#112 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Solat Fardu Di Dalam Kapal Terbang Secara Duduk Tanpa Keuzuran Syarak

#112 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Solat Fardu Di Dalam Kapal Terbang Secara Duduk Tanpa Keuzuran Syarak

 

Tarikh: 18 Mei 2026

Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah

 

Pendahuluan

Solat fardu di dalam kapal terbang secara duduk tanpa keuzuran syarak adalah solat yang tidak memenuhi rukun dan syarat sah solat. Walaupun tidak cukup rukun dan syarat sah solat, namun solat fardu wajib ditunaikan pada masanya. Solat tersebut hendaklah diniatkan sebagai solat li hurmat al-waqt (untuk menghormati waktu). Rentetan itu, timbul persoalan adakah solat tersebut perlu diqada’ atau diulang ataupun sebaliknya?


Pendapat Ulama

1.      Solat tersebut hendaklah diqada’ atau diulang

Dalam pendapat mazhab Shafii, seseorang yang menunaikan solat li ḥurmat al-waqt (untuk menghormati waktu) tetap wajib mengulang solat tersebut apabila keadaan telah mengizinkan. Hal ini demikian kerana, kesukaran yang menghalang kesempurnaan rukun dan syarat sah solat tersebut bukanlah suatu keadaan yang lazim berlaku. Oleh itu, kewajipan mengulang solat yang ditunaikan secara tidak sempurna pada waktunya tetap terpakai. Imam ‘Abd al-Karim al-Rafi’i menukilkan pandangan Imam al-Baghawi dengan menyatakan bahawa:

أَنَّ صَاحِبَ التَّهْذِيبِ حَكَى فِي هٰذِهِ الصُّورَةِ وَجْهًا أَنَّهُ يَتَيَمَّمُ وَيُصَلِّي لِحُرْمَةِ الْوَقْتِ ثُمَّ يَتَوَضَّأُ وَيُعِيدُ[1]

Maksudnya: Pengarang kitab al-Tahdhib menukilkan dalam situasi ini satu gambaran bahawa dia bertayamum (kerana ketiadaan air) dan menunaikan solat kerana menghormati waktu. Kemudian, dia berwuduk dan mengulang solat tersebut (apabila air sudah ada).

2.      Solat tersebut tidak perlu diulang

Terdapat sebahagian ulama yang menukilkan qaul qadim bahawa solat yang ditunaikan pada waktunya sekadar kemampuan tidak perlu diqada’ atau diulang. Hal ini sebagaimana dinyatakan dalam kitab al-Majmū Sharḥ al-Muhadhdhab seperti berikut:

وَأَمَّا حُكْمُ الْمَسْأَلَة: فَإِذَا لَمْ يَجِدْ الْمُكَلَّفُ مَاءً وَلا تُرَابًا بِأَنْ حُبِسَ فِيْ مَوْضِعٍ نَجْسٍ أَوْكَانَ فِيْ أَرْضٍ ذَاتِ وَحْلٍ وَلَمْ يَجِدْ مَاءً يُجَفّفُهُ بِهِ أَوْ مَا أَشْبَهَ ذَلِكَ فَفِيْهِ أَرْبَعَةُ أَقْوَالٍ حَكَاهَا أَصْحَابُنَا الْخُرَاسَانِيّوْن….(وَالرَّابِعُ) تَجِبُ الصَّلاةُ فِي الْحَالِ عَلَى حَسَبِ حَالِهِ وَلا تَجِبُ الإعَادَة حَكَاهُ عَنِ الْقَدِيْمِ أَيْضًا وَسَتَأْتِيْ أَدِلَّةُ هَذِهِ الأَقْوَالِ فِيْ فَرْعِ مَذَاهِبِ الْعُلَمَاءِ[2]

Maksudnya: Adapun hukum bagi permasalahan ini ialah apabila seseorang mukalaf tidak memperoleh air dan debu, contohnya apabila dia dipenjarakan di tempat yang bernajis atau berada di kawasan berlumpur tanpa memperoleh air untuk mengeringkannya serta keadaan-keadaan lain yang seumpamanya, maka dalam hal ini, terdapat empat pendapat sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ashab kami dalam kalangan ulama Khurasan….Pendapat keempat menyatakan bahawa wajib menunaikan solat pada ketika itu mengikut keadaan yang mampu dan tidak wajib mengulanginya. Pendapat ini juga merupakan qaul qadim. Dalil bagi setiap pendapat ini akan dihuraikan dalam bahagian perbincangan mazhab-mazhab ulama.


Fatwa-fatwa Antarabangsa

  1. Darul Ifta’ Mesir

Darul Ifta’ Mesir[3] menyatakan bahawa:

المختار عندنا: هو القول بصحة الصلاة في الطائرة لأنه ما دام قد انتفى الخلل في أركان الصلاة وشرائطها فإن بقاء الصلاة على الصحة هو الأصل المستصحب خاصة مع عدم انتهاض دليل على البطلان.

