#111 Taudhih Al-Hukmi :  Hukum Zikir Berjemaah Secara Jahar (Kuat) Selepas Solat

#111 Taudhih Al-Hukmi :  Hukum Zikir Berjemaah Secara Jahar (Kuat) Selepas Solat

Tarikh: 11 Mei 2026

Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah

Pendahuluan

Para ulama bersepakat bahawa amalan berzikir selepas solat adalah sunat. Hal ini disokong oleh banyak hadis sahih yang menerangkan pelbagai bentuk zikir sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi seperti berikut:

 

‌أجمع ‌العلماءُ ‌على ‌استحباب ‌الذكر ‌بعد ‌الصلاة، وجاءت فيه أحاديث كثيرة صحيحة في أنواع منه متعدّدة[1]

Maksudnya: Para ulama bersepakat bahawa amalan berzikir selepas solat adalah sunat. Hal ini disokong oleh banyak hadis sahih yang menerangkan pelbagai bentuk zikir yang dianjurkan.

Amalan berzikir selepas solat telah menjadi kebiasaan atau adat yang dilakukan oleh masyarakat Islam di Malaysia. Sehubungan dengan itu, timbul perbahasan dalam kalangan ulama berkaitan cara pelaksanaannya, khususnya zikir secara berjemaah dan dilafazkan secara jahar (kuat) selepas solat. Perbincangan ini penting bagi memahami kedudukan sebenar amalan tersebut menurut syarak sama ada ia termasuk dalam amalan yang dianjurkan secara umum atau tertakluk kepada kaedah dan batasan tertentu.

Perbahasan Dalil

Antara dalil yang menjadi perbahasan dalam masalah ini ialah hadis daripada Ibn ‘Abbas RA katanya:

أَنَّ رَفْعَ الصَّوْتِ بِالذِّكْرِ حِينَ يَنْصَرِفُ النَّاسُ مِنْ الْمَكْتُوبَةِ كَانَ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: كُنْتُ أَعْلَمُ إِذَا انْصَرَفُوا بِذَلِكَ إِذَا سَمِعْتُهُ[2]

Maksudnya: Mengangkat suara ketika berzikir sejurus jemaah beredar dari menunaikan solat fardu (berjemaah) merupakan amalan yang biasa dilakukan pada zaman Nabi SAW. Ibn ‘Abbas RA berkata: Aku mengetahui jemaah mula beredar (selepas selesai solat) apabila aku terdengar suara zikir.

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam membahaskan hadis ini, Imam al-Nawawi dalam kitab al-Minhaj fi Sharḥ Sahih Muslim mengemukakan tiga pandangan ulama iaitu:

i.                    Sebahagian ulama Salaf berpendapat:

أنه يُستحبُّ رَفْع الصَّوتِ بالتكبِير والذِّكر عَقب المكْتُوبة وممنْ استحبَّه مِن المتأخِّرين ابن حَزْم الظَّاهرِي

Maksudnya: Bahawa mustahab mengangkat suara untuk bertakbir dan berzikir selepas solat fardu. Antara yang menyatakannya mustahab daripada ulama mutaakhkhirin ialah Ibn Hazm al-Zahiri.

ii.                  Ibn Battal al-Maliki dan lain-lain menukilkan:

أنّ أصْحَابَ المذاهِب المتبُوعَة وغيرهم متَّفقون على عدَمِ استِحْبابِ رفْعِ الصَّوتِ بالذِّكر والتَّكْبِير

Maksudnya: Bahawa imam-imam mazhab yang menjadi ikutan dan selain mereka bersepakat tidak mustahab mengangkat suara untuk berzikir dan bertakbir (selepas solat fardu). 

iii.                Pendapat Imam al-Shafi’i ketika mentafsirkan hadis Ibn ‘Abbas RA adalah seperti berikut:

أَنَّهُ جَهَرَ وَقْتًا يَسِيرًا حَتَّى يُعْلِمَهُمْ صِفَةَ الذِّكْرِ لَا أَنَّهُمْ جَهَرُوا دَائِمًا قال: فاختار للإمام والمأموم أن يذكر اللَّهَ تَعَالَى بَعْدَ الْفَرَاغِ مِنَ الصَّلَاةِ وَيُخْفِيَانِ ذَلِكَ إِلَّا أَنْ يَكُونَ إِمَامًا يُرِيدُ أَنْ يُتَعَلَّمَ مِنْهُ فَيَجْهَرُ حَتَّى يَعْلَمَ أَنَّهُ قَدْ تُعُلِّمَ مِنْهُ ثُمَّ يُسِرُّ[3]

