#115 Taudhih Al-Hukmi : Solat Sunat Rawatib Afdal Dilaksanakan di Rumah atau
di Masjid?
Tarikh: 22 Jun 2026
Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah
Pendahuluan
Solat sunat rawatib
ialah solat sunat yang mengiringi solat fardu sama ada sebelum atau selepasnya.
Di Malaysia, lazimnya masyarakat muslim menunaikan solat sunat rawatib
di masjid memandangkan mereka telah hadir untuk menyahut seruan solat fardu
secara berjemaah. Namun begitu, terdapat juga sebahagian masyarakat yang
memilih untuk menunaikan solat sunat rawatib di rumah. Kedua-dua keadaan
tersebut menimbulkan persoalan tentang tempat yang afdal bagi pelaksanaan solat
sunat rawatib iaitu sama ada di rumah atau di masjid.
Dalil Keutamaan Solat Sunat di Rumah
Secara umumnya, solat-solat sunat termasuk solat sunat rawatib afdal dilaksanakan di rumah
bersandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Thabit RA bahawa
Rasulullah SAW bersabda:
فَعَلَيْكُمْ
بِالصَّلَاةِ فِي بُيُوتِكُمْ فَإِنَّ خَيْرَ صَلَاةِ الْمَرْءِ فِي بَيْتِهِ إِلَّا
الصَّلَاةَ الْمَكْتُوبَة[1]
Maksudnya:
Hendaklah kamu mengerjakan solat di rumah kamu kerana sebaik-baik solat
seseorang adalah di rumahnya kecuali solat fardu.
(Riwayat
Muslim)
Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa hadis ini menunjukkan solat
sunat termasuk solat sunat rawatib afdal dilaksanakan di rumah tanpa
mengira sama ada solat sunat sebelum atau selepas solat fardu. Pernyataan
beliau seperti berikut:
فَإِنَّ
خَيْرَ صَلَاةِ الْمَرْءِ فِي بَيْتِهِ إِلَّا الصَّلَاةَ الْمَكْتُوبَةَ هَذَا عَامٌّ
فِي جَمِيعِ النَّوَافِلِ الْمُرَتَّبَةِ مَعَ الْفَرَائِضِ وَالْمُطْلَقَةِ
إِلَّا فِي النَّوَافِلِ الَّتِي هِيَ مِنْ شَعَائِرِ الْإِسْلَامِ وَهِيَ
الْعِيدُ وَالْكُسُوفُ وَالِاسْتِسْقَاءُ وَكَذَا التَّرَاوِيحُ عَلَى الْأَصَحِّ
فَإِنَّهَا مَشْرُوعَةٌ فِي جَمَاعَةٍ فِي الْمَسْجِدِ [2]
Maksudnya: Sebaik-baik solat seseorang adalah
di rumahnya kecuali solat fardu. Perkara ini bersifat umum bagi semua solat
sunat yang beriringan dengan solat fardu beserta solat sunat mutlaq kecuali beberapa solat sunat yang
disyariatkan untuk dilakukan secara terbuka sebagai syiar Islam seperti solat sunat hari raya, solat sunat
gerhana, solat sunat istisqa’ (meminta
hujan) dan solat sunat tarawih menurut pendapat yang asoh. Hal ini
kerana, solat-solat tersebut disyariatkan untuk dilaksanakan secara berjemaah
di masjid.
Pendapat Ulama Berkaitan Kebaikan
Solat Sunat Di Rumah Berdasarkan Hadis Nabi SAW
1.
Al-Qadhi ‘Iyadh
Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا
قَضَى أَحَدُكُمُ الصَّلَاةَ فِي
مَسْجِدِهِ، فَلْيَجْعَلْ لِبَيْتِهِ نَصِيبًا مِنْ صَلَاتِهِ فَإِنَّ
اللهَ جَاعِلٌ
فِي بَيْتِهِ مِنْ
صَلَاتِهِ
خَيْرًا [3]
Maksudnya:
Apabila seseorang
daripada kalian selesai menunaikan solat di masjid, maka hendaklah dia
menunaikan sebahagian daripada solatnya yang lain di rumahnya. Sesungguhnya
Allah SWT akan mengurniakan kebaikan daripada solat yang dilaksanakan di
rumah.
