#121 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Duduk Istirahah dalam Solat

#121 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Duduk Istirahah dalam Solat

Tarikh: 10 Ogos 2026

Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah

 

Pendahuluan

Solat merupakan ibadah yang mempunyai tatacara tertentu yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Setiap pergerakan dalam solat mempunyai hikmah dan hukum tersendiri, termasuklah amalan yang dikenali sebagai duduk istirahah. Namun, terdapat sebahagian masyarakat masih kurang memahami hukum dan kedudukan amalan ini dalam solat. Artikel ini akan menjelaskan maksud duduk istirahah, hukum melakukannya dan pandangan ulama dalam mazhab Shafi’i.

 

Duduk Istirahah Dalam Solat Menurut Mazhab Shafi’i

 

Duduk istirahah adalah duduk sebentar selepas sujud kedua, sebelum bangun ke rakaat yang seterusnya yang tiada bacaan tasyahud awal setelahnya.[1] Selain itu, duduk ini dikenali sebagai duduk seketika sebagai pemisah antara dua rakaat[2] dengan hanya cukup sekali ucapan takbir untuk berdiri kerana duduk tersebut merupakan bahagian dari gerakan untuk bangun berdiri.[3]

Terdapat hadis daripada Saidina Malik bin al-Huwairith RA bahawa beliau melihat Rasulullah SAW melakukan duduk istirahah ketika Baginda solat:

أَنَّهُ رَأَى النَّبِىَّ  فَإِذَا كَانَ فِى وِتْرٍ مِنْ صَلاَتِهِ لَمْ يَنْهَضْ حَتَّى يَسْتَوِىَ قَاعِدًا

Maksudnya: Sesungguhnya beliau telah melihat Nabi SAW solat witir maka apabila Baginda berada pada rakaat yang ganjil dari solatnya maka baginda tidak bangun melainkan baginda duduk sempurna terlebih dahulu.[4]

(Riwayat al-Bukhari)

Dan pada lafaz hadis yang lain:

وَإِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ عَنِ السَّجْدَةِ الثَّانِيَةِ جَلَسَ وَاعْتَمَدَ عَلَى الأَرْضِ ثُمَّ قَامَ

Maksudnya: Dan apabila Baginda mengangkat kepalanya dari sujud yang kedua, Baginda duduk kemudian Baginda bertumpu di atas lantai (dengan kedua-dua tangannya) sebelum bangun.[5]

 (Riwayat al-Bukhari)

Hukum melakukan duduk istirahah dalam solat adalah sunat bagi orang yang hendak berdiri ke rakaat berikutnya. Duduk ini dilakukan sebagai tanda  tawaduk serta untuk memudahkan ketika ingin bangun berdiri dan ia tidak termasuk kewajiban dalam solat. Hal ini sebagaimana dinyatakan Imam Shafi’i dalam karya aslinya al-Umm:

(قَالَ الشَّافِعِيُّ): وَبِهَذَا نَأْخُذُ فَنَأْمُرُ مَنْ قَامَ مِنْ سُجُودٍ، أَوْ جُلُوسٍ فِي الصَّلَاةِ أَنْ يَعْتَمِدَ عَلَى الْأَرْضِ بِيَدَيْهِ مَعًا اتِّبَاعًا لِلسُّنَّةِ فَإِنَّ ذَلِكَ أَشْبَهُ لِلتَّوَاضُعِ وَأَعْوَنُ لِلْمُصَلِّي عَلَى الصَّلَاةِ وَأَحْرَى أَنْ لَا يَنْقَلِبَ، وَلَا يَكَادُ يَنْقَلِبُ وَأَيُّ قِيَامٍ قَامَهُ سِوَى هَذَا كَرِهْته لَهُ وَلَا إعَادَةَ فِيهِ عَلَيْهِ وَلَا سُجُودَ سَهْوٍ؛ لِأَنَّ هَذَا كُلَّهُ هَيْئَةٌ فِي الصَّلَاةِ

