#119 Taudhih Al-Hukmi : Adakah
Berjemaah Merupakan Syarat Sah Solat Jenazah?
Tarikh: 20 Julai 2026
Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah
Pendahuluan
Syarat sah solat jenazah adalah sama seperti
syarat yang ditetapkan bagi solat fardu lima waktu dan solat sunat walaupun terdapat
perbezaan pada kaifiatnya. Ibadah fardu kifayah ini sering kali dilaksanakan
secara berjemaah seolah-olah menggambarkan bahawa pelaksanaannya secara
individu adalah tidak memenuhi syarat sah solat tersebut. Justeru, adakah berjemaah
merupakan sebahagian daripada syarat sah solat jenazah ini?
Had Minima Kewajipan Solat
Jenazah
Terdapat beberapa pandangan dalam mazhab Shafi‘i
berkenaan penetapan had minima bagi pelaksanaan solat jenazah agar gugur
tuntutan fardunya terhadap orang lain. Kesemua
pandangan tersebut dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam Rawdat al-Talibin
seperti berikut:
وَفِي
أَقَلِّ مَا يَسْقُطُ فَرْضُ الْكِفَايَةِ فِي هَذِهِ الصَّلَاةِ قَوْلَانِ
وَوَجْهَانِ. أَحَدُ الْقَوْلَيْنِ: بِثَلَاثَةٍ. وَالثَّانِي: بِوَاحِدٍ.
وَأَحَدُ الْوَجْهَيْنِ بِاثْنَيْنِ. وَالثَّانِي: بِأَرْبَعَةٍ[1]
Maksudnya:
Dalam menentukan bilangan paling minima untuk gugur tuntutan fardu kifayah
dalam solat ini, terdapat dua pendapat (Imam al-Shafi‘i) dan dua pandangan (ashab).[2]
Pendapat pertama (Imam
al-Shafi‘i) ialah tiga orang, dan pendapat kedua ialah seorang. Pandangan
pertama (ashab) ialah dua orang, dan pandangan kedua ialah empat orang.
Imam al-Nawawi menyatakan pandangan yang muktamad ialah
memadai seorang sahaja sebagai had minima bagi memenuhi kewajipan solat
jenazah.[3] Hal ini kerana yang
penting ialah kewajipan solat jenazah dipenuhi oleh pihak yang wajib
menunaikannya. Maka kewajipan tersebut dianggap terlaksana walaupun hanya
ditunaikan oleh seorang sahaja.[4]
Justeru, adalah memadai
jika solat jenazah hanya ditunaikan oleh seorang individu, sama ada seorang
lelaki dewasa atau seorang kanak-kanak lelaki yang sudah mumaiyiz. Adapun,
solat jenazah yang dilakukan oleh seorang wanita tidak menggugurkan kewajipan solat
tersebut sekiranya di tempat itu terdapat lelaki dewasa atau kanak-kanak lelaki
yang sudah mumaiyiz.[5]
Solat Jenazah
Secara Berjemaah
Tidak
disyaratkan berjemaah dalam pelaksanaan solat jenazah sepertimana tidak
disyaratkan bilangan. Memadai seorang sahaja sebagai bilangan minima
pelaksanaan solat jenazah mengikut pandangan muktamad mazhab Shafi‘i. Malah,
pendapat yang tidak selari dengan pandangan muktamad bersepakat menyatakan bahawa
tidak disyaratkan berjemaah dalam solat jenazah. Imam al-Nawawi menjelaskan:
فإن
قلنا يشترط اثنان أو ثلاثة أو أربعة سقط الفرض بفعلهم جماعة أو فرادى بلا خلاف لكن
الجماعة أفضل وتكثيرها أفضل[6]
Maksudnya:
Sekiranya diambil pandangan yang menyebut disyaratkan dua, tiga atau empat
orang, maka gugur kewajipan (solat jenazah) jika mereka melakukannya secara
berjemaah atau individu tanpa khilaf. Akan tetapi, secara berjemaah adalah
lebih baik dan begitu juga dengan meramaikannya.