(Riwayat Muslim)
Hadis tersebut menunjukkan galakan supaya seseorang
menjadikan sebahagian solat sunatnya di masjid dan dirumah. Dinyatakan dalam
kitab Ikmal
al-Mu‘allim bi-Fawaid Muslim bahawa kebaikan yang dimaksudkan dalam
ayat جاعل
في بيته من صلاته خيرا adalah:
بأنها تحضره الملائكة وتنفر منه الشياطين، ويتسع على أهله[4]
Maksudnya: Orang yang mendirikan
solat di dalam rumahnya akan dikunjungi para malaikat, dijauhkan daripada
syaitan serta disebarkan keberkatan kepada ahli keluarganya.
2.
Shihab al-Din al-Turbishti
Shihab
al-Din al-Turbishti menimbulkan persoalan bahawa bagaimanakah Baginda SAW
memerintahkan supaya solat sunat ditunaikan di rumah (hadis Zaid), sedangkan
pada masa yang sama Baginda SAW pernah menyatakan bahawa Allah SWT menjanjikan
pahala bagi mereka yang keluar menunaikannya (terdapat hadis lain yang
menyatakan bahawa pahala solat di luar rumah menyamai pahala orang yang
menunaikan umrah dan solat yang dimaksudkan termasuklah solat sunat). Hadis
tersebut ialah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah RA bahawa Rasulullah SAW
bersabda:
من
خرج من بيته متطهرا إلى صلاة مكتوبة فأجره كأجر الحاج المحرم، ومن خرج إلى تسبيح
الضحى لا ينصبه إلا إياه فأجره كأجر المعتمر، وصلاة على إثر صلاة لا لغو بينهما
كتاب في عليين[5]
Maksudnya:
Sesiapa yang keluar dari rumahnya dalam keadaan bersuci (mempunyai wuduk)
menuju (ke masjid) untuk menunaikan solat fardu (berjemaah), maka pahalanya
sama seperti pahala orang yang mengerjakan haji dalam keadaan berihram. Begitu
juga sesiapa yang keluar (dari rumahnya dalam keadaan yang sama dinyatakan tadi
iaitu suci dan mempunyai wuduk) menuju (ke masjid) untuk menunaikan solat sunat
Dhuha dalam keadaan tidak ada sesuatu yang lain mendorongnya melakukan
sedemikian melainkan keinginannya sendiri, maka baginya pahala seperti orang
yang mengerjakan umrah. Solat yang diikuti dengan solat yang lain tanpa
diselangi dengan perbuatan sia-sia di antara keduanya, (akan dicatatkan
sebagai) satu catatan dalam ‘Illiyyīn.
(Riwayat Abu Daud)
Al-Turbishti
menggunakan pendekatan yang baik bagi mengharmonikan kedua-dua hadis (Hadis
Zaid dengan hadis Abu Umamah) yang kelihatan bercanggah. Beliau menyatakan
bahawa:
يحتمل أن يكون قوله – صلى الله عليه وسلم
– مختصا بصلاة الليل وإن كان ظاهر لفظه يقتضي العموم[6]
Maksudnya: Sabda
Nabi SAW (hadis Zaid) tersebut berkemungkinan khusus merujuk kepada solat sunat
pada waktu malam walaupun pada zahir lafaznya menunjukkan makna umum.
Al-Turbishti menjelaskan bahawa hadis Zaid tersebut
diucapkan oleh Baginda SAW sewaktu Baginda SAW selesai mendirikan solat tarawih
bersama para Sahabat RA di bulan Ramadan. Ketika mana Baginda SAW melihat para
Sahabat RA masih berkumpul menunggu Baginda untuk meneruskan solat sunat
bersama-sama, Baginda SAW bimbang solat sunat tersebut akan diwajibkan ke atas
para Sahabat RA sedangkan mereka mungkin tidak mampu melaksanakannya. Oleh
sebab itu, Baginda SAW juga menganjurkan agar sebahagian solat sunat dilaksanakan
di rumah berdasarkan hadis Zaid tadi.
Al-Turbishti berpandangan bahawa secara
zahirnya, Baginda SAW menyarankan para Sahabat RA menunaikan solat di rumah
kerana tiga perkara iaitu:
1. Baginda
SAW lebih menyukai para Sahabat RA mengambil rukhsah yang diberikan oleh Allah
SWT iaitu solat sunat tidak hanya dilakukan di masjid sahaja, berbeza dengan
Ahli Kitab yang hanya menunaikan ibadat mereka di gereja dan rumah-rumah ibadat
khusus.
2. Baginda SAW lebih menyukai para Sahabat RA menunaikan solat
sunat di rumah agar keberkatan daripada amalan tersebut meliputi rumah mereka. Dalam erti kata lain, keberkatan yang
dimaksudkan adalah:
فيرتحل عنها
الشيطان وينزل فيه الخير والسكينة
Maksudnya:
Syaitan akan menjauh dari rumah tersebut. Kebaikan dan ketenangan akan
diturunkan padanya.