Maksudnya: Berkata Imam al-Shafi’i: Dengan hadis ini (Malik bin Huwairith) kami berpendapat, maka kami memerintahkan orang yang bangun daripada sujud atau duduk dalam solat supaya bertumpu pada kedua-dua tangannya di atas lantai sebagai mengikuti sunnah. Hal ini kerana cara itu lebih hampir kepada sifat tawaduk, lebih membantu seseorang dalam solat untuk berdiri dan lebih menjauhkan daripada terjatuh atau hilang keseimbangan. Apa sahaja cara bangun selain daripada itu, aku memakruhkannya, namun tidak wajib mengulangi solat dan tidak perlu sujud sahwi. Hal ini kerana semua perkara tersebut hanyalah bentuk dan adab dalam solat.[6]

Berdasarkan teks di atas duduk istirahah tidak termasuk rukun mahupun kewajipan dalam solat. Sekiranya seseorang meninggalkan perbuatan tersebut maka solatnya tetap sah.

Namun begitu, terdapat perbezaan pendapat mengenai hukum duduk istirahah di sisi ulama Shafi’iyyah. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan Imam al-Nawawi dalam karyanya al-Majmu’ bahawa terdapat tiga pendapat berhubung permasalahan duduk istirahah:

1)      Sunat hanya bagi yang sedang sakit;

(أحدها) وهو قول ابي سحق المروزى هما محمولان علي حالين فَإِنْ كَانَ الْمُصَلِّي ضَعِيفًا لِمَرَضٍ أَوْ كِبَرٍ أَوْ غَيْرِهِمَا اُسْتُحِبَّ وَإِلَّا فَلَا

Maksudnya: Pendapat pertama, iaitu pendapat Abu Ishaq al-Marwazi, menyatakan bahawa kedua-dua pandangan (sunat dan tidak sunat) tersebut dibawa kepada dua keadaan yang berbeza. Jika seseorang yang solat itu lemah disebabkan sakit, usia tua atau seumpamanya, maka duduk istirahah disunatkan. Jika tidak, maka ia tidak disunatkan.[7]

 

2)      Sunat bagi semua orang tanpa terkecuali;

(الطَّرِيقُ الثَّانِي) الْقَطْعُ بِأَنَّهَا تُسْتَحَبُّ لِكُلِّ أَحَدٍ وَبِهَذَا قَطَعَ الشيخ أبو حامد في تعليقه والبندنيجى والمحاملي في المقنع والفورانى فِي الْإِبَانَةِ وَإِمَامُ الْحَرَمَيْنِ وَالْغَزَالِيُّ فِي كُتُبِهِ وَصَاحِبُ الْعُدَّةِ وَآخَرُونَ وَنَقَلَ الشَّيْخُ أَبُو حَامِدٍ اتِّفَاقَ الْأَصْحَابِ عَلَيْهِ

Maksudnya: Pendapat kedua; menetapkan bahawa duduk istirahah disunatkan bagi setiap orang. Pendapat ini dinyatakan oleh Abu Hamid dalam ta‘liqnya, Al-Bandaniji, Al-Mahamili dalam al-Muqni’, Al-Furani dalam al-Ibanah, Imam al-Haramain al-Juwayni, Al-Ghazali dalam kitab-kitabnya. Begitu juga, penulis al-‘Uddah dan lain-lain. Abu Hamid juga menukilkan bahawa para ashab (ulama mazhab Shafi’i) telah bersepakat tentang pandangan ini.[8]

3)      Disunatkan dan tidak disunatkan melakukannya;

(الطَّرِيقُ الثَّالِثُ) فِيهِ قَوْلَانِ (أحدهما) يستحب و (الثاني) لَا يُسْتَحَبُّ

Maksudnya: Pendapat ketiga menyatakan bahawa terdapat dua pandangan dalam masalah ini: Pandangan pertama: duduk istirahah adalah sunat. Pandangan kedua: duduk istirahah tidak disunatkan.[9]

Imam al-Nawawi menegaskan bahawa:

