#117 Taudhih Al-Hukmi :  Hukum Membeli Emas Bukan Perhiasan Secara Ansuran

#117 Taudhih Al-Hukmi :  Hukum Membeli Emas Bukan Perhiasan Secara Ansuran

Tarikh: 6 Julai 2026

Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah

Pendahuluan

Jual beli barangan ribawi dikira sah dan tiada unsur riba apabila memenuhi syarat yang ditetapkan. Antara bentuk pertukaran dua barangan ribawi ialah pertukaran emas bukan perhiasan dengan mata wang. Mata wang kini merupakan medium bagi kebanyakan transaksi dan diletakkan kedudukannya oleh para sarjana setara dengan emas dan perak dari sudut nilai dan ‘illahnya, iaitu thaman (wang). Justeru, apakah status jual beli emas bukan perhiasan secara ansuran yang kebiasaannya melibatkan pertukaran antara emas dengan mata wang?

Hukum Jual Beli Antara Dua Barangan Ribawi

Pertukaran antara dua barangan ribawi adalah berpandukan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Ubadah bin Samit RA, beliau berkata bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: 

‌الذَّهَبُ ‌بِالذَّهَبِ ‌وَالْفِضَّةُ ‌بِالْفِضَّةِ وَالْبُرُّ بِالْبُرِّ وَالشَّعِيرُ بِالشَّعِيرِ وَالتَّمْرُ بِالتَّمْرِ وَالْمِلْحُ بِالْمِلْحِ مِثْلًا بِمِثْلٍ سَوَاءً بِسَوَاءٍ يَدًا بِيَدٍ فَإِذَا اخْتَلَفَتْ هَذِهِ الْأَصْنَافُ فَبِيعُوا كَيْفَ شِئْتُمْ إِذَا كَانَ يَدًا بِيَدٍ

Maksudnya: (Jual) emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, timbangan dan beratnya mesti sama, penyerahan secara serta-merta. Namun, jika berbeza jenis, maka lakukanlah jual beli mengikut apa yang kamu kehendaki sekiranya bayaran dilakukan dengan serta-merta.[1]

Pertukaran antara barangan ribawi sejenis adalah dibenarkan tertakluk kepada syarat yang ditetapkan oleh para fuqaha berdasarkan hadis tersebut, iaitu:

1. Tamāthul (sama kuantiti antara keduanya).

2. Ḥulul (pertukaran serta-merta tanpa syarat bertangguh).

3. Taqābuḍ (berlaku penyerahan pegangan ketika memeterai kontrak).[2]

Namun, tamāthul tidak disyaratkan apabila kedua-duanya berlainan jenis seperti yang dinyatakan dalam hadis tersebut. Oleh itu, transaksi jual beli antara dua barangan ribawi yang berlainan jenis tetapi sama ‘illahnya adalah sah jika berlaku secara ḥulul dan taqābuḍ. Imam al-Nawawī berkata:

وَإِنْ كَانَا بِعِلَّةٍ فَإِنِ اتَّحَدَ الْجِنْسُ بِأَنْ بَاعَ الذَّهَبَ بِالذَّهَبِ وَالْحِنْطَةَ بِالْحِنْطَةِ ثَبَتَتْ أَحْكَامُ الرِّبَا الثَّلَاثَةُ فَتَجِبُ رِعَايَةُ التَّمَاثُلِ وَالْحُلُولِ وَالتَّقَابُضِ فِي الْمَجْلِسِ. وَإِنِ اخْتَلَفَ الْجِنْسُ كَالْحِنْطَةِ بِالشَّعِيرِ وَالذَّهَبِ بِالْفِضَّةِ لَمْ تُعْتَبَرِ الْمُمَاثَلَةُ وَيُعْتَبَرُ الْحُلُولُ وَالتَّقَابُضُ فِي الْمَجْلِس