3.
Baginda SAW melihat bahawa solat
sunat yang dilakukan di rumah itu adalah lebih baik sebagai langkah menjaga
seseorang daripada perasaan riak dan keinginan untuk mendapatkan pujian manusia
yang sememangnya menjadi tabiat semula jadi manusia.
Berdasarkan perkara
pertama dan kedua, jika seseorang menunaikan sebahagian solat sunatnya di
rumah, maka dia telah menunaikan tuntutan yang disyariatkan ke atasnya. Manakala
berdasarkan perkara ketiga pula, jika seseorang mampu menunaikan solat sunat di
masjid tanpa terdorong hatinya dengan perasaan riak dan keinginan mendapatkan
pujian, maka solat sunat yang dilakukan di masjid itu tidak kurang keutamaannya
berbanding solat di rumah.
3.
Al-Hafiz
al-Iraqi
Beliau menyatakan di dalam Ṭarh al-Tathrīb fī Sharh al-Taqrīb bahawa:
وَاتَّفَقَ
الْعُلَمَاءُ عَلَى أَفْضَلِيَّةِ فِعْلِ النَّوَافِلِ الْمُطْلَقَةِ فِي
الْبَيْتِ وَاخْتَلَفُوا فِي الرَّوَاتِبِ فَقَالَ الْجُمْهُورُ الْأَفْضَلُ
فِعْلُهَا فِي الْبَيْتِ أَيْضًا وَسَوَاءٌ فِي ذَلِكَ رَاتِبَةُ اللَّيْلِ
وَالنَّهَارِ قَالَ النَّوَوِيُّ: وَلَا خِلَافَ فِي هَذَا عِنْدَنَا وَقَالَ
الْقَاضِي أَبُو بَكْرِ بْنُ الْعَرَبِيِّ: لَمْ يَخْتَلِفْ أَحَدٌ مِنْ أَهْلِ
الْعِلْمِ فِي ذَلِك[7]
Maksudnya: Para ulama telah sepakat tentang
keafdalan mengerjakan solat sunat mutlak di rumah. Namun, mereka berbeza
pendapat tentang solat sunat rawatib.
Jumhur berpendapat bahawa ia juga afdal dilakukan di rumah termasuklah sama ada
solat sunat rawatib yang dilakukan
pada waktu malam dan siang. Imam al-Nawawi berkata: Dan tidak ada khilaf di sisi kami dalam perkara ini. Al-Qadhi Abu Bakar Ibn al-‘Arabiy berkata: Tidak ada seorang pun daripada
kalangan ahl al-ilm yang berbeza
pendapat dalam hal tersebut.
Berdasarkan pendapat tersebut, ulama bersepakat
bahawa solat sunat mutlak afdal dilakukan di rumah. Begitu juga bagi solat
sunat rawatib, afdal dilakukan di rumah sama ada pada waktu malam atau
siang sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dan al-Qadhi Ibn
al-‘Arabi bahawa tiada khilaf dalam perkara ini.
Kedudukan Rumah
Nabi SAW Yang Berhampiran Masjid Dan Hubungannya Dengan Solat Sunat Rawatib
Diriwayatkan daripada Aishah RA apabila ditanyakan kepada
beliau tentang solat sunat rawatib Nabi SAW, lalu beliau mengatakan:
كَانَ
يُصَلِّي فِي بَيْتِي قَبْلَ الظُّهْرِ أَرْبَعًا، ثُمَّ يَخْرُجُ فَيُصَلِّي بِالنَّاسِ،
ثُمَّ يَدْخُلُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ. وَكَانَ يُصَلِّي بِالنَّاسِ الْمَغْرِبَ
ثُمَّ يَدْخُلُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ، وَيُصَلِّي بِالنَّاسِ الْعِشَاءَ
وَيَدْخُلُ بَيْتِي فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ. وَكَانَ يُصَلِّي مِنَ اللَّيْلِ
تِسْعَ رَكَعَاتٍ فِيهِنَّ الْوِتْرُ
[8]
Maksudnya:
Kebiasaannya, Baginda SAW menunaikan solat empat rakaat di rumahku sebelum
Zohor, kemudian keluar dan mengimami solat bersama orang ramai. Setelah itu,
Baginda SAW masuk (ke rumah) lalu menunaikan dua rakaat. Baginda SAW menunaikan
solat Maghrib bersama orang ramai, kemudian masuk (ke rumah) dan menunaikan dua
rakaat. Baginda SAW menunaikan solat Isyak bersama orang ramai, lalu masuk (ke
rumahku) dan menunaikan dua rakaat. Pada waktu malam, Baginda SAW menunaikan
sembilan rakaat termasuk di dalamnya solat witir.
