseorang yang menerima jemputan ke majlis walimah atau sesuatu jamuan makan hadir bersama individu lain yang tidak termasuk dalam senarai jemputan. Justeru, adakah perbuatan tersebut dibenarkan menurut syarak, ataupun sebaliknya?

 

Hukum Menghadiri Majlis Tanpa Jemputan

Menurut jumhur ulama daripada mazhab Maliki, Shafi’i dan Hanbali, menghadiri majlis perkahwinan adalah suatu kewajipan jika menerima jemputan secara khusus. Pandangan ini bersandarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Saidina Ibn Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْوَلِيمَةِ فَلْيَأْتِهَا

Maksudnya: Apabila salah seorang kamu dijemput ke majlis perkahwinan (walimah), maka hadirilah ia.[2]

(Riwayat Muslim)

Namun begitu, jumhur ulama juga berpendapat bahawa haram[3] bagi seseorang untuk hadir ke majlis kenduri tanpa dijemput dan tanpa pengetahuan atau keredaan tuan rumah. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Saidina Abu Mas’ud RA katanya: Seorang lelaki Ansar bernama Abu Syu’aib meminta hambanya menyediakan makanan untuk lima orang kerana beliau ingin menjemput Rasulullah SAW bersama beberapa sahabat. Ketika mereka datang memenuhi jemputan tersebut, seorang lelaki lain turut mengikuti mereka, lalu Baginda bersabda;


إِنَّ هَذَا قَدْ تَبِعَنَا فَإِنْ شِئْتَ أَنْ تَأْذَنَ لَهُ فَأْذَنْ لَهُ وَإِنْ شِئْتَ أَنْ يَرْجِعَ رَجَعَ. فَقَالَ: لَا بَلْ قَدْ أَذِنْتُ لَهُ


Maksudnya: Sesungguhnya lelaki ini mengikut kami, jika kamu mahu mengizinkannya, maka izinkanlah (untuk ikut bersama) dan jika kamu mahu dia pulang, maka dia akan pulang. Kemudian Abu Syu’aib berkata: Tidak, bahkan saya mengizinkannya.[4]

(Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadis ini terdapat beberapa faedah antaranya:

1)      Seseorang yang dijemput tidak sepatutnya menghalang orang yang tidak dijemput mengikutinya ke sesuatu majlis. Sebaliknya, dia hendaklah meminta izin daripada tuan rumah bagi pihak orang tersebut kerana ada kemungkinan tuan rumah mengizinkannya hadir bersama.

2)      Seseorang yang dijemput hendaklah meminta izin daripada tuan rumah bagi sesiapa yang mengikutinya ke majlis tersebut supaya tidak menyinggung perasaan orang yang mengikutinya selagi tidak ada sebab yang menghalang dia daripada masuk.

3)      Seseorang yang dijemput ke sesuatu majlis perlu meminta izin kepada tuan rumah untuk membawa individu yang mengikutinya, hal ini kerana keputusan untuk memberi keizinan itu sepenuhnya berada di tangan tuan rumah. Orang yang dijemput tidak boleh bertindak sesuka hati dengan membawa sesiapa sahaja tanpa persetujuan tuan rumah.[5]

Selain itu, terdapat hadis yang diriwayatkan daripada Saidina Ibn Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ دُعِيَ فَلَمْ يُجِبْ فَقَدْ عَصَى اللهَ وَرَسُولَهُ وَمَنْ دَخَلَ عَلَى غَيْرِ دَعْوَةٍ دَخَلَ سَارِقًا وَخَرَجَ مُغِيرًا

Maksudnya: Sesiapa yang dijemput tapi tidak memenuhi jemputan, dia telah ingkar kepada Allah dan RasulNya; dan sesiapa yang pergi ke suatu majlis tanpa jemputan, dia hadir sebagai seorang pencuri dan keluar sebagai seorang perampas.[6]

(Riwayat Abu Dawud)

Bagi memahami hadis ini, Imam al-Muzhiri dalam karyanya Al-Mafātīḥ Fī Sharḥ al-Maṣābīh menjelaskan bahawa seseorang yang hadir ke sesuatu majlis atau jamuan tanpa izin tuan rumah adalah dianggap melakukan perbuatan yang salah dari sudut adab dan syarak. Perbuatannya diibaratkan seperti pencuri mengambil hak orang lain tanpa kebenaran, malah jika dia mengambil atau memakan makanan daripada jamuan tersebut, ia disamakan dengan mengambil harta orang lain secara paksa.[7]

Selain itu, seseorang itu juga dihukum fasiq dari sudut penyaksian dan jatuh maruahnya jika terus-menerus melakukan perbuatan tersebut, kerana ia termasuk dalam kategori memakan makanan yang haram. Imam al-Ramli menyatakan perkara tersebut dalam karyanya Nihāyah al-Muḥtāj bahawa;