 وَاتَّفَقَ الْقَائِلُونَ به علي أن الصيحح مِنْ الْقَوْلَيْنِ اسْتِحْبَابُهَا فَحَصَلَ مِنْ هَذَا أَنَّ الصَّحِيحَ فِي الْمَذْهَبِ اسْتِحْبَابُهَا وَهَذَا هُوَ الصَّوَابُ الَّذِي ثَبَتَتْ فِيهِ الْأَحَادِيثُ الصَّحِيحَةُ الَّتِي سَنَذْكُرُهَا إنْ شَاءَ اللَّهُ تَعَالَى فِي فَرْعِ مَذَاهِبِ الْعُلَمَاءِ

Maksudnya: Para ulama bersepakat bahawa pandangan yang sahih daripada dua qaul tersebut ialah sunat. Daripada penjelasan ini, dapat difahami bahawa pandangan yang sahih dalam mazhab ialah disunatkan duduk istirahah. Inilah pendapat yang tepat kerana disokong oleh hadis-hadis sahih yang akan disebutkan kemudian, inshaAllah, pada topik perbincangan para ulama mazhab.[10]

Selain itu, terdapat pandangan ulama Shafi’iyyah yang menyokong bahawa duduk istirahah ini adalah sunat dilakukan pada setiap rakaat yang hendak berdiri daripada sujud kedua sebagai bentuk mengikuti tuntunan Rasulullah SAW. Imam Shamsuddin al-Ramli menjelaskan dalam karyanya Nihayah al-Muhtaj:

(وَالْمَشْهُورُ سَنُّ) (جِلْسَةٍ خَفِيفَةٍ) لِلِاسْتِرَاحَةِ (بَعْدَ السَّجْدَةِ الثَّانِيَةِ فِي كُلِّ رَكْعَةٍ يَقُومُ عَنْهَا) بَعْدَ سُجُودٍ لِغَيْرِ تِلَاوَةٍ وَقَبْلَ قِيَامٍ بِقَدْرِ الْجُلُوسِ بَيْنَ السَّجْدَتَيْنِ لِلِاتِّبَاعِ

Maksudnya: Pendapat yang masyhur ialah sunat melakukan duduk yang ringan untuk istirahah selepas sujud kedua pada setiap rakaat yang selepasnya terdapat pergerakan untuk bangun. Duduk tersebut dilakukan selepas sujud selain sujud tilawah dan sebelum bangun berdiri, dengan kadar seperti duduk antara dua sujud kerana mengikuti sunnah Nabi SAW.[11]

Oleh itu, Imam Shamsuddin al-Ramli bukanlah satu-satunya ulama yang menegaskan bahawa duduk istirahah merupakan amalan yang disunatkan, bahkan ia disokong oleh ulama Shafi’iyyah setelahnya seperti Abū Bakr ‘Uthmān bin Muḥammad Shaṭā al-Dimyāṭī al-Shāfi’ī dalam karyanya I’anah al-Tolibin. Beliau menyatakan bahawa duduk istirahah disunatkan kepada setiap orang, sama ada yang mampu mahupun yang tidak mampu, seperti berikut:

(قوله: ولو في نفل) قال في التحفة بعده: وإن كان قويا

Maksudnya: Kata beliau: Walaupun dalam solat sunat. Disebut dalam al-Tuhfah selepas itu: Sekalipun seseorang itu kuat (tidak uzur).[12]

Justeru, walaupun terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama mazhab Shafi‘i berkenaan hukum pelaksanaannya, majoriti ulama muta’akhkhirin menegaskan bahawa hukum duduk istirahah ialah sunat bagi setiap orang sama ada kuat, sihat, tua ataupun lemah.

