#18 Taudhih al-Falak : Perspektif Ilmu Falak dan Sains Moden Terhadap Bentuk Bumi Sfera
Tarikh: 14.11.2025
Disediakan oleh: Nabeela Akrasha binti Surtahman
Pendahuluan
Dakwaan bumi berbentuk datar telah lama wujud, namun ulama dan ahli falak sejak dahulu telah membuktikan bahawa bumi berbentuk sfera. Artikel #16 Taudhih al-Falak: Khilaf Terhadap Tafsiran Rupa Bentuk Bumi Menurut al-Quran[1] telah membahas tafsiran rupa bentuk bumi menurut al-Quran, artikel ini seterusnya menyoroti bukti saintifik dan pandangan ahli falak, sekaligus menjelaskan mengapa bumi sfera adalah fakta yang kukuh dan relevan untuk kehidupan seharian, termasuk dalam penentuan waktu solat dan arah kiblat.
Pandangan Ahli Falak
Kepercayaan bahawa bumi berbentuk datar merupakan ciri khas kosmologi kuno. Antara peradaban yang mempercayainya termasuklah tamadun Babilonia, Mesir, Mesopotamia, Yunani kuno, India kuno, China, serta peradaban Inca dan Maya di benua Amerika. Pandangan bahawa bumi berbentuk datar dikubahi cakerawala berbentuk mangkuk menjadi kepercayaan utama dalam masyarakat dunia purba selama berabad-abad, sehinggalah ilmu pengetahuan moden berkembang sekitar abad keempat sebelum Masihi, apabila ahli falsafah Yunani seperti Aristotle mula mengemukakan hujah bahawa bumi berbentuk bulat[2].
Idea ini diperluas dan dikukuhkan oleh para ilmuwan Islam seperti al-Farghani, Abu Saad al-Sijzi, Ibn al-Haitham dan al-Biruni di dalam karya awal mereka[3]. Bahkan, seawal tahun tiga hijrah, Khalifah Abbasiyyah iaitu Khalifah al-Ma’mun telah menghimpunkan para ilmuwan falak dan memerintahkan mereka mengukur panjang satu darjah daripada darjah-darjah bumi untuk mengetahui ukuran lilitannya, serta melakar peta dunia berdasarkan bentuk bumi sfera[4].
Begitu juga al-Biruni dalam karya terkenalnya al-Qanun al-Mas’udi telah membentangkan beberapa hujah saintifik bagi membuktikan bahawa bumi bukan datar, antaranya mengukur lilitan bumi menggunakan astrolab dan prinsip trigonometri, menjelaskan fenomena gerhana dan lengkung ufuk pada ketinggian berbeza.
Naratif ini menggambarkan kesepakatan ahli falak Islam terhadap bumi itu sfera, sekaligus menolak dakwaan bahawa bentuk datar bumi berasal daripada kefahaman Islam, selari dengan ungkapan al-Shanqiti dalam tafsirnya Adwa’ al-Bayan,
إِذَا رَجَعْنَا إِلَى كَلَامِ مَنْ نَظَرَ فِي عِلْمِ الْهَيْئَةِ مِنَ الْمُسْلِمِينَ فَإِنَّا نَجِدُهُمْ مُتَّفِقِينَ عَلَى أَنَّ شَكْلَ الْأَرْضِ مُسْتَدِيرٌ.[5]
Maksudnya: Jika kita merujuk kepada pandangan para ulama Muslim yang mendalami ilmu Falak, nescaya kita akan dapati bahawa mereka semuanya sepakat bahawa bentuk bumi itu adalah bulat.
Bukti Saintifik Moden
Hari ini, ilmu Falak moden membuktikan bahawa bumi ialah sfera melalui pelbagai kaedah saintifik, termasuk:[6]
i. Cerapan lengkungan bayang bumi semasa fenomena gerhana bulan penuh.
ii. Cerapan matahari terbenam di ufuk pada ketinggian lokasi yang berbeza.
iii. Aplikasi hitungan trigonometri sfera sebagai asas carian arah kiblat melalui pembukitian ketika fenomena matahari tegak di atas Kaabah.
iv. Ketepatan waktu solat yang berdasarkan pergerakan sfera samawi sebagai asas hitungan waktu solat.
v. Penerbangan komersial di laluan polar melalui jarak terdekat.
Hal ini menunjukkan bentuk bumi sfera telah membantu ahli falak dalam membangunkan pelbagai kaedah sebagai asas perhitungan waktu solat, arah kiblat, fenomena gerhana dan sudut junaman ufuk.
Rajah 1 : Bayang-bayang bumi yang jatuh ke permukaan bulan.
Bayang-bayang bumi yang jatuh ke permukaan bulan adalah dalam bentuk lengkungan seperti yang berlaku ketika fenomena gerhana bulan penuh pada 8 September 2025. Jika bumi berbentuk rata, bayang-bayang yang terhasil kelihatan lurus dan mendatar tanpa sebarang lengkungan.
Sumber: Jabatan Mufti Negeri Selangor.