وَعُلِمَ مِمَّا تَقَرَّرَ حُرْمَةُ التَّطَفُّلِ وَهُوَ الدُّخُولُ لِمَحَلِّ غَيْرِهِ لِتَنَاوُلِ طَعَامِهِ بِغَيْرِ إذْنِهِ وَلَا عُلِمَ رِضَاهُ أَوْ ظَنُّهُ بِقَرِينَةٍ مُعْتَبَرَةٍ بَلْ يَفْسُقُ بِهِ إنْ تَكَرَّرَ عَلَى مَا يَأْتِي فِي الشَّهَادَاتِ لِلْخَبَرِ الْمَشْهُورِ أَنَّهُ يَدْخُلُ سَارِقًا وَيَخْرُجُ مُغِيرًا وَإِنَّمَا لَمْ يَفْسُقْ بِأَوَّلِ مَرَّةٍ لِلشُّبْهَةِ


Maksudnya: Daripada penjelasan yang telah disebut, difahami bahawa perbuatan al-tatafful (menyertai jamuan tanpa diundang) adalah haram kerana seseorang memasuki tempat milik orang lain untuk menikmati makanannya tanpa izin, sedangkan tidak diketahui reda tuan rumah sama ada secara jelas atau berdasarkan sangkaan yang kuat melalui petunjuk yang diiktiraf. Bahkan seseorang boleh dianggap fasiq jika perbuatan itu dilakukan berulang kali, sebagaimana akan dibincangkan dalam bab persaksian. Hal ini berdasarkan hadis masyhur yang menyatakan bahawa orang tersebut masuk seperti pencuri dan keluar seperti perampas. Namun, seseorang itu tidak dihukum fasiq pada kali pertama kerana masih terdapat unsur syubhah (keraguan).[8]

Dalam memahami pengharaman ini, para ulama Shafi’iyyah meletakkan indikator bahawa menghadiri majlis tanpa dijemput itu terikat pada keadaan apabila jemputan tersebut bersifat khusus. Sekiranya jemputan itu bersifat umum, maka hukumnya tidak haram.[9] Selain itu, di sisi ulama Shafi’iyyah membenarkan seseorang untuk hadir ke sesuatu majlis tanpa jemputan sekiranya terdapat hubungan yang rapat dan mesra antara dirinya dengan tuan rumah.[10]

 

Justeru, menurut pandangan majoriti fuqaha, menghadiri majlis tanpa dijemput adalah haram. Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang menyatakan bahawa sesiapa yang masuk ke majlis tanpa jemputan adalah seperti pencuri yang masuk dan perompak yang keluar.

 

Hukum Mengajak Orang Lain ke Majlis Tanpa Pengetahuan Penganjur

Dalam Islam, hukum individu yang dijemput membawa seseorang yang tidak dijemput ke suatu majlis adalah tidak dibenarkan dan dianggap sebagai perbuatan yang tidak beradab. Perbuatan ini juga dikenali sebagai tatafful[11]. Hukum asal dalam isu ini juga adalah haram sebagaimana yang telah dijelaskan.

 

Namun demikian, para ulama menjelaskan bahawa terdapat beberapa keadaan yang dikecualikan daripada hukum tersebut. Dalam situasi tertentu, membawa individu yang tidak dijemput ke sesuatu majlis adalah diharuskan oleh syarak tertakluk kepada syarat dan keadaan yang telah digariskan. Antaranya:

1.      Mengiringi Orang yang Dijemput: Seseorang yang tidak dijemput diharuskan mengikuti individu yang dijemput ke sesuatu majlis sekiranya diketahui bahawa individu tersebut kebiasaannya tidak datang bersendirian. Dalam keadaan ini, orang yang mengiringinya dianggap turut menerima jemputan secara tidak langsung melalui jemputan yang diberikan kepada individu tersebut. Hal ini sebagaimana dinyatakan dalam kitab Ḥāshiyah al-Dasūqī ‘Alā al-Sharḥ al-Kabīr bahawa;

 وهذا ما لم يكن تابعا لذي قدر يعلم أنه لا يجيء وحده عادة فلا يحرم فيما يظهر

Maksudnya: Melainkan jika orang yang tidak dijemput itu mengikut orang yang mempunyai kedudukan pada kadar yang diketahui bahawa dia biasanya tidak hadir bersendirian, maka pada zahirnya ia tidak haram.[12]

2.      Mendapat Keizinan Tuan Rumah: Jika seseorang yang tidak dijemput mengikut rombongan yang dijemput, tuan rumah perlu dimaklumkan. Rasulullah SAW pernah bertanya kepada tuan rumah sama ada dia mengizinkan seorang lelaki yang mengikut rombongan mereka untuk masuk dan tuan rumah mengizinkannya.[13]

 

Kesimpulan

Hukum seseorang menghadiri sesuatu majlis tanpa dijemput atau tanpa mendapat keizinan serta keredaan tuan rumah adalah haram berdasarkan hadis Nabi SAW dan pandangan jumhur ulama. Begitu juga, perbuatan membawa individu yang tidak dijemput ke sesuatu majlis adalah tidak dibenarkan dalam Islam. Walau bagaimanapun, terdapat pengecualian dalam keadaan tertentu iaitu sekiranya individu tersebut mengiringi tetamu yang dijemput dan diketahui secara adat bahawa tetamu tersebut tidak akan hadir bersendirian atau jika tuan rumah memberikan izin setelah diberitahu kepadanya.

