#109 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Berkaitan Rukun Qawli

 

#108 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Berkaitan Rukun Qawli

 Tarikh: 20 April 2026

Disediakan oleh: Unit Dirasat Ilmiah

 

Pendahuluan

Ibadah solat fardu merupakan satu tuntutan yang wajib dilaksanakan oleh setiap orang Islam. Ia merupakan salah satu manifestasi kehambaan dan kepatuhan seseorang Muslim kepada Allah SWT. Mengambil perhatian yang penuh terhadap rukun-rukun solat sangatlah penting bagi menjamin solat yang dilaksanakan adalah sah. Daripada sejumlah rukun solat, rukun qawli adalah salah satu rukun solat yang perlu diberikan perhatian. Oleh itu, artikel ini akan menjelaskan tentang rukun qawli dan hukum sebutannya serta had bacaan sir dan jahar dalam solat.

 

Rukun Qawli

Rukun solat terbahagi kepada tiga iaitu rukun qalbi (hati), rukun fi’li (perbuatan) dan rukun qawli (bacaan). Rukun qalbi adalah niat di dalam hati. Rukun fi’li pula adalah perbuatan yang melibatkan pergerakan dalam solat iaitu berdiri tegak, rukuk berserta tamakninah, iktidal, sujud berserta tamakninah, duduk antara dua sujud berserta tamakninah, duduk tahiyat akhir dan tertib. Manakala rukun qawli adalah bacaan tertentu dalam solat iaitu takbiratulihram, bacaan surah al-Fatihah, bacaan tahiyat akhir, selawat kepada Nabi SAW semasa tahiyat akhir dan salam pertama.[1] Oleh itu, kesemua jumlah rukun dalam solat adalah sebanyak 13 rukun.

 

Rukun-rukun tersebut mestilah dilakukan dan disempurnakan supaya solat yang dilaksanakan menjadi sah. Sekiranya salah satu rukun tersebut tidak dilaksanakan tanpa sebarang keuzuran, maka solat menjadi tidak sah. Imam Zakariyya al-Ansari menjelaskan:

يشترط في صحة صلاة الفريضة الاستقرار والاستقبال وتمام الأركان

Maksudnya: Disyaratkan pada sah suatu solat fardu adalah tetap tempat berdiri, menghadap kiblat dan sempurna rukun-rukun solat.[2]

 

Rukun qawli melibatkan lima perkara iaitu takbiratul ihram, bacaan surah al-Fatihah, bacaan tahiyat akhir, selawat kepada Nabi SAW semasa tahiyat akhir dan salam pertama. Maka bacaan-bacaan lain dalam solat seperti tasbih ketika rukuk dan sujud atau bacaan doa qunut bukanlah rukun, bahkan ia adalah sunat dalam solat sama ada ab’adh atau hay’at.

 

Terdapat sebahagian daripada rukun qawli yang dibaca secara jahar (kuat) dan sebahagian lain dibaca secara sir (perlahan). Imam disunatkan untuk menguatkan suara ketika takbiratulihram dan takbir perpindahan antara rukun. Imam juga disunatkan untuk menguatkan bacaan surah al-Fatihah dan juga surah-surah lain pada solat fardu Subuh, dua rakaat pertama solat Maghrib dan Isyak serta pada solat Jumaat. Manakala pada solat fardu Zohor, Asar, rakaat terakhir solat Maghrib dan dua rakaat terakhir solat Isyak, imam disunatkan untuk memperlahankan suara. Bagi makmum ataupun orang yang solat secara bersendirian adalah disunatkan untuk memperlahankan suara sepanjang solat.[3]

 

Menjaga Sebutan Bacaan

Perkara yang dititik beratkan berkenaan rukun qawli adalah cara membacanya. Seseorang perlu menjaga bacaannya agar tidak berubah maksud terutamanya semasa takbir dan surah al-Fatihah. Sekiranya bacaannya silap sehingga mengubah makna bacaan, maka solat tersebut menjadi tidak sah. Imam Ibn Hajar al-Haytami menjelaskan dalam al-Minhaj al-Qawim:

ويضر فيه الإخلال بحرف من غير الألثغ وزيادة حرف يغير المعنى

Maksudnya: Dan dapat menjejaskan padanya (takbiratul ihram) kesalahan menyebut satu huruf bukan disebabkan pelat dan menambah satu huruf sehingga merubah makna.[4]

 

Imam al-Ramli pula menyatakan:

يجب عليه رعايتها فلا يخل بشيء منها حيث كان قدرا لأنها هيئات لحروفها

Maksudnya: Wajib ke atasnya menjaganya (bacaan surah al-Fatihah), maka tidak boleh mengabaikan sedikit pun daripadanya sekadar yang mampu, kerana ia menggambarkan keadaan bagi huruf-hurufnya.[5]

 

Had Bacaan Sir  dan Jahar

Salah satu perkara yang penting berkenaan dengan bacaan ketika solat khususnya pada rukun qawli adalah had bacaan sir (perlahan). Had bacaan sir adalah sekurang-kurangnya boleh didengari oleh diri sendiri. Abu Bakr Ba Fadhal menjelaskan:

‌ويشترط ‌إسماع ‌نفسه ‌التكبير ‌وكذا ‌القراءة ‌وسائر ‌الأركان

Maksudnya: Dan disyaratkan dapat diperdengar bacaan sendiri pada takbir (al-ihram) dan begitu juga pada bacaan (surah al-Fatihah) serta rukun-rukun lain.[6]

 

Oleh itu, sekiranya bacaan dalam solat tidak dapat didengari, maka perlulah menguatkan suara sehingga dapat didengari sendiri bacaan tersebut. Begitu juga halnya sekiranya membacanya secara berbisik. Bacaan solat dengan cara berbisik adalah sah jika boleh mendengar bacaan sendiri dengan jelas. Imam al-Syubramallisi telah menyatakan:

ويشترط أن يسمع نفسه أي فلو ‌همس به بحيث لم يسمعه لم يعتد به فتجب إعادته

Maksudnya: Dan disyaratkan dapat diperdengar bacaan sendiri, iaitu jika dia berbisik padanya dalam keadaan tidak didengarinya, maka tidak dikira (sah) dan perlu diulang (solatnya).[7]

 

Syeikh Sa’id Ba Asyan pula menjelaskan:

حيث لا مانع من نحو لغط، وإلا .. فيرفع قدر ما يسمعه لو لم يكن مانع

Maksudnya: (Disyaratkan dapat diperdengar bacaan sendiri) sekiranya tidak mempunyai halangan seperti suasana hiruk-pikuk. Jika tidak dapat mendengar bacaan sendiri … maka hendaklah dia meninggikan suara sekadar yang boleh didengarinya sendiri walaupun tidak berlaku sebarang halangan.[8]

 

Syarat supaya dapat diperdengar bacaan sendiri adalah dalam suasana yang tidak bising. Sekiranya solat di persekitaran yang agak bising atau pembesar suara yang terlalu kuat sehingga tidak membolehkan untuk mendengar bacaan sendiri, maka tidak dituntut untuk menguatkan suara melebihi had bacaan sir (perlahan).

 

Manakala, had bacaan jahar (kuat) adalah sekadar boleh didengari suara tersebut oleh orang di sebelahnya. Imam al-Nawawi menjelaskan:

قال صاحب الحاوي حد الجهر ‌أن ‌يسمع ‌من ‌يليه

Maksudnya: Berkata pengarang kitab al-Hawi (iaitu al-Hawi al-Kabir), had bacaan jahar adalah boleh didengari orang yang berada di sebelahnya.[9]

 

