Hukum Darah Yang Keluar Ketika Wanita Mengandung
Disediakan oleh : Unit Dirasat Ilmiah
Tarikh : 8 Jun 2026
Pendahuluan
Kehamilan merupakan satu fasa penting dalam kehidupan seorang wanita yang melibatkan pelbagai perubahan dari sudut fizikal, emosi dan kesihatan. Dalam tempoh ini, wanita hamil sering berhadapan dengan pelbagai keadaan yang menimbulkan persoalan, antaranya ialah berlakunya pendarahan ketika mengandung. Situasi ini bukan sahaja menimbulkan kebimbangan dari sudut kesihatan, bahkan juga dari sudut hukum-hakam berkaitan ibadah seperti solat dan puasa. Hal ini kerana penentuan jenis darah yang keluar akan memberi kesan secara langsung terhadap pelaksanaan ibadah seseorang wanita. Justeru itu, apakah darah yang keluar ketika wanita mengandung, adakah ia dihukumkan sebagai darah haid, istihadhah atau selainnya?
Darah Yang Keluar Bagi Wanita
Secara umumnya, darah yang keluar daripada faraj wanita terbahagi kepada empat jenis berdasarkan keadaan dan syarat tertentu, iaitu: haid, istihadhah, wiladah dan nifas.
- Haid
Haid ialah darah semula jadi yang keluar daripada pangkal rahim wanita dalam keadaan sihat pada waktu tertentu. Tempoh minimum haid ialah sehari semalam (24 jam) dan tidak melebihi 15 hari 15 malam. Menurut syarak, wanita hamil masih berkemungkinan mengalami haid sekiranya memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. Ini seperti yang dinukilkan dalam kitab Dhawabit Fanni ar-Riyadhah fi Ahkam al-Haidh Wa an-Nifas Wa al-Istihadhah:
وتارة هذا الدم يخرج لا بسبب الولادة – أي وجعها – فحيض بشرطه (بلوغه 24 ساعة فأكثر) وقبل انفصال الولد
Maksudnya: Adakalanya darah ini keluar bukan disebabkan kelahiran – iaitu bukan kerana sakit bersalin – (jika berlaku seperti itu) maka ia adalah haid dengan syaratnya, (keluar selama 24 jam atau lebih) dan berlaku sebelum bayi keluar sepenuhnya.[1]
- Istihadhah (Darah fasad)
Istihadhah ialah darah yang keluar tetapi tidak memenuhi syarat darah haid atau nifas. Ia juga dikenali sebagai darah penyakit (fasad). Dalam konteks wanita hamil, darah istihadhah boleh keluar ketika mengalami sakit hendak bersalin yang dipanggil dam al-talaq dengan syarat tidak bersambung dengan darah haid sebelumnya. Ia sebagaimana disebutkan definisi dalam kitab al-Nibras bahawa:
دم الطلق هو الدم الذي ينشأ عن الولادة لإزعاج من الجنين أو غيره، وحكمه أنه دم فساد وإن زاد عن يوم وليلة ما لم يتصل بحيض زاد عن يوم وليلة، فإن اتصل بحيض زائد عن يوم وليلة فهو حيض
Maksudnya: Darah bersalin (dam al-talaq) adalah darah yang keluar disebabkan kelahiran sama ada kerana gangguan daripada janin atau seumpamanya, dihukum sebagai status darah penyakit (fasad) meskipun melebihi sehari semalam selagi mana tidak bersambung dengan minimum haid 24 jam. Namun, apabila darah sakit hendak bersalin (dam al-talaq) itu bersambung dengan darah haid yang telah cukup 24 jam, maka ia dihukumkan sebagai darah haid.[2]
- Wiladah
Wiladah bermaksud bersalin. Darah wiladah ialah darah yang keluar beriringan dengan kelahiran bayi. Ia berbeza dengan nifas kerana ia berlaku serentak dengan proses kelahiran, bukan selepasnya.