Berjemaah bukan sebahagian daripada syarat sah solat
jenazah. Walau bagaimanapun, pelaksanaannya secara berjemaah adalah sunat
berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Malik bin Hubayrah RA, bahawasanya
Rasulullah SAW bersabda:
ما
مِنْ مُسلمِ يموتُ فيصلِّيَ عليه ثلاثةُ صفوف من المسلمين إلاَّ أوْجَبَ[7]
Maksudnya:
Tidaklah seorang Muslim meninggal dunia, lalu disolatkan jenazahnya oleh orang
Islam sebanyak tiga saf melainkan pasti dia memperoleh (keampunan).
Hadis ini juga
secara tidak langsung mengisyaratkan kepada galakan untuk menunaikan solat
jenazah dengan tiga saf atau lebih sebagaimana yang disebutkan oleh ulama
mazhab Shafi’i seperti al-Khatib al-Shirbini,[8]
Shams al-Din al-Ramli,[9]
Ibn Hajar al-Haytami dan ramai lagi. Disebutkan dalam Tuhfat al-Muhtaj:
(وَيُسَنُّ) حَيْثُ كَانُوا سِتَّةً فَأَكْثَرَ (جَعْلُ
صُفُوفِهِمْ ثَلَاثَةً فَأَكْثَرَ) لِلْخَبَرِ الصَّحِيحِ
«مَنْ صَلَّى عَلَيْهِ ثَلَاثَةُ صُفُوفٍ فَقَدْ أَوْجَبَ أَيْ غُفِرَ لَهُ» كَمَا
فِي رِوَايَةٍ وَالْمَقْصُودُ مَنْعُ النَّقْصِ عَنْ الثَّلَاثَةِ لَا
الزِّيَادَةِ عَلَيْهَا[10]
Maksudnya: Disunatkan apabila mereka berjumlah enam orang
atau lebih untuk dijadikan tiga saf atau lebih, berdasarkan hadis sahih: Sesiapa
yang disolatkan jenazahnya oleh tiga saf, maka wajib baginya iaitu diampunkan
dosanya sebagaimana disebut dalam satu riwayat. Yang dimaksudkan ialah larangan
daripada kurang daripada tiga saf, bukan larangan menambah lebih daripada tiga
saf. [11]
Terdapat juga
beberapa hadis lain yang membawa makna yang hampir sama tapi dengan jumlah yang
khusus seperti 100 orang berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Aishah
RA:
مَا مِنْ مَيِّتٍ يُصَلِّي عَلَيْهِ أُمَّةٌ مِنَ الْمُسْلِمِينَ يَبْلُغُونَ
مِائَةً كُلُّهُمْ يَشْفَعُونَ لَهُ إِلَّا شُفِّعُوا فِيهِ[12]
Maksudnya: Tidaklah seorang mayat disolatkan
oleh sekumpulan umat Islam yang mencapai seratus orang, yang mana semuanya memohon
syafaat untuknya, melainkan syafaat mereka itu diterima.
Begitu juga
hadis yang menyebut 40 orang seperti riwayat Kurayb daripada Ibn ‘Abbas RA:
سَمِعْتُ
رَسُولَ اللهِ ﷺ يَقُولُ: مَا مِنْ رَجُلٍ مُسْلِمٍ يَمُوتُ فَيَقُومُ عَلَى جَِنَازَتِهِ
أَرْبَعُونَ رَجُلًا لَا يُشْرِكُونَ بِاللهِ شَيْئًا إِلَّا شَفَّعَهُمُ اللهُ
فِيهِ[13]
Maksudnya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah seorang
Muslim meninggal dunia lalu disolatkan jenazahnya oleh empat puluh orang lelaki
yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu apa pun, melainkan Allah menerima
syafaat mereka untuknya.
(Riwayat
Muslim)
Dalam
mengharmonikan perbezaan bilangan jemaah dalam ketiga-tiga hadis tersebut, Imam
al-Nawawi menyebutkan tiga kemungkinan; pertama; setiap hadis adalah jawapan
bagi pertanyaan yang berbeza, kedua; Nabi SAW menyampaikan berita yang
diwayhukan kepada Baginda SAW secara berperingkat daripada ramai kepada sedikit
dan ketiga; ini termasuk dalam mafhum ‘adad yang mana tidak dianggap
sebagai hujah di sisi jumhur ulama usul fiqh. Syafaat yang dijanjikan
diperolehi jika solat jenazah ditunaikan sekurang-kurangnya tiga saf atau
seramai 40 orang.[14]
Justeru, kami berpandangan bahawa solat jenazah
secara individu adalah harus dan sah, tapi menunaikannya secara berjemaah
adalah lebih baik kerana fadhilat yang dijanjikan dalam hadis tersebut.