Maksudnya: Bahawa Rasulullah SAW berzikir dengan menguatkan suara untuk seketika kerana mengajar para Sahabat RA tentang lafaz dan cara berzikir dan bukan menunjukkan bahawa mereka melazimi zikir secara kuat (dari awal zikir sehingga selesai zikir). Maka, aku cenderung bagi imam dan makmum supaya berzikir dengan suara yang perlahan seusai solat melainkan jika si imam berhasrat agar makmum mempelajari zikir daripadanya. Maka dalam keadaan ini, si imam menguatkan suara sehingga makmum sudah mampu mempelajarinya. Kemudian ia kembali berzikir dengan suara yang perlahan.   

Dalam mensyarahkan hadis Ibn ‘Abbas RA, Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitab Fath al-Bari fi Sharh Sahih al-Bukhari menyatakan bahawa:

وفيه دليل على جواز الجهر بالذكر عقب الصلاة[4]

Maksudnya: Terdapat padanya dalil keharusan jahar dalam berzikir selepas solat.

Kemudian, beliau turut menukilkan pandangan yang dibawa oleh Imam al-Nawawi daripada Imam al-Shafi’i seperti yang telah dinyatakan. Namun demikian, kedua-dua tokoh tersebut tidak menghuraikan pendirian itu secara jelas. Hal ini seolah-olah menunjukkan bahawa menurut mereka, masih terdapat ruang keluasan dan kelonggaran dalam isu ini.

Selain itu, Imam al-Bukhari yang meriwayatkan hadis Ibn ‘Abbas RA dalam Sahih beliau juga tidak memberikan penegasan khusus berhubung perkara ini pada judul bab sebaliknya hanya menyebut: (بَابُ الذِّكْرِ بَعْدَ الصَّلاَةِ) iaitu “Bab berzikir selepas solat”. Justeru, boleh dikatakan bahawa mafhum hadis ini juga mencerminkan kecenderungan Imam al-Bukhari memandangkan telah masyhur dalam kalangan ulama bahawa: “Fiqh Imam al-Bukhari terserlah melalui judul-judul bab dalam kitab Sahih beliau”.

Maka, jelas bahawa isu ini termasuk dalam perkara khilafiah dalam kalangan ulama. Sehubungan dengan itu, adalah tidak tepat untuk menyatakan bahawa amalan zikir berjemaah secara jahar selepas solat merupakan perbuatan bid’ah yang dilarang secara mutlak.

Pandangan Yang Mengharuskan Zikir Berjemaah Secara Jahar Selepas Solat

Di samping pandangan yang mengharuskan zikir berjemaah secara jahar selepas solat dilakukan, terdapat pandangan yang membataskan amalan berkenaan hanya boleh dilakukan berdasarkan tujuan atau keadaan tertentu. Berdasarkan penelitian, pandangan yang membataskan ini boleh kita rumuskan seperti berikut:    

(a)   Bertujuan mengajar

Imam Khatib al-Shirbini berpandangan bahawa:

وَيُسَنُّ الْإِسْرَارُ بِالذِّكْرِ وَالدُّعَاءِ إلَّا أَنْ يَكُونَ إمَامًا يُرِيدُ تَعْلِيمَ الْمَأْمُومِينَ فَيَجْهَرَ بِهِمَا فَإِذَا تَعلمُوا أَسَرَّ[5]

Maksudnya: Disunatkan berzikir dan berdoa dengan suara yang perlahan kecuali bagi imam yang hendak mengajar makmum. Maka si imam boleh berzikir dan berdoa dengan kuat. Apabila makmum telah mempelajarinya, si imam kembali berzikir dengan suara yang perlahan.

(b)   Sebagai panduan bagi jemaah yang silih berganti

Imam Ibn Hajar al-Haytami menyatakan dalam al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra bahawa:

وَفِي كَلَامِ الْمُتَوَلِّي وَغَيْرِهِ مَا يَقْتَضِي اسْتِحْبَابَ رَفْعِ الْجَمَاعَةِ الصَّوْتَ بِالذِّكْرِ، دَائِمًا وَهُوَ ظَاهِرُ الْأَحَادِيثِ؛ أَيْ لِخَبَرِ الصَّحِيحَيْنِ: وَإِنَّ رَفْعَ الصَّوْتِ بِالذِّكْرِ – أَيْ حِينَ يَنْصَرِفُ النَّاسُ مِنْ الْمَكْتُوبَةِ – كَانَ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ [6]

Maksudnya: Pada kenyataan al-Mutawalli dan selainnya memberikan petunjuk bahawa disunatkan bagi jemaah mengangkat suara dalam berzikir secara berterusan dan hal ini bertepatan dengan zahir hadis yang bersandarkan kepada riwayat dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim pada pernyataan bahawa mengangkat suara ketika berzikir sejurus jemaah beredar daripada menunaikan solat fardu (berjemaah) merupakan amalan yang biasa dilakukan pada zaman Nabi SAW.

