#20 Taudhih al-Falak : Penentuan Arah Kiblat Berdasarkan Lintasan Harian Matahari
Tarikh: 27 April 2026
Disediakan oleh: Nabeela Akrasha binti Surtahman
Pendahuluan
Kiblat adalah arah menghadap ke Kaabah yang terletak di Mekah dan merupakan salah satu syarat sah solat. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 149;
وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ ۖ وَإِنَّهُۥ لَلْحَقُّ مِن رَّبِّكَ ۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ
Maksudnya: Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan solat), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid al-Haraam (Kaabah); dan sesungguhnya perintah berkiblat ke Kaabah itu adalah benar dari Tuhanmu. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan segala apa yang kamu lakukan.
Terdapat pelbagai cara dalam menentukan arah kiblat sama ada menggunakan kaedah moden atau tradisonal. Salah satu kaedah semakan arah kiblat adalah sewaktu lintasan harian matahari.
Matahari Sebagai Rujukan Arah Kiblat
Arah kiblat sesuatu lokasi dapat ditentukan melalui beberapa kaedah antaranya melalui data-data kedudukan matahari, bulan, bintang dan buruj. Rujukan matahari merupakan antara kaedah yang diyakini dalam menentukan kiblat. Penggunaan matahari sebagai panduan memerlukan kefahaman terhadap pergerakan dan peredarannya di langit, kerana kedudukan matahari beru