(Riwayat
Muslim)
Hadis ini menunjukkan bahawa
Rasulullah SAW lazimnya menunaikan solat sunat rawatib di rumah walaupun
Baginda SAW menunaikan solat fardu secara berjemaah di masjid. Perkara ini
menjadi dalil kepada keafdalan menunaikan solat sunat di rumah kerana ia
merupakan amalan yang berterusan dilakukan oleh Baginda SAW.
Daripada
gambaran hadis Aisyah RA, dapat difahami bahawa jarak antara rumah Nabi SAW
dengan masjid adalah sangat dekat bahkan berada dalam lingkungan yang
membolehkan Baginda SAW bergerak dengan mudah tanpa perlukan kepada sebarang
pengangkutan. Namun demikian, keadaan tersebut perlu difahami berdasarkan
suasana pada zaman Nabi SAW iaitu kedudukan rumah Baginda SAW yang sangat
hampir dengan masjid.
Berbeza
dengan kebanyakan keadaan di Malaysia pada hari ini, khususnya di kawasan
bandar dan pinggir bandar, ramai jemaah perlu bergerak menggunakan kenderaan
serta menempuh jarak tertentu untuk ke masjid dalam kawasan kariah yang luas. Oleh
itu, pelaksanaan solat sunat rawatib di masjid selepas solat fardu berjemaah
juga mempunyai pertimbangan tersendiri daripada sudut kemudahan, kesinambungan
ibadah serta mengelakkan kesukaran untuk berulang-alik antara rumah dengan
masjid.
Para Sahabat Yang Menunaikan Solat
Sunat Rawatib Di Masjid
Abu Hurairah RA meriwayatkan hadis
daripada Abu Sufyan RA dan Jabir RA bahawa mereka berdua telah berkata:
جَاءَ
سُلَيْكٌ الْغَطَفَانِيُّ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
يَخْطُبُ فَقَالَ
لَهُ النَّبِيُّ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَصَلَّيْتَ
رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ تَجِيءَ؟
قَالَ: لَا قَالَ: فَصَلِّ
رَكْعَتَيْنِ وَتَجَوَّزْ فِيهِمَا[9]
Maksudnya: Sulaik
al-Ghatafani tiba (di masjid) ketika Rasulullah SAW sedang berkhutbah. Lalu
Nabi SAW bersabda kepadanya: Adakah engkau telah menunaikan dua rakaat sebelum
datang? Dia menjawab: Tidak. Baginda bersabda: Maka tunaikanlah dua rakaat dan
ringkaskanlah (solat tersebut).
(Riwayat
Ibn Majah)
Hadis berkaitan Sulaik al-Ghatafani
RA menunjukkan bahawa terdapat keadaan para Sahabat RA menunaikan solat sunat
di masjid dan Nabi SAW membenarkan perbuatan tersebut dalam situasi tertentu. Perkara
ini sekali gus menunjukkan bahawa pelaksanaan solat sunat rawatib tidak
terhad di rumah sahaja dan keharusan menunaikannya di masjid bahkan dalam
situasi tertentu keutamaan menunaikannya di masjid bergantung kepada keadaan
dan maslahah ibadah.
Pandangan Yang Terpilih
Setelah meneliti dalil-dalil hadis
yang berkaitan serta pandangan para ulama, kami berpandangan bahawa hukum asal
bagi solat sunat rawatib adalah afdal dilaksanakan di rumah sebagaimana
yang diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW. Pendekatan ini menepati maksud asal
pensyariatan solat sunat iaitu bagi menghidupkan rumah dengan ibadah,
menjauhkan rumah daripada gangguan syaitan serta lebih selamat daripada unsur
riak dan keinginan untuk dipuji.
Walau
bagaimanapun, tuntutan menunaikan solat sunat di rumah tidak menafikan
keharusan serta kelebihan menunaikannya di masjid dalam keadaan tertentu. Hal
ini kerana, terdapat juga riwayat yang menunjukkan keharusan menunaikan solat
sunat rawatib di masjid.
Keadaan ini lebih relevan dalam situasi misalnya bagi jemaah yang
mempunyai kekangan seperti:
1. Mempunyai
tugas lain yang perlu didahulukan.
