#120 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Pengurusan Jenazah Bayi Yang Gugur

Hukum Pengurusan Jenazah Bayi Yang Gugur

Disediakan oleh : Unit Dirasat Ilmiah

Tarikh : 27 Julai 2026

Pendahuluan

Keguguran bayi merupakan suatu keadaan yang boleh berlaku pada mana-mana peringkat kehamilan dan sering menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat berkaitan hukum pengurusan jenazah bayi yang gugur. Antaranya termasuklah sama ada bayi tersebut perlu dimandikan, dikafankan, disolatkan atau sekadar dikebumikan sahaja. Oleh itu, penjelasan berkaitan hukum pengurusan jenazah bayi yang gugur perlu difahami agar tatacara pengurusannya adalah betul menurut panduan syarak.

Tahap Perkembangan Bayi

Al-Quran menjelaskan proses perkembangan janin dari mula pembentukan sehingga menjadi manusia yang sempurna. Allah SWT berfirman dalam surah al-Mu’minun ayat 12-14:

وَلَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلْإِنسَـٰنَ مِن مِن سُلَـٰلَةٍۢ مِّن طِينٍ ﴿١٢﴾ ثُمَّ جَعَلْنَـٰهُ نُطۡفَةً فِي قَرَارٍ مَّكِينٍ ﴿١٣﴾ ثُمَّ خَلَقۡنَا ٱلنُّطۡفَةَ عَلَقَةً فَخَلَقۡنَا ٱلۡعَلَقَةَ مُضۡغَةً فَخَلَقۡنَا ٱلۡمُضۡغَةَ عِظَـٰمًۭا فَكَسَوۡنَا ٱلْعِظَـٰمَ لَحۡمًا ثُمَّ أَنشَأْنَـٰهُ خَلۡقًا ءَاخَرَۚ فَتَبَارَكَ ٱللَّهُ أَحۡسَنُ ٱلْخَـٰلِقِينَ ﴿١٤﴾٢ 

Maksudnya: Dan sesungguhnya Kami telah menjadikan manusia sari pati (yang berasal) daripada tanah. Kemudian Kami menjadikan pati itu (setitis) air mani yang disimpan di dalam tempat yang kukuh. Kemudian, air mani itu Kami jadikan sebuku darah, lalu Kami jadikan sebuku darah itu seketul daging, dan seketul daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian, Kami menjadikannya makhluk yang (berbentuk) lain. Maha suci Allah, Pencipta Yang Paling Baik.

Menerusi ayat di atas terdapat enam tahap perkembangan janin sebelum dilahirkan. Bermula dengan sulalah (sari pati), kemudian nutfah (air mani), ‘alaqah (segumpal darah), mudghah (segumpal daging), kemudian ‘izam (tulang belulang) dan lahm (daging). Proses perkembangan bayi ini menunjukkan kekuasaan dan kebijaksanaan Allah SWT dalam mencipta manusia secara berperingkat sehingga menjadi makhluk yang sempurna. Penjelasan al-Quran berkaitan tahap pembentukan janin ini turut membuktikan bahawa Islam memberikan perhatian serius terhadap kehidupan manusia sejak berada dalam kandungan lagi.

Perbahasan Ulama Tentang Pengurusan Jenazah Bayi Yang Gugur

Pada asasnya, syarak menetapkan bahawa setiap jenazah hendaklah dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dikebumikan sebagai penghormatan terhadap kemuliaan manusia. Kemuliaan ini tetap terpelihara sama ada ketika seseorang masih hidup mahupun selepas meninggal dunia. Namun begitu, dalam isu bayi yang gugur, para ulama telah memperincikan pengurusan jenazah berdasarkan usia kandungan, rupa bentuk serta tanda-tanda kehidupan yang terdapat padanya. Oleh itu, hukum pengurusan jenazah bayi yang gugur dapat dibahagikan kepada beberapa keadaan seperti berikut.