 



[2] Abū al-Husayn Muslim bin al-Ḥajjāj al-Qusyairī al-Naysabūrī, Ṣaḥīḥ Muslim, (Kaherah: Maṭba’ah Isā al-Bābī al-Ḥalabī wa Shirkāh, 1955), jil. 2 ms. 1052. Hadis no. 1429.

[3] Wizārah al-Awqāf wa- al-Shu’un al-Islāmiyyah, Al-Mawsū’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytīyyah, jil. 12 ms. 143.

صَرَّحَ الْمَالِكِيَّةُ وَالشَّافِعِيَّةُ وَالْحَنَابِلَةُ – وَهُوَ الْمُتَبَادَرُ مِنْ أَقْوَال الْحَنَفِيَّةِ – أَنَّ حُضُورَ طَعَامِ الْغَيْرِ بِغَيْرِ دَعْوَةٍ، وَبِغَيْرِ عِلْمِ رِضَاهُ حَرَامٌ، بَل يُفَسَّقُ بِهِ إِنْ تَكَرَّرَ

[4] Abū Abdullāh Muḥammad bin Ismāīl al-Bukhārī al-Ju’fī, Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, (Dimashq: Dār Ibn Kathīr, 1993), jil. 2 ms. 733. Hadis no. 1975.

[5] Badruddīn Abū Muḥammad Maḥmūd bin Aḥmad al-‘Ainī, ‘Umdah al-Qārī Sharḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, (Beirut: Dār Iḥyā’ al-Turāth al-‘Arabī, t.t.), jil. 11 ms. 198.

[6] Abū Dāud Sulaimān bin al-Ash’ath bin Ishāq bin Bashīr al-Azdī al-Sijistānī, Sunan Abū Dāud, (Beirut: al-Maktabah al-‘Aṣriyyah, t.t.), jil. 3 ms. 341. Hadis no. 3741.

[7] Muẓhiruddīn al-Zaidānī al-Ḥusayn Bin Maḥmūd al-Ḥanafī, Al-Mafātīḥ Fī Sharḥ al-Maṣābīh, (Wizārah al-Awqāf wa- al-Shu’un al-Islāmiyyah, Dār al-Nawādir, 2012), jil 4. ms. 72.

[8] Shamsuddīn Muḥammad bin Abū al-‘Abbās Aḥmad bin Ḥamzah al-Ramlī, Nihāyah al-Muḥtāj Ilā Sharḥ al-Minhāj, (Beirut: Dār al-Fikr, 1984), jil. 6 ms. 377.

[9] Abū Bakr ‘Uthmān bin Muḥammad Shaṭā al-Dimyāṭī al-Shāfi’ī, I’ānah al-Ṭālibīn ‘Alā Ḥil Alfāẓ Fatḥ al-Mu’īn, (t.t.p.: Dār al-Fikr li Ṭibā’ah wa al-Nashr wa al-Tawzī’, 1997), jil. 3 ms. 419.

قيد في حرمة التطفل: أي محل الحرمة حيث لم يعم دعوته، فإن عم لم يحرم

[10] Shamsuddīn Muḥammad bin Muḥammad al-Khatīb al-Shirbīnī, Mughnī al-Muḥtāj ilā Ma’rifah Ma’ānī al-Faẓ al-Minhāj, (t.t.p: Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1994), jil. 4 ms. 410.

وَيَحْرُمُ التَّطَفُّلُ، وَهُوَ حُضُورُ الْوَلِيمَةِ مِنْ غَيْرِ دَعْوَةٍ إلَّا إذَا عَلِمَ رِضَا الْمَالِكِ بِهِ لِمَا بَيْنَهُمَا مِنْ الْأُنْسِ وَالِانْبِسَاطِ

[11] Abū al-Faḍl, Muḥammad bin Mukarram bin Alī Jamaluddīn Ibn Manẓūr al-Anṣārī, Lisān al-‘Arab, (Beirut: Dār Ṣādir, t.t.), jil. 11 ms. 404.

قال الأصمعي: هو الذي يدخل على القوم من غير أن يدعوه. مأخوذ من الطَّفْلِ وهو إقبال الليل على النهار بظُلمته

[12] Muḥammad bin Aḥmad bin ‘Arafah al-Dusūqī al-Mālikī, Ḥāshiyah al-Dasūqī ‘Alā al-Sharḥ al-Kabīr, (t.t.p: Dār al-Fikr, t.t.), jil. 2 ms. 338.

[13] Abū Abdullāh Muḥammad bin Ismāīl al-Bukhārī al-Ju’fī, Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, jil. 2 ms. 733. Hadis no. 1975. 

Accessibility Toolbar