#123 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Menyambut Maulid Nabi SAW

 HUKUM MENYAMBUT MAULID NABI SAW

Tarikh: 24 Ogos 2026

Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah

 

Pendahuluan

Bulan Rabi’ul Awwal masyhur dengan gelaran bulan kelahiran atau Maulid Nabi Muhammad SAW. Secara umumnya, pada bulan tersebut, masyarakat di kebanyakan negara Islam mengadakan pelbagai bentuk program seperti majlis selawat dan tausiah bagi memperingati dan memuliakan Baginda SAW. Namun, isu yang seringkali dibangkitkan menjelang kehadiran bulan ini adalah mengenai dakwaan bahawa sambutan Maulid Nabi SAW adalah perkara bid’ah yang direka-reka dan ia merupakan sesuatu yang ditegah oleh syariat. Justeru, adakah dakwaan tersebut benar ataupun ia sekadar dakwaan yang tidak berasaskan kepada hujah yang menyeluruh?

 

Pandangan Ulama Yang Mengharuskan Sambutan Maulid Nabi SAW

Merujuk kepada fatwa dari Darul Ifta’, Mesir berkenaan sambutan Maulid Nabi SAW:

نَصَّ جماهيرُ العلماء سلفًا وخلفًا على مشروعية الاحتفال بالمولد النبوي الشريف

بل ألَّف في استحباب ذلك جماعةٌ من العلماء والفقهاء بَيَّنُوا بالأدلة الصحيحة

استحبابَ هذا العمل[1]

Maksudnya: Jumhur ulama salaf mahupun khalaf menyatakan bahawa sambutan Maulid Nabi SAW adalah dianjurkan oleh syariat, bahkan sebahagian besar ulama dan fuqaha telah mengarang kitab mengenai sambutan tersebut sebagai suatu perkara yang digalakkan. Mereka telah menjelaskan melalui dalil-dalil yang sahih akan galakan perbutan (sambutan) ini.

Manakala Imam Jalaluddin al-Suyuti pula telah menyusun sebuah risalah berjudul ‘Husn al-Maqasid fi Amal al-Mawlid’ sebagai tanda sokongan beliau terhadap sambutan Maulid Nabi SAW dengan syarat diisi dengan amalan-amalan yang baik dan menjauhi hal-hal yang dilarang syariat. Beliau berpendapat bahawa sambutan tersebut adalah bid’ah hasanah yang mendatangkan banyak pahala kerana bergembira dengan hari kelahiran Baginda SAW.

Secara rumusan, tiada dalil yang secara khusus melarang atau menganjurkan amalan tersebut pada waktu tertentu. Namun, sekiranya disertai dengan tujuan yang baik seperti menggembirakan ahli keluarga dan mempererat tali silaturahim, maka kedudukannya dikira sebagai perkara yang dianjurkan dan dituntut. Apabila menjadi suatu bentuk manifestasi kegembiraan atas kelahiran Nabi Muhammad SAW, maka pensyariatannya lebih jelas, malah lebih dituntut dan disunatkan kerana hukum wasilah (perantara) tertakluk kepada hukum maqasid (tujuan).

 

Dalil Sambutan Maulid Nabi SAW

 

Firman Allah SWT dalam surah Yunus ayat 58:

قُلْ بِفَضْلِ اللَّهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَلِكَ فَلْيَفْرَحُوا

Maksudnya: Katakanlah, “Dengan kurniaan Allah dan rahmat­nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira”.

Imam Ibnu Kathir menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan ‘kurniaan Allah’ tersebut adalah: 

أَيْ بِهَذَا الَّذِي جَاءَهُمْ مِنَ اللَّهِ مِنَ الْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ فَلْيَفْرَحُوا، فَإِنَّهُ أَوْلَى مَا يَفْرَحُونَ بِهِ[2]

Maksudnya: Dengan kehadiran Baginda SAW kepada mereka membawa hidayah dan agama yang benar, maka dengan itu bergembiralah kerana sesungguhnya ia adalah perkara yang paling layak untuk digembirakan.

Jelasnya, pengutusan Nabi SAW merupakan satu nikmat besar kepada umat manusia. Oleh itu, memperingati dan menyambut Maulid Nabi SAW dilihat sebagai satu bentuk ungkapan kegembiraan dan syukur atas kelahiran Baginda SAW. Dalam erti kata lain, dengan adanya hidayah dan agama yang hak ini, hendaklah manusia itu bergembira dengannya. Bergembira atas kelahiran kekasih Allah SWT merupakan sesuatu yang lebih patut untuk diraikan.

Abu Qatadah RA meriwayatkan bahawa ketika Nabi SAW ditanya tentang puasa hari Isnin, Baginda SAW menjawab:

فِيهِ وُلِدْتُ وَفِيهِ أُنْزِلَ عَلَيّ[3]

Maksudnya: Padanya (hari Isnin) aku dilahirkan dan padanya (pada hari Isnin juga) diturunkan (al-Quran) kepadaku.

