#19 Taudhih al-Falak : Darjah Toleransi Menghadap Kiblat
Tarikh: 30 Mac 2026
Disediakan oleh: Nabeela Akrasha binti Surtahman
Pendahuluan
Menghadap kiblat merupakan salah satu syarat sah solat berpandukan kepada firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 144;
فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ
Maksudnya: Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada, palingkanlah mukamu ke arahnya.
Kiblat ialah Kaabah di Masjidil Haram yang terletak di Mekah. Kewajipan menghadap kiblat ini bukan sahaja kepada orang Islam di Mekah malah kepada semua umat Islam di dunia untuk melaksanakan ibadah solat.
Malaysia yang berkedudukan jauh dari Mekah hendaklah memastikan arah kiblatnya menghadap jihah (arah) Kaabah. Keadaan ini menimbulkan persoalan berapakah had toleransi menghadap kiblat yang dibenarkan?
‘Ain dan Jihah Kaabah
Para ulama sepakat menyatakan bahawa seseorang yang berada di Mekah atau hampir dengannya hendaklah menghadap ‘ain (fizikal) Kaabah secara yakin selagi mana keadaan mengizinkan. Sekiranya keadaan tidak mengizinkan, wajib baginya berijtihad dalam menghadap ‘ain Kaabah dan tidak memadai baginya menghadap jihah (arah) Kaabah[1].
Para ulama’ berselisih pendapat mengenai seseorang yang berada jauh dari Mekah sama ada perlu menghadap ‘ain Kaabah atau jihah Kaabah,
1. Jumhur fuqaha’ iaitu iaitu mazhab Hanafi, Maliki, Hanbali dan satu wajah dari mazhab Shafi’i[2] berpendapat bahawa seseorang yang berada jauh dari Mekah memadai dengan menghadap jihah Kaabah dan tidak wajib menghadap ‘ain Kaabah.
2. Manakala pandangan muktamad dalam mazhab Shafi’i adalah sebagaimana seseorang yang berada hampir dengan Mekah hendaklah menghadap ‘ain Kaabah secara yakin, maka seseorang yang berada jauh dari Mekah hendaklah menghadap ‘ain Kaabah tetapi secara dzann, iaitu bersandarkan kepada dalil-dalil dzanni (sangkaan yang kuat)[3].
Rajah 1: ‘Ain (binaan fizikal) Kaabah
Rajah 2: Gambaran jihah Kaabah
Pandangan mengenai jihah Kaabah adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
مَا بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ قِبْلَةٌ [4]
Maksudnya: Apa yang di antara timur dan barat adalah kiblat.
(Riwayat al-Tirmizi)
Begitu juga hadis daripada Abi Ayyub Al-Ansari RA bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا أَتَيْتُمُ الْغَائِطَ فَلَا تَسْتَقْبِلُوا الْقِبْلَةَ وَلَا تَسْتَدْبِرُوهَا، وَلَكِنْ شَرِّقُوا أَوْ غَرِّبُوا[5]
Maksudnya: Apabila kamu ke tempat membuang air, maka janganlah kamu menghadap kiblat dan jangan membelakanginya, akan tetapi menghadaplah ke timur atau ke barat.
(Riwayat al-Bukhari)
Imam al-Bukhari melalui hadis ini telah memberikan judul bab “Kiblat penduduk Madinah, penduduk Syam, dan penduduk Timur; dan tidak ada kiblat di arah timur mahupun barat” di dalam kitabnya. Berkaitan judul ini, al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali menyatakan;
مقصوده بهذا الباب أن أهل المدينة ومن كان قريبا من مسامتهم كأهل الشام والعراق، فإن قبلتهم ما بين المشرق والمغرب من جهة الكعبة، وأن المشرق والمغرب ليس قبلة لهم، وما بينهما فهو لهم قبلة[6]
Maksudnya: Maksud beliau (Imam al-Bukhari) dengan bab tersebut adalah penduduk Madinah dan mereka yang hampir sebaris dengannya, seperti penduduk Syam dan Iraq, maka kiblat mereka ialah apa yang berada di antara timur dan barat dari sudut arah Kaabah. Adapun arah timur dan arah barat itu sendiri bukanlah kiblat mereka, sebaliknya apa yang berada di antara keduanya itulah kiblat bagi mereka.
Ini bermakna, arah kiblat bagi penduduk yang jauh dari Mekah adalah berdasarkan kedudukannya yang relatif kepada Kaabah dan arah tersebut difahami sebagai jihah (arah), bukan ‘ain, maka begitulah seterusnya kiblat bagi tempat-tempat lain.
Darjah Toleransi Menghadap Kiblat
Malaysia yang jaraknya dari Mekah melebihi 6000km adalah tergolong dalam negara yang jauh dari Mekah. Maka perlu untuk menghadap jihah Kaabah (menurut jumhur ulama) atau ‘ain Kaabah secara dzann (mengikut mazhab Shafi’i) sebagai arah kiblat. Hal ini menyebabkan wujudnya perbincangan had selisih atau toleransi agar arah kiblat tidak tersasar dari had lingkungan jihah Kaabah.
