#108 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Berkaitan Rukun Qawli
Tarikh: 20 April 2026
Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah
Pendahuluan
Ibadah
solat fardu merupakan satu tuntutan yang wajib dilaksanakan oleh setiap orang
Islam. Ia merupakan salah satu manifestasi kehambaan dan kepatuhan seseorang
Muslim kepada Allah SWT. Mengambil
perhatian yang penuh terhadap rukun-rukun solat sangatlah penting bagi menjamin
solat yang dilaksanakan adalah sah. Daripada sejumlah rukun solat, rukun qawli
adalah salah satu rukun solat yang perlu diberikan perhatian. Oleh itu,
artikel ini akan menjelaskan tentang rukun qawli dan hukum sebutannya
serta had bacaan sir dan jahar dalam solat.
Rukun Qawli
Rukun
solat terbahagi kepada tiga iaitu rukun qalbi (hati), rukun fi’li (perbuatan)
dan rukun qawli (bacaan). Rukun qalbi adalah niat di dalam hati.
Rukun fi’li pula adalah perbuatan yang melibatkan pergerakan
dalam solat iaitu berdiri tegak, rukuk berserta tamakninah, iktidal, sujud berserta
tamakninah, duduk antara dua sujud berserta tamakninah, duduk tahiyat akhir dan
tertib. Manakala rukun qawli adalah bacaan tertentu dalam solat iaitu takbiratulihram,
bacaan surah al-Fatihah, bacaan tahiyat akhir, selawat kepada Nabi SAW semasa tahiyat
akhir dan salam pertama.[1]
Oleh itu, kesemua jumlah rukun dalam solat adalah sebanyak 13 rukun.
Rukun-rukun
tersebut mestilah dilakukan dan disempurnakan supaya solat yang dilaksanakan
menjadi sah. Sekiranya salah satu rukun tersebut tidak dilaksanakan tanpa sebarang
keuzuran, maka solat menjadi tidak sah. Imam Zakariyya al-Ansari menjelaskan:
يشترط في صحة صلاة الفريضة الاستقرار
والاستقبال وتمام الأركان
Maksudnya: Disyaratkan pada sah suatu solat fardu adalah tetap
tempat berdiri, menghadap kiblat dan sempurna rukun-rukun solat.[2]
Rukun
qawli melibatkan lima perkara iaitu takbiratul ihram, bacaan
surah al-Fatihah, bacaan tahiyat akhir, selawat kepada Nabi SAW semasa tahiyat
akhir dan salam pertama. Maka bacaan-bacaan lain dalam solat seperti tasbih
ketika rukuk dan sujud atau bacaan doa qunut bukanlah rukun, bahkan ia adalah
sunat dalam solat sama ada ab’adh atau hay’at.
Terdapat
sebahagian daripada rukun qawli yang dibaca secara jahar (kuat) dan sebahagian
lain dibaca secara sir (perlahan). Imam disunatkan untuk menguatkan suara ketika
takbiratulihram dan takbir perpindahan antara rukun. Imam juga disunatkan untuk
menguatkan bacaan surah al-Fatihah dan juga surah-surah lain pada solat fardu Subuh,
dua rakaat pertama solat Maghrib dan Isyak serta pada solat Jumaat. Manakala
pada solat fardu Zohor, Asar, rakaat terakhir solat Maghrib dan dua rakaat
terakhir solat Isyak, imam disunatkan untuk memperlahankan suara. Bagi makmum
ataupun orang yang solat secara bersendirian adalah disunatkan untuk
memperlahankan suara sepanjang solat.[3]
Menjaga Sebutan Bacaan
Perkara
yang dititik beratkan berkenaan rukun qawli adalah cara membacanya.
Seseorang perlu menjaga bacaannya agar tidak berubah maksud terutamanya semasa
takbir dan surah al-Fatihah. Sekiranya bacaannya silap sehingga mengubah makna
bacaan, maka solat tersebut menjadi tidak sah. Imam Ibn Hajar al-Haytami menjelaskan dalam al-Minhaj
al-Qawim:
ويضر فيه الإخلال بحرف من غير الألثغ
وزيادة حرف يغير المعنى
Maksudnya: Dan dapat menjejaskan padanya (takbiratul ihram) kesalahan
menyebut satu huruf bukan disebabkan pelat dan menambah satu huruf sehingga
merubah makna.[4]
Imam al-Ramli pula menyatakan:
يجب عليه
رعايتها فلا يخل بشيء منها حيث كان قدرا لأنها هيئات لحروفها
Maksudnya: Wajib ke atasnya menjaganya (bacaan
surah al-Fatihah), maka tidak boleh mengabaikan sedikit pun daripadanya sekadar
yang mampu, kerana ia menggambarkan keadaan bagi huruf-hurufnya.[5]
Had Bacaan Sir dan Jahar
Salah
satu perkara yang penting berkenaan dengan bacaan ketika solat khususnya pada
rukun qawli adalah had bacaan sir (perlahan). Had bacaan sir adalah
sekurang-kurangnya boleh didengari oleh diri sendiri. Abu Bakr Ba Fadhal
menjelaskan:
ويشترط إسماع نفسه التكبير وكذا القراءة
وسائر الأركان
Maksudnya: Dan disyaratkan dapat diperdengar bacaan sendiri pada takbir
(al-ihram) dan begitu juga pada bacaan (surah al-Fatihah) serta
rukun-rukun lain.[6]
Oleh
itu, sekiranya bacaan dalam solat tidak dapat didengari, maka perlulah
menguatkan suara sehingga dapat didengari sendiri bacaan tersebut. Begitu juga
halnya sekiranya membacanya secara berbisik. Bacaan solat dengan cara berbisik
adalah sah jika boleh mendengar bacaan sendiri dengan jelas. Imam
al-Syubramallisi telah menyatakan:
ويشترط أن يسمع نفسه أي فلو همس به بحيث
لم يسمعه لم يعتد به فتجب إعادته
Maksudnya: Dan disyaratkan dapat diperdengar bacaan sendiri, iaitu
jika dia berbisik padanya dalam keadaan tidak didengarinya, maka tidak dikira
(sah) dan perlu diulang (solatnya).[7]
Syeikh
Sa’id Ba Asyan pula menjelaskan:
حيث لا مانع من نحو لغط، وإلا .. فيرفع
قدر ما يسمعه لو لم يكن مانع
Maksudnya: (Disyaratkan dapat diperdengar bacaan sendiri) sekiranya
tidak mempunyai halangan seperti suasana hiruk-pikuk. Jika tidak dapat
mendengar bacaan sendiri … maka hendaklah dia meninggikan suara sekadar yang
boleh didengarinya sendiri walaupun tidak berlaku sebarang halangan.[8]
Syarat
supaya dapat diperdengar bacaan sendiri adalah dalam suasana yang tidak bising.
