#17 Taudhih al-Falak : Ketepatan Aplikasi Telefon Bimbit Dalam Menentukan Arah Kiblat
Tarikh: 10.11.2025
Disediakan oleh: Nabeela Akrasha binti Surtahman
Pendahuluan
Menghadap arah kiblat merupakan syarat sah solat yang amat dititikberatkan dalam Islam. Dengan kemajuan teknologi, umat Islam kini boleh mengetahui arah kiblat dengan mudah menggunakan aplikasi telefon bimbit. Kemudahan ini amat berguna, terutamanya bagi mereka yang berada di lokasi baharu atau dalam perjalanan. Walau bagaimanapun, adakah aplikasi tersebut menunjukkan arah kiblat yang tepat?
Penentuan Arah Kiblat
Arah kiblat sesuatu lokasi dapat ditentukan melalui beberapa kaedah antaranya melalui data-data kedudukan matahari, bulan, bintang dan buruj. Rujukan matahari merupakan antara kaedah yang diyakini dalam menentukan kiblat. Penggunaan matahari sebagai panduan memerlukan kefahaman terhadap pergerakan dan peredarannya di langit, kerana kedudukan matahari berubah-ubah setiap hari akibat kecondongan paksi bumi serta peredaran bumi mengelilingi matahari. Firman Allah SWT dalam surah Yasin ayat 38;
وَٱلشَّمْسُ تَجْرِى لِمُسْتَقَرٍّۢ لَّهَا ۚ ذَٰلِكَ تَقْدِيرُ ٱلْعَزِيزِ ٱلْعَلِيمِ
Maksudnya: Dan (sebahagian dari dalil yang tersebut ialah) matahari; ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui;
Setiap peredaran matahari berlaku mengikut ketentuan yang tetap dan dari keteraturan inilah manusia dapat mengenal pasti serta menghitung kedudukannya untuk panduan. Firman Allah SWT dalam surah al-Rahman ayat 5;
ٱلشَّمْسُ وَٱلْقَمَرُ بِحُسْبَانٍۢ
Maksudnya: Matahari dan bulan beredar dengan peraturan dan hitungan yang tertentu
Begitu juga dengan firman Allah SWT dalam surah al-Rahman ayat 17;
رَبُّ ٱلْمَشْرِقَيْنِ وَرَبُّ ٱلْمَغْرِبَيْنِ
Maksudnya: Tuhan yang memelihara kedua tempat terbit matahari dan Tuhan yang memelihara kedua tempat terbenamnya.
Ayat ini menggambarkan perubahan peredaran matahari dalam setahun melalui tempat terbit dan tempat terbenamnya matahari. Dua timur dan dua barat menunjukkan dua titik di mana kedudukan matahari berada pada kedudukan paling utara dan paling selatan ketika terbit dan terbenam dalam tempoh setahun.
Secara asasnya, matahari akan terbit bermula dari titik timur pada 21 Mac di garisan 0° khatulistiwa dan menuju ke arah utara pada purata gerakan 1° sehari dan mencapai maksimum (23 ½ U) pada 21 Jun. Selepas 21 Jun, matahari bergerak menuju ke selatan dan melintasi garis khatulistiwa semula pada 23 September. Selepas 23 September, matahari akan bergerak ke selatan dari titik timur dan mencapai titik maksimum (23 ½ S) pada 22 Disember. Peristiwa matahari tepat di atas garisan khatulistiwa yang berlaku pada 21 Mac dan 23 September dinamakan ekuinok.
Rajah 1: Pergerakan matahari dalam setahun
Berdasarkan pergerakan dan peredaran matahari, arah kiblat dapat diketahui melalui kaedah-kaedah berikut:
1. Kedudukan matahari istiwa (tepat) di atas Kaabah.
2. Kedudukan matahari melintasi garisan kiblat sesuatu lokasi.
3. Maklumat kedudukan matahari harian.
Penggunaan Aplikasi Arah Kiblat
Setiap individu muslim perlu mengetahui kaedah untuk mendapatkan arah kiblat secara tepat. Dengan kemajuan teknologi, menentukan arah kiblat bukan lagi tugas yang sukar. Wujudnya kemudahan internet menyebabkan fungsi telefon pintar berkembang pesat termasuklah kemudahan mengakses aplikasi arah kiblat. Aplikasi ini dilihat memberi manfaat yang sangat besar kerana membolehkan masyarakat menentukan arah kiblat walau di mana mereka berada pada bila-bila masa tanpa had sempadan.
Namun, penggunaan aplikasi kiblat dalam telefon pintar mempunyai isu ketepatan yang tersendiri.
1. Ralat dalam aplikasi
Beberapa kajian telah membuktikan wujudnya ralat yang ketara dalam paparan arah kiblat oleh sesetengah aplikasi. Antaranya, kajian Mustofa Kamal menunjukkan penggunaan kompas menghasilkan ralat sehingga 26°[1].
Berita Harian bersama Persatuan Falak Syar‘i Malaysia (PFSM) juga telah melakukan kajian pada tahun 2017 dan melaporkan hanya 2 daripada 10 aplikasi yang diuji menunjukkan arah kiblat tepat, sementara selebihnya tersasar hingga lebih 45°[2].