Berdasarkan hitungan astronomi, azimut kiblat di Malaysia adalah antara 291° hingga 293° bergantung kepada lokasi tempatan. Sekiranya terdapat selisihan sebanyak 1° dari arah kiblat, perbezaan ini akan memberikan nilai had pesongan yang sangat jauh iaitu 111km-122km dari arah kiblat yang sebenar. Hal ini kerana semakin jauh jarak sesuatu tempat, maka semakin besar nilai selisih yang boleh menyebabkan arah kiblat itu terpesong.
Rajah 3: Gambaran arah kiblat benar dan tersasar[7]
Pandangan Muzakarah Majlis Kebangsaan
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-79 yang bersidang pada 6-8 September 2007 telah berbincang mengenai had berpaling yang dibenarkan daripada arah kiblat (had al-tahawwul ‘anil qiblah). Muzakarah berpandangan bahawa arah menghadap kiblat merupakan perkara ijtihadi dan zanni. Penentuan had tidak melebihi 3° bagi pesongan mihrab yang dibenarkan tidak perlu ditetapkan. Oleh itu, muzakarah memutuskan bahawa had berpaling yang dibenarkan dari arah kiblat tidak perlu difatwakan, tetapi boleh dijadikan garis panduan dalam pembinaan masjid dan surau baru[8].
Pandangan Jawatankuasa Falak Negeri Selangor
Jawatankuasa Falak Negeri Selangor Bil 1/2017 telah mengambil maklum berhubung isu yang berbangkit dan memutuskan bahawa[9]:-
1. Bagi panduan individu yang mendirikan solat, kadar selisih arah kiblat tidak ditentukan kerana nas yang memberikan keluasan selagi mana arah kiblat tidak berada di kiri atau di kanannya.
2. Bagi maksud garis panduan pembinaan bangunan seperti masjid, surau dan tapak perkuburan kadar 3° dapat digunakan sebagai panduan selisih arah kiblat berdasarkan kemampuan peralatan falak dalam membuat pengiraan dan pengukuran yang lebih tepat.
Kesimpulan
Menghadap kiblat ketika solat merupakan suatu kewajipan syarak yang berasaskan kepada perintah menghadap Kaabah. Bagi negara yang jauh dari Mekah seperti Malaysia, kewajipan tersebut dilaksanakan melalui jihah (arah) Kaabah. Perbincangan mengenai had toleransi menunjukkan bahawa tiada kadar tertentu yang ditetapkan secara nas, namun pandangan muzakarah dan keputusan Jawatankuasa Falak Negeri Selangor adalah sebagai panduan dalam memastikan ketepatan arah kiblat. Maka, darjah toleransi 3° dari arah sebenar boleh digunakan khususnya bagi tujuan pembinaan masjid, surau atau tapak perkuburan sebagai panduan agar pembinaannya lebih tersusun dan seragam serta menunjukkan kesatuan umat Islam.
[1] Jihah bererti had berpaling yang dibenarkan daripada kiblat. Konsep jihah adalah lebih luas berbanding ‘ain.
[2] Al-Nawawī, Abū Zakariyyā Yaḥyā bin Sharaf, al-Majmū‘ Sharḥ al-Muhadhdhab, (Kaherah: al-Maṭba‘ah al-Munīriyyah), jil.3, ms.207.
[3] Mustafā al-Khin, Mustafā al-Bugha & ‘Alī al-Sharbajī, Al-Fiqh al-Manhajī ‘alā Madhhab al-Imām al-Shāfi‘ī, (Damsyīk: Dār al-Qalam li al-Ṭibā‘ah wa al-Nashr wa al-Tawzī‘, 1992), jil. 1, ms. 128.
[4] Abū Isā Al-Tirmiẓi, Sunān Al-Tirmiẓ, (Dār al-Gharb al-Islāmiy, Beirut, 1975), hadis no.: 342. Jil. 1, ms. 373.
[5] Al-Bukhari, Abū Abdullah Muhammad Bin Isma’il al-Bukhārī al-Ja’fi, Sahih al-Bukhari, (Damsyik, Syria: Dar Ibn Katsir, 1993), hadis no. 386. Jil. 1. Ms. 154.
[6] Ibn Rajab, Abū al-Faraj ‘Abd al-Raḥmān bin Aḥmad al-Ḥanbalī, Fatḥ al-Bārī Sharḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. (Riyadh: Dār Ibn al-Jawzī, 2010), jil. 2. Ms. 289.
[7] Sumber: Mohamad Saupi bin Che Awang, Monograf Falak Syarie – Memahami Kaedah Kontemporari Penetapan Arah Kiblat, Waktu Solat dan Kalendar Hijrah. (14 Julai 2015),
[8] JAKIM. Kompilasi Pandangan Hukum Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI). (JAKIM, 2021): 60.
[9] Jabatan Mufti Negeri Selangor, https://www.muftiselangor.gov.my/wp-content/uploads/2023/10/Kenyataan-Media-Pengurusan-Arah-Kiblat-Dalam-Negeri-Selangor.pdf, (2023).