Keadaan Pertama

Semua perkara dalam pengurusan jenazah tidak diwajibkan ke atas bayi yang gugur sebelum 4 bulan Qamariyyah, tiada tanda hidup dan belum ada rupa bentuk. Namun disunatkan untuk menutup dengan sehelai kain dan mengebumikannya tanpa perlu dimandikan dan disolatkan. Perkara ini dijelaskan oleh Khatib al-Syirbini yang menyatakan:

بِأَن لم تعلم حَيَاته وَلم يظْهر خلقه فَلَا تجوز الصَّلَاة عَلَيْهِ وَلَا يجب غسله وَيسن ستره بِخرقَة وَدَفنه دون غَيرهمَا[1]

Maksudnya: Jika tidak diketahui bahawa janin itu hidup dan tidak jelas kejadiannya, maka tidak harus disolatkan ke atasnya, tidak wajib dimandikan, dan disunatkan untuk dibalut dengan kain dan dikebumikan tanpa perlakuan-perlakuan selain keduanya.

Juga disebutkan dalam Tuhfatul Muhtaj oleh Ibnu Hajar al-Haitami:

إنْ ‌لَمْ ‌يَظْهَرْ ‌فِيهِ ‌خَلْقُ ‌آدَمِيٍّ ‌لَا ‌يَجِبُ ‌فِيهِ ‌شَيْءٌ ‌نَعَمْ ‌يُسَنُّ ‌سَتْرُهُ ‌بِخِرْقَةٍ ‌وَدَفْنُهُ[2]

Maksudnya: Jika tidak kelihatan padanya bentuk kejadian manusia, maka tidak wajib dilakukan apa-apa ke atasnya. Ya, disunatkan untuk menutupnya dengan sehelai kain dan mengebumikannya.

Oleh itu, bayi yang gugur sebelum 4 bulan Qamariyyah, tiada tanda hidup dan belum ada rupa bentuk, tidak wajib untuk dimandikan, disolatkan dan dikafankan. Hanya disunatkan untuk menutup dengan sehelai kain dan dikebumikan.

Keadaan Kedua

Para ulama telah membahagikan pengurusan jenazah bayi yang gugur selepas berumur 4 bulan Qamariyyah kepada dua bahagian.

  1. Mempunyai tanda hidup: pergerakan atau suara

Bayi yang jelas rupa bentuk manusia dan menunjukkan sebarang pergerakan atau suara sebelum meninggal dunia, dihukumkan seperti orang dewasa. Wajib disempurnakan semua perkara dalam pengurusan jenazah. Khatib al-Syirbini dalam kitabnya mengatakan:

(إن) علمت حياته ‌بأن (‌استهل) ‌أي ‌صاح (‌أو ‌بكى) ‌……. فإذا مات بعد ذلك فحكمه (ككبير) فيغسل ويكفن ويصلى عليه ويدفن لتيقن موته بعد حياته[3]

Maksudnya: Jika diketahui bahawa bayi itu hidup dengan (istahalla), iaitu dia menjerit (atau menangis) ….. maka jika dia meninggal selepas itu, hukumnya adalah seperti orang dewasa: dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dikebumikan, kerana matinya diyakini berlaku selepas hidupnya.

  1. Tiada tanda hidup tetapi jelas rupa bentuk manusia

Bayi yang tidak menunjukan tanda-tanda hidupnya tetapi keadaan rupa bentuknya jelas, maka hendaklah dimandikan, dikafankan dan dikebumikan tanpa disolatkan ke atasnya. Ia dijelaskan oleh Khatib al-Syirbini seperti berikut:

وَإِن لم تعلم حَيَاته وَظهر خلقه وَجب تَجْهِيزه بِلَا صَلَاة عَلَيْهِ[4]

Maksudnya: Jika tidak diketahui hidupnya tetapi terzahir rupa bentuk (sebagai manusia) wajib untuk mempersiapkannya (yakni dimandikan, dikafankan dan dikebumikan) tanpa solat.

Oleh itu bayi yang gugur berumur selepas 4 bulan Qamariyyah dan diketahui hayatnya seperti mengeluarkan suara atau bergerak, maka hukumnya sama seperti orang dewasa. Wajib dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dikebumikan. Manakala bayi yang tidak diketahui tanda hidupnya tetapi jelas rupa bentuknya, perlu dimandikan, dikafankan, dikebumikan dan tidak perlu disolatkan.