Kesimpulan
Berjemaah bukan
sebahagian daripada syarat sah solat jenazah walaupun ia sering ditunaikan
secara berjemaah. Oleh itu, kewajipan solat jenazah dianggap terlaksana
walaupun ia ditunaikan oleh seorang lelaki dewasa atau seorang kanak-kanak
lelaki yang sudah mumaiyiz secara bersendirian. Begitu juga jika ia ditunaikan
oleh seorang wanita apabila tiada lelaki dewasa atau kanak-kanak lelaki yang
sudah mumaiyiz di satu-satu tempat. Namun begitu, menunaikan solat jenazah
secara berjemaah dengan tiga saf atau lebih adalah afdal.
[1] Muḥy
al-Dīn Al-Nawawī, Yaḥyā bin Sharf, Rawḍat al-Ṭālibīn wa ‘Umdat al-Muftīn,
(Beirut, Damsyik, Amman: al-Maktab al-Islāmī, 1991), jil. 2, ms. 129.
[2] Aṣḥāb
ialah fuqaha yang merupakan mujtahid dalam mazhab Shafi‘i di mana mereka mengeluarkan sesuatu hukum fiqh
menggunakan kaedah yang ditetapkan oleh Imam al-Shafi‘i. Dr. Kamāl Ṣādiq Yāsīn, Muṣṭalaḥāt al-Madhhab
al-Shāfi‘ī, (Iraq, Maktab al-Tafsīr, 2006), ms. 46.
[3] Muḥy
al-Dīn Al-Nawawī, Yaḥyā bin Sharf, Al-Majmū‘ Sharḥ al-Muhadhdhab,
(Kaherah: Idarah al-Ṭibā‘ah al-Manīriyyah,
1347), jil. 5, ms. 213.
والأصح من الخلاف الاكتفاء بواحد.
[4] Ibn Hajar al-Haytamī, Aḥmad bin Muḥammad, Ṭuḥfat al-Muḥtāj fī
Sharḥ al-Minhāj, (Mesir: al-Maktabah al-Tijāriyyah al-Kubrā, 1983), jil. 3, ms. 147.
لِأَنَّ الْمَقْصُودَ وُجُودُ صَلَاةٍ صَحِيحَةٍ مِنْ جِنْسِ
الْمُخَاطَبِينَ وَقَدْ وُجِدَتْ.
[5]
Al-Bājūrī, Ibrāhīm bin Aḥmad, Hāshiyah al-Bājūrī ‘alā Sharḥ al-‘Allāmah Ibn
Qāsim al-Ghazzī ‘alā Matn Abī Shujā‘, (Jedah: Dār al-Minhāj,
2016), jil. 2, ms. 278.
ويسقط الفرض بصلاة الصبي المميز ولو مع وجود الرجال لأنه من جنسهم مع
كون المقصود منها الدعاء وهو أقرب إلى الإجابة وبهذا فارق عدم سقوطه به في رد
السلام فإن المقصود منه الأمان لكل من المسلّم والمجيب وأن كلا منهما سالم الآخر
وأمان الصبي لا يصح ولا يسقط الفرض بصلاة النساء مع وجود ذكر ولو من صبيا لأنه
أكمل منهن فإن لم يصل .. أمرنه بها فإن امتنع بعد ذلك .. توجه الفرض إليهن.
[6] Muḥy al-Dīn Al-Nawawī, Yaḥyā bin Sharf, Al-Majmū‘ Sharḥ
al-Muhadhdhab, (Kaherah: Idarah al-Ṭibā‘ah al-Manīriyyah, 1347), jil. 5, ms. 213.
[7] Abū Dāwud Sulaymān bin al-Ash‘ath, Sunan Abī Dāwud, (Dār
al-Risālah al-‘Alamiyyah, 2009). No. hadis 3167, jil. 7, ms. 78.
[8]
Al-Khaṭīb al-Shirbīnī, Muḥammad bin Muḥammad, Mughnī al-Muḥtāj ’ilā
Ma‘rifah Ma‘anī Alfāẓ al-Minhāj. (Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1994), jil. 2, ms. 50.