Maksudnya: Jika kedua-dua barang tukaran mempunyai ‘illah dan jenis yang sama, seperti emas dengan emas, gandum dengan gandum, maka terpakai ketiga-tiga hukum riba tersebut. Oleh itu, syarat tamāthul, ḥulul, dan taqābuḍ perlu dijaga ketika majlis akad. Jika keduanya berlainan jenis seperti gandum dengan barli, emas dengan perak, maka tidak terpakai syarat tamāthul, namun disyaratkan ḥulul dan taqābuḍ ketika majlis akad.[3]

Bagi jual beli emas, kontrak yang terlibat ialah bay‘al-ṣarf yang mana‘illah antara dua barangan tukaran adalah thaman (wang). Syarat kontrak bay‘al-ṣarf adalah sama seperti syarat jual beli berserta syarat yang perlu dipenuhi bagi pertukaran antara dua barangan ribawi, iaitu tamāthul, ḥulul, dan taqābuḍ. Jika keduanya berlainan jenis tetapi sama ‘illahnya seperti emas bukan perhiasan dengan mata wang, maka hanya ḥulul dan taqābuḍ sebagai syarat yang perlu dipenuhi.

Pegangan Emas Secara Fizikal Atau Simpanan Dalam Akaun

Era kini, pegangan emas yang dimiliki boleh berlaku secara hakiki, iaitu fizikal atau secara hukmī, iaitu simpanan dalam akaun.[4] Pegangan emas secara hukmī bermaksud kuantiti emas yang dibeli tersimpan dalam suatu akaun dan direkodkan secara rasmi ketika pemeteraian kontrak. Emas tersebut boleh direkodkan melalui kaedah pensijilan atau penomboran bersiri atau apa-apa cara yang diiktiraf yang mana membolehkan pembeli menjual atau mendapatkannya secara fizikal pada bila-bila masa.[5] Pegangan ini juga mestilah membawa kepada takhliyyah (pemindahan hak pemilikan), tamkīn (hak faedah) dan ḍamān (hak liabiliti).[6] Imam al-Kasani menyebut:

ولا ‌يشترط ‌القبض ‌بالبراجم لأن معنى القبض هو التمكين والتخلي وارتفاع الموانع عرفا وعادة حقيقة

Maksudnya: Tidak disyaratkan berlakunya serahan melalui tangan (fizikal), kerana makna sebenar serahan merangkumi tamkīn (mengambil manfaat daripada barang tersebut), takhalli (penyerahan) dan tiada sebarang halangan (daripada menggunakannya untuk apa-apa urusan) menurut ‘urf dan kebiasaan secara hakiki.[7]

Qabḍ hukmī atau dikenali sebagai pegangan konstruktif juga diiktiraf Akademi Fiqh Islam Antarabangsa (IIFA) dalam persidangannya yang ke-6.[8] Selain itu, kontrak asas yang diaplikasikan dalam transaksi jual beli emas ialah bay‘al-ṣarf, iaitu kontrak pertukaran antara wang dengan wang yang terdiri daripada mata wang, emas dan perak sama ada daripada jenis yang sama atau bukan.[9]

Hukum Membeli Emas Bukan Perhiasan Secara Ansuran

Taqābuḍ dan ḥulul adalah sebahagian daripada syarat kontrak bay‘al-ṣarf. Oleh itu, transaksi jual beli emas bukan perhiasan dengan emas bukan perhiasan, perak atau mata wang pada asalnya tidak boleh dilakukan secara ansuran dan bertangguh[10] kerana ia bercanggah dengan ketetapan kontrak bay‘al-ṣarf.