Keadaan Ketiga

Bayi yang gugur selepas 6 bulan Qamariyyah, sama ada lahir hidup atau meninggal dunia, wajib diuruskan sebagaimana jenazah orang dewasa. Seperti yang telah dinyatakan oleh Zakariyya al-Ansari, katanya:

فَإِنَّهُ يَجِبُ فِيهِ مَا يَجِبُ فِي الْكَبِيرِ مِنْ صَلَاةٍ وَغَيْرِهَا وَإِنْ نَزَلَ مَيِّتًا وَلَمْ يُعْلَمْ لَهُ سَبْقُ حَيَاةٍ إذْ هُوَ خَارِجٌ مِنْ كَلَامِهِ لِأَنَّهُ لَا يُسَمَّى سِقْطًا[5]  

Maksudnya: Sesungguhnya bagi bayi tersebut (telah sempurna enam bulan) wajib dilaksanakan segala perkara yang diwajibkan ke atas orang dewasa daripada solat jenazah dan selainnya, walaupun dilahirkan dalam keadaan telah meninggal dunia dan tidak diketahui pernah hidup sebelumnya. Hal ini kerana dia terkeluar daripada perbahasan yang disebut oleh pengarang, kerana dia tidak dinamakan sebagai bayi gugur (siqt).

Berdasarkan keterangan di atas, janin yang gugur selepas mencapai usia kandungan enam bulan tidak lagi dianggap sebagai siqt (bayi gugur) menurut pendapat yang disebut oleh pengarang. Oleh itu, jenazahnya hendaklah diurus seperti jenazah orang dewasa, termasuk dimandikan, dikafankan dan disolatkan, walaupun dilahirkan dalam keadaan telah meninggal dunia.

Pengurusan jenazah bayi yang gugur boleh diringkaskan seperti berikut:

BIL

JENAZAH

MANDI

KAFAN

SOLAT

KEBUMI

 

1.

SEBELUM 4 BULAN QAMARIYYAH

tiada tanda hidup & belum jelas rupa bentuk

 

X

 

 

X

 

 

X

 

 

 /

 

2.

SELEPAS 4 BULAN QAMARIYYAH

 

a)      Jelas rupa bentuk manuisa, tetapi tiada tanda hidup

/

/

X

/

b)         Mempunyai tanda hidup sebelum meninggal

/

/

/

/

 
 

3.

MENCAPAI 6 BULAN QAMARIYYAH hidup/mati selepas lahir

 

/

 

/

 

/

 

/

 

 

Kesimpulan

Pengurusan jenazah bayi yang gugur berbeza mengikut keadaan, usia kandungan serta tanda-tanda hidup yang terdapat padanya. Secara umumnya, terdapat tiga keadaan utama dalam pengurusan jenazah bayi yang gugur.

Pertama, bayi yang gugur sebelum usia empat bulan Qamariyyah dan belum jelas rupa bentuknya. Keadaan kedua, bayi yang gugur selepas empat bulan Qamariyyah. Pada keadaan ini terdapat 2 bahagian, pertama mempunyai tanda hidup manakala kedua tiada tanda hidup. Akhir sekali keadaan ketiga, bayi yang gugur selepas mencapai usia enam bulan Qamariyyah, sama ada lahir hidup atau mati. Oleh itu, umat Islam hendaklah memahami setiap ketetapan hukum dengan baik agar pengurusan jenazah bayi yang gugur dapat dilaksanakan dengan sempurna, selaras dengan tuntutan syarak. 

[1] Shamsuddīn Muḥammad bin Aḥmad al-Khaṭīb al-Syirbīnī, al-Iqnā’ fī Hal Alfāz Abī Syujā’, (Beirut: Dār al-Fikr, 1431), jil. 1, ms.203.

[2] Aḥmad bin Muḥammad bin Alī bin Hajar al-Haitamī, Tuḥfatul Muḥtaj Fī Syarḥ al-Minhāj, (Mesir: al-Maktabah al-Tijāriyah al-Kubra, 1431), jil. 3, ms. 162.

[3] Shamsuddīn Muḥammad bin Muḥammad al-Khaṭīb al-Syirbīnī, Mughnī al-Muḥtaj Ilā Makrifah Ma’ānī al-Alfaz al-Manhāj, (Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1431), 2:33.

[4] Shamsuddīn Muḥammad bin Aḥmad al-Khaṭīb al-Syirbīnī, al-Iqnā’ fī Hal Alfāz Abī Syujā’, (Beirut: Dār al-Fikr, 1431), 1:203

[5] Zakariyyā bin Muḥammad bin Aḥmad bin Zakariyyā al-Ansārī, al-Gharar al-Bahiyah Fī Syarḥ al-Bahjah al-Wardiyah, (al-Matbaah al-Maimaniyah, 1431), 2:103

Accessibility Toolbar