Sekiranya solat di persekitaran yang agak bising atau pembesar suara yang
terlalu kuat sehingga tidak membolehkan untuk mendengar bacaan sendiri, maka
tidak dituntut untuk menguatkan suara melebihi had bacaan sir (perlahan).
Manakala,
had bacaan jahar (kuat) adalah sekadar boleh didengari suara tersebut oleh
orang di sebelahnya. Imam al-Nawawi menjelaskan:
قال صاحب الحاوي حد الجهر أن يسمع من يليه
Maksudnya: Berkata pengarang kitab al-Hawi (iaitu al-Hawi
al-Kabir), had bacaan jahar adalah boleh didengari orang yang berada
di sebelahnya.[9]
Kesimpulan
Rukun
qawli perlulah dititikberatkan kerana ia melibatkan cara bacaan dalam
solat. Umat Islam mestilah menjaga bacaan solatnya khususnya bacaan pada rukun qawli
agar solat tersebut sah. Sekiranya dibaca dengan kesilapan yang dapat mengubah
makna bacaan, maka solat tersebut menjadi tidak sah. Selain itu, terdapat
perbezaan antara had bacaan secara sir (perlahan) dengan bacaan secara jahar
(kuat). Had bacaan sir (perlahan) adalah sekurang-kurangnya seseorang boleh
mendengar bacaan sendiri dengan jelas dan meraikan setiap huruf yang disebut
menepati cara baca yang betul. Had bacaan jahar (kuat) pula adalah sekadar
boleh didengari suara tersebut oleh orang di sebelahnya.
[1] Saʿīd bin Muḥammad Bā ʿAlī Bā ʿAshan. Bushrā al-Karīm Bisharḥ Masā’il
al-Taʿlīm. (Jeddah: Dar al-Minhāj, 2004). 195.
والأركان المذكورة ثلاثة أقسام:
قلبي وهو: النية.
وقولي وهو: تكبيرة الإحرام، والفاتحة،
والتشهد الأخير، والصلاة على النبي صلى الله عليه وسلم بعده والسلام.
وفعلي وهو: القيام والركوع والاعتدال والسجود
والجلوس بين السجدتين، والجلوس في التشهد الأخير، والترتيب
[2] Zakariyyā al-Anṣārī, Zakariyyā bin Muḥammad. Asnā al-Maṭālib Fī Sharḥ
Rawḍ al-Ṭālib. (t.t.p: Dār al-Kitāb al-Islāmī, t.t). 1/136.
[3] Al-Khaṭīb al-Shirbīnī, Muḥammad bin Muḥammad.
Mughnī al-Muḥtāj. (Beirut: Dār al-Kutub al-ʿIlmiyyah, 1994). 1/345.
وأن يجهر بتكبيرة الإحرام وتكبيرات
الانتقالات الإمام ليسمع المأمومين فيعلموا صلاته بخلاف غيره من مأموم ومنفرد
فالسنة في حقه الإسرار
Al-Nawawī, Muḥy al-Dīn bin Sharf. Al-Majmūʿ Sharḥ al-Muhadhdhab. (Mesir: al-Ṭibā`ah
al-Munīriyyah, 1929). 3/389.
فالسنة الجهر في ركعتي الصبح والمغرب والعشاء
وفي صلاة الجمعة والإسرار في الظهر والعصر وثالثة المغرب والثالة والرابعة من
العشاء وهذا كله بإجماع المسلمين مع الأحاديث الصحيحة المتظاهرة على ذلك هذا حكم
الإمام وأما المنفرد فيسن له الجهر عندنا وعند الجمهور
[4] Al-Haytamī, Aḥmad bin Muḥammad. Al-Minhāj
al-Qawīm. (Beirut: Dār al-Kutub al-ʿIlmiyyah, 2000). 88.
[5] Al-Ramlī, Muḥammad bin Abī al-ʿAbbās. Nihāyat
al-Muḥtāj. (Beirut: Dār al-Fikr, 1984). 1/480.
[6] Abū Bakr Bā Faḍal, ʿAbdullāh bin ʿAbdul Raḥmān.
Al-muqaddimah al-Ḥadramiyyah. (Syria: al-Dār al-Muttaḥidah, 1992). 62.
[7] Al-Ramlī, Muḥammad
bin Abī al-ʿAbbās. Nihāyat al-Muḥtāj. 1/535.
[8] Saʿīd bin Muḥammad Bā ʿAlī Bā ʿIshīn. Bushrā
al-Karīm Bisharḥ Masā’il al-Taʿlīm. 199
[9] Al-Nawawī, Muḥy al-Dīn bin Sharf. Al-Majmūʿ
Sharḥ al-Muhadhdhab. 3/390.