Maksudnya: Pendapat yang dipilih di sisi kami menyatakan bahawa solat di dalam kapal terbang adalah sah selagi mana tidak ada kekurangan dalam rukun dan syarat sah solat. Maka, solat yang dilaksanakan adalah al-asl al-mustashhab (sah pada asalnya) terutama apabila tiada dalil yang jelas membuktikannya terbatal.

Berdasarkan fatwa tersebut, solat yang ditunaikan di dalam kapal terbang adalah sah dengan syarat semua rukun dan syarat sah solat dapat dipenuhi.

  1. Majlis Fatwa Islam Palestin

Majlis Fatwa Islam di Wilayah Palestin tahun 1948 menyatakan:

اتفق الفقهاء أنّ من أركان الصّلاة المفروضة القيام مع القدرة كما أنّ من شروط صحتها استقبال القبلة وهذا شرط لصحة الفرض والنّفل على حدّ سواء. إلاّ أنّه إذا تعذر على الشّخص النّزول من المركب لأداء الصّلاة  وخشي فوات الوقت كالذّي تحضره الصّلاة وهو في الطّائرة أو وهو في حافلة عامة كالباص مثلا فإنّه يُرخصُ له في مثل هذه الحالة بأداء الصّلاة وهو في الطّائرة   أو الباص إذا لم يتمكن من النّزول وخشي فوات الوقت، وذلك بناءً على قول الشّافعية بجواز أداء الفريضة على الرّاحلة إذا شق عليه النّزول وخشي فوات الوقت إلاّ أنّ الشافعية قالوا بوجوب الإعادة لكونه عذر نادر وأمّا الحنفية فلم يقولوا بوجوب الإعادة والأحوط الإعادة للفرض فقط وذلك من باب الاحتياط للعبادة وخروجًا من خلاف من أوجب العبادة على اعتبار أنّ هذا الأمر عذرٌ نادر[4]

Maksudnya: Para fuqaha telah bersepakat bahawa antara rukun solat fardu ialah berdiri bagi mereka yang berkemampuan. Manakala salah satu syarat sah solat pula ialah menghadap kiblat. Syarat ini terpakai bagi solat fardu mahupun solat sunat. Namun demikian, sekiranya seseorang itu tidak berupaya untuk turun daripada kenderaan bagi menunaikan solat dan bimbang akan luput waktu seperti penumpang di dalam kapal terbang atau kenderaan awam seperti bas, maka dibolehkan baginya solat dalam keadaan sedemikian. Hal ini berdasarkan pandangan mazhab Shafi’i yang membolehkan pelaksanaan solat fardu di dalam kenderaan apabila sukar untuk turun dan khuatir luput waktu. Namun demikian, para ulama Shafi’iyyah menetapkan bahawa solat tersebut wajib i’adah (diulang) kerana ia dilakukan dalam keadaan uzur yang jarang berlaku. Adapun menurut mazhab Hanafi, mereka tidak mewajibkan pengulangan solat tersebut. Namun, langkah yang lebih berhati-hati ialah mengulangi solat fardu sahaja sebagai langkah ihtiyat (berjaga-jaga) dalam urusan ibadah serta bagi keluar daripada perselisihan pandangan ulama yang mewajibkannya memandangkan keadaan ini dianggap sebagai uzur yang jarang berlaku.

 

Dalam fatwa tersebut juga menyatakan:

وكذا الأمر بالنسبة لأداء الفريضة بالسّيارة مع أنّه يستبعد أنّ شخصًا لا يتمكن من النّزول من سيارته على اعتبار أنّ سيارته ملكُه والنّزول منها متاح ومتيسر غالبًا بخلاف الطّائرة والباص وسائر الحافلات العامة خصوصًا وأنّه توجد مصلّيات عديدة في الطّرقات ومحطات الوقود ثمّ إنّ الأرض كلّها قد جُعِلَت لنا مسجدًا وطهورًا وهذا الحكم بالنّسبة للرجال والنّساء بلا فرق[5]

Maksudnya: Begitu juga hal yang sama dengan pelaksanaan solat fardu di dalam kereta. Umumnya, sukar untuk diterima bahawa seseorang tidak mampu keluar daripada kenderaannya sendiri sedangkan kereta itu miliknya dan kebiasaannya tiada kesukaran untuk turun daripadanya. Keadaan ini berbeza dengan kapal terbang, bas atau kenderaan awam lain yang sememangnya membataskan pergerakan penumpang. Apatah lagi, di sepanjang lebuh raya dan di kawasan stesen minyak terdapat banyak kemudahan surau yang disediakan. Malah, seluruh permukaan bumi ini telah dijadikan tempat sujud dan suci bagi umat Islam. Hukum ini terpakai secara umum sama ada bagi lelaki mahupun wanita tanpa sebarang perbezaan.