(وَيُسَنُّ جَعْلُ صُفُوفِهِمْ) أَيْ الْمُصَلِّينَ عَلَى
الْمَيِّتِ (ثَلَاثَةً فَأَكْثَرَ) لِحَدِيثٍ صَحَّحَهُ الْحَاكِمُ «مَنْ صَلَّى
عَلَيْهِ ثَلَاثَةُ صُفُوفٍ فَقَدْ وَجَبَتْ: أَيْ حَصَلَتْ لَهُ الْمَغْفِرَةُ»
وَفِي رِوَايَةٍ فَقَدْ غُفِرَ لَهُ.
[9] Shams al-Dīn al-Ramlī, Muḥammad bin Aḥmad, Nihāyat al-Muḥtāj
’ilā Sharḥ al-Minhāj, (Beirut: Dār al-Fikr, 1984), jil. 3, ms. 26.
(وَيُسَنُّ جَعْلُ صُفُوفِهِمْ) أَيْ الْمُصَلِّينَ عَلَى
الْمَيِّتِ (ثَلَاثَةً فَأَكْثَرَ) لِخَبَرِ «مَنْ صَلَّى عَلَيْهِ ثَلَاثَةُ
صُفُوفٍ فَقَدْ أَوْجَبَ: أَيْ حَصَلَتْ لَهُ الْمَغْفِرَةُ».
[10] Ibn
Hajar al-Haytamī, Aḥmad bin Muḥammad, Ṭuḥfat al-Muḥtāj fī Sharḥ al-Minhāj,
(Mesir: al-Maktabah al-Tijāriyyah al-Kubrā, 1983), jil. 3, ms. 190-191.
[11] Ibn
Hajar al-Haytamī, Aḥmad bin Muḥammad, Ṭuḥfat al-Muḥtāj fī Sharḥ al-Minhāj,
(Mesir: al-Maktabah al-Tijāriyyah al-Kubrā, 1983), jil. 3, ms. 190-191.
[12] Abū al-Ḥusayn, Muslim bin al-Ḥajjāj, Ṣaḥīḥ Muslim, (Turki:
Dār al-Ṭibā‘ah al-‘Āmirah, 1443). No. Hadis 947, jil. 3, ms. 52.
[13] Abū al-Ḥusayn, Muslim bin al-Ḥajjāj, Ṣaḥīḥ Muslim, (Turki:
Dār al-Ṭibā‘ah al-‘Āmirah, 1443). No. Hadis 948, jil. 3, ms. 53.
[14] Al-Nawawī, Yaḥyā bin Sharf, al-Minhāj Sharḥ Ṣaḥīḥ Muslim bin
al-Hajjāj, (Beirut: Dār Ihyā’ al-Turāth al-‘Arabī,1392), jil. 7, ms. 17.
قِيلَ
هَذِهِ الْأَحَادِيثُ خَرَجَتْ أَجْوِبَةً لِسَائِلِينَ سَأَلُوا عَنْ ذَلِكَ
فَأَجَابَ كُلَّ وَاحِدٍ مِنْهُمْ عَنْ سُؤَالِهِ هَذَا كَلَامُ الْقَاضِي
وَيَحْتَمِلُ أَنْ يَكُونَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَخْبَرَ بِقَبُولِ
شَفَاعَةِ مِائَةٍ فَأَخْبَرَ بِهِ ثُمَّ بقبول شفاعة أربعين ثم ثلاث صُفُوفٍ
وَإِنْ قَلَّ عَدَدُهُمْ فَأَخْبَرَ بِهِ وَيَحْتَمِلُ أَيْضًا أَنْ يُقَالَ هَذَا
مَفْهُومُ عَدَدٍ وَلَا يَحْتَجُّ بِهِ جَمَاهِيرُ الْأُصُولِيِّينَ فَلَا
يَلْزَمُ مِنَ الْإِخْبَارِ عَنْ قَبُولِ شَفَاعَةِ مِائَةٍ مَنْعُ قَبُولِ مَا
دُونَ ذَلِكَ وَكَذَا فِي الْأَرْبَعِينَ مَعَ ثَلَاثَةِ صُفُوفٍ وَحِينَئِذٍ
كُلُّ الْأَحَادِيثِ مَعْمُولٌ بِهَا وَيَحْصُلُ الشَّفَاعَةُ بِأَقَلِّ
الْأَمْرَيْنِ مِنْ ثَلَاثَةِ صُفُوفٍ وأربعين.