2.
Memerlukan kenderaan untuk ke masjid atas faktor jarak rumah dengan masjid
agak jauh.
3.
Merasa bimbang akan terlupa menunaikan solat sunat jika dilakukan di rumah.
4. Mempunyai
urusan kerja yang memerlukan pergerakan segera ke lokasi lain selepas solat
fardu.
5. Memperoleh
risiko batalnya wuduk serta terdorong oleh rasa malas untuk mengambil semula
wuduk semata-mata bagi menunaikan solat sunat.
Dalam keadaan seperti sedemikian, menunaikan
solat sunat rawatib di masjid adalah diharuskan dan lebih sesuai serta
tetap mendapat ganjaran pahala. Bahkan, ia boleh menjadi lebih utama kerana
menjaga kesinambungan ibadah selepas solat fardu tanpa tertangguh dan mengelakkan
terlepas daripada melaksanakannya.
Kesimpulan
Keutamaan
menunaikan solat sunat rawatib di rumah merupakan hukum asal dan menjadi
pegangan jumhur ulama. Walau bagaimanapun, pelaksanaannya di masjid juga merupakan
suatu pilihan yang turut dianjurkan selari dengan maqasid syariah serta wajar
diraikan dalam kepelbagaian situasi. Oleh itu, sama ada solat sunat rawatib
ditunaikan di rumah atau di masjid, kedua-duanya mempunyai fadilat yang
tersendiri berdasarkan hadis Nabi SAW dan tetap memperoleh ganjaran pahala.
[1] Muslim
bin al-Hajjāj al-Qusyairī al-Naisābūrī, Sāhīh
Muslim, (Turkī:Dār al-Ṭobā’ah al-‘Āmirah, 1915M), no. hadis 781, jil. 2, ms.
188.
[2] Al-Nawawī,
Abū Zakariyā Muḥyī bin Sharf, al-Minhāj Sharh
Sahīh Muslim bin al-Hajjāj, (Beirut: Dār Ihya’ al-Turath al-Arabī, 1972M),
jil 6, ms 70.
[3] Muslim
bin al-Hajjāj al-Qusyairī al-Naisābūrī, Sāhīh
Muslim, (Turkī:Dār al-Ṭobā’ah al-‘Āmirah, 1915M), no. hadis 778, jil. 2,
ms. 187.
[4] Al-Qāḍī ‘Iyāḍh, ‘Iyāḍh ibn Mūsā ibn ‘Iyāḍ ibn ‘Amrūn al-Yahṣabī
al-Sabtī, Ikmāl al-Mu‘allim bi-Fawāid Muslim, (Mesir: Dār al-Wafā’ li
al-Ṭibā‘ah wa al-Nashr wa al-Tawzī‘, 1998), jil. 3, ms. 154.
[5] Abū Dāwūd, Abū
Dāwūd Sulaymān ibn al-Ash‘ath al-Sijistānī, Sunan Abī Dāwūd ma‘a
Sharḥ ‘Awn al-Ma‘būd, (Delhi, India: Matba‘ah al-Ansariyyah, 1323H), no.
hadis 558, jil, 1, ms. 218.
[6] Shihāb al-Dīn al-Turbishtī, Faḍlallāh ibn Ḥasan ibn Ḥusayn ibn
Yūsuf Abū ‘Abdullāh, al-Muyassar fī Sharḥ Maṣābīḥ al-Sunnah li al-Turbishtī,
(Maktabah Nizzār Muṣṭafā al-Bāz, 1437 H), jil. 1, ms. 216.
[7] Al-‘Irāqī,
Zain al-Dīn Abd al-Raḥīm bin al-Ḥusain bin Abd al-Rahman bin Abī Bakr bin
Ibrāhīm, Ṭarh al-Tathrīb fī Syarh al-Taqrīb
(Al-Ṭob’ah al-Misriyyah al-Qadīmah), jil 3, ms 36.
[8] Muslim, Muslim bin al-Hajjāj al-Qusyairī al-Naisābūrī, Sāhīh Muslim, (Turkī:Dār al-Ṭobā’ah
al-‘Āmirah, 1334H), no. hadis 730, jil. 2, no. 162.
[9] Ibn
Mājah, Abū ʿAbd Allāh Muḥammad ibn Yazīd al-Qazwīnī, Sunan Ibn Mājah, (Dār
Iḥyāʾ al-Kutub al-ʿArabiyyah, t.t.),
no. hadis 1114, jil. 1, ms. 353.