- Nifas
Nifas ialah darah yang keluar selepas bersalin apabila rahim telah dikosongkan. Tempoh minimum nifas ialah sedetik, manakala tempoh kebiasaan sekitar 40 hari dan maksimumnya 60 hari. Sepertimana yang disebutkan dalam Fiqh Manhaji:
Maksudnya: Tempoh minimum nifas ialah sedetik, dan ia boleh berlanjutan selama beberapa hari. Kebiasaannya ialah 40 hari dan tempoh maksimum ialah 60 hari. Oleh itu, darah yang keluar melebihi tempoh tersebut dikira sebagai istihadhah.[3]
Darah Yang Keluar Ketika Mengandung
Menurut kajian perubatan, darah yang keluar daripada wanila hamil tidak dianggap sebagai haid. Hal ini kerana darah haid berlaku akibat luruhan dinding rahim apabila tiada persenyawaan, sedangkan dalam kehamilan, dinding rahim menebal bagi menyokong perkembangan janin.[4] Adapun begitu perkara ini berbeza menurut perspektif syarak. Terdapat dua pandangan berkaitan darah yang keluar ketika wanita mengandung:
Pendapat pertama: Darah yang keluar semasa tempoh mengandung ialah darah haid apabila memenuhi tempoh minimum haid iaitu sehari semalam atau 24 jam. Pandangan ini dinyatakan oleh beberapa ulama mazhab al-Shafi’i, antaranya al-Khatib al-Syirbini:
وَالْأَظْهَر أَن دم الْحَامِل حيض
Maksudnya: Pandangan yang azhar dalam mazhab al-Shafi’i menyatakan bahawa darah yang keluar ketika hamil adalah darah haid.[5]
Darah tersebut dihukumkan sebagai haid sekiranya mencukupi syarat tempoh minimum haid dan tidak melebihi tempoh maksimum haid iaitu 15 hari 15 malam. Namun, sekiranya darah yang keluar tidak mencukupi syarat tersebut, maka ia dihukumkan sebagai darah istihadhah.
Pendapat kedua: Darah yang keluar semasa mengandung hanya dikira sebagai darah fasad (istihadhah). Pandangan ini turut disokong oleh fuqaha mazhab al-Shafi‘i berdasarkan qawl qadim. Hal ini dijelaskan dalam Hasyiat al-Jamal:
وَهُوَ الْقَدِيمُ أَنَّهُ لَيْسَ بِحَيْضٍ بَلْ هُوَ حَدَثٌ دَائِمٌ كَسَلَسِ الْبَوْلِ؛ لِأَنَّ الْحَمْلَ يَسُدَّ مَخْرَجَ الْحَيْضِ، وَقَدْ جُعِلَ دَلِيلًا عَلَى بَرَاءَةِ الرَّحِمِ فَدَلَّ عَلَى أَنَّ الْحَامِلَ لَا تَحِيضُ
Maksudnya: Menurut qawl qadim darah itu bukan darah haid, sebaliknya ia merupakan hadas yang berterusan seperti salas al-bawl (penyakit kencing tidak lawas); kerana kehamilan menyekat saluran haid, dan situasi ini juga dijadikan sebagai tanda bagi kesucian rahim. Justeru itu, ia menunjukkan bahawa wanita hamil tidak mengalami haid.[6]
Seterusnya, wanita mengandung yang didatangi darah juga dituntut melaksanakan ibadah wajib seperti solat dan puasa sekalipun darah yang keluar menepati ciri-ciri haid, iaitu mengalir. Pandangan ini merupakan fatwa yang dikeluarkan oleh Dar al-Ifta’ Jordan:
لذلك فالذي نفتي به هو القول القديم في مذهب الشافعية، وهو ما ذهب إليه الحنفية والحنابلة أيضا: أن الحامل يجب عليها أن تتوضأ وتصلي وإن رأت الدم، فإن استمر نزوله فإنها أيضا تصلي وتتوضأ لكل صلاة بعد دخول وقتها، فالدم النازل منها دم علة وليس دم حيض
Maksudnya: Yang difatwakan oleh kami ialah qawl qadim dalam mazhab al-Shafi‘i, yang juga merupakan pendapat mazhab Hanafi dan Hanbali: bahawa wanita hamil wajib berwuduk dan menunaikan solat walaupun dia mendapati terdapat darah yang keluar. Jika darah itu berterusan, dia perlu solat dan berwuduk bagi setiap solat setelah masuk waktu. Ini kerana darah yang keluar daripadanya ialah darah penyakit (istihadhah), bukan darah haid.[7]
Pendapat Terpilih
Berdasarkan perbincangan di atas dapat difahami bahawa terdapat perbezaan antara pandangan syarak dan dapatan kajian perubatan dalam menentukan hukum darah yang keluar bagi wanita mengandung. Menurut pandangan syarak, darah tersebut boleh dihukumkan sebagai haid sekiranya memenuhi syarat-syarat tertentu yang telah ditetapkan.
Dalam hal ini, Imam al-Nawawi menukilkan kalam Imam al-Darimi yang membincangkan perbezaan pandangan antara qawl jadid dengan qawl qadim bagi situasi wanita hamil yang mendapati darah keluar. Ia dianggap darah haid jika keluar pada tempoh kebiasaan haid dan menepati sifat darah haid.
