#22 Taudhih Al-Falak : Permulaan Takwim Hijrah

#22Taudhih al-Falak:  Permulaan Takwim Hijrah

 

Tarikh: 16 Jun 2026

Disediakan oleh: Nabeela Akrasha binti Surtahman

 

Pendahuluan

Takwim Hijrah merupakan sistem kalendar yang digunakan dalam Islam bagi menetapkan pelbagai ibadah seperti puasa Ramadhan, Hari Raya Eidul Fitri, Hari Raya Eidul Adha dan ibadah haji. Berbeza dengan Takwim Miladi yang berasaskan perhitungan waktu peredaran bumi mengelilingi matahari, Takwim Hijrah dirangka berdasarkan peredaran bulan mengelilingi bumi.

Bagaimanakah Takwim Hijrah bermula dan mengapakah ia bermula dengan bulan Muharram?

 

Sejarah Takwim Hijrah

Pada zaman Rasulullah SAW, umat Islam belum mempunyai sistem pentarikhan tahun yang khusus. Keadaan ini berterusan sehingga zaman pemerintahan khalifah kedua, Khalifah Umar al-Khattab RA apabila wilayah Islam semakin berkembang dan urusan pentadbiran memerlukan sistem tarikh yang lebih tersusun.

Di dalam kitab al-Bidayah wa al-Nihayah, Ibn Kathir menukilkan beberapa faktor yang mendorong Khalifah Umar RA memperkenalkan sistem pentarikhan Islam;

1.    Satu dokumen berkaitan hutang telah dibawa kepada Saidina Umar RA yang menyatakan tempoh pelunasannya ialah pada bulan Sya’ban tanpa menyebutkan tahun. Saidina Umar RA lalu bertanya;

أَيُّ شَعْبَانَ؟ أَشَعْبَانُ هَذِهِ السَّنَةِ الَّتِي نَحْنُ فِيهَا، أَوِ السَّنَةِ الْمَاضِيَةِ أَوِ الْآتِيَةِ؟[1]

Maksudnya: Sya’ban yang mana? Adakah Sya’ban tahun ini, tahun lalu atau tahun hadapan?

2.    Seorang lelaki datang menemui Saidina Umar RA lalu mencadangkan agar diwujudkan sistem pentarikhan. Dia berkata:

أَرِّخُوا، فَقَالَ عُمَرُ: مَا أَرِّخُوا؟ فَقَالَ: شَيْءٌ تَفْعَلُهُ الْأَعَاجِمُ يَكْتُبُونَ فِي شَهْرِ كَذَا مِنْ سَنَةِ كَذَا، فَقَالَ عُمَرُ: حَسَنٌ فَأَرِّخُوا[2]

Maksudnya: Tetapkanlah suatu sistem pentarikhan. Saidina Umar RA bertanya: Apakah yang dimaksudkan dengan pentarikhan itu? Lelaki tersebut menjawab: Ia merupakan suatu amalan yang dilakukan oleh bangsa-bangsa bukan Arab. Mereka menulis pada bulan sekian dalam tahun sekian. Maka Saidina Umar RA berkata: Cadangan itu baik. Oleh itu, tetapkanlah sistem pentarikhan.

 

Perkara ini mendorong para sahabat bermesyuarat bagi menetapkan satu sistem takwim rasmi untuk umat Islam dengan beberapa cadangan dikemukakan, antaranya;[3]

1.    Penggunaan takwim Rom, namun ditolak kerana terlalu lama sejarahnya.

2.    Penggunaan takwim Parsi, namun ditolak kerana setiap kali seorang raja baru memerintah, takwim sebelumnya dibatalkan.

3.    Tahun kelahiran Nabi SAW.

4.    Tahun Baginda diutuskan sebagai rasul.

5.    Tahun kewafatan Baginda.

Namun para sahabat akhirnya bersetuju memilih peristiwa Hijrah Rasulullah SAW sebagai asas permulaan takwim kerana ia menjadi titik perubahan besar dalam sejarah perkembangan Islam. Kesepakatan ini berlaku pada tahun 16 Hijrah ketika pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab RA[4].

 

Struktur Takwim Hijrah

Takwim Hijri mempunyai 12 bulan iaitu bulan Muharram, Safar, Rabi’ul Awwal, Rabi’ul Akhir, Jumadal Ula, Jumadal Akhirah, Rajab, Sya’ban, Ramadhan, Syawwal, Zulqa’dah dan Zulhijjah. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Taubah ayat 36;

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ

Maksudnya: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati.