 

Tatacara Duduk Istirahah Dalam Solat

Dalam mazhab Shafi’i, duduk istirahah mempunyai cara pelaksanaan tertentu. Berikut adalah tatacaranya:

1.      Takbir ketika berpindah dari sujud ke duduk istirahah, terdapat 3 cara:

a)      Bangun dari sujud sambil bertakbir kemudian memanjangkannya sehingga berdiri tegak dan memendekkan duduk istirahahnya supaya tidak ada satu bahagian daripada solat yang tidak diisi daripada zikir.[13]

b)      Bangun dari sujud tanpa bertakbir terlebih dahulu, kemudian memulakan takbir ketika duduk dan memanjangkannya sehingga berdiri tegak.[14]

c)      Bangun dari sujud sambil bertakbir dan selesai takbir ketika duduk istirahah kemudian berdiri tanpa bertakbir.[15]

2.      Disunatkan duduk secara iftirasy[16] (menegakkan kaki kanan dan duduk di atas telapak kaki kiri).[17]

3.      Disunatkan duduk istirahah setelah berlaku 2 kali sujud pada setiap rakaat yang selepasnya terdapat pergerakan untuk bangun berdiri (pada rakaat yang tidak ada tasyahud padanya) iaitu sama ada pada rakaat pertama atau ketiga serta sama ada pada solat wajib mahupun solat sunat.[18]

Namun begitu, sekiranya imam tidak melakukan duduk istirahah tetapi makmum melakukannya, maka hal itu dibolehkan dan kelewatan tersebut tidak memudaratkan kerana ia hanyalah kelewatan yang sedikit.[19]

 

Kesimpulan

Duduk istirahah ialah duduk seketika selepas sujud kedua sebelum bangun ke rakaat seterusnya dalam solat. Dalam mazhab Shafi’i, terdapat perbezaan pandangan ulama mengenai hukum pelaksanaannya sama ada disunatkan atau tidak. Walau bagaimanapun, pandangan yang lebih kuat menyatakan bahawa duduk istirahah hukumnya adalah sunat. Pandangan ini berasaskan hadis-hadis yang menunjukkan bahawa Rasulullah SAW melakukan duduk istirahah sebagai sebahagian daripada sifat solat Baginda SAW.

 

 

 



[1]Ibrāhīm bin Muḥammad bin Aḥmad al-Shāfi’i al-Bayjūrī. Ḥāshiyah al-Sheikh Ibrāhīm al-Bayjūrī ‘alā Fatḥ al-Qarīb al-Mujīb. (Indonesia: Dār al-Kutub al-Islāmiyyah, 2007).  jil 1 ms. 328.

[2] Al-Nawawī, Yaḥyā bin Sharaf, al-Majmū‘ Sharḥ al-Muhadhdhab, (Kaherah: al-Maṭba‘ah al-Munīriyyah, t.t.). jil. 3, ms. 442. Teks arab:

أَنَّهَا جُلُوسٌ فَاصِلٌ بَيْنَ الرَّكْعَتَيْنِ وَلَيْسَ مِنْ وَاحِدَةٍ مِنْهُمَا

[3] Aḥmad bin ‘Alī bin Ḥajar al-‘Asqalānī. Fatḥ al-Bārī bi Sharḥ al-Bukhārī. (Mesir: al-Maktabah al-Salafiyyah, t.t.). jil. 2, ms. 302. Teks arab:

 فإنها جلسة خفيفة جدا استغني فيها بالتكبير المشروع للقيام، فإنها من جملة النهوض إلى القيام

[4] Al-Bukhārī, Muḥammad bin Ismāʿīl. Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. (Mesir: Sulṭāniyah, 1893). Jil. 1, ms. 164. No. hadis: 823.

[5] Al-Bukhārī, Muḥammad bin Ismāʿīl. Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. Jil. 1, ms. 164. No. hadis: 824.

[6] Abū Abdullah Muḥammad bin Idrīs al-Shāfi’ī. Al-Umm. (Beirūt: Dār al-Fikr, 1987). Jil. 1, ms. 139-140.

[8] Al-Nawawī, Yaḥyā bin Sharaf, al-Majmū‘ Sharḥ al-Muhadhdhab, jil. 3, ms. 441.

[9] Al-Nawawī, Yaḥyā bin Sharaf, al-Majmū‘ Sharḥ al-Muhadhdhab, jil. 3, ms. 441.

[10] Al-Nawawī, Yaḥyā bin Sharaf, al-Majmū‘ Sharḥ al-Muhadhdhab, jil. 3, ms. 441.