Meskipun Imam Ibn Hajar al-Haytami menukilkan dan menolak pandangan Syeikh al-Mutawalli tersebut, namun ada sudut pandangan Syeikh al-Mutawalli yang mungkin boleh diambilkira di mana beliau menyatakan bahawa:

وَأَمَّا الْمَسْجِدُ الَّذِي عَلَى الشَّارِعِ مَثَلًا فَلَا؛ لِأَنَّهُ يَطْرُقُهُ مَنْ لَمْ يَدْخُلْهُ قَبْلُ، فَهُوَ كَمَسْجِدِهِ الشَّرِيفِ كَانَتْ تَرِدُهُ الْأَعْرَابُ وَأَهْلُ الْبَوَادِي، فَفِيهِ يَظْهَرُ نَدْبُ إدَامَةِ الرَّفْعِ؛ لِيَتَعَلَّمَ كُلَّ مَرَّةٍ مَنْ لَمْ يَتَعَلَّمْ فِيمَا قَبْلَهَا اهـ[7]

Maksudnya: Adapun bagi masjid yang terletak di laluan umum, maka tidak wajar dihadkan kepada keadaan tersebut sahaja. Hal ini kerana, masjid seperti itu sentiasa dikunjungi oleh orang yang belum pernah memasukinya sebelum ini. Keadaannya adalah seumpama masjid Baginda SAW yang sering didatangi oleh golongan Arab Badwi dan penduduk luar bandar. Oleh itu, dalam situasi sedemikian, disunatkan untuk mengekalkan amalan mengangkat suara dalam berzikir agar setiap kali orang yang belum mempelajarinya dapat mengambil manfaat dan mempelajarinya.

(c)   Tidak mengganggu jemaah yang lain

Syeikh Zainuddin al-Malibari menyatakan di dalam kitab Fath al-Mu‘in bahawa:

أما المبالغة في الجهر بهما في المسجد بحيث يحصل تشويش على مصل فينبغي حرمتها[8]

Maksudnya: Adapun berlebih-lebihan pada menguatkan suara ketika melakukan kedua-duanya (zikir dan doa) dalam masjid sehingga mengganggu orang yang sedang solat sewajarnya dilarang.

Berdasarkan pandangan ini, larangan bukan terletak pada amalan zikir secara jahar itu sendiri sebaliknya pada tahap lafaz dan kekuatan suara yang digunakan. Sekiranya zikir dilantunkan secara berlebih-lebihan sehingga menimbulkan tashwish (gangguan) kepada jemaah lain, maka hal tersebut adalah tidak wajar. Gangguan ini termasuklah terhadap mereka yang masih menyempurnakan solat, berzikir secara perlahan, membaca al-Quran atau berdoa secara individu.

Fatwa Menangani Persoalan Bid’ah Dalam Masalah Ikhtilaf Atau Khilaf Perkara Furu’

Menurut seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, atas perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan, Jawatankuasa Fatwa bagi Negeri Selangor telah memutuskan bahawa:

“ 1. Persoalan khilafiah adalah perkara ijtihadiyyah dan tidak boleh sama sekali dihukumkan bid’ah kerana amalan tersebut telah diterima dan menjadi amalan ulama’ muktabar sejak dahulu.

2. Pandangan jumhur ulama’ sewajarnya menjadi ikutan masyarakat Islam dengan mengutamakan perkara asas dalam berdakwah dan tidak membesar-besarkan perkara khilafiyyah yang boleh menggugat perpaduan umat Islam.”