 

Begitu juga di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abi Bakrah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

الزمانُ قد استدارَ كهيئتِه يومَ خلقَ اللهُ السماواتِ والأرضَ ، السنةُ اثنا عشر شهرًا ، منها أربعةٌ حُرُمٌ ، ثلاثةٌ مُتوالياتٌ : ذو القَعدةِ وذو الحِجَّةِ والمحرَّمُ ، ورجبُ مُضر ، الذي بين جُمادى وشعبانَ[5]

Maksudnya: Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada 12 bulan, daripadanya terdapat 4 bulan yang haram (suci) iaitu 3 daripadanya mengikut turutan: Zulqa’dah, Zulhijjah dan Muharram, manakala yang keempat adalah Rajab terletak antara Jumadal Akhirah dan Sya’ban.

 

Manakala, di dalam setiap bulan Hijri mempunyai 29 atau 30 hari bergantung kepada ijtimak dan kenampakan anak bulan.

Hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Umar RA, Rasulullah SAW bersabda;

إِنَّا أُمَّةٌ أُمِّيَّةٌ، لاَ نَكْتُبُ وَلاَ نَحْسُبُ الشَّهْرُ هَكَذَا وَهَكَذَا.‏ يَعْنِي مَرَّةً تِسْعَةً وَعِشْرِينَ، وَمَرَّةً ثَلاَثِينَ[6]

Maksudnya: Sesungguhnya kami adalah umat yang ummi, kami tidak menulis dan tidak menghitung. Bulan itu begini dan begini…(iaitu kadangkala 29 hari dan kadangkala 30 hari).

(Riwayat al-Bukhari)

 

Bulan Muharram sebagai Permulaan Takwim

Diriwayatkan daripada Sahl bin Sa‘d, katanya:

 مَا عَدُّوا مِنْ مَبْعَثِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلاَ مِنْ وَفَاتِهِ، مَا عَدُّوا إِلَّا مِنْ مَقْدَمِهِ المَدِينَةَ[7]

Maksudnya: Tidaklah para sahabat menghitung tarikh bulan bermula daripada pengutusan Nabi SAW atau kewafatan Baginda. Tidak juga mereka hitung tarikh melainkan (bermula) daripada waktu kedatangan Baginda ke Madinah.

 (Riwayat al-Bukhari)

 

Hadis ini menunjukkan bahawa para sahabat telah menjadikan peristiwa Hijrah Rasulullah SAW ke Madinah sebagai asas permulaan Takwim Hijrah.

Hijrah Rasulullah SAW berlaku pada bulan Rabi’ul Awwal. Namun mengapakah Takwim Hijrah bermula dengan bulan Muharram?

Hal ini kerana para sahabat menetapkan Muharram sebagai bulan pertama dalam Takwim Hijrah. Ibn Hajar al-‘Asqalani menjelaskan bahawa keputusan tersebut dibuat kerana azam dan persediaan untuk berhijrah bermula selepas Bai‘ah al-‘Aqabah yang berlaku pada bulan Zulhijjah[8]. Oleh sebab bulan Muharram merupakan bulan yang muncul selepas bulan yang berlakunya Bai‘ah al-‘Aqabah, para sahabat melihat ia lebih sesuai dijadikan permulaan tahun Hijrah.

 

Beliau menyatakan:

وَإِنَّمَا ‌أَخَّرُوهُ ‌مِنْ ‌رَبِيعٍ ‌الْأَوَّلِ إِلَى الْمُحَرَّمِ لِأَنَّ ابْتِدَاءَ الْعَزْمِ عَلَى الْهِجْرَةِ كَانَ فِي الْمُحَرَّمِ إِذِ الْبَيْعَةُ وَقَعَتْ فِي أَثْنَاءِ ذِي الْحِجَّةِ وَهِيَ مُقَدِّمَةُ الْهِجْرَةِ فَكَانَ أَوَّلُ هِلَالٍ اسْتَهَلَّ بَعْدَ الْبَيْعَةِ وَالْعَزْمِ عَلَى الْهِجْرَةِ هِلَالُ الْمُحَرَّمِ فَنَاسَبَ أَنْ يُجْعَلَ مُبْتَدَأً

Maksudnya: Sesungguhnya mereka melewatkan permulaan tahun daripada bulan Rabi’ul Awwal kepada bulan Muharram kerana permulaan azam untuk berhijrah berlaku pada bulan Muharram. Hal ini kerana Bai‘ah al-‘Aqabah berlaku pada pertengahan bulan Zulhijjah, sedangkan bai‘ah tersebut merupakan pendahuluan kepada peristiwa Hijrah. Oleh itu, anak bulan pertama yang muncul selepas bai‘ah dan keazaman untuk berhijrah ialah anak bulan Muharam. Maka, adalah bertepatan untuk dijadikan Muharam sebagai permulaan tahun.

 

Terdapat juga riwayat daripada Muhammad bin Sirin yang mengatakan bulan Muharram dicadangkan kerana ia merupakan waktu kepulangan manusia daripada menunaikan haji dan ia juga merupakan salah satu bulan haram.