[11] Shamsuddīn Muḥammad bin Abū al-‘Abbās Aḥmad bin Ḥamzah Shihābuddīn al-Ramlī. Nihāyah al-Muḥtāj ilā Sharḥ al-Minhāj. (Beirūt: Dār al-Fikr, 1984). Jil. 1, ms. 518.

[12] Abū Bakr ‘Uthmān bin Muḥammad Shaṭā al-Dimyāṭī al-Shāfi’ī. I’ānah al-Ṭālibīn ‘alā Ḥil al-Fāẓ Fatḥ al-Mu’īn. (t.t.p: Dār al-Fikr li al-Ṭibā’ah wa al-Nashr wa al-Tawzī’, 1997). Jil. 1, ms. 196.

[13] Abū Zakariyā Muḥiyuddīn Yaḥyā bin Sharaf al-Nawawī. Rawḍah al-Ṭālibīn wa ‘Umdah al-Muftīn. (Beirūt: al-Maktab al-Islāmī, 1991). Jil. 1, ms. 260. Teks arab:

أَنَّهُ يَرْفَعُ مُكَبِّرًا، وَيَمُدُّهُ إِلَى أَنْ يَسْتَوِيَ قَائِمًا وَيُخَفِّفُ الْجَلْسَةَ حَتَّى لَا يَخْلُوَ جُزْءٌ مِنْ صَلَاتِهِ عَنْ ذِكْرٍ

[14] Al-Nawawī, Yaḥyā bin Sharaf, al-Majmū‘ Sharḥ al-Muhadhdhab, jil. 3, ms. 442. Teks arab:

يَرْفَعُ غَيْرَ مُكَبِّرٍ وَيَبْدَأُ بِالتَّكْبِيرِ جَالِسًا وَيَمُدُّهُ إلَى أَنْ يَقُومَ

[15] Al-Nawawī, Yaḥyā bin Sharaf, al-Majmū‘ Sharḥ al-Muhadhdhab, jil. 3, ms. 442. Teks arab:

يَرْفَعُ مُكَبِّرًا فَإِذَا جَلَسَ قَطَعَهُ ثُمَّ يَقُومُ بِلَا تَكْبِيرٍ

[16]Al-Nawawī, Yaḥyā bin Sharaf, al-Majmū‘ Sharḥ al-Muhadhdhab, jil. 3, ms. 442. Teks arab:

وَالسُّنَّةُ فِيهَا أَنْ يَجْلِسَ مُفْتَرِشًا

[17] Abū al-Ḥasan ‘Alī bin Muḥammad bin Muḥammad bin Habīb al-Māwardī. Al-Ḥāwī al-Kabīr Fī Fiqh Mazhab al-Imām al-Shāfi’ī. (Beirūt: Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1999). Jil. 2, ms. 132. Teks arab:

أَنْ يَنْصِبَ رِجْلَهُ الْيُمْنَى وَيُضْجِعَ الْيُسْرَى وَيَجْلِسَ عَلَيْهَا مُفْتَرِشًا لَهَا

[18] Al-Nawawī, Yaḥyā bin Sharaf, al-Majmū’ Sharḥ al-Muhadhdhab, jil. 3, ms. 442. Teks arab:

وَتُسَنُّ هَذِهِ الْجِلْسَةُ عَقِبَ السَّجْدَتَيْنِ فِي كُلِّ رَكْعَةٍ يَعْقُبُهَا قِيَامٌ سَوَاءٌ الْأُولَى وَالثَّالِثَةُ وَالْفَرَائِضُ وَالنَّوَافِلُ

[19] Al-Nawawī, Yaḥyā bin Sharaf, al-Majmū’ Sharḥ al-Muhadhdhab, jil. 3, ms. 442. Teks arab:

وَلَوْ لَمْ يَجْلِسْ الْإِمَامُ جِلْسَةَ الِاسْتِرَاحَةِ فَجَلَسَهَا الْمَأْمُومُ جَازَ وَلَا يَضُرُّ هَذَا التَّخَلُّفُ لِأَنَّهُ يَسِيرٌ

Accessibility Toolbar