Namun dalam konteks moden, bagi pembelian emas melalui kemudahan Beli Sekarang Bayar Kemudian (Buy Now Pay Later, BNPL), Majlis Penasihat Syariah (MPS) Bank Negara Malaysia (BNM) pada mesyuarat kali ke-228 dan ke-231 memutuskan bahawa bayaran boleh diselesaikan selewatnya dua hari selepas daripada tarikh transaksi disebabkan kekangan operasi dan amalan pasaran perniagaan (‘urf tijarī) atau lebih jika belaku gangguan di luar jangkaan (unexpected disruption). Hal ini selari dengan dua kaedah fiqh berikut:

الـمَشَقَّةُ تَجْلِبُ التَّيْسِيرَ

Maksudnya: Kesukaran membawa kepada keringanan

dan

العَادَّةُ مُحَكَّمَة

Maksudnya: Adat adalah asas penghakiman.[11]

Justeru, difahami bahawa pembelian emas bukan perhiasan menggunakan emas bukan perhiasan, perak, atau mata wang tidak boleh berlaku secara bertangguh atau secara ansuran.

 

Kesimpulan

Transaksi antara dua barangan ribawi yang mana ‘illahnya adalah thaman (wang) disyaratkan tamāthul, ḥulul, dan taqābuḍ jika keduanya daripada jenis yang sama seperti emas bukan perhiasan dengan emas bukan perhiasan. Namun begitu, tamāthul tidak wajib jika keduanya berlainan jenis seperti emas bukan perhiasan dengan mata wang sama ada taqābuḍ berlaku secara fizikal atau konstruktif. Justeru, pembelian emas bukan perhiasan tidak boleh dilakukan secara ansuran jika nilai tukarannya ialah emas bukan perhiasan, perak atau mata wang.

 



[1] Abu al-Husayn Muslim bin al-Hajjāj, Ṣaḥīḥ Muslim, (Turki: Dār al-Tibā‘ah al-‘Āmirah), no. hadis 1587, jil. 5, ms. 44.

[2] ‘Umar bin Husayn al-Kāf, Aḥmad bin Husayn al-Kāf & Muḥammad bin Muḥsin al-‘Aṭṭās, Naf‘u al-Asqā‘ Sharḥ Mu‘āmalat Abī Shujā‘ (Tarīm: Maktabah Tarīm al-Hadīthah), ms. 60.

[3] Al-Nawawī, Muḥy al-Dīn Yaḥyā bin Sharaf, Rawḍat al-Ṭālibīn wa ‘Umdat al-Muftīn, (t.t.p: Al-Maktab Al-’Islāmī), jil. 3, ms. 380.

[4] Dr. Zaharuddin Abd Rahman “Ensiklopedia Fiqh Muamalat dan Kewangan Islam”, Karya Bestari, ms. 498-499.

[5] Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions (AAOIFI), Shari’ah Standard No. (57) Gold and Its Trading Parameters in Shari’ah.

[6] Bank Negara Malaysia, Mesyuarat MPS 220, 228 dan 231.

[7] Al-Kāsānī, Abū Bakr bin Mas‘ūd, Baḍāi‘ al-Ṣanāi‘ fī Tartīb al-Sharāi‘, (Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1328), jil. 5, ms. 148. Disebutkan dalam Majallah al-Buhuth al-Islāmiyyah, jil. 95, ms. 213:

وقال الكاساني (ت: 587 هـ): (‌ولا ‌يشترط ‌القبض ‌بالبراجم ‌لأن ‌معنى ‌القبض ‌هو ‌التمكين ‌والتخلي وارتفاع الموانع عرفًا وعادةً حقيقة) .فالقبض استيلاء على الشيء وتمكنٌ منه وارتفاع الموانع من التصرف فيه.

[8] Majalah Majma’ al-Fiqh al-Islami, bil. 19, jil. 6, ms. 592.

بأنَّ الذمةَ الحاضرةَ كالعين الحاضرة وبأنَّ الدين في الذمة كالمقبوض

[9]  Bank Negara Malaysia, Policy Document Bai Al-Sarf, 11 April 2018, ms. 4.

[10] Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions (AAOIFI), Shariah’s Standard No. (1) Trading in Currencies, 31 Mei 2000, ms. 3.

[11] Bank Negara Malaysia, Kompilasi Keputusan Syariah Dalam Kewangan Islam, Edisi Ketiga, ms. 53.

Accessibility Toolbar