2. Kelemahan teknikal dan isyarat GPS
Selain kelemahan dari aspek pembangunan aplikasi, faktor teknikal seperti kekuatan isyarat GPS, sensor atau magnetometer dalam telefon pintar, tarikan magnet, pemilihan lokasi dan struktur bangunan serta telefon yang tidak dikalibrasi dengan baik juga mempengaruhi ketepatan bacaan arah kiblat.
Isu ketepatan ini menyebabkan terdapat sesetengah aplikasi yang memaparkan bacaan berbeza berbanding arah kiblat di lokasi tertentu, khususnya masjid yang telah ditentukan dan disahkan arah kiblatnya. Hal ini kerana kebanyakan aplikasi arah kiblat adalah berasaskan kepada kompas. Isu utama penggunaan kompas dalam menentukan arah kiblat adalah gangguan medan magnet daripada logam, besi, atau peralatan elektronik. Pengaruh medan magnet ini berbeza antara satu lokasi dengan satu lokasi yang lain.
Dalam mendapatkan arah kiblat yang tepat, penggunaan kompas fizikal mahupun kompas di telefon bimbit tidak disarankan sebagai panduan utama khususnya penggunaannya dalam bangunan yang terdapat pengaruh logam atau besi. Bahkan, kompas sebenarnya tidak menunjukkan utara sebenar, tetapi hanya utara magnetik. Hal ini menyebabkan wujudnya ralat yang dipanggil variasi magnetik. Oleh sebab itu, pengguna perlu mengkalibrasi telefon dengan memusingkan peranti 180° hingga 360°, meletakkannya di permukaan rata, serta mengelakkan penggunaan di kawasan yang mempunyai besi atau magnet. Dengan cara ini, paparan arah kiblat lebih stabil dan dapat mengurangkan gangguan magnetik.
Rajah 2 : Kelemahan aplikasi arah kiblat berasaskan kompas
Secara asas dan praktikalnya, semakan semula arah kiblat melalui aplikasi hanya boleh dijadikan panduan manakala arah kiblat yang telah disahkan oleh pihak berautoriti hendaklah dijadikan rujukan utama. Sekiranya sesuatu lokasi itu telah mematuhi prosedur operasi standard, mempunyai penanda arah kiblat rasmi Jabatan Mufti Negeri, dan mempunyai Sijil Perakuan Arah Kiblat, maka arah kiblat lokasi tersebut boleh diyakini dan menjadi rujukan.
Peranan Jabatan Mufti Negeri Selangor
Jabatan Mufti Negeri Selangor melalui Bahagian Falak bertanggungjawab dalam membuat penentuan dan pengesahan arah kiblat dalam negeri Selangor melibatkan semua masjid, surau kebenaran solat jumaat, surau, musolla, tanah perkuburan Islam, ruang solat awam, hentian rehat RNR, stesen minyak, perhotelan, pejabat dan lain-lain termasuk rumah persendirian.
Sehingga kini, Jabatan Mufti Negeri Selangor telah selesai membuat semakan arah kiblat di semua masjid, surau kebenaran diri solat Jumaat dan tanah perkuburan Islam dalam negeri Selangor. Manakala, semakan arah kiblat di premis-premis yang lain dilakukan berdasarkan permohonan yang diterima.
Berkuatkuasa 1 September 2025 semua kerja penentuan dan pengesahan arah kiblat termasuk rumah kediaman, premis dan bangunan di negeri Selangor telah diselaraskan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor yang boleh dimohon melalui sistem eFalak Selangor. Permohonan boleh dibuat melalui pautan seperti berikut:
https://efalak.muftiselangor.gov.my
Selain daripada permohonan arah kiblat di eFalak Selangor, orang awam juga boleh menentukan arah kiblat sendiri melalui aplikasi ini. Berbeza dengan aplikasi arah kiblat berasaskan kompas yang mempunyai isu keralatan, eFalak Selangor merupakan aplikasi berasaskan peta, diintegrasi dengan Geographic Information System (GIS) yang menunjukkan arah kiblat yang lebih tepat tanpa gangguan medan magnet, serta boleh ditentukan dalam apa jua keadaan cuaca. Rajah 3 merupakan simulasi arah kiblat di lokasi (garisan bewarna merah adalah arah kiblat) serta tatacara mendapatkan arah kiblat dengan menggunakan aplikasi tersebut.
Rajah 3 : Tatacara mendapatkan arah kiblat yang betul menggunakan eFalak Selangor.
Penutup
Penggunaan aplikasi kiblat di telefon bimbit memudahkan umat Islam menentukan arah kiblat dengan cepat dan praktikal. Kebanyakan aplikasi ini adalah berasaskan kompas yang terdedah kepada ralat dalam ketepatan arah kiblat. Arah kiblat masjid dan premis di negeri Selangor yang telah disahkan pihak berautoriti iaitu Jabatan Mufti Negeri Selangor boleh diyakini sepenuhnya.
[1] Mustofa Kamal, “Teknik Penentuan Arah Kiblat Menggunakan Aplikassi Google Earth dan Kompas Kiblat RHI,” Jurnal Madaniyah 2, no. 9 (2015), 176.
[2] Berita Harian, Mei 29, 2017. Aplikasi kiblat telepon pintar tak tepat. https://www.bharian.com.my/taxonomy/term/1303/2017/07/287435/aplikasi-kiblat-telefon-pintar-tak-tepat . [30 September 2025].