(Riwayat Muslim)

Hadis ini merupakan dalil yang menunjukkan bahawa Nabi Muhammad SAW sendiri memberikan perhatian dan menghargai hari kelahiran Baginda SAW dengan melakukan amal ibadah iaitu berpuasa. Oleh itu, ulama turut menganjurkan untuk memperingati hari kelahiran Nabi SAW sebagai tanda syukur kepada Allah SWT di atas nikmat-Nya yang besar ini dengan melakukan amalan-amalan yang mulia seperti memberi makan kepada orang lain, berhimpun kerana Allah SWT, berselawat ke atas Nabi SAW dan mengadakan majlis pembacaan sirah atau Syama’il Baginda SAW.[4]

Pengamalan sambutan maulid Nabi SAW di Malaysia lazimnya dilaksanakan dalam suasana yang sederhana dan menepati syariat, antaranya melalui penganjuran perarakan, ceramah, forum, qasidah, selawat, bacaan sirah serta pelbagai program keagamaan yang bertujuan menyuburkan kecintaan kepada Rasulullah SAW dan meneladani akhlak Baginda SAW. Pendekatan ini mencerminkan bahawa sambutan Maulid Nabi SAW bukan sekadar acara kebudayaan atau perayaan tahunan, bahkan menjadi medium pendidikan, dakwah dan pengukuhan identiti umat Islam.

Sambutan Maulid Nabi SAW telah menjadi salah satu acara tahunan yang dilaksanakan secara rasmi oleh kerajaan sebagai manifestasi penghormatan terhadap kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui kenyataan medianya menyatakan bahawa:

“Sambutan Maulidur Rasul SAW adalah merupakan salah satu acara rasmi Kerajaan yang disambut setiap tahun sama ada di peringkat Persekutuan dan Negeri sesuai dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan Malaysia. Sambutan bukan sekadar untuk memperingati hari ulang tahun kelahiran Rasulullah SAW, malah ia menjadi wadah terbaik dalam menyantuni masyarakat meneladani susur kehidupan, perjuangan dan sunnah Rasulullah SAW.”[5]

Berdasarkan kenyataan tersebut, dapat difahami bahawa pelaksanaan sambutan Maulid Nabi SAW di Malaysia bukan hanya berfungsi sebagai hari memperingati sejarah kelahiran Baginda SAW, bahkan turut menjadi medium pendidikan dan dakwah dalam memupuk kecintaan terhadap Rasulullah SAW serta menggalakkan masyarakat menghayati dan mencontohi kehidupan, perjuangan dan sunnah Baginda SAW.

 

Kesimpulan                                      

Ulama yang menggalakkan sambutan Maulid Nabi SAW adalah mengikut kepada dalil umum daripada al-Quran, al-Sunnah dan ijtihad bahawa memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW merupakan satu bentuk syukur, ekspresi kegembiraan, kecintaan dan penghormatan yang diharuskan oleh syarak selama mana ia diisi dengan amalan-amalan yang baik dan sesuai dengan syariat Islam.

[1] Fatwa Dar al-Iftāʾ al-Miṣriyah, Ḥukm al-Iḥtifāl bi al-Mawlid al-Nabawī wa Mawālid Āl al-Bayt wa al-Awliyāʾ, no. 486, 31 Julai 2007 (2 Rabi‘ al-Awwal 1428H), Dar al-Iftāʾ al-Miṣriyah (diakses pada 25 Ogos 2025), https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/11435

[2] Ibn Kathīr, Tafsīr Ibn Kathīr, (Dār Toyyibah li al-Nasyr wa al-Tawzī’, 1421H/1999M), jil. 4, ms. 275.

[3] Muslim, Abū al-Ḥusayn Muslim bin al-Ḥajjāj bin Muslim al-Qusyairī al-Nīsābūrī, Saḥīḥ Muslim, (Turki: Dār al-Ṭibā’ah al-‘Āmirah,1334H/ M), no. hadis 1162, jil. 3, ms. 168.

[4] ‘Izz al-Din Husayn al-Shaykh, al-Adillah al-Shar‘iyyah fi Jawaz al-Ihtifal bi Milad Khayr al-Bariyyah (tanpa nama penerbit, 1993), ms. 29.

[5] Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), “Kenyataan Media Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Berkenaan Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/2025,” Kenyataan Media Bil. 39/2025, 2025, diakses pada 9 Julai 2026 pada pautan https://www.islam.gov.my/en/media-statement/4822-kenyataan-media-jabatan-kemajuan-islam-malaysia-jakim-berkenaan-majlis-sambutan-maulidur-rasul-saw-peringkat-kebangsaan-tahun-1447h-2025

Accessibility Toolbar