ثُمَّ قَالُوا: فَأَيَّ الشُّهُورِ نَبْدَأُ؟ فَقَالُوا: رَمَضَانَ، ثُمَّ قَالُوا: الْمُحَرَّمَ، فَهُوَ مُنْصَرَفُ النَّاسِ مِنْ حَجِّهِمْ، وَهُوَ شَهْرٌ حَرَامٌ، فَأَجْمَعُوا عَلَى الْمُحَرَّمِ[9]

Maksudnya: Kemudian mereka berkata: Bulan manakah yang hendak kita jadikan sebagai permulaan tahun? Sebahagian mereka mencadangkan Ramadhan. Kemudian mereka mencadangkan Muharram, kerana ia merupakan waktu kepulangan manusia daripada menunaikan haji dan ia juga merupakan salah satu bulan haram.

 

Takwim Islam yang kemudiannya dikenali sebagai Takwim Hijrah telah diasaskan oleh Khalifah Umar Al-Khattab RA pada zaman pemerintahannya. Setelah perbincangan dilakukan bersama para sahabat, mereka bersepakat menjadikan peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah sebagai asas permulaan kiraan tahun Islam.

 

Kesimpulan

Pemilihan bulan Muharram sebagai bulan pertama dalam Takwim Hijrah adalah kerana ia merupakan bulan bermulanya keazaman untuk berhijrah selepas peristiwa Bai‘ah al-‘Aqabah. Selain itu, bulan Muharram juga merupakan waktu kepulangan para jemaah haji serta termasuk dalam bulan-bulan haram yang dimuliakan dalam Islam.

Sehingga kini, Takwim Hijrah kekal digunakan dalam urusan keagamaan umat Islam serta melambangkan identiti umat Islam.

 

 



[1] Ibn Kathīr, Ismā‘īl bin ‘Umar bin Kathīr al-Dimashqī, al-Bidāyah wa al-Nihāyah, (Giza, Mesir: Hajr li al-Ṭibā‘ah wa al-Nashr wa al-Tawzī‘, 1997), jil. 4, ms. 510.

 

[2] Ibn Kathīr, Ismā‘īl bin ‘Umar bin Kathīr al-Dimashqī, al-Bidāyah wa al-Nihāyah, jil. 4, ms. 511.

[3] Al-Ṭabarī, Abū Ja‘far Muḥammad bin Jarīr al-Ṭabarī, Tārīkh al-Rusul wa al-Mulūk, wa Ṣilat Tārīkh al-Ṭabarī, (Beirut: Dār al-Turāth, 1967), jil. 2, ms. 391; Ibn Ḥajar al-‘Asqalānī, Aḥmad bin ‘Alī bin Ḥajar, Fatḥ al-Bārī Sharḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, (Beirut: Dār al-Ma‘rifah, 1959), jil. 7, ms. 269; Ibn Kathīr, Ismā‘īl bin ‘Umar bin Kathīr al-Dimashqī, al-Bidāyah wa al-Nihāyah, jil. 4, ms. 511.

[4] Al-Dhahabī, Shams al-Dīn Abū ‘Abdullāh Muḥammad bin Aḥmad bin ‘Uthmān al-Dhahabī, Siyar A‘lām al-Nubalā’, (Beirut, Lubnan: Mu’assasah al-Risālah, 1985), jil. 2, ms. 432.

[5] Al-Bukhārī, Abū ‘Abdullāh Muḥammad bin Ismā‘īl al-Bukhārī al-Ju‘fī, Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, (Damsyik, Syria: Dār Ibn Kathīr, 1993), Kitāb Bad’ al-Khalq, Bāb Mā Jā’a fī Sab‘ Arāḍīn, Hadis no. 3025, jil. 3, ms. 1168.

[6] Al-Bukhārī, Abū ‘Abdullāh Muḥammad bin Ismā‘īl al-Bukhārī al-Ju‘fī, Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, (Damsyik, Syria: Dār Ibn Kathīr, 1993), Kitāb al-Ḥajj, Hadis no. 1814, jil. 2, ms. 675.

[7] Al-Bukhārī, Abū ‘Abdullāh Muḥammad bin Ismā‘īl al-Bukhārī al-Ju‘fī, Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, (Damsyik, Syria: Dār Ibn Kathīr, 1993), Kitāb Manāqib al-Anṣār, Hadis no. 3934, jil. 4, ms. 242.

[8] Ibn Ḥajar al-‘Asqalānī, Aḥmad bin ‘Alī bin Ḥajar, Fatḥ al-Bārī Sharḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, jil. 7, ms. 268.

[9] Al-Ṭabarī, Abū Ja‘far Muḥammad bin Jarīr al-Ṭabarī, Tārīkh al-Rusul wa al-Mulūk, wa Ṣilat Tārīkh al-Ṭabarī, jil. 2, ms. 389.

Accessibility Toolbar