Tambahan lagi, dalam fatwa tersebut turut dinyatakan antara amalan yang didakwa sebagai bid’ah adalah:

“ 3.7 Membaca wirid dan zikir secara kuat/nyaring beramai-ramai selepas solat fardu”

Amalan wirid dan zikir secara kuat atau beramai-ramai selepas solat fardu termasuk dalam kategori amalan yang diperselisihkan oleh ulama, namun sering dituduh sebagai bid‘ah oleh sesetengah pihak. Fatwa ini menekankan bahawa persoalan seperti ini adalah sebahagian daripada khilaf furu’ dan tidak wajar dihukumkan terus sebagai bid’ah kerana ia telah menjadi amalan dalam kalangan masyarakat serta telah dibincangkan secara terperinci oleh ulama muktabar.

Justeru, berdasarkan hujah dan pendapat ulama seperti yang telah dijelaskan, kami cenderung menyatakan bahawa hukum zikir berjemaah secara jahar (kuat) selepas solat adalah diharuskan berdasarkan situasi yang telah dinyatakan dan perbincangan yang telah dikemukakan, selain ia juga telah menjadi amalan masyarakat Islam di Malaysia. Namun, zikir tersebut hendaklah dilakukan dengan kadar suara yang sederhana dan terkawal yakni direndahkan sedikit sekiranya terdapat jemaah yang masih solat agar tidak menimbulkan tashwish (gangguan) kepada mereka.

Kesimpulan

Zikir berjemaah secara jahar (kuat) selepas solat adalah diharuskan. Perkara ini bersandarkan kepada pandangan ulama khususnya dalam mazhab al-Shafi’i yang mengharuskannya mengikut situasi tertentu seperti bagi tujuan untuk mengajar para jemaah terutamanya golongan pelajar dan orang awam serta dilakukan di masjid yang dikunjungi oleh jemaah yang berbeza pada setiap waktu. Walau bagaimanapun, pelaksanaan zikir berjemaah secara jahar hendaklah dilakukan secara sederhana, terkawal dan tidak melampau sehingga menimbulkan gangguan terhadap jemaah lain yang sedang solat. Sekiranya zikir dikuatkan sehingga menimbulkan gangguan, maka perbuatan tersebut hendaklah dielakkan.

 

 



[1] Al-Nawawī, Abū Zakariyyā Muḥyī al-Dīn Yaḥyā ibn Sharaf al-Nawawī, al-Adhkār, (Beirūt: Dār al-Fikr li al-Ṭibāʿah wa al-Nashr wa al-Tawzīʿ, 1994), ms. 70.

[2] Al-Bukhārī, Abū ʿAbd Allāh Muḥammad ibn Ismāʿīl al-Bukhārī al-Juʿfī, Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, (Damsyik: Dār Ibn Kathīr wa Dār al-Yamāmah, 1993), no. hadis 805, jil. 1, ms. 288; Muslim, Abū al-Ḥusayn Muslim ibn al-Ḥajjāj al-Qushayrī al-Naysābūrī, Ṣaḥīḥ Muslim, (Kaherah: Maṭbaʿat ʿĪsā al-Bābī al-Ḥalabī wa Shurakāh, 1955), no. hadis 583, jil. 1, ms. 410.

[3] Al-Nawawi, Abū Zakariyyā Muḥy al-Dīn Yaḥyā ibn Sharf al-Nawawī, Sharḥ al-Nawawī ʿalā Muslim, (Beirut: Dār Iḥyāʾ al-Turāth al-ʿArabī, 1392H), jil. 5, ms. 84.

[4] Ibn Hajar al-Asqalani, Aḥmad ibn ‘Alī ibn Ḥajar al-‘Asqalānī, Fath al-Bari bi Sharh Sahih al-Bukhari, (Beirut: Dar al-Ma‘rifah, 1379 H), jil. 2, ms. 325.

[5] Al-Khatib al-Shirbini, Shams al-Dīn Muḥammad ibn Muḥammad al-Khaṭīb al-Shirbīnī, Mughnī al-Muḥtāj ilā Maʿrifat Maʿānī Alfāẓ al-Minhāj, (Dār al-Kutub al-ʿIlmiyyah, 1994M), jil. 1, ms. 393.

[6] Al-Haytami, Ibn Hajar al-Haytami, al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah, (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1997), jil. 1, ms. 158.

 

[7] Al-Haytami, Ibn Hajar al-Haytami, al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah, (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1997), jil. 1, ms. 158.

[8] Zayn al-Dīn Aḥmad ibn ʿAbd al-ʿAzīz al-Malībārī, Fatḥ al-Muʿīn bi Sharḥ Qurrat al-ʿAyn bi Muhimmāt al-Dīn, (Beirūt: Dār Ibn Ḥazm, t.t.), ms. 128.

Accessibility Toolbar