Ringkasnya, jika seseorang mampu menunaikan solat fardu dengan sempurna ketika berada dalam kapal terbang, maka dia tetap wajib menunaikannya sedemikian berdasarkan kaedah berikut: 

الميسور لا يسقط بالمعسور[6]

Maksudnya: Sesuatu yang boleh dilakukan tidak gugur disebabkan sesuatu yang sukar dilakukan.


Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Berkaitan Isu Solat Secara Duduk Dan Kaitan Lain Di Dalam Kapal Terbang

Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke-25, 3-5 April 2009/ 1430H:

“ Jemaah haji yang telah berwuduk dan solat secara duduk atau berdiri dalam pesawat tanpa menghadap ke arah qiblat atau menghadap ke arah qiblat tetapi tidak tetap kerana pergerakan pesawat adalah diwajibkan mengulangi semula solat jika masih ada waktu atau perlu diqada’ jika telah luput waktu semasa tiba di destinasi yang dituju. Ini kerana jemaah tersebut melakukan solat dalam keadaan tidak menghadap ke arah qiblat secara tetap, ini hanya bagi kes solat fardhu sahaja.”[7]

Resolusi yang telah diputuskan menyatakan bahawa solat fardu yang ditunaikan dalam keadaan duduk tanpa sebab yang membolehkan rukhsah adalah tidak memenuhi rukun solat. Maka, solat tersebut wajib i’adah (diulangi) jika masih dalam waktu atau diqada’ jika telah luput waktu.

 

Pendapat Yang Terpilih

Berdasarkan pendapat ulama serta fatwa semasa, kami cenderung kepada pandangan yang menyatakan bahawa solat fardu yang tidak disempurnakan rukun dan syarat sahnya tanpa sebarang keuzuran perlu diqada’ atau diulang. Fatwa-fatwa semasa turut mengesyorkan agar solat tersebut diulang sebagai langkah ihtiyat (berhati-hati) serta sebagai keluar daripada perselisihan pandangan para ulama’. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh:

‌الْخُرُوجُ ‌مِنْ ‌الْخِلَافِ ‌مُسْتَحَبٌّ[8]

Maksudnya: Keluar daripada khilaf adalah suatu yang sunat (digalakkan).

Justeru, pendekatan i’adah (mengulang) solat adalah pilihan yang lebih selamat serta menepati prinsip ihtiyat dalam pelaksanaan ibadah.


Kesimpulan 

Seseorang yang tidak dapat memenuhi rukun dan syarat sah solat tanpa keuzuran syarak wajib menunaikan solat pada waktunya sebagai menghormati waktu. Perkara ini terpakai sebagaimana keadaan musafir yang menunaikan solat fardu di dalam kapal terbang secara duduk tanpa keuzuran syarak. Namun demikian, solat tersebut hendaklah diqada atau diulang. Pendekatan ini lebih selamat untuk keluar daripada khilaf dan sebagai langkah ihtiyat (berhati-hati) dalam urusan ibadah.



[1] ‘Abd al-Karīm ibn Muḥammad al-Rāfi‘ī al-Qazwīnī, Fatḥ al-‘Azīz bi Sharḥ al-Wajīz (al-Sharḥ al-Kabīr), (Beirut: Dār al-Fikr, t.t.), jld. 3, ms. 208.

[2] Al-Nawawī, Abū Zakariyyā Muhyī al-Din ibn Sharaf, al-Majmū’ Sharh al-Muhadhdhab, (Beirut: Dar al-Fikr), jil. 2, ms. 303 & 304.

[4] Fatwa Majlis Fatwa Islam Palestin. No. 48 bertarikh 1 Mac 2023. Diakses daripada laman sesawang: https://www.fatawah.net/Fatawah/1067.aspx

[5] Fatwa Majlis Fatwa Islam Palestin.

[6] Al- Suyūṭī, Jalāl al-Dīn Abd al-Rahmān ibn Abī Bakr al‑Suyūṭī, al‑Ashbāh wa‑al‑Naẓāʾir fī Qawāʿid wa‑Furūʿ Fiqh al‑Shāfiʿīyah, (Beirut: Dār al‑Kutub al‑ʿIlmiyyah, 1983), ms. 159.

[7] Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali ke-25, 3–5 April 2009 / 1430H, Kuala Lumpur: JAKIM, 2009.

[8] Al-Suyuti, Jalal al-Din ‘Abd al-Rahman ibn Abī Bakr al‑Suyūṭī, al-Ashbah wa al-Naza’ir fi Qawa‘id wa Furu‘ Fiqh al-Shafi‘iyyah (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1403H/1983M), ms. 136.

Accessibility Toolbar