Kesimpulan

Rukun qawli perlulah dititikberatkan kerana ia melibatkan cara bacaan dalam solat. Umat Islam mestilah menjaga bacaan solatnya khususnya bacaan pada rukun qawli agar solat tersebut sah. Sekiranya dibaca dengan kesilapan yang dapat mengubah makna bacaan, maka solat tersebut menjadi tidak sah. Selain itu, terdapat perbezaan antara had bacaan secara sir (perlahan) dengan bacaan secara jahar (kuat). Had bacaan sir (perlahan) adalah sekurang-kurangnya seseorang boleh mendengar bacaan sendiri dengan jelas dan meraikan setiap huruf yang disebut menepati cara baca yang betul. Had bacaan jahar (kuat) pula adalah sekadar boleh didengari suara tersebut oleh orang di sebelahnya.



[1] Saʿīd bin Muḥammad Bā ʿAlī Bā ʿAshan. Bushrā al-Karīm Bisharḥ Masā’il al-Taʿlīm. (Jeddah: Dar al-Minhāj, 2004). 195.

والأركان المذكورة ثلاثة أقسام:

قلبي وهو: النية.

وقولي وهو: تكبيرة الإحرام، والفاتحة، والتشهد الأخير، والصلاة على النبي صلى الله عليه وسلم بعده والسلام.

وفعلي وهو: القيام والركوع والاعتدال والسجود والجلوس بين السجدتين، والجلوس في التشهد الأخير، والترتيب

[2] Zakariyyā al-Anṣārī, Zakariyyā bin Muḥammad. Asnā al-Maṭālib Fī Sharḥ Rawḍ al-Ṭālib. (t.t.p: Dār al-Kitāb al-Islāmī, t.t). 1/136.

[3] Al-Khaṭīb al-Shirbīnī, Muḥammad bin Muḥammad. Mughnī al-Muḥtāj. (Beirut: Dār al-Kutub al-ʿIlmiyyah, 1994). 1/345.

وأن يجهر بتكبيرة الإحرام وتكبيرات الانتقالات الإمام ليسمع المأمومين فيعلموا صلاته بخلاف غيره من مأموم ومنفرد فالسنة في حقه الإسرار

Al-Nawawī, Muḥy al-Dīn bin Sharf. Al-Majmūʿ Sharḥ al-Muhadhdhab. (Mesir: al-Ṭibā`ah al-Munīriyyah, 1929). 3/389.

فالسنة ‌الجهر ‌في ‌ركعتي ‌الصبح ‌والمغرب ‌والعشاء وفي صلاة الجمعة والإسرار في الظهر والعصر وثالثة المغرب والثالة والرابعة من العشاء وهذا كله بإجماع المسلمين مع الأحاديث الصحيحة المتظاهرة على ذلك هذا حكم الإمام وأما المنفرد فيسن له الجهر عندنا وعند الجمهور

[4] Al-Haytamī, Aḥmad bin Muḥammad. Al-Minhāj al-Qawīm. (Beirut: Dār al-Kutub al-ʿIlmiyyah, 2000). 88.

[5] Al-Ramlī, Muḥammad bin Abī al-ʿAbbās. Nihāyat al-Muḥtāj. (Beirut: Dār al-Fikr, 1984). 1/480.

[6] Abū Bakr Bā Faḍal, ʿAbdullāh bin ʿAbdul Raḥmān. Al-muqaddimah al-Ḥadramiyyah. (Syria: al-Dār al-Muttaḥidah, 1992). 62.

[7] Al-Ramlī, Muḥammad bin Abī al-ʿAbbās. Nihāyat al-Muḥtāj. 1/535.

[8] Saʿīd bin Muḥammad Bā ʿAlī Bā ʿIshīn. Bushrā al-Karīm Bisharḥ Masā’il al-Taʿlīm. 199

[9] Al-Nawawī, Muḥy al-Dīn bin Sharf. Al-Majmūʿ Sharḥ al-Muhadhdhab. 3/390.

Accessibility Toolbar