اختلف أصحابنا في محل القولين فمنهم من قال هما إذا رأت الدم في أيام عادتها وعلى صفة دم الحيض فإن رأته في غير أيام الحيض أو رأت صفرة أو كدرة فليس بحيض قولا واحدا
Maksdunya: Ulama mazhab kami (al-Shafi’i) berbeza pandangan tentang tempat berlakunya dua pendapat. Sebahagian daripada mereka berkata bahawa dua pendapat itu berlaku apabila seorang wanita melihat darah pada hari kebiasaannya dan dengan sifat darah haid. Namun, jika dia melihat darah itu pada selain hari kebiasaannya, atau darah tersebut berwarna kekuningan atau keruh, maka ia bukan darah haid menurut kesepakatan.[8]
Kami cenderung untuk berpegang kepada pendapat muktamad dalam mazhab al-Shafi‘i melalui qawl jadid bahawa darah yang keluar ketika mengandung dihukumkan haid sekiranya memenuhi syarat-syarat darah haid, iaitu mencapai tempoh minimum sehari semalam (24 jam), keluar pada waktu kebiasaan haid, serta tidak melebihi 15 hari 15 malam. Selain itu, perlu dipastikan bahawa darah itu bukan kesan daripada janin yang keguguran. Sekiranya darah itu disebabkan oleh keguguran, maka ia dianggap sebagai darah nifas.
Kesimpulan
Hukum darah yang keluar ketika wanita mengandung bergantung kepada keadaan dan sifat darah serta syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syarak. Menurut pendapat muktamad dalam mazhab al-Shafi‘i, darah yang keluar ketika mengandung dihukumkan sebagai darah haid sekiranya memenuhi syarat-syarat haid seperti mencapai tempoh minimum sehari semalam (24 jam), berlaku dalam waktu kebiasaan haid serta tidak melebihi tempoh maksimum. Namun, sekiranya darah itu tidak menepati syarat-syarat tersebut, maka ia dihukumkan sebagai darah istihadhah. Dalam masa yang sama, seseorang wanita hendaklah merujuk kepada pihak pakar perubatan sebagai penentuan jenis darah tersebut. Hal ini dapat membantunya melaksanakan ibadah dengan sempurna selaras dengan tuntutan syarak.
[1] Aḥmad ‘Abdurrahman ‘Alī ‘Irfan, Dhawābit Fanni ar-Riyādhah fi Ahkām al-Haidh Wa an-Nifās Wa al-Istihādhah, (Dār al-Soleh, 1437), ms. 54-55.
[2] Aḥmad bin Sālih, Al-Nibrās Fī Aḥkam al-Ḥaid Wa al-Istiḥadhah Wa al-Nifās, (Ḥadramout: Maktabah Tarim al-Hadithah, 2014), ms.15.
[3] Mustafā al-Khin, Mustafā al-Bughā, ‘Ali al-Syarbijī, al-Fiqh al Manhajī ‘Ala Mazhab al-Imām al-Shafi’ī, (Damsyiq: Dār al-Qalam, 1432), jil. 1, ms.82
[4] Mohammad Naqib Hamdan, Nur Zainal, Mohd Anuar Ramli, “Kesan Perkembangan Sains Dan Teknologi Kepada Perubahan Ijtihad Fiqh: Analisis Terhadap Tempoh Maksimum Kehamilan Dan Darah Haid Perempuan Mengandung”, Prosiding Seminar Fiqh Semasa(SeFis 2015)
[5] Shamsuddīn Muḥammad bin Muḥammad al-Khaṭīb al-Syirbīnī, al-Iqnā’ Fī Hal Alfāz Abī Syujā’, (Dār al-Fikr Beirut, 1431), jil. 1, ms. 97
[6] Sulaimān bin Umar bin Mansūr al-‘Ajīlī, Futūhāt al-Wahāb bi Taudhīh Syarḥ Minhaj al-Tullāb (Ḥāshiyat al-Jamal ‘Ala Sharḥ al-Minhaj), (Dār al-Fikr, 1431), jil. 1, ms.246
[7] Dār al-Iftā’ al-‘Am, al-Hāmil lā Tahīdh, 24 Jun 2010, https://aliftaa.jo/research-fatwas/797/%d8%a7%d9%84%d8%ad%d8%a7%d9%85%d9%84-%d9%84%d8%a7-%d8%aa%d8%ad%d9%8a%d8%b6.
[8] Abū Zakariyyā Muḥyī al-Dīn bin Sharaf al-Nawawī, Al-Majmū’ Sharḥ al-Muhadzdzab, (Kaherah: Dār Idārah al-Ṭibā’ah al-Munīriyyah, 1431), jil. 2, ms. 384

