𝐉𝐀𝐁𝐀𝐓𝐀𝐍 𝐌𝐔𝐅𝐓𝐈 𝐍𝐄𝐆𝐄𝐑𝐈 𝐒𝐄𝐋𝐀𝐍𝐆𝐎𝐑 𝐒𝐀𝐍𝐓𝐔𝐍𝐈 𝐌𝐀𝐒𝐘𝐀𝐑𝐀𝐊𝐀𝐓 𝐌𝐄𝐋𝐀𝐋𝐔𝐈 #𝐉𝐄𝐋𝐀𝐉𝐀𝐇@𝐌𝐔𝐅𝐓𝐈 𝟐.𝟎 𝐃𝐈 𝐊𝐀𝐋𝐔𝐌𝐏𝐀𝐍𝐆
KALUMPANG, 26 Julai 2026 – Program #Jelajah@Mufti 2.0 anjuran Jabatan Mufti Negeri Selangor melabuhkan tirainya selepas berlangsung selama tiga hari, bermula 24 hingga 26 Julai 2026 di Masjid At-Taqwa, Kalumpang, Hulu Selangor. Penganjuran program ini berjaya menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana yang harmoni menerusi pengisian ilmu, dakwah dan aktiviti kemasyarakatan yang dekat di hati umat Islam.
Sepanjang program berlangsung, pengunjung disajikan dengan pelbagai program bermanfaat seperti Kuliah Dhuha, Tazkirah Jumaat, Forum, Bicara 2 Mufti, Klinik Hukum, Kiblat Komuniti serta aktiviti santai yang mengeratkan hubungan antara warga Jabatan Mufti Negeri Selangor dan masyarakat. Turut mencuri tumpuan ialah penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf dan anak yatim, selain pelbagai aktiviti kekeluargaan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Y.A.D. Dato’ Setia Dr. Haji Anhar bin Haji Opir, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, yang turut menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan program ini. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan harapan agar usaha mendekati masyarakat melalui pendekatan turun padang seperti ini dapat diteruskan demi memperkukuhkan kefahaman umat Islam terhadap hukum syarak dan peranan institusi kefatwaan.
Penganjuran #Jelajah@Mufti 2.0 bukan sekadar medan penyampaian ilmu, malah menjadi platform mempererat silaturahim antara Jabatan Mufti Negeri Selangor dengan masyarakat. Sambutan yang memberangsangkan membuktikan bahawa pendekatan dakwah yang mesra, interaktif dan menyantuni komuniti terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, sekali gus memperkukuhkan keyakinan terhadap institusi mufti sebagai rujukan utama berkaitan hukum syarak di Negeri Selangor.
Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Mufti Negeri Selangor

































