Dalam konteks semasa, fenomena siang dan malam serta perbezaan waktu subuh, zohor dan maghrib di pelbagai kawasan geografi adalah hasil daripada bumi yang berputar dan melengkung, bukan permukaan yang rata. Azan dan iqamah sentiasa berlaku silih berganti daripada satu lokasi ke satu lokasi sebagaimana silih berganti siang dan malam.
Apabila bumi berputar dari barat ke timur, kawasan yang berada lebih ke timur akan mengalami peredaran matahari lebih awal. Oleh itu, perbezaan longitud antara dua tempat menyumbang kepada perbezaan waktu-waktu solat seperti waktu subuh dan maghrib. Maka, kawasan yang terletak di bahagian timur akan mengalami fajar dan terbit matahari terlebih dahulu berbanding kawasan di barat. Sebagai contoh, waktu subuh di Sabah lebih awal berbanding di Kuala Lumpur walaupun berada dalam negara yang sama.
Konsep ini hanya relevan jika bumi berbentuk sfera kerana hanya bentuk sfera yang membolehkan perubahan sudut pancaran cahaya matahari berlaku secara konsisten mengikut lokasi di muka bumi. Ini seterusnya mempengaruhi panjang waktu siang dan malam serta perubahan waktu solat. Jika bumi rata, kesan ini tidak akan berlaku secara semula jadi dan konsisten.
Pembuktian Visual
Daripada sudut pembuktian visual pula, rakaman daripada satelit sejak abad ke-20 telah mengesahkan bentuk bumi secara empirik. Pada 24 Oktober 1946, gambar bumi dari angkasa telah dirakam buat pertama kali oleh roket V-2 yang dilancarkan di Amerika Syarikat.
Rajah 2: Rakaman Gambar Pertama Bumi dari Angkasa 1946.
Sumber: NASA 2024[7]
Selepas itu, lebih banyak imej-imej bumi telah dihasilkan melalui satelit dan pelbagai stesen angkasa lepas yang memperlihatkan lengkungan bumi. Pada 1972, The Blue Marble, iaitu sebuah gambar penuh bumi yang jelas menunjukkan bentuk sferanya telah berjaya dirakam. Sejak itu, imej seumpamanya dirakam secara berkala oleh satelit cuaca seperti Geostationary Operational Environmental Satellite (GOES) dan National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA).
Rajah 3: Imej Terkenal The Blue Marble 1972
Sumber: NASA 2024
Selain itu, data visual dan rakaman langsung dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) turut memperlihatkan lengkungan bumi secara konsisten, dan boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi NASA sehingga ke hari ini.
Kesimpulan
Bukti saintifik dan falak menunjukkan bumi berbentuk sfera. Perkara ini menolak dakwaan bahawa bumi berbentuk rata. Bentuk sfera bumi menjelaskan fenomena siang dan malam, perbezaan waktu solat di pelbagai lokasi dan telah membantu ahli falak dalam membangunkan pelbagai kaedah sebagai asas hitungan waktu solat, arah kiblat, fenomena gerhana dan sudut junaman ufuk.
[1] Rujuk https://www.muftiselangor.gov.my/2025/08/25/16-taudhih-al-falak-khilaf-terhadap-tafsiran-rupa-bentuk-bumi-menurut-al-quran/
[2] Didit Ardianto & Harry Firman, “Apakah ‘Teori Bumi Datar’ Dapat Dipandang Sebagai Realita?”, Journal of Science Education and Practice 1, no. 1 (2017): 72; Muh. Taufiqurrahman, Fatmawati, dan Halima B., “Kajian Teori Flat Earth Perspektif Ilmu Falak”, HISABUNA: Jurnal Ilmu Falak 3, no. 1 (2022): 33.
[3] Ahmad Irfan, “Bumi Datar vs Bumi Sfera: Pandangan Ahli Tafsir”, dlm. Jurnal Falak Bil 5. 2019/1441H, ed. Dato’ Dr. Sirajuddin (JAKIM & APIUM, 2019), 8.
[4] Rujuk Al-Masʿūdī, Murūj al-Dhahab wa Maʿādin al-Jawhar (Beirut: al-Maktabah al-Asriyyah), jil. 1, ms. 70.
[5] Muhammad al-Amīn bin Muhammad al-Mukhtar al-Shanqīti, Adwa’ al-Bayan fi Idah al-Quran bi al-Quran (Beirut: Dār al-Fikr, 1995), jil. 8, ms. 42.
[6] Ahmad Irfan, “Bumi Datar vs Bumi Sfera: Pandangan Ahli Tafsir”, dlm. Jurnal Falak Bil 5. 2019/1441H, ed. Dato’ Dr. Sirajuddin (JAKIM & APIUM, 2019), 12.
[7] John Uri, “20 Years Ago: First Image of Earth from Mars and Other Postcards of Home,” NASA, diakses pada 21 Julai 2025, https://www.nasa.gov/history/20-years-ago-first-image-of-earth-from-mars-and-other-postcards-of-home/

